TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Monday 14 March 2011

TUGAS DAN PERANAN PENYAIR.

TUGAS DAN PERANAN PENYAIR.
 OLEH DR AMINUDIN MANSOR                                          


 Secara umumnya, sajak adalah puisi bebas. Penulisan sajak mestilah berbentuk bebas. Penyair atau penyajak boleh menggunakan bahasa sebebasnya; mungkin mengikut gaya tersendiri atau mengikut gaya orang lain sebagai permulaan. Tetapi di akhirnya menggunakan gaya yang tersendiri. Sajak merupakan bentuk puisi bagi meluahkan perasaan secara halus dan berseni. Nukilan puisi melalui sajak mencerminkan jiwa dan perasaan dalam apa juga keadaan.

Setiap orang yang ingin menjadi penyair/penyajak mestilah menguasai bahasa dengan baik iaitu bahasa sajak. Selain itu,  memahami bentuk sajak yang terdiri daripada tema/persoalan yang ingin disampaikan, bentuk dan ciri sajak, gaya bahasa dan keindahan bunyi, nada, nilai murni dan pengajaran yang ingin disampaikan.

Tema dan persoalan untuk ditulis sangat luas ia meliputi tentang diri, keluarga, masyarakat, agama, ketuhanan, tanah air, bangsa, bahasa, alam semula jadi, tentang kehidupan itu sendiri.

Bentuk dan ciri sajak mestilah bebas, tidak terikat seperti pantun, syair dan gurindam. Penyair bebas menggunakan kata-kata dengan gaya bahasa yang indah dan menarik. Gaya bahasa sajak mestilah ada unsur metafora, simile, asonansi, aliterasi, perulangan bunyi, personifikasi, aliterasi serta rima akhir yang bebas tidak sama. Perkara ini biasanya sudah difahami oleh kebanyakan orang terutama mereka yang belajar Komponen Sastera (Komsas) di Tingkatan 1 hingga 5. Sesebuah sajak yang baik mempunyai keindahan dalam gaya bahasa.

Nada sajak biarlah sesuai dengan isi sajak, sajak yang romantik biarlah isinya melankolik lembut dan memikat, sajak yang berbentuk penentangan dan pemberontakan, nadanya biarlah keras dan lantang.

Dalam setiap sajak yang ditulis mesti ada nilai murni yang baik yang dapat ditangkap oleh pembaca melalui pancaindera. Unsur-unsur nilai murni ini boleh dirujuk dan dijadikan panduan seperti baik hati, kasih sayang, dan sebagainya. Begitulah S-A-J-A-K. yang bermaksud Seni Adalah Jalan Arah Kebaikan. Dalam hal ini penulis mendapat dua kebaikan dalam satu. Pertama sajak ditulis akan mendapat bayaran, kedua mendapat pahala di sisi Allah di akhirat.

Banyak penulis baharu bertanya tentang ilham. Dalam penulisan khususnya sajak ilham petunjuk daripada Tuhan akan terhasil semasa menulis. Petunjuk yang terhasil mestilah mengarah ke arah kebaikan. Ilham tak perlu ditunggu, tetapi perlu dicari melalui perenungan, pemerhatian, penelitian, penilaian tentang sesuatu perkara yang berlaku di dunia. Ilham atau gerak hati yang terlintas seharusnya di catat pada sebuah buku yang khusus, kemudian di baiki dalam komputer, dibaiki lagi sebelum dihantar kepada pengarang atau penerbit.

Sebagai contoh daripada berita akhbar/tv dan internet semuanya boleh dijadikan ilham. Perhatikan tajuk-tajuk akhbar seperti: “ 18 juta saman tertunggak”. “Lori terbalik, pencuri beras berhati hitam,” “Lori terbalik duit syiling tidak dipulangkan”, “Pelatih PLKN rebah ketika imamkan solat Zuhur. Ajal atas sejadah”, “Lagak alim kucing, pemandu berkopiah rupanya penyamun kebas RM43,500 larikan diri” dan banyak lagi berita menarik yang boleh dijadikan sajak dari sudut pandangan penyair.

