TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Thursday 10 March 2011

Bagaimana Saya Menulis


Bagaimana Saya Menulis
Oleh Nurul Farina Nazlan
nfarina@bharian.com.my
2011/03/11

Pelajari kaedah karya bermutu daripada pengalaman pengarang berbakat 

BAGAIMANA Saya Menulis susunan Mawar Safie dan Nisah Haron menampilkan proses penciptaan cerpen yang menelusuri pengalaman 17 penulis karya kreatif dalam menghasilkan cerpen mereka yang pernah disiarkan dalam akhbar dan majalah tempatan.
Buku ini juga memberi pendedahan berkenaan proses penulisan cerpen melalui karya pilihan yang dijadikan paksi perbincangan, iaitu setiap penulis menerangkan proses kreatif mereka dengan menyentuh latar, pengalaman peribadi dan perwatakan.
Khalayak yang membaca buku ini juga akan dapat melihat keakraban antara penulis dan cerpen yang dihasilkan sehingga boleh dijadikan rujukan bagi pembaca yang ingin terjun dalam bidang penulisan genre terbabit dengan mengetahui proses berkreatif terlebih dulu. 

Sebahagian daripada 17 karya dalam buku ini ialah Ya Allah Dia Menangis nukilan Aminah Mokhtar, Perlak Emak (Faisal Tehrani), Jiji - Moga-moga Kau Mendengar (Jais Sahok), Tentang Hijab (Kamariah Kamaruddin), Nyanyi Sunyi (Maskiah Masrom) dan Air Mata Orang Kaya (Saharil Hasrin Sanin) dengan pelbagai latar yang menarik. 

Cerpen Ya Allah Dia Menangis karya Aminah Mokhtar memaparkan kisah pilu pembantu rumah yang dijadikan isteri oleh majikannya yang berperangai binatang dan akhirnya lelaki itu ditimpa penyakit misteri yang membawa maut, namun wanita itu terus ditimpa malang kerana haknya sebagai isteri dinafikan oleh anak tirinya. 

Pengarang cerpen ini memanfaatkan pengalamannya sebagai jururawat dengan mengambil wad ICU sebagai latar dengan memaparkan perebutan jenazah antara isteri dan keluarga arwah berjaya memberi kefahaman kepada pembaca bahawa hospital bukan hanya tempat merawat penyakit, tetapi berfungsi menjadi penawar jiwa. 
Pengarang dalam cerpen ini menggunakan teknik penceritaan secara imbas kembali dan berbingkai, malahan pembaca pasti akan melihat kesungguhan penulis menterjemahkan watak garapannya dengan setiap dialog disampaikan mempunyai kesinambungan yang cukup bermakna. 

Mohd Nazmi Yaakub yang tampil dengan karya Selirat Derita Pun Terurai memberi gambaran berkenaan mainan emosi dalam diri wanita keturunan Yahudi, Sophia yang tidak menyukai tindakan bangsanya yang suka merampas, memerangi dan memusnahkan hak masyarakat lain seperti yang berlaku di Palestin. 

Pengarang menggunakan pengalamannya ketika menuntut di Mesir dengan memindahkan apa yang diperoleh di perantauan dalam Selirat Derita Pun Terurai dengan gambaran bahang politik yang berlaku di sempadan Palestin dengan menyelami duka bangsa terbabit. 

Cerpen ini menarik kerana dekat dengan identiti perjuangan Islam daripada kekejaman asing dengan gambaran perasaan watak Sophia yang keliru terhadap kekusutan dalam kekalutan di bumi Palestin yang akhirnya menimbulkan satu lagi sejarah dalam pergolakan di sana. 

Air Mata Orang Kaya garapan Saharil Hasrin Sanin menampilkan simbol kesedihan bermula perenggan awal lagi dan watak utamanya, Tan Sri, digambarkan selalu menangis sehingga menimbulkan persoalan di benak pembaca mengapakah lelaki itu selalu berduka. 

Cerpen ini turut memasukkan mentaliti ketam kerana penulisnya mahu merujuk dan menyelar sifat kebanyakan masyarakat kita yang suka, bahkan meraikan kesilapan serta kejatuhan orang lain. 

Pembaca pasti akan lebih tertarik untuk menelusuri karya Saharil ini kerana menyangka air mata Tan Sri adalah disebabkan masalah rumah tangga atau masalah sosial dalam keluarga, tetapi akhirnya akan tersenyum kerana sangkaan itu tidak tepat ekoran lelaki protagonis itu sebenarnya sentiasa menangis disebabkan penyakit mata, epifora yang dihidapinya. 

