TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Thursday 24 November 2011

MEMINJAM TENANG TASIK.


MEMINJAM TENANG TASIK.
 Sajak: Aminudin Mansor

Merenung ke dasar tasik
tak sama dengan diri kita
gelodak dada penuh gelora
hutan masalah penuh cempera
sebak sesak dan terasak
oleh duga sementara dunia.

Bak merenung filsafat makrifat
biru tenang tasik tak terusik
ditikam hujan merintik-rintik
dadanya seakan berbisik
rindu pada kebasahan hujan
rindu pada belaian kemanusiaan.

Sesekali meminjam tenang
keluhuran peribadi tasik
warna biru ciptaan Tuhan
alam rencam kehidupan
menduga akal dan hati
kau tetap teguh mengairi
ke sungai lurus kebenaran
ke lautan tulus kehidupan.

Demikian hidup
Sesekali merenungi alam tenteram
Di mana tempat kita berdiam.



-AMI MASRA
Tasik Cini, Pahang.

Hilang bahasa, lenyaplah bangsa.



Hilang bahasa, lenyaplah bangsa.
 OLEH DR AMINUDIN MANSOR

Bahasa adalah apa yang dipertuturkan dan dicakapkan. Lebih luas lagi bahasa menjadi perantara dan komunikasi antara manusia. Bahasa yang digunakan secara meluas akan dapat mengangkat martabat bangsa ke mata dunia. Bahasa yang maju akan menjadi bahasa ilmu.

Di Malaysia bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa pengantar ilmu sejak kemerdekaan pada tahun 1957. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi diwartakan dalam Perlembagaan Persekutuan, sementara kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi secara khusus diwartakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Bahasa Melayu berkait erat dengan proses pembinaan negara Malaysia dan pembinaan negara bangsa.

Isu-isu yang sering diperkatakan mengenai bahasa adalah berkaitan dengan peningkatan profesionalisme pendidik Bahasa Melayu. Mereka ini adalah pendidik yang tentunya terlatih untuk mengajar Bahasa Melayu di sekolah. Kaedah dan teknik yang digunakan mestilah berubah maju dan berkesan. Asasnya merekalah yang bertanggungjawab bagi mendidik, mencintai bahasa dalam kalangan murid dan pelajar.

Memanfaatkan teknologi pendidikan yang canggih dan mutakhir dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) bahasa Melayu sangat penting sesuai dengan perubahan semasa. Guru-guru bahasa Melayu seharusnya berusaha mencipta dan kemudian menggunakannya dalam P&P.

Justeru, berasaskan pendekatan bersepadu, pendidikan bahasa diharapkan meninggalkan amalan lama dan dapat meningkatkan kemahiran berbahasa melalui tulisan dan lisan di sekolah. Pelbagai kursus perlu diadakan kepada guru bahasa bagi meningkatkan penggunaan bahasa dalam kalangan murid dan pelajar.

Kefahaman dan kesedaran untuk meningkatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa pengantar dan bahasa ilmu haruslah bermula di sekolah. Jika tidak mereka tidak sedar akan fungsi dan peranan bahasa itu dalam kehidupan pada masa akan datang.

Kita tentu tidak mahu akan berlaku “Hilanglah bahasa, lenyaplah bangsa” dalam kalangan pelajar dan rakyat di negara ini. Sia-sia sahaja usaha mendaulatkan bahasa yang dilakukan sejak puluhan tahun lalu. Kemahiran bahasa seperti mendengar, bertutur, membaca dan menulis mestilah dipraktikkan di sekolah.

Bahasa Melayu perlu diberi jiwa baru melalui pendidikan bahasa di sekolah, pertuturan rasmi, melalui pembacaan yang akan mengangkat bahasa Melayu sebagai milik semua rakyat. Ini akan dapat memekarkan kepelbagaian budaya dan juga memperkasakan peradaban manusia.

Kempen-kempen dan slogan baharu perlu diwujudkan di media massa bagi menjadikan bahasa Melayu berjiwa Malaysia, hidup dan subur dalam kalangan penggunanya terutama rakyat di negara ini. Sebagai contoh “Bahasaku adalah jiwaku” dan lain-lain lagi. Jika pendatang asing dapat bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu kenapa tidak kita?

