TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Tuesday 31 May 2011

KAS NOK, KAS SEBOK



Sajen: Arisel Ba

Hari pun macam tak nok cerah
Hujan mencurah-curah
Tak leh motong gotah
Lalu kas turun ke Bandor
Nok beli mata kail halos
Buat mengail ikan bador
Di anok Sungai Salan

Sampai ke Bandor Jerantet
Kas nok lepak kat kedai Ah Heng
Ah Heng datang tanya kas
Aok, Mael nok minum ape?


Nok minum ape?
Kas nok kas sebuk!

Kas terkancus daroh gemuroh
Bala, Ah Heng hantor Carlsberg
Kerayan kas, cepat kas jerit kat Ah Heng
Kas kata kas tak minum air mabok ni
Kalau kas nok minum, nanti kas sebok

Orang ramai pandang kas
Macam kas ni beruk sarkas
Kas rasa malu, tebal muka
Kas angkat punggung lalu pergi…


31 Mei 2011,
Kuantan, Pahang

Peringatan: Minuman Carlsberg adalah HARAM

MATA DAN AIR MATA



MATA DAN AIR MATA
Sajak: Arisel Ba

Sejak aku dilahirkan dari rahim ibu
Selalu menitiskan air mata syahdu
Selain laparkan susu seorang ibu
Aku diajar menangis supaya tidak bisu
Aku diajar menangis supaya dikasihi ibu

Ketika aku remaja diasuh nenek sejahtera sekali
Bila mata menatap rakan-rakan sebaya
Aku menilai diri dalam serba daif keluarga miskin
Aku diasuh menangis supaya tidak berpura-pura
Aku diasuh menangis supaya mata berpanorama

Tatkala aku dewasa aku berdikari
Bila mata menatap panorama Negara
Aku menjadi pencabar hidup ini dan mencari
Aku dididik menangis selepas solat dan doa
Aku dididik menangis menatap kulawarga tidak bersatu

Apabila aku menapak ke alam warga emas
Tahulah aku bahawa mata ini semakin kabur berbalam
Biar air mata darah sekali pun aku ratapi diri
Aku tetap begini, musafir menatap dinihari
Sedang panorama daripada cermin mata ini
Panoramanya sering kali palsu dalam asyik mencari
Dunia yang menjanjikan cinta kulawarga dan bahagia
Akhirat yang menantikan sekujur tubuh tidak berdosa

30 Mei 2011,
Kuantan, Pahang