TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Monday 14 March 2011

MERDEKAKAN MINDA MEREKA.

MERDEKAKAN MINDA MEREKA.
 Aminudin Mansor:
Sajak untuk MASTERA

   Lafazkan kesyukuran
   mengingatkan perit perjuangan
   pejuang berjuang demi kemerdekaan
   hanya kerana negara tercinta
   darah tumpah dan juga air mata
   cacat cedera dan hilang nyawa
   dakwat berdakwah di mata pena
   menyanggah penjajah menghalau mereka.

   Tak terbilang…
    nama-nama pahlawan pejuang
    kemerdekaan bumi ini daripada penjajahan
    hamparkan kesedaran dan ingatan
    kini menjadi tanggungjawab tiap watan
    menyumbang perjuangan warisan
    mengekalkan kemerdekaan sebenarnya
    gunakan kebijaksanaan sewajarnya.

    Keranamu, Malaysia
    akan kami merdekakan minda mereka
    anak-anak lalai, lupa dibuai leka
    tajamkan senjata ilmumu, kita seru
    bijaksana akal pengetahuanmu
    amanah tugas berat ini
    terpikul di bahu warga berani.

    Keranamu, Malaysia
    dari lima puluh laungan keramat itu
    akan kami laungkan selamanya
    mempertahankan kemerdekaan minda
    semangat di jiwa anak-anak bangsa
    daripada dijajah racun negatif
    datang dari pelbagai arah
    sumber dan bentuk menakluki
    dalam era gelombang globalisasi
    di dunia mencabar ini.

    Suatu ketika dahulu
    kita pernah membakar semangat
    bara api kemarahan rakyat
    daripada dendam kekejaman penjajah.
    Maka, hari ini apalah salahnya kini
    kita bakar semangat di jiwa anak-anak bangsa
    menolak pengaruh norma segala
    pemikiran dan asing budaya
    bisa merosakkan jiwa mereka
    biar mereka kembali berbangga
    kejap memegang erat warisan budaya kita
    dengan hati seluhur mulia
    bermaruah tinggi perkasa di jiwa.

    Kemerdekaan, Ingatlah…
    sebenarnya bukan sesuatu yang kekal
    melainkan kita berusaha mempertahankannya!

    -AMI MASRA
      USJ 4, Subang Jaya, Selangor. 2009
      Antologi Puisi Bunga Kekasih DBP 2009.


BIODATA.

AMINUDIN MANSOR lebih terkenal dengan nama pena Ami Masra. Beliau  berasal dari Kerdau, Temerloh, Pahang. Mendapat pendidikan di sekolah rendah di Kerdau, Sekolah Menengah Abu Bakar Temerloh (1964-1968). Melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan Johor Bahru (1970-71). Mengambil kursus Diploma Kewartawanan secara pos dari Universiti Singapura di bawah kelolaan Zabha. Melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (1987-90) dalam bidang bahasa dan sastera. Kemudian menyambung pengajian ke peringkat Sarjana Persuratan di UKM dan Doktor Falsafah (PhD) Persuratan Melayu UKM, Bangi. Pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha 1 Dewan Persuratan Melayu Pahang Cawangan Temerloh dan juga Setiausaha DPMP peringkat Negeri Pahang (1974-1987) Bekas Guru Cemerlang dan pendidik berpengalaman selama 35 tahun. Penerima Anugerah Tokoh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (2000). Kini penulis bebas sepenuh masa. Menulis di ruangan Minda, Harian Metro dan kolumnis di akhbar Sinar Harian.

Beliau menulis novel remaja, cerpen, esei kritikan, rencana dan puisi dan juga minat melukis. Beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan Public Bank bagi kategori puisi pada tahun (1987, dan 1989). Sajaknya “Setitis Darah di Semantan” memenangi Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-GAPENA (1991); manakala sajaknya “Pesan Pahlawan di Semantan” memenangi Hadiah Puisi Kebangsaan SHAHPADU-GAPENA (1992). Memenangi tempat ketiga Anugerah Puisi Sejarah Nasional (1991); Sayembara Puisi Perpaduan Negara (1995); Hadiah Utama Puisi Hari Guru Peringkat negeri Selangor (1998); Tokoh Budayawan Pahang (1995); Hadiah Pantun Budi Bahasa Majalah Jelita (2007), Anugerah Karyawan Pahang (2004); Hadiah Sagu Hati Sayembara Mengarang Puisi Sempena 50 Tahun Merdeka anjuran DBP; Tempat ketiga Puisi Hadiah Sastera Berunsur Islam XII (2009).  Puisi-puisinya termuat dalam antologi persendirian Pasir Rawa (1987), antologi bersama Gema Membelah Gema 4-8, Di Luar Kerelaan, Menuju Kemekaran, Guru Oh Guru, Suara Anak Merdeka, Sumpah Setia Bahasa, Puisi Baharu Melayu, Lambaian Nusa dan Tsunami terbitan DBP. Potret DBP (2006), Petarakna Kasih (2001), Hijrah Musafir terbitan DPMP (2008) dan Bunga Kekasih DBP (2009).

