TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Tuesday 26 July 2011

Sastera siber pemusnah industri kreatif?



Sastera siber pemusnah industri kreatif?
Oleh Adli Shahar
adli@bharian.com, 2011/07/27

Dakwaan berkenaan dianggap tidak semestinya benar

OLEH kerana ruang penulisan karya sastera terhad dalam media dan penerbitan arus perdana, semakin ramai pengkarya sastera terutama yang baru berjinak-jinak dalam bidang ini mengambil kesempatan menerbitkan karya mereka di alam siber.

Laman seperti www.eSastera.com dan www.penulisan2u.com adalah antara laman sesawang yang kerap digunakan oleh pengkarya siber pada masa ini untuk menerbitkan karya mereka bagi tatapan peminat.

Kedua-dua laman sesawang terbabit menyediakan gelenggang pengkarya siber untuk menerbitkan karya sastera seperti puisi, sajak, pantun, syair dan cerpen dengan mudah, sebaik mendaftarkan nama mereka.

Selain ruangan penerbitan sastera yang terhad, pengkarya siber juga menjadikan laman sesawang bagi menerbitkan karya kerana ia menyediakan perkhidmatan percuma, mudah dan pantas bagi sesebuah karya itu dibaca pembaca.

Tidak dapat dinafikan juga, sesebuah karya sastera yang diterbitkan di alam siber akan dapat dicapai lebih ramai pembaca kerana pada masa kini, kemudahan internet boleh didapati secara meluas dan digunakan oleh sesiapa saja.

Namun, tidak seperti penerbitan karya sastera terbitan media arus perdana, hasil kerja pengkarya siber kebanyakannya tidak melalui proses suntingan serta kawalan kualiti kerana cara penerbitan menerusi internet menyukarkan perkara itu untuk dilaksanakan. 

Hal ini menimbulkan persoalan sama ada penerbitan sastera elektronik oleh pengkarya siber sebenarnya pemusnah atau pembina industri sastera di negara ini kerana menerusi internet, ia boleh diterbitkan sesuka hati dalam jumlah yang banyak tanpa mengira mutu.

Penulis yang pernah terbabit dalam penulisan karya sastera dalam media arus perdana dan internet, Shamsudin Othman, mengakui sastera elektronik boleh menjadi pemusnah kepada industri sastera jika penulis yang terbabit, sebagai contoh, menolak unsur moral dalam karya mereka.

“Perkara ini sebenarnya bergantung kepada penulis itu sendiri kerana sesetengah laman sesawang memberi kebebasan sepenuhnya kepada penulis,” katanya ketika diminta Sastera mengulas perkara terbabit.

Shamsudin bagaimanapun berkata, laman sesawang karya sastera yang sudah terkenal kebiasaannya mempunyai editor dan moderator yang memantau karya yang diterima bagi menjaga kualiti karya yang diterbitkan dalam laman sesawang mereka.

“Jika dilihat daripada satu sudut, ruang internet hakikatnya memainkan peranan penting dalam perkembangan sastera tanah air kerana ia boleh dibaca oleh peminat sastera di seluruh dunia. Ada pengkarya tersohor meletakkan karya mereka di internet sebelum diterbitkan dalam media arus perdana seperti novelis, Azizi Abdullah dan Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA) 1980, Datuk (Dr) Baharuddin Zainal,” ujarnya.

Tidak ketinggalan, ada juga laman sesawang sastera yang mengambil langkah menerbitkan buku daripada karya sastera yang pernah diterbitkan dalam simpanan mereka atas permintaan penulis terbabit.

Laman sesawang www.eSastera.com sebagai contoh, sentiasa bersedia menerbitkan karya sastera yang pernah diletakkan di laman mereka, dengan kos penerbitan ditanggung oleh eSastera atau penulis sendiri.

Walaupun eSastera tidak akan terbabit dalam mengawal mutu karya yang diterbitkan, Pengerusi eSastera, Dr Irwan Bakar mengakui tidak timbul isu yang mengatakan langkah terbabit akan merendahkan kualiti sastera negara.