Sajak yang ditulis masa kini biarlah segar dan mengambil hal-hal yang kecil dan dibesarkan dalam sajak. Ia boleh memberi kesan kepada pembaca sebagai makhluk Tuhan yang sepatutnya mempunyai nilai yang baik dan sifat peri kemanusiaan. Selain itu,
mengambil tema/persoalan membangkit semangat cintakan agama/bangsa/ dan negara kepada generasi muda.

Gunakan metafora dan personifikasi yang segar, baru dan masih belum digunakan oleh penyair lain. Contoh penyair T. Alias Taib kaya dengan unsur-unsur ini seperti penggunaan kata: pasar perasaan/ penjual sentimental/pembeli emosional/ mengalir sungai manusia/ kaya dengan perasaan/ miskin dengan kebijaksanaan (Petikan sajak Pasar Perasaan T.Alias Taib).

Bagi penyajak baru seharusnya banyak membaca/ meneliti/ menilai sajak-sajak penyair yang sudah ternama/ mapan(sudah diterima umum). Lebih berkesan mengkaji dan memahami sajak yang pernah memenangi apa-apa hadiah kerana mutunya sudah dinilai dan diperakukan oleh pengadil atau mereka yang mahir dalam seni sastera. Elak daripada terpengaruh dengan gaya persajakan mereka, bina gaya dan stail tersendiri.

Beberapa nama penyair terkenal tanah air boleh dijadikan rujukan seperti Penyair Usman Awang, A.Samad Said, A.Latiff Mohidin, Kassim Ahmad, Suhaimi Haji Muhammad, Muhammad Haji Salleh,Zaen Kasturi, Rahman Shaari, A. Rahim Abdullah, T. Alias Taib. Wadi Leta S.A. Kemala, Zurinah Hassan, Zahari Hasib, Nazim Mohd Subari, Pena Mutiara, Sharulnizam Abdul Talib, dan beberapa penyair lain yang berbakat  kerana penyair ini mempunyai gaya pengucapan yang berlainan dan berkesan ketikan menyampaikan perasaan melalui sajak mereka. Selain membaca penyair dari negara lain seperti Chairil Anwar, Amir Hamzah, dan WS Rendra yang mempunyai gaya yang memikat.

Perhatikan penggunaan gaya bahasa, tema dan persoalan yang diungkapkan oleh mereka yang mempunyai kelainan. Tetapi jangan meniru dan menyalin puisinya, ia suatu kesalahan. Sebagai penyair baru carilah penggunaan gaya bahasa dan tema yang lebih besar dan baru. Pengungkapan menggunakan metafora dan personifikasi yang baru dan segar yang belum digunakan oleh penyair lain.

Setiap sajak yang ditulis mesti dibaiki berkali-kali dan dibaiki lagi kemudian apabila sudah berpuas hati barulah di e-mel kepada editor/pengarang. Sajak yang ditulis tapi tidak disiarkan tidak akan mendapat perhatian daripada pembaca. Sajak yang tersiar akan mendapat dua dalam satu. Pertama, bayaran honorarium dan kedua pahala jika sajak mengajak manusia ke arah kebaikan.

 Sajak yang baik mestilah mengemukakan kekuatan subjek, kebaharuan persoalan, atau menjana semula subjek yang berpotensi menyumbang kepada nilai kebaikan dan kemanusiaan. Di samping itu, karya yang bersifat jauh melangkau masa depan dari segi teknik pengolahan dan bentuk yang mendukung subjek, persoalan dan pemikiran.

Karya puisi/sajak juga mampu mengaktifkan taakulan pembaca dan menawarkan pengalaman estetik dengan nilai keindahan yang memukau. Olahan karya mampu menarik serta memikat minat pembaca. Sajak juga mestilah menyalurkan falsafah dan kebijaksanaan untuk kehidupan manusia pada zaman moden.

Pembacaan yang meluas dalam pelbagai bidang dapat memperkaya bahasa dan meluaskan skop tema dan persoalan. Bacalah pelbagai bidang ilmu seperti pendidikan, sains dan teknologi, keagamaan, psikologi, sejarah, bidang teknologi maklumat, politik, ekonomi dan bidang-bidang lain juga.

