TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Tuesday 28 June 2011

POTONG API



POTONG API

        : Nostalgia bertugas

            dengan LLN ( 1973 – 1983 )

Sajen: Arisel Ba

 

 

Selepas mereka terbangun daripada mimpi

Isterinya tangkas memeluk leher suami

Lalu berkata, “ Ayang, saya sudah sebulan

Tidak datang bulan, tetapi belum pasti,”

“ Kita berkahwin sudah empat bulan,

Nanti kita jumpa doktor, “ riang suaminya

“ Ini rahsia kita sehingga dapat kepastian”,

Tukas suaminya sambil memeluk erat

 

Suatu hari muncul seorang Pekerja TNB

Lalu memberi salam, bila pintu dibuka,

“ Ini rumah Encik Imran Ismail?”

“ Ya, saya isterinya, ada apa? Encik.”

“ Puan, sudah lewat sebulan, saya tidak

Boleh tunggu lagi, nanti bos saya marah!”

Kata Pekerja TNB itu lagi

 

Dengan wajah terkejut, isteri Imran menjawab,

“ Apa?, encik tahu saya lewat sebulan?”

“ Kini zaman IT, semua ada dalam komputer

Kami boleh semak maklumat dengan cepat

Secara ‘online’ , “ sambung Pekerja TNB lagi

 

Isteri Imran terkejut beruk, “ Apaaaa? …

Saya lewat sebulan awak semua boleh tahu?”

Isteri Imran menyinga lalu cuba ditenteramkan

“ Relaks puan, puan baru lewat sebulan,

Ada jiran sebelah sana lewat enam bulan.”

Isteri Imran tambah terperanjat, “ Saya akan

Tunggu suami balik, nanti akan bincang!”.

Pekerja TNB itu pun beredar dari rumah Imran

 

Keesokan harinya, pagi lagi Imran ke Kedai TNB

Dengan marahnya selepas keluar dari keretanya,

Dia bertempik, “ Apa hah kamu semua ini,

Isteri saya lewat sebulan, heboh satu dunia,

Cerita dalam 'Internet '- fesbok

Awak semua tak berbini dan berkeluarga ke?

Takkan takpernah lewat sebulan?

Bisnes apa kamu buat hah?, nak kena saman ke?,”

Marah betul Imran pada pagi itu depan kedai TNB

 

“ Sabar encik Imran, sabar, apa yang susah

Nak selesai, bayar aje,” pujuk Pekerja TNB itu

Imran berang, “ Apa? Nak bayar? Boleh blahhh!”

 

“ Oke, kami terpaksa potong!, Pekerja TNB hilang sabar

Imran lagi marah, “ Apa? Potong? Nanti isteri saya

Dekat rumah nak pakai apa? Hah, bahlul kamu semua,”

 

Tiba-tiba serentak lebih sepuluh Pekerja TNB

Di perkarangan Kedai TNB Menjawab,

“ Isteri encik kena pakai lilin, “  mereka ketawa.

 

 

28 Jun 2011,

Kuantan, Pahang


Monday 27 June 2011

Akal kepada berakal




Akal kepada berakal
 Sajak: Ami Masra

Dengan cekal akal
Memikir penuh tawakal
Sesekali kita merenungi memerhati
Alam luas terbentang
Langit tinggi tanpa tiang
Dan bumi terhampar lebar
Akal tak dapat menjangkau
Di sini melebar iktibar.

 USJ 4, Subang Jaya, Selangor

Wednesday 22 June 2011

RINDU YANG LUKA





RINDU YANG LUKA

Haiku: Ema Soleil

Pantaiku Kuta
Kucarimu di sana
Rindu yang luka

18 Jun 2011
Bali, Indonesia
 

Tuesday 21 June 2011

MASUK SUKU



MASUK SUKU
Sajen: Arisel Ba

Beberapa minggu yang lalu
Aku hadir sekeluarga
Ke majlis menyambut menantu
Adik aku di Gali Lurus, Raub
Anak lelaki sulungnya
Berkahwin dengan gadis pingitan
Dari Tanjung Ipoh, Kuala Pilah
Semua keluarga berkampung
Riuh gempita kenduri sekampung
Tetamu berduyun datang,
Selepas berjamu, tetamu pun pulang

Aku mendekati pengantin lelaki
Dan mengucapkan:
Selamat Pengantin Baru

“ Bertuah sungguh kamu,
Nanti masuk suku,” aku bergurau

“ Apa Pak Long, masuk suku?
Hantaran RM10,000,
Mana boleh masuk suku,
Mesti masuk penuh, “
Tukas pengantin lelaki

“ Maksud Pak Long,
kamu nanti masuk
Suku Tanah Datar,
ikut adat Perpatih, “ jelas aku

“ Oooooooooo, “
Pengantin lelaki malu-malu

21 Jun 2011,
Kuantan, Pahang

Sunday 19 June 2011

AKU DALAM SAJAK 20

AKU DALAM SAJAK 20
          : Sempena Hari Bapa 2011
Sajak: Arisel Ba

: [“Harta benda dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan di sisi ALLAH ada pahala yang besar.” (Al-Quran Surah At-Taghabun, 64 : 15)]


Kisah daripada sejarah kulawarga bahawa moyang aku Ibrahim al-Rawi, seorang pengamal Tariqah Naqsyabandiyah menyuburkan hakikat, syariat, tarekat dan makrifat Allah, membenih ilmu laduni. Datuk aku Jaafar al-Rawi, seorang pengamal Tariqah Naqsyabandiyah dan perawi nasab, Ayah aku Lebai Ahmad al-Rawi, seorang guru al-Quran. 

