TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Thursday 10 March 2011

MENYUMBANG KEPADA KEROSAKAN BAHASA


MENYUMBANG KEPADA KEROSAKAN BAHASA

Oleh: Zubaidi Abas, DBP Sabah

http://www.zubaidiabas.blogspot.com/

 

KADANG-KADANG, terasa lucu juga apabila melihat keghairahan sebilangan anggota masyarakat untuk menggunakan bahasa Inggeris. Meskipun cara sebutan yang betul dan penggunaan kata yang sesuai tidak dikuasai, mereka tetap ghairah menyelitkan sepatah dua kata atau frasa bahasa Inggeris dalam pertuturan mereka. Kata seperti ‘actually’, ‘because’, ‘of course’, ‘and then’, ‘so that’, dan ‘whatever’ secara ‘sepotong sepotong’ menjadi kata yang wajib hadir dalam pertuturan. Mungkin, penggunaan kata itu dalam ayat seperti “actually I tak nak pergi…”, “of courselah dia akan datang…”, “and then kita makan…”,dan “so that dia akan ingat…” terluncur secara spontan akibat kebiasaan menuturkannya. Namun, tidak sedikit pula yang sengaja menyelitkan sepatah dua kata bahasa Inggeris dalam pertuturan mereka kononnya untuk kelihatan lebih terpelajar, lebih maju, dan lebih moden. Walau apapun alasannya, jelas bahawa penggunaan kata bahasa Inggeris dalam pertuturan itu bukan atas keperluan ketepatan pengungkapan atau untuk memperjelas maksud, sebaliknya sebagai akibat kebiasaan ‘mencampurbaurkan’ bahasa dan sebagai ukuran ‘keterpelajaran’ atau ‘status sosial lebih tinggi’. Tidak akan terjejas kejelasan maksud kata ‘actually’ apabila digantikan dengan kata ‘sebenarnya’. Begitu juga, tidak akan kelihatan ‘kampungan’ seseorang yang menggunakan kata ‘kerana’ bukan ‘because’, ‘dan kemudian’ bukan “and then’, ‘supaya’ bukan ‘so that’, dan ‘tentu sahaja’ bukan ‘of course’.  
        Kecenderungan menyelitkan kata atau frasa bahasa Inggeris ini tampaknya sudah semakin mempengaruhi wacana lisan rasmi seperti ceramah, syarahan, taklimat, dan mesyuarat. Dalam majlis taklimat yang saya hadiri baru-baru ini, penggunaan bahasa yang bercampur baur ini tampaknya telah begitu sebati dengan lidah penyampainya. “Untuk bare dia punya kesilapan…”, “Around thirty percent yang telah kita proses”, “Kita akan adakan pada two thousand ten”, “Kita akan highlight…”, “Kita tidak strong enough untuk…”, “Tidak common…”, “Kita ada halal certificate yang global.”, “Kita ada pegawai yang diattach…”, “Ada sijil yang dah expired.”, “Kita minta dia attach together…”, “Very few yang ada…”, dan “Saya akan go through…” adalah antara ungkapan yang meluncur lancar dari mulut penyampai taklimat tersebut. Bagi sesetengah orang, penggunaan bahasa yang begitu bercampur baur itu mungkin dianggap sebagai sesuatu yang biasa sehingga ayat seperti “Actually dia merupakan karakter yang kami create sendiri,” bukan lagi menjadi suatu bentuk yang janggal diucapkan.
        Penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris secara bercampur baur yang disebut orang sebagai bahasa rojak tampaknya hampir-hampir mustahil ditolak kehadirannya dalam kegiatan berbahasa masyarakat kita pada masa ini. Semuanya bercampur baur dengan baik dan menciptakan bentuk bahasa yang menjadi ciri khas bahasa sebilangan besar anggota masyarakat di negara ini. Bahasa sedemikian telah begitu berkembang sehingga menjadi ‘bahasa utama’ dalam kalangan anggota masyarakat, malah telah menjadi bahasa ibunda bagi anak-anak sebilangan anggota masyarakat kita.