Penggunaan kamus seperti Kamus Dewan Edisi Terbaharu, Kamus Arab, Inggeris dan kamus bahasa klasik, rujuk juga al-Quran dan Hadis yang juga dapat membantu memperkaya bahasa dan keimanan penyair. Lagi luas pembacaan lagi luas penerokaan seseorang terhadap bidang yang ingin ditulisnya. Penikmat puisi inginkan puisi yang segar, harmonis dan sedap dibaca hingga menusuk ke dalam hati dan jiwa.

Dua ciri utama puisi khususnya sajak , iaitu mendidik dan menghibur. Selain kesan mendidik, melalui kesan perikemanusiaan, akal budi dan pengajaran, puisi juga meninggalkan kesan keindahan khalayak pendengar atau pembacanya.

Oleh sebab isi dan kecantikan puisi/sajak itu, sebuah sajak sering mempunyai martabat dan keindahan. Kehidupan yang dihidangkan dalam puisi lebih dimuliakan, lebih manusiawi, agung dan sering diidamkan pembaca dan pendengarnya.

Puisi tidak kosong, selain memenuhi fungsi hiburan, puisi juga meninggalkan kesan intelektual dan pemikiran yang baik kepada pembaca. Idea atau amanat yang ada pada setiap pola membuatkan setiap pembaca atau pendengar berfikir sejenak dan terhibur dengan keindahan bahasa dan kemerduan bunyinya.

Puisi baharu/moden iaitu sajak bentuknya mestilah keluar daripada konvensi tradisional. Susunan kata, susunan baris dan susunan perenggannya bebas mengikut cita rasa penyair/penyajak.

Mesej yang ingin disampaikan penuh tersirat dan teka teki yang menimbulkan kontroversi dalam pemikiran pembaca. Penyair yang berjaya mestilah menyampaikan mesej yang berlainan dari penyair terdahulu. Mesej yang baru dan segar akan dapat memikat para pembaca dan pendengar yang melontar mesej dengan penuh dengan kebijaksanaan.

 Kesimpulannya, sebagai penyair Muslim dan beriman kepada Allah, selalu diingatkan dalam beberapa surah al-Quran berkaitan dengan penyair. Sila rujuk tentang tugas dan peranan penyair Surah Al-Anbiya’ 21:5, Surah Asy-Syu’ara 26:224, Surah As-Saffat 37:36, Surah At-Tur 52:30 agar kita menulis dengan berlandaskan keimanan dan ketakwaan kepada-Nya untuk mendapat balasan pahala di dunia dan akhirat. Hal ini hendaklah dijadikan rujukan penting kepada setiap penyair.

Seperti kata-kata Dr. ‘Aidh Abdullah Al-Qarni (2008), seorang penyair umpama gunung berapi yang meletus yang mengeluarkan lahar dan abu yang sangat panas. Ia umpama banjir yang melibas semua yang melintang di depannya, menumbangkan pokok-pokok dan mencampakkan batu-batu yang ada. Ia memenuhi ruang dengan teriakan pengaduan, kemarahan dan pemberontakan. Ia mengirimkan qasidah-qasidah yang penuh dengan ratapan, jeritan, tangisan dan hikmat. Setiap hari ia menghujani telinga-telinga yang ada dengan berbagai-bagai-bagai protes, kritikan dan kemarahan. Keindahan puisinya memaksa semua orang untuk mahu mendengarkan, membaca, menyaksikan dan menghayatinya.


MERDEKAKAN MINDA MEREKA.

MERDEKAKAN MINDA MEREKA.
 Aminudin Mansor:
Sajak untuk MASTERA

   Lafazkan kesyukuran
   mengingatkan perit perjuangan
   pejuang berjuang demi kemerdekaan
   hanya kerana negara tercinta
   darah tumpah dan juga air mata
   cacat cedera dan hilang nyawa
   dakwat berdakwah di mata pena
   menyanggah penjajah menghalau mereka.

   Tak terbilang…
    nama-nama pahlawan pejuang
    kemerdekaan bumi ini daripada penjajahan
    hamparkan kesedaran dan ingatan
    kini menjadi tanggungjawab tiap watan
    menyumbang perjuangan warisan
    mengekalkan kemerdekaan sebenarnya
    gunakan kebijaksanaan sewajarnya.