Aku menjadi seorang ayah kepada tujuh orang anak dan lima orang cucu,  sedang menggapai usia emas lima puluh lapan tahun mulai memberi makna kepada tanggungjawab, pengorbanan dalam seluruh kehidupan kulawarga.

Sedang setiap kali aku bertanya diri dan hati: Apakah keluarga aku mantap?,  guru aku memberitahu: Seorang ayah perlu membimbing anak-anak kamu ke arah kemantapan berkeluarga dan berumah tangga. Kehadiran aku dalam kulawarga pintar dan tangkas menangani pancaroba di luar rumah, suasana kemasyarakatan yang songsang tidak membantu perkembangan minda anak-anak kamu.

Guru aku memberitahu lagi: Seorang ayah seumpama pelindung, di mana isteri dan anak-anak berasa dilindungi daripada dunia luar yang palsu dan kamu, isteri, anak-anak kamu melihat ayah mereka sebagai seorang nara perkasa rumah tangga dan idola mereka, sehingga isteri dan anak-anak kamu berasa selesa.

Kata guru lagi: Seorang ayah boleh diteladani anak-anaknya, bila kamu membesar dan memberi didikan dunia dan akhirat, hakikat dan syariat sehingga anak-anak kamu tampil menjadi berguna kepada agama Islam, bangsa Melayu Rao dan Negara Malaysia dititipkan keberanian dan keyakinan kepada anak-anak kamu. Ketahuilah bahawa anak-anak kamu sentiasa memerhatikan tingkah laku ibu dan bapa mereka, dan jadikan kamu sebagai inspirasi dalam mereka menjana kehidupan ini.

Lagi kata guru aku:  Seorang ayah penyedia pakaian, tempat tinggal dan makan minum halal di samping harus melakukan apa sahaja untuk menjaga kebajikan kulawarga tidak kira apa pun pekerjaan yang dilakukan asalkan pekerjaan itu halal dan mulia. 

Ini pesanan untuk kamu, kata guru aku:  sebagai seorang ayah, kamu membimbing anak-anak kamu, berdisiplin kepada keluarganya, mereka perlu menyingkirkan tabiat-tabiat buruk dan tidak bersikap tamak, tidak menipu, tidak berbohong,  tidak mencuri, tidak bersikap kurang ajar serta tidak bertingkah laku buruk dan bersikap tidak baik. Kamu boleh merotan anak-anak kamu jika kesalahan yang dilakukan mereka berulang kali atau mereka tidak mengendahkan kata-kata kamu. Ingatlah kata pepatah, bagaimana acuan begitulah kuihnya.

Akhirnya aku menjadikan hadis Rasulullah SAW diberitakan telah bersabda : “Tahukah engkau siapakah orang yang mandul?.” Berkata para sahabat : “Orang yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak.” Lalu Rasulullah SAW berkata : “Orang yang mandul itu ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya itu tidak memberi kemanfaatan kepadanya sesudah ia meninggal dunia.”

19 Jun 2011,
Kuantan, Pahang

Saturday 18 June 2011

Menghilir di Sungai Pahang.



Menghilir di Sungai Pahang.
 Sajak: -AMI MASRA

Sesekali menghilir menuju ke kuala
Matahati terfikir arah hidup segala.

Imbau perahu kajang dan rumah rakit
Di tebing sungai telah luluh dan sakit.

Pasir dikorek membangunkan kota
Siapa yang kaya tak dapat diterka.

Sejarah musnah tradisi kian dilupa
Manusia punah dihirisi  cinta haloba.

Pesan pahlawan sudah dilupakan
Lagu hanya kenangan dinyanyikan.

Dari Hulu Tembeling ke Kuala Pahang
Ufuk berduka matahari kian membahang.

Birai dada sungai runtuh dan hancur
Hati masyghul perasaan pun lebur.

Denai kenangan dipenuhi tajam duri
Rimba sengsara rimbun di hati.

Kuala Semantan, Pahang.

Friday 17 June 2011

BULAN GERHANA



BULAN GERHANA
Haiku: Arisel Ba

Bulan gerhana
Aku menulis sajak
Menitis embun

16 Jun 2011,
Kuantan, Pahang

Lia



Lia
Sajak: soleil 


Lia
teganya kamu
manamatkan nyawa sikecil itu
sebelum sempat ia bertamu
di dalam duniamu

lalu bagaimanakah nanti
tatkala kamu butuhkan bantuan
tangan kecilnya tak tergapaikan
kerna penyambungnya telah kau putuskan
lewat kemelutmu
dalam minda yang buntu


kuala semantan 0906
Copyright © ES2011
All Rights Reserved...

Sayang Sungai Sarawak.



Sayang Sungai Sarawak.
Sajak: AMI MASRA


Sayang Sarawak sungainya sempit,
Di dasar pasir, kiri kanan terhimpit.

Mengalir air perlahan-lahan ke kuala,
Akal terfikir ke mana sampan menghala.

Matahari pagi menyuluh warganya,
Nelayan kecil mendayung sampan pusaka.

Dapat ikan udang galah sekilo dua,
Rezeki sehari tampung sekeluarga.

Di perut sungai likat pekat berminyak,
Ikan dan udang tak lagi membiak.

Di sumur batini di dasar maknawi,
Air sungainya keruh tak jernih lagi.

Kapal dan sampan berlabuh jauh,
Perantau singgah rindunya tertangguh.

Senja pelangi warnanya tertebar
Tak kelihatan lagi ke dasar memancar.

 Riverview Homestay
 Kg. Bandarsah, Ajibah Abol, Kucing.
 12/6/2011