Selain setiap karya yang diletakkan dalam laman sesawang perlu melalui sistem penilaian daripada pembaca, penulis juga tidak akan berani menerbitkan karya tidak bermutu kerana setiap karya sudah mendapat maklum balas daripada pembaca selepas diterbitkan di laman sesawang.

Dr Irwan menjelaskan, salah satu kelebihan sastera elektronik ialah setiap karya akan mendapat maklum balas pantas daripada pembaca, termasuk mereka yang lebih berpengalaman dalam menghasilkan karya sastera.

“Tidak timbul isu mutu kerana penulis akan menjaga kualiti karya yang ingin diterbitkan dalam bentuk buku berdasarkan maklum balas pembaca di internet,” ujarnya.

Antara karya eSastera yang diterbitkan dalam bentuk buku termasuk Doa Penyair oleh Mohd Dahri Zakaria, Jalan Baru (Nimoiz TY), Tikaman Madah (Anbakri), Ratib Timur (As Syramy, Kale Mas, Merdu Andika, MN Iskandar dan Ariff Abadi) serta Berkarya di Alam Siber (Dr Irwan dan Hasimah Harun).

“Saya melihat sastera perlu bergerak di internet selain dari di medium konvensional agar terus kekal,” katanya.

Dr Irwan menambah, jika dilihat daripada situasi perkembangan sastera pada masa kini, penggunaan internet untuk berkarya adalah perlu kerana medium konvensional agak statik, memaksa generasi muda lebih banyak menggunakan internet dan kos percetakan medium konvensional yang tinggi. 


MUSI MENELAN BULAN

MUSI MENELAN BULAN
Haiku: Arisel Ba


Ampera malam
Musi menelan bulan
Si Gentar Alam

Cinta berbiduk
Dara menggamit rindu
Bara asmara

18 Julai 2011,
Palembang,
Sumatera Selatan

KUBUR YANG TIDAK MENGENAL USIA

image.png


KUBUR YANG TIDAK MENGENAL USIA
Sajak: soleil


aku bagai dulu juga
menatang hari hari yang datang
dengan penuh syukur
masih tersisa kehidupan
di maya ini

kelmarin
tatkala menatap wajah itu yang kaku
tiada lagi denyut kehidupan
dalam usia 26 tahun
pergi menemui yang empunya 
berwajah tenang
dengan jahitan penuh dikepala
jalanrayakah yang salah
atau pemandukah yang empunya masaalah
tak perlu lagi kita menengadah
dengan seribu satu pertanya

suratannya begitu
telah tertulis segalanya
maka sebagai yang ditinggal
iringilah dia dengan redha dan doa
agar persemadian itu nantinya
dalam damai yang harum

benarlah segala kata
kubur itu tak mengenal usia

anjung kasrah 300511
Copyright © ES2011
All Rights Reserved

Mengempang Ombak.



Mengempang Ombak.
Sajak: Ami Masra

Pantai politik jerit bergolak
Ombak datang ombak pergi
Mendamba kuasa tidak menolak.

Sukarnya mengempang ombak
Pabila emosi menguasai diri
Di pantai hati gelombang beriak.

Ombak manusia pencinta kuasa
Dipengaruhi angin dan taufan
Pada keinginan dan kekuasaan.

Apa yang dicari oleh ombak
Akhirnya bersatu di pantai riak
Walau sekuat mana pun bersorak.

Ombak emosi telah merosak
Pantai, jalan raya dan padang
Kedamaian kesentosaan rosak berserak.

Ombak tetap ombak bergolak
Menolak pembangunan dan kemajuan
Yang sempurna adalah riaknya.

Saat ombak bersatu dengan angin
Bersembunyi di rumah ingin
Menyorok agenda di benteng pasir.

Mengempang riak-riak ombak
Tembok kesedaran benteng terbaik
Menjadikan ombak gelombang cantik.

USJ Subang Jaya.