Keseluruhan antologi cerpen setebal 339 halaman terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berharga RM25 senaskhah ini sesuai dijadikan panduan berharga bagi mereka yang ingin mempelajari bagaimana menulis cerpen bermutu dengan menjadi proses berkreatif penulis berbakat tanah air sebagai panduan. 

Info 
Bagaimana Saya Menulis 

Susunan: Mawar Safie dan Nisah Haron 
Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka 
Tebal: 339 halaman 
Harga: RM25 
Bintang: **** 

MENYUMBANG KEPADA KEROSAKAN BAHASA


MENYUMBANG KEPADA KEROSAKAN BAHASA

Oleh: Zubaidi Abas, DBP Sabah

http://www.zubaidiabas.blogspot.com/

 

KADANG-KADANG, terasa lucu juga apabila melihat keghairahan sebilangan anggota masyarakat untuk menggunakan bahasa Inggeris. Meskipun cara sebutan yang betul dan penggunaan kata yang sesuai tidak dikuasai, mereka tetap ghairah menyelitkan sepatah dua kata atau frasa bahasa Inggeris dalam pertuturan mereka. Kata seperti ‘actually’, ‘because’, ‘of course’, ‘and then’, ‘so that’, dan ‘whatever’ secara ‘sepotong sepotong’ menjadi kata yang wajib hadir dalam pertuturan. Mungkin, penggunaan kata itu dalam ayat seperti “actually I tak nak pergi…”, “of courselah dia akan datang…”, “and then kita makan…”,dan “so that dia akan ingat…” terluncur secara spontan akibat kebiasaan menuturkannya. Namun, tidak sedikit pula yang sengaja menyelitkan sepatah dua kata bahasa Inggeris dalam pertuturan mereka kononnya untuk kelihatan lebih terpelajar, lebih maju, dan lebih moden. Walau apapun alasannya, jelas bahawa penggunaan kata bahasa Inggeris dalam pertuturan itu bukan atas keperluan ketepatan pengungkapan atau untuk memperjelas maksud, sebaliknya sebagai akibat kebiasaan ‘mencampurbaurkan’ bahasa dan sebagai ukuran ‘keterpelajaran’ atau ‘status sosial lebih tinggi’. Tidak akan terjejas kejelasan maksud kata ‘actually’ apabila digantikan dengan kata ‘sebenarnya’. Begitu juga, tidak akan kelihatan ‘kampungan’ seseorang yang menggunakan kata ‘kerana’ bukan ‘because’, ‘dan kemudian’ bukan “and then’, ‘supaya’ bukan ‘so that’, dan ‘tentu sahaja’ bukan ‘of course’.  
        Kecenderungan menyelitkan kata atau frasa bahasa Inggeris ini tampaknya sudah semakin mempengaruhi wacana lisan rasmi seperti ceramah, syarahan, taklimat, dan mesyuarat. Dalam majlis taklimat yang saya hadiri baru-baru ini, penggunaan bahasa yang bercampur baur ini tampaknya telah begitu sebati dengan lidah penyampainya. “Untuk bare dia punya kesilapan…”, “Around thirty percent yang telah kita proses”, “Kita akan adakan pada two thousand ten”, “Kita akan highlight…”, “Kita tidak strong enough untuk…”, “Tidak common…”, “Kita ada halal certificate yang global.”, “Kita ada pegawai yang diattach…”, “Ada sijil yang dah expired.”, “Kita minta dia attach together…”, “Very few yang ada…”, dan “Saya akan go through…” adalah antara ungkapan yang meluncur lancar dari mulut penyampai taklimat tersebut. Bagi sesetengah orang, penggunaan bahasa yang begitu bercampur baur itu mungkin dianggap sebagai sesuatu yang biasa sehingga ayat seperti “Actually dia merupakan karakter yang kami create sendiri,” bukan lagi menjadi suatu bentuk yang janggal diucapkan.
        Penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris secara bercampur baur yang disebut orang sebagai bahasa rojak tampaknya hampir-hampir mustahil ditolak kehadirannya dalam kegiatan berbahasa masyarakat kita pada masa ini. Semuanya bercampur baur dengan baik dan menciptakan bentuk bahasa yang menjadi ciri khas bahasa sebilangan besar anggota masyarakat di negara ini. Bahasa sedemikian telah begitu berkembang sehingga menjadi ‘bahasa utama’ dalam kalangan anggota masyarakat, malah telah menjadi bahasa ibunda bagi anak-anak sebilangan anggota masyarakat kita.