Ibu bapa juga harus sentiasa memberikan galakan dan rangsangan kepada anak-anak supaya menggunakan bahasa Melayu di rumah, sebagai bahasan pertuturan dan bahasa ilmu dengan baik. Galakan dan rangsangan juga perlu dilakukan oleh para guru di sekolah bagi menjadikan bahasa Melayu tidak dilenyapkan oleh bangsanya sendiri.

Penulis pengamal media PhD Persuratan Melayu, UKM.

Memperkasa Bahasa Melayu sebagai jati diri nasional.



Memperkasa Bahasa Melayu sebagai jati diri nasional.
 Oleh DR AMINUDIN  
                                                                  
Memperkasakan bahasa Melayu mestilah dilakukan di peringkat akar umbi. Bermula dari Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) atau Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) rasa cinta terhadap bahasa iaitu bahasa Melayu mestilah diterapkan dalam hati dan sanubari mereka.

Usaha boleh dilakukan melalui pelbagai aktiviti seperti menyanyikan lagu-lagu dalam bahasa Melayu, membaca kuat dalam bahasa Melayu, bertutur dan bersyarah dalam bahasa Melayu. Pada masa kini kebanyakan TASKA dan TADIKA menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama.

Bahasa Melayu mestilah diberi keutamaan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pengantar dan bahasa ilmu sejak di awal persekolahan lagi. Kajian pakar-pakar psikologi menjelaskan kecintaan bahasa dan minat terhadap bahasa mestilah bermula dengan penyerapan rasa cinta dan melaksanakan penggunaannya dengan lebih berkesan.

Menurut Profesor Dr. Teo Kok Seong, Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menegaskan pemilihan hanya satu bahasa untuk membentuk jati diri nasional, walaupun di dalam Negara yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik yang diamalkan di merata tempat, baik di Asia mahu di Barat memang terbukti kejayaannya.

 Dalam konteks ini katanya, penggunaan bahasa Melayu yang didapati amat berkesan untuk menonjolkan jati diri nasional, bukan sahaja perlu diteruskan malah ia perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa supaya keutuhan bentuk dan amalan berbahasa Melayu dapat sentiasa dipelihara.

Penonjolan jati diri nasional dapat dilakukan melalui bahan-bahan seperti pantun, syair, gurindam, seloka, simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, bidalan, kata-kata hikmat juga diterapkan kepada pelajar di peringkat yang lebih awal. Apabila rasa kecintaan ini timbul mereka akan menerima bahasa itu sebagai bahasa yang dicintai dan digunakan dalam kehidupan seharian.

Pada masa kini, bahasa Melayu dipelajari hanya bertujuan untuk lulus peperiksaan sama ada peperiksaan biasa di sekolah ataupun peperiksaan utama seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Rasa cinta dan usaha ingin memperkasa bahasa tidak diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran(P&P) di sekolah.

Pelbagai kegiatan bahasa boleh dilakukan di sekolah bagi memperkasa bahasa dan mencintainya seperti menyanyi lagu-lagu dalam bahasa Melayu, bersyarah, mendeklamasikan sajak, bersyair, berpantun, berpidato, ujian lisan, berbahas, memberi ucapan semasa perhimpunan, bercerita, perbincangan, membuat ulasan buku, membaca berita, berdialog dan mewawancara dalam bahasa Melayu.

Pada masa kini, terdapat hampir 300 juta pengguna bahasa Melayu di seluruh dunia. Bilangan pengguna ini boleh ditambah lagi dengan bilangan pengguna muda yang bermula di peringkat TADIKA, TASKA, sekolah rendah, sekolah menengah dan peringkat universiti.

Namun yang paling penting, setiap pengguna mestilah ada rasa cinta yang mendalam terhadap bahasa Melayu, sentiasa mempraktikkannya dalam kehidupan seharian, meningkatkan penggunaannya dalam bidang ilmu dan menulis buku dalam pelbagai bidang ilmu dalam bahasa Melayu.

Jika dahulu bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa lingua franca atau bahasa perantaraan umum dan bahasa antarabangsa. Pada masa kini bahasa Melayu seharusnya dimantapkan dan diperkasa sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi, bahasa di internet dan juga menguasai langit terbuka.

Semua pencinta bahasa tidak harus lupa dan alpa mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa terpenting di negara ini dan seterusnya di dunia. Kemampuan tinggi Bahasa Melayu tidak perlu dipertikaikan lagi. Pemaparan bahasa Melayu di papan-papan iklan mestilah diutamakan selain bahasa lain.