Nama Aminudin Mansor @ Ami Masra
 14, Jalan USJ 4/ 1D
 47600 Subang Jaya,  

1 comment:

  1. Biodata Penulis:






    Biodata Penulis:

    Dr Aminudin Mansor@Ami Masra PhD. Di lahirkan pada 3.6.1951 di Kerdau, Temerloh, Pahang Darul Makmur. Mendapat pendidikan di Sek. Keb. Paya Taram, Kerdau (1958-1963). Sekolah Menengah Kebangsaan Temerloh (1964-66) dan Sekolah Menengah Abu Bakar, Temerloh (1967-1968). Melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Mohd. Khalid Johor Bahru (1970-71). Semasa di maktab mengambil Diploma Kewartawanan dari Universiti Singapura (1971) melalui pos dan lulus di bawah bimbingan Tokoh Wartawan Zabha. Mengajar di beberapa buah sekolah antaranya di SK Kg Juara, di Pulau Tioman (1972-73) dan beberapa sekolah di Pahang dan Selangor iaitu SMK Subang Utama, Subang Jaya. Sebelum itu melanjutkan pengajian ke Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pada (1987-1990). Pengkhususan dalam bidang Pendidikan, Bahasa Melayu dan Sastera Melayu moden dan tradiri. Semasa di UPM mengambil kursus “Pendidikan Islam”, “Islam dan Masyarakat” dan juga “Tamadun Islam” sebagai subjek tambahan. Menjadi pendidik di beberapa buah sekolah di Selangor.Pernah mengajar pelajar Tingkatan 6 di SMK Kuala Kubu Baharu, Selangor. Sambil itu belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), lulus Sarjana Sastera (2001) dan PhD Persuratan Melayu (2008). Tesisnya “Meneliti Akal Budi dalam Pantun dan Sajak”. Bersara sebagai Guru Cemerlang/Guru Pakar BM dan Sastera Melayu di sekolah Menengah Kebangsaan Subang Utama, Subang Jaya setelah bertugas sebagai pendidik selama 35 tahun di lebih 10 buah sekolah.Pada 2002 mendapat Anugerah Tokoh Pendidik Jabatan Pendidikan Negeri Selangor. Mendapat Anugerah Guru Cemerlang BM dan Sastera pada 2002 dan pada 2007. Kini masih lagi menjadi pendidik/pensyarah sambilan di beberapa buah kolej swasta dan universiti awam tempatan. Pengalamannya sebagai pendidik menjadi pemangkin kepada beliau mengenali hati budi remaja. Puisinya juga banyak berkisar tentang pelajar dan remaja dan masyarakat petani, nelayan, buruh dan golongan marhaen keseluruhannya. Banyak memenangi Hadiah Sastera (sajak, pantun dan esei) di peringkat kebangsaan.

    Beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan Public Bank bagi kategori puisi (1987 dan 1989). Pernah memenangi Hadiah Puisi Kebangsaan Esso/Gapena (1991) dan Hadiah Puisi Kebangsaan Shahpadu/Gapena (1992). Memenangi tempat ketiga Anugerah Puisi Sejarah Nasional (1991), Sayembara Puisi Perpaduan Negara (1995), Hadiah Utama Puisi Hari Guru Peringkat Negeri Selangor (1998). Hadiah Pantun Budi Bahasa Jelita (2007). Hadiah Sagu Hati Sayembara Mengarang Puisi Sempena 50 Tahun Merdeka anjuran DBP (2008) dan Tempat ketiga Puisi Hadiah Sastera Berunsur Islam XII (2009). Memenangi Hadiah Rencana Utama Exxon Mobil Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (2013). Mmemenangi Hadiah Sastera Pahang dan DPMP 2014 melalui antologi Telaga Akliah dan sajaknya Rahsia Tujuh. Memenangi Sayembara Menulis Puisi & Cerpen DPMP/PKPP 2017 Antologi Ladang Harapan. Puisinya termuat dalam antologi perseorangan Pasir Rawa, Telaga Akliah, Ladang Ilmu, GUrindam Jiwa Penawar Duka (2018), Antologi sajak Tasbih Kasih (2018). Puisinya juga termuat juga puisinya dalam puluhan antologi bersama antaranya Ladang Harapan 2018. . Kini sebagai penulis bebas menulis sebagai kolumnis di akhbar Sinar Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro. Buku tulisannya; “Sajak-Sajak A. Latiff Mohidin Kajian Estetika (2011) terbitan DBP. Akal Budi Melayu Dalam Pantun dan Sajak (2012) terbitan Penerbit UKM. Kini telah menulis lebih 3000 rencana dan esei berkaitan pendidikan, bahasa, sastera, budaya, kemasyarakatan, psikologi, falsafah dan juga banyak menumpukan penulisan rencana Islam. Kini menumpukan penulisan buku berkaitan pendidikan Islam, psikologi Islam kepada remaja yang berusia 12 hingga 25 tahun. Kini bertugas sebagai Panel Penasihat Editorial majalah Pelancar terbitan ANGKASA, Petaling Jaya, Selangor.





    ReplyDelete