TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Tuesday 24 May 2011

Mempraktikkan bagai aur dengan tebing.



Mempraktikkan bagai aur dengan tebing.
 DR AMINUDIN MANSOR.                                                                       

Tragedi menyayat hari akibat tanah runtuh yang mengorbankan 16 nyawa anak-anak yatim di rumah Anak Yatim dan madrasah Al-Takwa di Hulu Langatseharusnya menjadi iktibar dan renungan kepada kita semua.

Suratan dan takdir Allah sememangnya tidak boleh dielakkan, tetapi kita harus berusaha untuk mengelakkan sesuatu perkara buruk berlaku seperti peristiwa ini. Banyak peristiwa yang berlaku di negara ini membabitkan tanah runtuh, namun kita hanya dikejutkan sekejap kemudian kita lupa dan lalai terhadap ancaman ini.

Penulis tertarik dengan kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor yang menyatakan kekesalannya kerana tragedi tanah runtuh melibatkan rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Kebajikan Madrasah Al-Takwa Felcra Semungkis, Batu 14, di Hulu Langat sebenarnya boleh dielakkan.

Menurut beliau ini kerana pihak berkenaan telah mengesan pergerakan tanah di kawasan itu sebelum ini tetapi tidak dilaporkan secara terperinci kepada Jabatan Kerja Raya (JKR).

Jelasnya, ia mendukacitakan kerana kejadian itu boleh dihindari jika kita bertindak lebih awal, walaupun ia tanah persendirian, namun bantuan JKR atau pihak berkaitan sekiranya berlaku tanda-tanda seperti tanah tidak stabil, katanya kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian.

Dalam hal ini sikap kita yang tidak prihatin, khususnya orang yang lebih tua dan berpengalaman di situ yang tentunya telah melihat tanda-tanda tanah runtuh tersebut. Jelaslah kanak-kanak tidak dapat berfikir lebih jauh akan akibat tanda-tanda tanah runtuh tersebut disebabkan mereka tidak matang dan berpengalaman serta tidak mempunyai kuasa. Orang yang lebih tua tidak mengambil tindakan. Masalah orang kita selalu bersikap “tak apa” yang akhirnya menyebabkan malapetaka menimpa. Siapa yang bersalah. Inilah sikap yang tidak baik.

Pengalaman penulis semasa kecil orang-orang tua dahulu lebih prihatin terhadap keadaan persekitaran yang boleh membahayakan anak-anak. Sebagai contoh, mereka sentiasa mengingatkan akan bahaya pokok yang boleh tumbang dan menghempap rumah serta anak-anak yang lalu lalang di bawahnya.

Begitu juga, orang tua-tua dahulu lebih prihatin dan sentiasa beringat akan sesuatu perkara yang boleh menimpa anak-anak. Sebagai contoh, jika ada pergerakan tanah yang boleh menyebabkan tanah runtuh mereka cepat-cepat menanam pokok di kawasan tersebut bagi menahan pergerakan tanah tersebut.

Melalui pengalaman mereka juga boleh kita jadikan iktibar. Mereka menggunakan pengalaman dan perenungan bagi menahan tanah runtuh iaitu dengan menanam pokok aur (buluh kecil yang akarnya boleh mencekam tanah sama ada tanah berpasir atau tanah peroi). Peribahasa Melayu ada mengatakan: “Seperti aur dengan tebing” . Mereka menanam aur untuk menahan tebing supaya tidak runtuh., saling membantu aur boleh hidup subur dan tebing tidak runtuh. Kehidupan aur ini memerlukan air yang mengalir di kawasan tebing.

Bagi mewujudkan masyarakat yang prihatin dengan mengekalkan kehijauan alam sekitar pengalaman orang tua-tua dahulu boleh diambil contoh sebagai panduan. Selain itu, mematuhi garis panduan yang diluluskan untuk pembangunan di lereng bukit supaya tidak terjadi tanah runtuh.

Setiap pemaju khususnya pemaju perumahan mestilah bertanggungjawab mengelakkan tanah runtuh jika mahu membangunkan kawasan perumahan di lereng bukit. Di samping itu, pokok-pokok asal yang ada di lereng bukit jangan ditebang sewenang-wenangnya bagai mengelakkan tanah runtuh. Semoga kita semua belajar dan mengambil iktibar daripada peristiwa ini.

Penulis mantan pendidik dan pengamal media PhD Persuratan Melayu, UKM.