Sebenarnya kemelut Bahasa Melayu ini banyak berpunca daripada sikap tidak sungguh-sungguh dalam kalangan kita. Jangan salahkan sesiapa jika bahasa Melayu dipinggirkan. Sejarah telah meletakkan bahasa Melayu bahasa terpenting di rantau ini, hanya kita yang perlu memperkasakan pada setiap masa dan ketika.

Dalam hal ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan, rakyat seharusnya lebih yakin menggunakan bahasa Melayu yang kini antara bahasa paling unggul digunakan di serata dunia. Dari segi jumlah penggunaan bahasa di seluruh negara, bahasa kebangsaan adalah jauh lebih kerap digunakan berbanding bahasa-bahasa lain.

Penerbitan buku-buku ilmiah dalam bahasa Melayu mesti diperhebat dari semasa ke semasa. Penggunaannya mestilah meluas di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti serta kepada orang awam. Kegemilangan bahasa Melayu akan kembali bersinar apabila semua pihak berusaha memartabatkan.

Lantaran itu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi, menegaskan kementerian mewajibkan pelajar asing mempelajari bahasa Melayu dengan betul supaya mereka mudah untuk berkomunikasi dengan penduduk tempatan, sekali gus dapat mengembangkan penggunaan bahasa itu di negara mereka. Selain itu, kita juga perlu ikon akademik bagi mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu.

Sesungguhnya, usaha memperkasakan bahasa Melayu adalah menjadi tugas semua rakyat Malaysia. Melalui penggunaan yang betul dalam percakapan dan penulisan bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu berdaya maju.

Penulis bekas pendidik BM berpengalaman selama 35 tahun.


Mengekalkan warisan kesenian bangsa.



Mengekalkan warisan kesenian bangsa.
 OLEH DR AMINUDIN MANSOR.                                                                   

Usaha mengekalkan warisan kesenian pelbagai kaum di Malaysia adalah menjadi tanggungjawab semua rakyat di negara ini. Bukan hanya kepada pewaris seni dan budaya sahaja. Masyarakat Malaysia telah mewarisi pelbagai jenis kesenian. Pewaris budaya bangsa pada masa depan adalah generasi hari ini. Melalui pendidikan warisan kesenian bangsa dapat dipelajari.

Bagi membina remaja yang cemerlang dan memahami budaya, mereka mestilah memahami dan menghayati budaya bangsa. Budaya bangsa adalah asas kepada pembentukan kebudayaan kebangsaan dalam kehidupan bermasyarakat.

Asas kehidupan budaya kebangsaan adalah berteraskan kebudayaan rakyat asal di rantau ini. Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsur Kebudayaan kebangsaan. Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan Kebudayaan kebangsaan itu. Agama dan kebudayaan sangat berkait rapat dengan kehidupan.

Fenomena pada masa kini, kalangan remaja lebih mengenali “budaya luar” atau budaya Barat yang dibawa masuk melalui TV dan juga Internet. Perkara ini seharusnya tidak berlaku jika remaja dididik dan diberi kefahaman tentang uniknya budaya tempatan di Malaysia.


Sebagai contoh, muzik dan tari ciri kehidupan yang melahirkan gerak irama, menghantar manusia ke alam luas, jauh dan syahdu. Rentak dan genderang memberi semangat kepada pahlawan yang sedang berjuang. Rayuan gita (lagu) harapan ibu dikatakan mempercepatkan membesar sang bayi dalam ayunan.

Pelbagai jenis warisan kesenian pelbagai kaum di Malaysia yang meliputi muzik, alat muzik, tarian, kraf tangan, permainan, seni bina dan lukisan. Semua warisan ini amat berharga dan bernilai kepada negara. Kalangan remaja harus memahami dan menghayati semua warisan ini.

Justeru, warisan kesenian ini juga menjadi aset dan tarikan para pelancong. Sebagai contoh, jenis-jenis muzik Melayu tradisional antaranya ialah muzik makyung, Mek Mulung, Ghazal, wayang kulit dan sebagainya.

Di Sabah saja mempunyai kira-kira 32 jenis tarian daripada pelbagai jenis etnik. Tarian Mongigol Sumundai, Sumayau dan Semazau Penampang merupakan beberapa jenis tarian untuk pemujaan semangat. Di Pahang ada Tarian Labi-Labi dan Tarian Pelanduk yang unik dan perlu diketengahkan selain masih banyak lagu-lagu rakyat yang perlu dikomersialkan. Begitu juga bagi negeri-negeri lain seperti Terengganu dan Kelantan.