        Kita mungkin dapat menyenaraikan deretan faktor yang mempengaruhi atau mendorong berkembangnya kecenderungan sedemikian. Namun, yang pasti, kecenderungan menggunakan bahasa yang bercampur baur seperti itu dapat dikaitkan dengan tiadanya atau berkurangnya kecintaan anggota masyarakat terhadap bahasa sendiri sehingga mereka tidak berasa bertanggungjawab untuk menjaga kemurniannya daripada sebarang pencemaran dan menggunakannya dengan baik dan betul. Jika mereka benar-benar mencintai bahasa sendiri dan berbangga menggunakannya, kata bahasa Inggeris seperti ‘bare’, ‘around thirty percent’, ‘two thousand ten’, ‘highlight’, ‘strong enough’, ‘common’, ‘certificate’, ‘attach’, ‘expired’, ‘attach together’, ‘very few’, dan ‘go through’ itu sudah pasti digantikan dengan kata dalam bahasa Melayu. Mereka tidak akan menggunakan kata dalam bahasa Inggeris secara bercampur baur seperti itu kerana memang sudah ada kata untuk maksud yang sama dalam bahasa Melayu.
        Memang benar bahawa bahasa memiliki pelbagai ragam. Namun, penutur seharusnya menggunakan ragam bahasa tertentu sesuai dengan suasana dan tempat berlangsungnya komunikasi. Dalam suasana santai dan akrab, saya kira bukan suatu kesalahan jika kita menggunakan bahasa basahan, bahasa pasar, atau bahasa sehari-hari. Semasa berbelanja di pasar atau berbual-bual dengan teman, bahasa dalam bentuk ini memang menjadi bahasa pertuturan atau perbualan kita. Namun, suasananya sudah tentulah berbeza apabila kita berceramah atau bermesyuarat yang menghendaki kita menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul. Ketika berbicara dalam suasana rasmi, kita harus menggunakan bahasa Melayu yang baku sesuai dengan fungsinya sebagai bahasa rasmi negara. Ragam bahasa baku harus digunakan dalam semua konteks rasmi, seperti dalam menyampaikan ucapan, ceramah, pidato, khutbah, kuliah, atau dalam mesyuarat. Namun, kebiasaan menggunakan bahasa rojak telah membuat kita secara tidak sedar menggunakannya dalam situasi rasmi yang menuntut kita menggunakan bahasa baku. Kebiasaan inilah yang harus dihindari. Anjuran agar kita menggunakan “bahasa kebangsaan dengan betul" sebenarnya mengacu kepada ragam bahasa yang sekali gus memenuhi syarat betul dalam erti kata sesuai dengan situasinya dan betul dari segi kaedah dan aturan bahasanya.
        Kita sememangnya risau melihat gejala bahasa bercampur baur yang begitu berkembang dalam komunikasi masyarakat ini. Mencampurbaurkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris tidak akan membawa masyarakat kita menjadi masyarakat dwibahasa yang hebat, sebaliknya, hanya membuat kemampuan masyarakat baik dalam bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris semakin menurun. Bahasa yang bercampur baur ini juga jika dibiarkan berkembang akan menyumbang kepada kerosakan bahasa Melayu. Bahasa Melayu lambat-laun akan kehilangan bentuknya yang rasmi apabila dalam mesyuarat, ucapan, taklimat, dan sebagainya ragam bahasa yang bercampur-campur itu digunakan. Kita tentu tidak mahu hal ini terjadi. Oleh itu, kita tidak ada pilihan lain selain melakukan pembinaan bahasa sejak awal kepada generasi muda agar mereka tidak berterusan mewarisi kecenderungan menggunakan bahasa yang bercampur baur. Kita mahu melahirkan generasi muda yang mencintai,menghormati,dan menggunakan bahasa dengan baik dan betul. Di samping itu, amat perlu dilakukan usaha berterusan meningkatkan kesedaran seluruh anggota masyarakat tentang peri pentingnya bahasa Melayu yang baik dan betul digunakan dalam kegiatan berbahasa mereka. Kesedaran berbahasa ini merupakan sesuatu yang amat penting dimiliki oleh setiap anggota masyarakat. Sebilangan anggota masyarakat belum benar-benar memahami fungsi dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam kehidupan berbangsa dan bernegara sehingga ungkapan ‘bahasa mencirikan bangsa’, ‘bahasa menunjukkan bangsa’, atau ‘bahasa jiwa bangsa’ seakan-akan tidak membawa apa-apa makna kepada mereka.

