TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Sunday 21 August 2011

RADIO ISLAM




RADIO ISLAM
Sajen: Arisel Ba

Ini cerita orang kampung
selepas pulang dari Mekah
menunaikan ibadah Haji
dalam tahun tujuh puluhan dulu

Sebaik tiba di rumahnya
Abang Aji mengamuk sakan
menghempas pecah sebiji radio
yang dibelinya di Mekah

Isterinya kaget dan bertanya,
“ kenapa Abang Aji mengamuk
dan membanting radio itu
sehingga pecah dan berkecai?”

Abang Aji tangkas menjawab,
“ Pembohong!, setan gondol! “

Isterinya terkedu tambah bingung?

Abang Aji terus geram dan marah,
“ Radio ini aku beli di Mekah
setiap hari mengaji al-Quran
terus menerus 24 jam, tetapi
bila tiba di kampung kita ini,
tidak ada berita lain hendak
dikhabarkannya, asyik-asyik
berita politik tahi kucing!
Inikah yang digelar Radio Islam?”

Isterinya terus bertanya,
“ Abang Aji tahu radio ini Radio Islam
daripada mana sumbernya?”

 Abang Aji segera menjawab,
“ Ini tengok, tulisannya jelas -
All Transistor, itukan huruf ‘All’,
All itu aku kata, Al-Islam, bukan?”

Isterinya geli hati lalu beredar ke dapur,
sedang radio itu pun sudah pecah berkecai.

21 Ogos 2011,
Raub, Pahang

Thursday 18 August 2011

GELIAT WAKIL RAKYAT 4





Sajen: Arisel Ba

Sedang Wakil Rakyat itu bersantai di rumah
dan mencari berita dirinya di media cetak
tiba-tiba anaknya yang sedang belajar
dalam darjah tiga bertanya:
“ Abah, C.H.A.O.S ini bahasa apa?”

“ Oh, itu bahasa penjajah, “ tukas Wakil Rakyat
antara hendak melayan dengan tidak
akan soalan anaknya itu.

“Penjajah itu apa pula?”, soal anaknya lagi.

“ Penjajah itu seperti lanun, menjajah
dan mencuri hasil mahsul Negara kita”,
jawab Wakil Rakyat ringkas.

“ Abah, kamus saya, kawan saya pinjam,
Ini apa makna C.H.A.O.S?,” tanya anaknya lagi

Jawab Wakil Rakyat, “ Oh, itu terpulang
siapa editor kamus itu, Prof. Asmah Hj. Omar
atau Prof. Nik Safiah Hj. Karim!”
anak Wakil Rakyat itu semakin bingung
dan terus mendesak, “ jadi editor kamus
selalunya berbalahan mentafsir makna ‘C.H.A.O.S’?”

“ Begini anakku, C.H.A.O.S itu bahasa Inggeris,
maknanya keadaan kelam-kabut, huru-hara,
kacau-bilau, dan itulah makna yang diberikan
 oleh Dewan Bahasa,  bagi Ahli Parlimen
seperti Abah, makna C.H.A.O.S
Ialah TEGANG tetapi TERKAWAL!!!....”

Anaknya terus kebingungan lalu meninggalkan
Wakil Rakyat itu menelan rasa bangganya.


17 Ogos 2011,
Kuantan, Pahang

Tuesday 16 August 2011

MEMBACA RAMADAN 3


MEMBACA RAMADAN 3
: Allâhumma waffiqnî fîhi lumuwâfaqatil abrâr, wa jannibnî fîhi murâfaqatal asyrâr, wa âwinî fîhi birahmatika ilâ dâril qarâr, bi-ilâhiyyatika yâ Ilâhal ‘âlamîn.

