TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Tuesday 20 September 2011

TATKALA MENYEDUT PIPA: ASAPNYA MENJEREBU BUMI MALAYA




Lagu Patriotik - Azhar Shariff - Malaysia Berjaya




TATKALA MENYEDUT PIPA:
ASAPNYA MENJEREBU BUMI MALAYA
Sajak: Arisel Ba

Tatkala aku menyedut putih asap dari sebatang pipa tembakau membaca Pahang, Malaya, Serawak, Sabah dan aku mengeja SATU MALAYSIA, menangkap desah nafas dan resah hidup 26 juta orang rakyat digulatkan igau dan mimpi masih belum melepasi sembilan cabaran gagasan Wawasan 2020, menggapai 70 juta orang umat Negara dibungkus ekonomi bebas politik terpimpin, sosial…. Sabar dulu kini era transformasi, transformasi ekonomi, transformasi politik, transformasi sosial, masih ada yang belum beres, kerana perjuangan seseorang atau banyak orang masih belum sempurna.

Dan di langit, Measat 1 dan Measat 2 ketika mengumpul data Koridor Raya Multimedia, satu, dua, tiga… dan lebih ratusan pemain politik sedang mengangkang dan berak atas kepala rakyat jelata, dengan perkhabaran baik amat sedikit sedang virus fitnah menyesakkan nafas. Negaraku Malaysia masih menjadi lubuk emas pendatang asing, maaf, aku mahu bertanya siapakah dalang-dalang yang membawa masuk pendatang asing lebih dua juta dari Indonesia dan lebih setengah juta dari Bangladesh, transformasi sosial… sabar dulu, ada yang belum beres atas perjuangan seseorang atau banyak orang masih belum sempurna.

Menyedut putih asap dari sebatang pipa tembakau dan masih aku dengar jeritan pohon-pohon di rimba belantara, tumbang manakala bukit demi bukit digondol, udara berjerebu, sekali sekala tanah runtuh banjir kilat aku menatap ribuan gadis bohsia bunting selepas tidur dengan teman lelaki, atau sugar daddy atau diperkosa secara paksa, kesannya buang anak di mana-mana juga, tepi jalan, stesen bas, dalam tandas awam, tepi surau, pintu pagar rumah banglo, sedang masih ada usaha mewujudkan bank bayi, bank air mani, tidak cukup  dengan bank darah, aku diberitahu ada lebih 20,000 orang pembawa virus HIV, 60 peratus daripadanya remaja belia, dan masih semarak jenayah juvana, sabar…. Sabar dulu, ada seseorang atau banyak orang masih belum beres dan sempurna perjuangan mereka.

Bunga-bunga bangsa di bumi Malaya dalam alaf transformasi sosial teknologi maklumat gemar melepak, seluar dan bayu koyak rabak, kepala rambut mencacak, pikul gitar ke hulu ke hilir, tenggelam dalam irama disko, rock kapak, dangdut, menelan beratus pil-pil khayal, ligat goyang pinggul, pasar tubuh bagai belut, geleng-geleng kepala, berkunang-kunang mata mereka kuyu dan tubuh lesu di bawah papan iklan berlampu neon, atau di bawah jambatan atau di lobi pasar raya atau di terminal bas berjuta-juta harapan murni ibu bapa musnah, sembalau, suara yang kacau lalu berkumandang suara terkejut gejala sosial, gejala ekonomi, gejala politik, semua penyakit di bumi Malaya bermula dari rumah kita sendiri, malu….ah, sosial…. Sabar dulu, ada yang belum beres perjuangan seseorang atau banyak orang masih belum selesai.

Inilah sajakku: sajak orang-orang terpinggir dalam menyatakan keberanian bersuara daripada persoalan dan masalah bumi Malaya yang nyata apalah makna sekadar melolong melengking keras digelapkan malam memukul canang sumbing, konon mencari diri kerana di mana-mana masih wujud sikap pilih bulu, bulu apa, ah apakah maknanya aku menjerit, memekik di depan forum langit jika fikiran-fikiranku sekadar menjadi lelucon mereka yang sengaja membutakan akal terhadap gejala sosial ini…. Sabar dulu, ada yang belum beres perjuangan seseorang atau banyak orang masih belum sempurna. Noktah.

20 September 2011,
Raub, Pahang