MENJADI BANGSA YANG MEROSAKKAN BAHASA SENDIRI


MENJADI BANGSA YANG MEROSAKKAN BAHASA SENDIRI

Oleh: Zubaidi Abas, DBP Sabah

http://www.zubaidiabas.blogspot.com/

 

AWANG Selamat dalam ruangan Bisik-Bisik Mingguan (Mingguan Malaysia, 2 Mei 2010) melontarkan pertanyaan, sukarkah untuk bertutur bahasa kebangsaan dengan betul? Dengan judul kecil ‘Bahasa Rojak dan Lam Thye’, Awang Selamat mengulas bahawa bertutur dalam bahasa kebangsaan yang dicampuradukkan dengan bahasa Inggeris sudah menjadi lumrah. Walaupun ada kata dalam bahasa kebangsaan, bahasa Inggeris tetap menjadi pilihan. Daripada pertuturan harian, termasuk dalam majlis rasmi sampai kepada program radio, televisyen, dan iklan, kita dikatakan semakin terdedah kepada persekitaran bahasa rojak. Seolah-olah tidak sah bercakap tanpa diselitkan dengan bahasa Inggeris! Malah, sesetengahnya kelihatan ‘tergagap-gagap’ seperti berada dalam keadaan yang amat sukar untuk berbahasa kebangsaan seluruhnya jika tidak menyelitkan sepatah dua kata bahasa Inggeris. Maka, suka atau tidak, bahasa bercampur aduk ini kian menjadi bahasa komunikasi utama anggota masyarakat.
        Keadaan yang ditimbulkan oleh Awang Selamat itu memang sentiasa menjadi kerisauan kita kerana gejala bahasa rojak dilihat semakin tidak terkawal. Bahasa rojak sebagai bahasa komunikasi dalam sebilangan besar anggota masyarakat di negara kita didapati telah tumbuh dengan subur sekali. Di mana-mana, baik dalam suasana rasmi mahupun tidak, bahasa sedemikian tampaknya telah menjadi bahasa komunikasi utama semua orang daripada segenap lapisan masyarakat. Sangat sukar untuk melihat penggunaan bahasa kebangsaan yang tidak dicampur aduk dengan bahasa Inggeris. Kata, frasa, dan ayat bercampur baur yang memberikan suatu ciri baharu bahasa bagi bangsa kita sehingga bahasa rojak pernah dikatakan sebagai bahasa masyarakat Melayu moden kini. Penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul hampir-hampir tidak ditemukan lagi. Agaknya, kemajuan teknologi dalam bidang maklumat dan komunikasi telah memberikan pengaruh besar terhadap pola dan gaya interaksi masyarakat.
        Gejala bahasa rojak bukan baharu. Isu ini telah diperkatakan, dibincangkan, dibahaskan, dan diperdebatkan dalam pelbagai media dan forum pertemuan sehingga usaha atau langkah yang bersungguh-sungguh dituntut bagi membanteras penggunaannya. Beberapa kali dalam ruangan ini, saya turut menyentuh isu bahasa rojak dan melahirkan kebimbangan tentang gejala penggunaannya yang makin berkembang subur dalam kalangan masyarakat. Namun, sehingga kini tampaknya kita belum menemukan ‘ubat’ yang benar-benar mujarab untuk membendungnya daripada terus berkembang. Meskipun sudah banyak teguran disuarakan, bahkan tidak kurang kegiatan dan gerakan kesedaran bahasa dilaksanakan, namun, keadaannya tidak berubah, bahkan makin merebak. Mungkin selama ini masalah penggunaan bahasa rojak dianggap sebagai masalah biasa. Komunikasi masih berlangsung dengan lancar kerana yang dipentingkan adalah ‘asal orang faham’. Oleh sebab itu, tidak sedikit yang bersikap acuh tak acuh atau tidak peduli terhadap masalah penggunaan bahasa rojak. Kesannya, penggunaan bahasa rojak yang jelas  memperlihatkan sikap tidak menghormati bahasa kebangsaan telah membudaya dalam masyarakat kita sehingga tidak dapat lagi dibendung. 