Selain itu, bidang muzik mengikut cara bunyi dihasilkan, alat muzik tradisional kaum di Malaysia boleh dibahagikan kepada beberapa jenis. Pertama, getaran pada tali yang ditegangkan seperti alat muzik India iaitu Tampura, alat muzik Cina Erh-Hu. Kedua, di pukul pada kulit yang ditegangkan iaitu Geduk alat muzik Melayu dan Tabla alat muzik kaum India.

Beberapa alat muzik ini sangat penting kerana ia digunakan untuk mengiringi persembahan dalam upacara tertentu.  Selain itu, tarian-tarian suku kaum di Malaysia telah diwarisi sejak beberapa abad yang lalu. Setiap tarian tradisional mempunyai fungsi tertentu.

Kraf tangan suku kaum di Malaysia juga ada berbagai-bagai jenis. Kraf tangan ini diperbuat daripada pelbagai bahan seperti mengkuang, kayu, manik, benang, logam, tanah liat dan sebagainya. Keunikan ini harus dibanggakan oleh kita rakyat Malaysia yang kaya dengan kesenian kraf tangan.

Permainan tradisional pula dapat mewujudkan interaksi sosial dalam masyarakat selain daripada mengisi masa lapang. Pelbagai jenis permainan tradisional yang boleh didapati di kalangan  kaum di Malaysia. Setiap permainan tradisional ini menggunakan alat dan peraturan tertentu. Kita semua tentu tidak mahu, permainan Internet akan menghapuskan permainan tradisional yang ada.

Di samping itu, seni bina merupakan satu aspek warisan budaya yang penting ke rana ia menunjukkan identiti dan kreativiti bangsa. Terdapat pelbagai bentuk seni bina warisan kaum di Malaysia. Mengenali dan mempelajarinya adalah satu usaha yang dapat mengekalkan seni bina bangsa kita.

Bentuk-bentuk seni bina ini sangat unik terutama jika dilihat dari segi bumbung, tiang, tangga, ukiran dan sebagainya. Sebagai contoh, rumah-rumah tradisional Melayu ada beberapa bentuk. Antaranya, Rumah tiang 12, Rumah Perabung Lima, Rumah Bujang Barat, Rumah Bumbung Perak dan Rumah Perabung Panjang. Begitulah indahnya dan terdapat pelbagai ciri serta bentuk rumah tradisional Melayu.

Memetik pandangan Dato’ Raja Kamarul Bahrin Shah, sebagai berkata seni bina penting kerana ia menunjukkan nilai kreativiti seseorang dan warisan sesuatu bangsa. Ia mesti dapat disesuaikan dengan diri dan budaya kita dalam menerap kemajuan teknologi, kemajuan perniagaan dan lain-lain tanpa mengetepikan adat dan budaya bangsa Malaysia.

Menurutnya, seni bina yang mempunyai nilai-nilai sejarah perlu dipelihara agar ia tidak dilupakan dan sentiasa diingat oleh setiap golongan masyarakat. Ia juga perlu dijaga dengan baik agar masyarakat dapat melihat evolusi bangsa.

Justeru, kita juga perlu ada satu pendekatan dalam evolusi seni bina agar apa juga yang dihasilkan dapat mencerminkan budaya dan masyarakat kita sendiri dan bukan sekadar dicedok atau diambil dari pengaruh-pengaruh luar atau internet. Media adalah suatu yang dinamik. Kita tidak boleh terima apa saja yang disiarkan, tetapi ia perlu ditapis.

Sebagai contoh, Istana Budaya setaraf dengan Royal Albert Hall di London. Reka bentuknya mementingkan ciri-ciri kebudayaan Melayu. Tapak bangunan ini direka berdasarkan wau bulan. Bumbung Istana Budaya berkonsepkan gubahan sirih junjung. Ruang dalamnya berkonsepkan rumah Melayu.

Sementara itu, lukisan suku kaum di Malaysia juga merupakan satu cabang seni yang tinggi nilainya. Sebagai contoh, orang Cina menggunakan motif hiasan yang pelbagai dalam seni lukisan berdasarkan lagenda, falsafah, sejarah dan tradisi aliran agama Buddha, pengajaran Tao dan Confucious. Simbol lukisan orang-orang Cina berbeza daripada simbol budaya lain kerana sesuatu corak yang dipilih mempunyai makna yang tersendiri.

