TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Friday 22 July 2011

MENJADI CENDEKIA



MENJADI CENDEKIA
        : Sempena PPN5 2011,
Sajak: Arisel Ba     

HAMKA pernah bicara kali berkali
Bahawa untuk menjadi cendekia
Tidak perlu belajar di sekolah
Kerana, katanya:
“ Hanya orang-orang bodoh saja
siap siaga berduyun-duyun
menyendatkan ruang-ruang sekolah,
sebab mereka terpaksa belajar
menjadi cendekia kertas, meratah makna
hakikat, tarekat, makrifat ilmu Allah
dalam berkehidupan di buana Nusantara ini!”

dan aku bukan tergolong daripada kalangan
orang-orang bodoh itu, kerana aku telah
belajar dengan kebesaran Alam Melayu
menjadi seorang cendekia diresapi
leluhur dari Bukit Siguntang Mahameru
diasuh dengan kegagahan Sri Wijaya

pun begitu tatkala aku bernafas
di alam Palembang yang bersejarah
terasa aku baru menjadi MELAYU
sedang bertatih goyah digagahi juga
mendekap nafas Nusantara
menuliskan fikiran-fikiran pendeta

17 Julai 2011,
Hotel Swarna Dhipa,
Palembang

DI JAKABARING

DI JAKABARING
Haiku: Arisel Ba

Angin dan tasik
Mengunyah jagung bakar
Di Jakabaring

20 Julai 2011,
Jakabaring, Palembang,
Sumatera Selatan, Indonesia

FORUM SASTERA PAHANG


FORUM SASTERA PAHANG
DBP dengan kerjasama KIPSAS akan menganjurkan forum sastera pahang pada 28 julai 2011 pada pukul 2.30 ptg- 5.30 ptg di dewan barakah KIPSAS..ahli panel yang terlibat adalah Dato Dr Mansor Abdullah,Dato Yaakub Isa dan Shahrulnizam Talib

Saya mohon agar en subari dapat menwar-warkan pada semua ahli dpmp..
Terima kasih atas kerjasama

Azrianie KIPSAS

MENCUIL PALEMBANG



MENCUIL PALEMBANG
          : Sempena PPN5 2011,
Sajak: Arisel Ba

Kuping telinga ini menangkap deras
Desah risau gemuruh ombak Sungai Musi
Bau nafas hanyir belida dan seluang
Melalui lintas di bawah Jambatan Ampera
Merenung duka alam Palembang
Mimpikan leluhur Sang Sapurba,
Demang Lebar Daun, Wan Empok, Wan Malini
Semakin meresap sirna ke tubuh ini

Pun begitu aku mampu mencuil
Tubuh gagah Sri Wijaya di tanah Palembang
Dengan mata sejarah akan pusaka Melayu
Masih sepi diam tanpa peneliti simpati

Apa pun desah risau gemuruh Sungai Musi
Kembali gugah menyerap ke dalam mimpi
Ilusi kian rabun bersetubuh rembang pelangi

17 Julai 2001,
Hotel Swarna Dhipa,
Palembang