        Mungkin mudah untuk mencari sebabnya, apatah lagi dengan melihat kehadiran kata atau frasa bahasa Inggeris dalam suatu pertuturan itu bukan suatu keperluan. Namun, tidak semudah itu pula untuk mengatasinya apabila kita berhadapan dengan sikap bahasa masyarakat. Memang diakui bahawa masyarakat kita merupakan masyarakat yang berbilang kaum dan sebilangan besarnya mungkin menggunakan lebih daripada satu bahasa dalam interaksi mereka. Malah, perkembangan dan kemajuan dalam segala aspek kehidupan kini semakin mengarahkan masyarakat bahasa untuk tidak menguasai satu bahasa sahaja. Oleh sebab itu, tidak sedikit yang menguasai lebih daripada dua bahasa. Penguasaan dua bahasa atau lebih oleh seorang penutur bahasa tentu sahaja berpengaruh terhadap penggunaan bahasanya. Dalam situasi demikian, kebanyakan orang terdorong mencampuradukkan bahasa mereka dengan bahasa asing. Selain itu, Sebilangan anggota masyarakat pula mungkin menganggap rendah dan tidak meyakini kemampuan bahasa kebangsaan dalam mengungkapkan fikiran dan perasaannya dengan lengkap, jelas, dan sempurna. Banyak orang juga mungkin tidak merasakan bahawa bahasa kebangsaan itu milik yang cukup bernilai untuk kehidupan berbangsa dan bernegara. Kepentingan menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik dan betul sebagai cerminan bangsa yang berjati diri tidak pernah dihayati dengan sepenuhnya. Lalu, hati mereka tidak pernah terluka dan perasaan mereka tidak pernah tersentuh apabila melihat bahasa kebangsaan dirosakkan dalam pelbagai bentuk dan cara. Malah, sebagai penutur dan pemilik bahasa kebangsaan, mereka tampaknya tidak lagi berbangga memiliki bahasa kebangsaan sendiri apabila turut sama merosakkannya.
        Sikap negatif terhadap bahasa kebangsaan ini tidak harus dibiarkan berkembang kerana memberikan kesan yang cukup besar terhadap bahasa kebangsaan. Namun, masalah bahasa rojak ini tidak akan ada penghujungnya selagi seluruh anggota masyarakat tidak turut sama menyelesaikannya. Pihak media elektronik, misalnya, dapat membatasi penggunaan bahasa rojak dengan tidak menyiarkan sebarang pertuturan yang menggunakan bahasa itu dalam apa-apa rancangannya. Penggunaan bahasa asing dalam penamaan sesebuah rancangan mungkin turut menjadi salah satu faktor pendorong berlakunya perilaku mencampuradukkan bahasa. Hal ini dapat diperhatikan dengan bertebarannya penggunaan bahasa yang bercampur aduk dalam rancangan yang disajikan. Para pemimpin pula harus memperlihatkan contoh penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul. Dengan kata lain, pembanterasan penggunaan bahasa rojak memerlukan tindakan nyata daripada semua pihak. Rasanya, tidak ada ‘ubat’ yang lebih mujarab dan berkesan dalam membendung gejala bahasa rojak ini selain perubahan sikap kita sendiri terhadap bahasa kebangsaan. Sebagai rakyat negara ini, kita seharusnya mencintai dan menjaga bahasa kebangsaan. Setiap orang harus bersikap positif terhadap bahasa kebangsaan. Setiap orang juga harus sentiasa berusaha menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik dan betul.  
        Bahasa kebangsaan tidak harus berdiri tegak sebagai lambang semata-mata, tetapi harus benar-benar berfungsi sebagai lambang jati diri bangsa dan negara. Keinginan kita untuk melihat bahasa kebangsaan memenuhi fungsinya itu menuntut pembinaan dan pengembangan bahasa tersebut, termasuk  usaha membina sikap positif terhadap bahasa kebangsaan dalam kalangan anggota masyarakat. Kita memang telah melakukan pelbagai usaha untuk membina dan mengembangkan bahasa kebangsaan. Pelbagai kegiatan untuk meningkatkan mutu bahasa kebangsaan dan mutu penggunaannya juga telah dijalankan. Pelbagai pendekatan dan saluran turut digunakan untuk memupuk dan meningkatkan kesedaran dan sikap dalam kalangan masyarakat pengguna bahasa secara menyeluruh. Meskipun demikian, kita masih merasakan bahawa segala hasil pembinaan bahasa masih belum benar-benar dapat dimasyarakatkan. Matlamat yang ingin dicapai dalam hal penggunaan bahasa kebangsaan masih jauh daripada tercapai. Sebilangan anggota masyarakat tampaknya masih bersikap tidak peduli atau endah tak endah. Oleh sebab itu, usaha yang berterusan perlu dilakukan untuk meningkatkan kesedaran dan sikap positif terhadap bahasa kebangsaan agar kita tidak menjadi bangsa yang merosakkan bahasa kebangsaan sendiri.