    Keranamu, Malaysia
    akan kami merdekakan minda mereka
    anak-anak lalai, lupa dibuai leka
    tajamkan senjata ilmumu, kita seru
    bijaksana akal pengetahuanmu
    amanah tugas berat ini
    terpikul di bahu warga berani.

    Keranamu, Malaysia
    dari lima puluh laungan keramat itu
    akan kami laungkan selamanya
    mempertahankan kemerdekaan minda
    semangat di jiwa anak-anak bangsa
    daripada dijajah racun negatif
    datang dari pelbagai arah
    sumber dan bentuk menakluki
    dalam era gelombang globalisasi
    di dunia mencabar ini.

    Suatu ketika dahulu
    kita pernah membakar semangat
    bara api kemarahan rakyat
    daripada dendam kekejaman penjajah.
    Maka, hari ini apalah salahnya kini
    kita bakar semangat di jiwa anak-anak bangsa
    menolak pengaruh norma segala
    pemikiran dan asing budaya
    bisa merosakkan jiwa mereka
    biar mereka kembali berbangga
    kejap memegang erat warisan budaya kita
    dengan hati seluhur mulia
    bermaruah tinggi perkasa di jiwa.

    Kemerdekaan, Ingatlah…
    sebenarnya bukan sesuatu yang kekal
    melainkan kita berusaha mempertahankannya!

    -AMI MASRA
      USJ 4, Subang Jaya, Selangor. 2009
      Antologi Puisi Bunga Kekasih DBP 2009.


BIODATA.

AMINUDIN MANSOR lebih terkenal dengan nama pena Ami Masra. Beliau  berasal dari Kerdau, Temerloh, Pahang. Mendapat pendidikan di sekolah rendah di Kerdau, Sekolah Menengah Abu Bakar Temerloh (1964-1968). Melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan Johor Bahru (1970-71). Mengambil kursus Diploma Kewartawanan secara pos dari Universiti Singapura di bawah kelolaan Zabha. Melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (1987-90) dalam bidang bahasa dan sastera. Kemudian menyambung pengajian ke peringkat Sarjana Persuratan di UKM dan Doktor Falsafah (PhD) Persuratan Melayu UKM, Bangi. Pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha 1 Dewan Persuratan Melayu Pahang Cawangan Temerloh dan juga Setiausaha DPMP peringkat Negeri Pahang (1974-1987) Bekas Guru Cemerlang dan pendidik berpengalaman selama 35 tahun. Penerima Anugerah Tokoh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (2000). Kini penulis bebas sepenuh masa. Menulis di ruangan Minda, Harian Metro dan kolumnis di akhbar Sinar Harian.

Beliau menulis novel remaja, cerpen, esei kritikan, rencana dan puisi dan juga minat melukis. Beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan Public Bank bagi kategori puisi pada tahun (1987, dan 1989). Sajaknya “Setitis Darah di Semantan” memenangi Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-GAPENA (1991); manakala sajaknya “Pesan Pahlawan di Semantan” memenangi Hadiah Puisi Kebangsaan SHAHPADU-GAPENA (1992). Memenangi tempat ketiga Anugerah Puisi Sejarah Nasional (1991); Sayembara Puisi Perpaduan Negara (1995); Hadiah Utama Puisi Hari Guru Peringkat negeri Selangor (1998); Tokoh Budayawan Pahang (1995); Hadiah Pantun Budi Bahasa Majalah Jelita (2007), Anugerah Karyawan Pahang (2004); Hadiah Sagu Hati Sayembara Mengarang Puisi Sempena 50 Tahun Merdeka anjuran DBP; Tempat ketiga Puisi Hadiah Sastera Berunsur Islam XII (2009).  Puisi-puisinya termuat dalam antologi persendirian Pasir Rawa (1987), antologi bersama Gema Membelah Gema 4-8, Di Luar Kerelaan, Menuju Kemekaran, Guru Oh Guru, Suara Anak Merdeka, Sumpah Setia Bahasa, Puisi Baharu Melayu, Lambaian Nusa dan Tsunami terbitan DBP. Potret DBP (2006), Petarakna Kasih (2001), Hijrah Musafir terbitan DPMP (2008) dan Bunga Kekasih DBP (2009).

Nama Aminudin Mansor @ Ami Masra
 14, Jalan USJ 4/ 1D
 47600 Subang Jaya,