[ Ya Allah, bimbinglah daku di dalamnya untuk meniru orang-orang yang berbuat kesalehan. Jauhkan daku di dalamnya dari berteman dengan orang-orang yang berbuat kejahatan. Kemba­likan daku di dalamnya dengan rahmat-Mu ke dalam kediaman yang abadi dengan ilahiyat-Mu wahai Tuhan semesta alam.
(Mafâtihul Jinân: bab 2, pasal 3)]

Sajak: Arisel Ba

Bismillahirrahmannirrahim, Ramadan ini adakah musim terakhir aku membiarkan lapar membiarkan dahaga atas setia dan cinta kepada-Mu?, ya Rabbi, nikmat daripada rahsia yang maha rahsia sesungguhnya menahan nafsu di siang hari dan ibadah dengan solat, solat terawih 18 + 3 witir, zikir ke larut Subuh, bertadarus mengulang-ulangi membaca al-Quran yang suci, masih lagi aku membaca Ramadan sedang sekujur diri ini umpama sebutir debu di pusaran angin nafsu, tercapaikah aku memahami makna sebenar rahsia 30 hari berpuasa?, siangnya kering perit haus dahaga, derita pedih lapar itu.

Ya Allah, Mualim berkata kepadaku: Ramadan itu sebuah telaga bening airnya seperti mutiara maghfirat beralunnya zikir dan tadarus, sedang tebing telaga itu lembut, lirih dan pasrah. Jadi siapa tidak ingin menjadi ikan akuarium berenang dengan sunyi nafsu sedang sirip tidak patah dalam perenangan istirahat tidak menjadi sia-sia, dan kali bekali aku mengangkat dua ruas tangan menadah jari-jemari ini berdoa memohon ke hadrat-Mu, ya Allah, kadangkala memaksa Yang Esa Maha Mengasihani mengabulkan permintaanku supaya usiaku lebih lama hidup di bumi ini, tubuhku disihatkan, rezekiku dimewahkan, ibadahku diterima di sisi-Mu tanpa aku mengharapkan balasan syurga-Mu, ya Ilahi, kerana aku tahu bahawa aku hanya sebutir debu di bumi-Mu.

Tatkala aku masih membaca Ramadan ini, bulan mulia di sisi-Mu, ya Tuhan Yang Maha Kuasa, kuping telinga ini berdesing dengan seruan Asma-Mu daripada empat arah angin, timur, barat, utara dan selatan melangit dan membumi menyedarkan aku mencari jalan lurus suci yang Kaujanjikan, ya Rabbi, dan aku mengharap reda-Mu mempertemukan malam Lailatul Qadar biarpun pelbagai rintangan menanti, doaku semoga Ramadan ini jika tidak bertemu dengan malam indah itu, Ya Ilahi, aku sujud dihadapan-Mu memohon keampunan, semoga menghadiahkan aku dalam suasana fitri yang Kauredai. Amin…

16 Ogos 2011,
Kuantan, Pahang


Friday 12 August 2011

GRAHA SAJAK




GRAHA SAJAK
Sajak: Arisel Ba

Aku citra doktrin sajak makhluk                                               
Tubuh dibina berkamus kata
Jiwa dibalut ribuan aksara
Roh disebati darah budaya

Tubuh sajak diteguh umbur
Dengan kasatmata hidup subur
Indah murni bahasa pempamer

Disadur membumi jiwa sajak
Pentafsir hikmat citra tujuh samudera
Rasa emotif melangit angkasa
Prasangka logika bergejolak
Mengogah pancaindera makhluk

Disinari kemilau gemerlap roh sajak
Silau cahaya mistik makhluk
Ghairah membidik ribuan kata
Bersetubuh sesuci erotika bahasa

Dan sempurna pagan graha sajak
Tubuhnya besi padu magika kata
Jiwanya riak danau puitika bahasa
Rohnya mengalir pendar mistik
Aku potret doktrin sajak khalayak

11 Ogos 2011,
Kuantan, Pahang



Thursday 11 August 2011

Puisi Watak-watak Ketua BN



Puisi Watak-watak Ketua BN
      [untuk renungan wakil-wakil Pakatan Rakyat yang fatannah]
      Sajen: dedikasi kepada penyair Subari Ahmad
       Pelopor sajak jenaka di Malaysia, sambungan sejarah di Peranchis
Oleh Daeng Ramliakil


Dek watak wartawan, dan yang satu lagi itu
Diri ini ketemu watak-watak lucu
Politikusi negaraku, gila-gila dungu
Tahun ke tahun kukumpuli
demi Allah dalam diri.