Justeru, kita mengharapkan generasi muda pada masa kini dapat memahami unsur budaya dan pelbagai kesenian bangsa sebagai teras pembentukan jati diri sebagai rakyat Malaysia yang memahami budaya tradisional  masyarakatnya.

Kelainan dan kesatuan ini menjadikan budaya masyarakat Malaysia sangat unik dan menjadi daya tarikan para pelancong dari luar negara. Mereka melihat semua warisan kesenian pelbagai kaum sebagai satu seni yang unik dan dapat menyatupadukan perpaduan masyarakat berbilang kaum.

Hakikatnya, Malaysia  mengandungi berbagai-bagai masyarakat dan budaya; tetapi apa yang dicita-citakan oleh kita semua pada satu peringkat, ialah integrasi yang melampaui masyarakat dan budaya yang berbagai-bagai-bagai. Integrasi inilah yang dapat dijalinkan  bagi memperkukuhkan perpaduan dan dapat dirasakan oleh rakyat Malaysia sebagai kebudayaan nasional mereka.

Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu.

Sastera membangun akal budi manusia.



Sastera membangun akal budi manusia.
 OLEH DR AMINUDIN MANSOR.          
                                            
Karya sastera khususnya karya kesusasteraan Melayu Tradisional dan kini karya Kesusasteraan  Melayu Moden merupakan suatu bidang yang amat luas dan tidak dapat dikaji dan diselidiki sepuas-puasnya oleh jumlah penyelidik dan pengkaji yang kecil. Melalui pembacaan, penelitian dan pengkajian kita akan mendapat manfaat daripadanya.

Dalam karya tersebut terdapat pelbagai corak dan sifat penulisan yang membawa pelbagai isi dan pemikiran masyarakat zaman lampau dan juga zaman moden yang mencerminkan seluruh hati masyarakat tersebut dari segala aspek kehidupannya. Bahan-bahan yang dikaji ialah hasil ciptaan manusia Melayu Tradisional dan Moden melalui pemikiran dan perkembangan masyarakatnya.

Menurut pengkaji sastera tradisional Profesor Dr Siti Hawa Salleh, karya-karya zaman klasik menurunkan kepada kita unsur-unsur peradaban zaman silam, nilai-nilai tinggi budaya masyarakat itu dan pemikirannya.

Selain itu, menurutnya, unsur-unsur ini inilah yang menjadikan manusia Melayu itu lain daripada manusia-manusia lain. Cara pemikiran, tindakan-tindakan yang diambil, adat istiadat yang dipentingkan serta larangan-larangan tertentu menjadi landasan perkembangan peradaban tersebut.

Oleh sebab itu, karya-karya dari zaman peradaban silam tetap kekal sebagai bahan terpenting memberi kita gambaran tentang kehidupan nenek-moyang kita dahulu di samping menerangkan jalan perkembangan yang diharungi masa kini yang dapat dipelajari melalui bahan sastera iaitu sastera moden Melayu. Bahan-bahan sastera ini diajar di peringkat sekolah menengah bagi membentuk akal budi pelajar.

Memetik sumber Kementerian pelajaran Malaysia (KPM), semua bahan dalam Antologi Teks Komponen Sastera dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu telah melalui proses pemerakuan di peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) demi menjaga kualiti antologi berkenaan. Bahan-bahan dalam antologi ini disediakan bagi memenuhi dan menepati kehendak kurikulum Bahasa Melayu  sekolah menengah yang menekankan kemahiran bahasa, iaitu mendengar dan bertutur, membaca dan menulis.

Di samping itu, elemen interpersonal , maklumat dan estetika juga diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) komponen sastera (Komsas). Peranan guru bahasa Melayu sangat penting memanfaatkan bahan ini sebagai bahan yang paling sesuai dan berkesan dalam mata pelajaran tersebut.

Bahan-bahan yang terdapat dalam antologi Tingkatan 1 hingga 5, merupakan wadah penulisan yang mengandungi fakta, pengetahuan, dan maklumat lain yang diperlukan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dengan tujuan untuk pembangunan diri dan pembentukan minda setiap murid. Oleh itu, bahan yang terdapat dalam antologi ini telah diubahsuai daripada karya asal dan disesuaikan menjadi bahan untuk Edisi Murid.