        Kita mungkin dapat menyenaraikan deretan faktor yang mempengaruhi atau mendorong berkembangnya kecenderungan sedemikian. Namun, yang pasti, kecenderungan menggunakan bahasa yang bercampur baur seperti itu dapat dikaitkan dengan tiadanya atau berkurangnya kecintaan anggota masyarakat terhadap bahasa sendiri sehingga mereka tidak berasa bertanggungjawab untuk menjaga kemurniannya daripada sebarang pencemaran dan menggunakannya dengan baik dan betul. Jika mereka benar-benar mencintai bahasa sendiri dan berbangga menggunakannya, kata bahasa Inggeris seperti ‘bare’, ‘around thirty percent’, ‘two thousand ten’, ‘highlight’, ‘strong enough’, ‘common’, ‘certificate’, ‘attach’, ‘expired’, ‘attach together’, ‘very few’, dan ‘go through’ itu sudah pasti digantikan dengan kata dalam bahasa Melayu. Mereka tidak akan menggunakan kata dalam bahasa Inggeris secara bercampur baur seperti itu kerana memang sudah ada kata untuk maksud yang sama dalam bahasa Melayu.
        Memang benar bahawa bahasa memiliki pelbagai ragam. Namun, penutur seharusnya menggunakan ragam bahasa tertentu sesuai dengan suasana dan tempat berlangsungnya komunikasi. Dalam suasana santai dan akrab, saya kira bukan suatu kesalahan jika kita menggunakan bahasa basahan, bahasa pasar, atau bahasa sehari-hari. Semasa berbelanja di pasar atau berbual-bual dengan teman, bahasa dalam bentuk ini memang menjadi bahasa pertuturan atau perbualan kita. Namun, suasananya sudah tentulah berbeza apabila kita berceramah atau bermesyuarat yang menghendaki kita menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul. Ketika berbicara dalam suasana rasmi, kita harus menggunakan bahasa Melayu yang baku sesuai dengan fungsinya sebagai bahasa rasmi negara. Ragam bahasa baku harus digunakan dalam semua konteks rasmi, seperti dalam menyampaikan ucapan, ceramah, pidato, khutbah, kuliah, atau dalam mesyuarat. Namun, kebiasaan menggunakan bahasa rojak telah membuat kita secara tidak sedar menggunakannya dalam situasi rasmi yang menuntut kita menggunakan bahasa baku. Kebiasaan inilah yang harus dihindari. Anjuran agar kita menggunakan “bahasa kebangsaan dengan betul" sebenarnya mengacu kepada ragam bahasa yang sekali gus memenuhi syarat betul dalam erti kata sesuai dengan situasinya dan betul dari segi kaedah dan aturan bahasanya.
        Kita sememangnya risau melihat gejala bahasa bercampur baur yang begitu berkembang dalam komunikasi masyarakat ini. Mencampurbaurkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris tidak akan membawa masyarakat kita menjadi masyarakat dwibahasa yang hebat, sebaliknya, hanya membuat kemampuan masyarakat baik dalam bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris semakin menurun. Bahasa yang bercampur baur ini juga jika dibiarkan berkembang akan menyumbang kepada kerosakan bahasa Melayu. Bahasa Melayu lambat-laun akan kehilangan bentuknya yang rasmi apabila dalam mesyuarat, ucapan, taklimat, dan sebagainya ragam bahasa yang bercampur-campur itu digunakan. Kita tentu tidak mahu hal ini terjadi. Oleh itu, kita tidak ada pilihan lain selain melakukan pembinaan bahasa sejak awal kepada generasi muda agar mereka tidak berterusan mewarisi kecenderungan menggunakan bahasa yang bercampur baur. Kita mahu melahirkan generasi muda yang mencintai,menghormati,dan menggunakan bahasa dengan baik dan betul. Di samping itu, amat perlu dilakukan usaha berterusan meningkatkan kesedaran seluruh anggota masyarakat tentang peri pentingnya bahasa Melayu yang baik dan betul digunakan dalam kegiatan berbahasa mereka. Kesedaran berbahasa ini merupakan sesuatu yang amat penting dimiliki oleh setiap anggota masyarakat. Sebilangan anggota masyarakat belum benar-benar memahami fungsi dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam kehidupan berbangsa dan bernegara sehingga ungkapan ‘bahasa mencirikan bangsa’, ‘bahasa menunjukkan bangsa’, atau ‘bahasa jiwa bangsa’ seakan-akan tidak membawa apa-apa makna kepada mereka.

No comments:

Post a Comment