Kawanku, ‘seorang’ MP Pahang, suatu hari
Usai solat zuhur di Kuala Lumpur
Terbang ke kota X, terus ke masjid,
solat zuhur
Laju berkereta ke desa, salam-salam segera
Terus ke surau, solat zuhur
Laju berkereta ke desa kedua
Ke surau, solat zuhur
Salam-salam segera, tak lama maghrib tiba
Kawanku laju berkereta ke luar desa.

Diri ketahui, kawan suarai:
“Datuk, solat apa banyak kali sejak tadi?”
“Zuhur.”
“Allahu akbar.”
“Dapat lawan kalahkan  PAS, senang
mereka solat zuhur sekali saja
akulah juara dunia zuhur tadi.”

Watak-watak di desa X suarai:
Datuk solat zuhur 5.00 petang
Terdengar lafaz solatnya diperkuat
Kedut seribu ketua-tuaan UMNO desa itu.

2. 
Mantan PM itu juga begitu
Hari itu, usai ke tandas, bersegera ke ruang solat
Takbir diangkat penuh bakat, bacaan amat hebat
Menung mana-mana malaikat.

Usai solat, berlenggang ke luar masjid
Diri diperdengar: eh, sempat ke YB berwudhu’?
Itula kau tak sedia, macam aku,
Pagi tadi 10x berwudhu’
Batal satu,ada lagi 9.
Ah, diri ini berpaling,  kurenungi wajahnya
Jelas, jin Islam, alahai kasihan
Allah pun ditipunya.


11 Ramadan/Ogos

Riwayat Demi Rakyat



Riwayat Demi Rakyat
Sajak: Ami Masra

Bekal menjadi pemimpin agung
Selalulah berfikir dan laungkan
Segala-galanya “demi rakyat”
Gimik dalam riwayat
Panjangnya tak tersurat
Walau itu retorik jerit sakit politik
Biar hati jiwa mereka tersayat.

“Demi rakyat”, kata mereka
Kami pemimpin akan turun padang
Membasmi miskin di bendang
Memakmur hasil di ladang
Membiak ikan di lautan
Walau sedikit pun tiada bantuan.

Kami rakyat
Suara kami hanya pada undi
Senyap ke dalam tong tak berbunyi
Sudah muak dan lali
Suara bagaikan taufan
Bertiup dari gunung lembah dan kali
Kemiskinan tetap juga
Menjenguk pondok buruk kami.

Politik tetap politik
Pada jerit dan laung kata
Membaca dan menilai suara
Dari lidah mulut pemimpin
Membuat kita ternganga leka.

 USJ 4, Subang Jaya.

Sungai Sejarah (ii)



Sungai Sejarah (ii)
Sajak: Ami Masra

(“sejarah dahulu iktibar hari ini.
Sejarah masa akan datang terletak
pada keputusan generasi hari ini.)

Mengalir lagi air; membanjir
Pada tebing rasa kemarahan
Dari gelodak dada ke kuala jiwa
Akal fikir tak pernah mentafsir
Tentang makna cinta kehidupan
Biarkan terus sejarah mengalir
Pada benar dan juga kebenaran
Pada nyata dan juga kenyataan.

Pastikan kehidupan itu
Berbuah ibadah mewangi rindu
Pada ketenangan dan kesentosaan
Di halaman dan jalanan tanah air
Dibebaskan para pejuang dahulu
Belenggu penjajah ke saat akhir
Darah merah meski mengalir
Pada setiap inci tanah terakhir
Setelah 54 tahun merdeka terukir.

Hari ini sungai sejarah; amuk amarah
Mengalir lagi; membuak lagi
Kedamaian dan ketenteraman
Terkocak ombak rakus dan tamak
Dari hati berani bernama lelaki
Bersemangat Jebat tanpa menyelidiki
Kuasa ada di tangan demokrasi.

Sungai sejarah; sungai ibadah
Tak pernah berhenti mengalir
Selagi manusia tak pernah puas
Pada impian berkuasa di takhta.
Pada cita-cita rakus dan buas
Manusia mendamba cinta-Nya
Siang malam memeluk tenteram
Di bawah reda dan hidayah-Nya.

-AMI MASRA.
UKM, Bangi, Selangor.