Pada masa kini, sebanyak 2.3 juta pelajar di peringkat sekolah menengah mempelajari Komsas dan sebilangannya mempelajari Kesusasteraan Melayu daripada 2,248 buah sekolah menengah. Bahan-bahan ini dibaca, dikaji dan dipelajari di dalam kelas sebagai bahan P&P yang sangat berguna dan juga diuji dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Antologi Teks Komponen Sastera dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu disediakan bagi memenuhi keperluan murid dalam pembelajaran kesusasteraan. Antologi Komsas  juga mengandungi genre puisi tradisional, puisi moden, prosa tradisional, cerpen dan drama.

Melalui karya-karya seperti ini, murid dapat mengenal dan menikmati karya sastera negara. Selain itu, menggalakkan lagi minat membaca murid, karya tersebut dapat juga menjadi saluran bagi murid memahami budaya dan cita rasa masyarakat negara ini.

Di harapkan juga murid akan berminat untuk mengembangkan bakat penulisan dengan berkarya bagi melahirkan idea mereka sendiri  di samping meningkatkan kemahiran berbahasa Melayu.

Pembentukan individu yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani merupakan agenda utama yang dihasratkan melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Justeru, melalui pengajaran dan pembelajaran kesusasteraan dapat menyokong teras pembentukan individu , terutama dari segi pemupukan ilmu, kemahiran dan nilai yang berkaitan dengan aspek intelek dan emosi.

Penerapan elemen-elemen ini dalam karya sastera yang terpilih mampu menjadikan murid seorang insan yang berakal budi yang berfikir tentang kebaikan, kehalusan budi pekerti, kesantunan bahasa, kecekalan hati, keindahan seni, dan seterusnya menghargai kehidupan dan nilai kemanusiaan

Justeru, Kementerian Pelajaran Malaysia mengharapkan karya yang disumbangkan oleh penulis, idea dan pemikiran yang disampaikan dapat membentuk akal budi pelajar selain usaha murni ini dapat memantapkan sistem pendidikan negara dan memajukan bidang penulisan kreatif dalam kalangan rakyat Malaysia.

Selain itu, Teks Moden Kesusasteraan Melayu Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) disediakan bagi memenuhi keperluan pelajar dalam mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di peringkat Tingkatan 4 dan 5 KBSM.

Karya-karya yang terdapat dalam buku tersebut juga telah dipilih dengan teliti supaya dapat memenuhi matlamat pendidikan Kesusasteraan Melayu iaitu membolehkan pelajar menjiwai nilai-nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan, kemasyarakatan, kebudayaan dan kewarganegaraan.

Di samping itu, kesusasteraan juga dapat menanam rasa bangga dan cinta akan negaranya dan sanggup berkorban kerananya lantaran itu, melalui pembacaan dan penelitian ke atas karya-karya sastera yang terkandung dalam buku tersebut, pelajar juga dapat diharapkan dapat mengenal dan menghayati, menikmati karya-karya sastera negara di samping membina budaya minat membaca.

Jika ditinjau FPK jelas berhasrat untuk melahirkan individu yang seimbang. Oleh yang demikian, P&P Kesusasteraan Melayu juga diharapkan dapat menyumbang ke arah merealisasikan hasrat tersebut. Sastera Melayu memainkan peranan penting dalam pembangunan insan dan akal budi pelajar.

Dalam karya sastera penerapan elemen-elemen ilmu dan kemahiran dalam teks tersebut diharapkan dapat membangun akal budi pelajar dan juga melahirkan pelajar bukan sahaja berfikiran kritis dan kreatif, bahkan juga dapat membina budaya mengkaji, menyelidik dan mencipta yang kemudiannya akan melahirkan penulis-penulis yang prolifik dan produktif yang dapat menyumbang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air.

Di harapkan juga melalui P&P mata pelajaran ini di peringkat sekolah menengah akan dapat memartabatkan kesusasteraan negara agar ia tidak diketepikan dalam era kemajuan teknologi sekarang dan juga era globalisasi yang penuh cabaran.

Lantaran itu, kesusasteraan harus berada dalam arus perdana dan turut memberikan sumbangan ke arah pembangunan akal budi pelajar dan seterusnya memberikan manfaat kepada pembangunan dan kemajuan negara. Peminggiran terhadap bahan-bahan sastera sama ada sastera tradisional dan moden tidak harus berlaku dalam masyarakat yang membangun dan maju.

Penulis pengkaji sastera berkelulusan PhD Persuratan Melayu, UKM.