TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Friday 17 August 2012

IDUL FITRI



IDUL FITRI

Idul Fitri wajar dimaknai  'kepulangan seseorang kepada fitrah asalnya yang suci' sebagaimana ia baru saja dilahirkan dari rahim ibu. Secara metafora, kelahiran kembali ini bererti seorang Muslim selama sebulan melewati Ramadan berpuasa,  qiyam, dan segala ragam ibadahnya harus mampu kembali berislam, tanpa benci, iri, dengki, celupar, riak, berprasangka buruk serta bersih dari segala dosa dan kemaksiatan.

Idul Fitri bererti kembali pada naluri kemanusian murni, kembali pada keberagamaan yang lurus, dan kembali dari seluruh praktik busuk yang bertentangan dengan jiwa manusia suci. Kembali dari segala kepentingan duniawi yang tidak islami. Inilah makna Idul Fitri yang asli.

Hari Raya Idul Fitri sebagai epos penyempurna pascapuasa Ramadan menjadi sangat bererti ketika kemerdekaan kerdil diri kembali direngkuh. Manusia sebagai insan yang tidak pernah lepas dari salah dan lupa akan menemukan fitrahnya kembali apabila hari kemenangan ini dapat kita maknai dengan sungguh-sungguh. Bukan sekadar ritual yang ‘Habis Manis Sepah Dibuang’ atau pun ‘Dapat Gading, Tanduk Tidak Berguna Lagi’. Atau bergembira ria di hari Lebaran, selepas solat sunat Hari raya Idul Fitri berlalu segala sifat, mentaliti, dan perbuatan buruk mencuat kembali dan menorehkan tinta hitam di kertas putih dan suci. 

"...dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur." (QS al-Baqarah:185)

Fitrah (kesucian) dapat menjadi dasar hidup kita berpijak. Maka kemudian lantunan takbir mengagungkan keesaan Allah SWT, tahmid atau bersyukur atas segala kurnia yang diberikan Allah SWT, dan tasbih  iaitu menganggungkan kemahasucian Allah SWT), merupakan tombak spiritual kita dalam rangka memerangi segala macam problem kehidupan; baik berupa ketertindasan struktural, kebodohan sosial, kemunafikan, kedengkian, kebohongan, keculasan, dan segala yang merugikan bagi diri sendiri ataupun bagi lingkungan sosial kita. Selamat Idul Fitri, Memberi dan Menerima Kemaafan, Maaf Zahir dan Batin dari saya, Si Arisel Ba @ Subari @ Ismail Ahmad Jaafar Ibrahim ar-Rawi, Penjaga kaki Bukit Fraser, Tranum, Raub, Pahang.

1 Syawal 1433.

Wednesday 25 April 2012

Mesyuarat Agung DPMP Negeri 2012

Mesyuarat Agung DPMP Negeri 2012
NOTIS MESYUARAT AGUNG DPMP NEGERI
DARIPADA SETIAUSAHA SATU DPMP

Tarikh: 13 Mei 2012
Masa: Jam 10.00 pagi
Tempat: Bilik Mesyuarat Taman Budaya Negeri Pahang, Jalan Teluk Sisek, Kuantan.

Semua AJK DPMP Negeri dan semua 5 orang wakil bagi setiap DPMP Kawasan di jemput hadir

Drp: Pegawai Seranta DPMP

Monday 16 April 2012

KLINIK PENULIS SAJAK DAN DEKLAMATUR



KLINIK PENULIS SAJAK DAN DEKLAMATUR

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) bersama Koperasi Warga Sejahtera Raub Berhad (KWSRB) ,Perpustakaan Awam Cawangan Raub dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah merancang untuk menganjurkan Klinik Penulis Sajak dan Deklamatur yang akan bermula pada 10 Mei 2012. Peserta berusia 18 tahun ke atas dipecahkan kepada dua grup iaitu grup tulis sajak 20 orang manakala grup deklamator 20 orang. Aktiviti ini diadakan berselang setiap hari Jumaat dari jam 4 ptg hingga 1.15 ptg di Perpustakaan Awam Raub, Raub, Pahang. Pemudah cara: Arisel Ba dan Hasanuddin Md. Isa. Bapak Sasterawan Negara Dato Kemala bagi sesi Tulis Sajak dan Bapak Puzi Hadi bagi Deklamasi Sajak.  Majlis Persembahan dan Penyampaian Sijil akan diadakan pada 27 Julai 2012 di Dewan Jubilee Raub, Raub, Pahang

Bayaran kepada peserta Penulis Sajak: RM100
Bayaran kepada peserta Deklamatur Sajak: RM100
Peserta yang menjadi ahli Perpustakaan Awam Raub atau Ahli Koperasi Warga Raub Sejahtera akan diberi diskaun 50%.
Peserta akan dibekalkan dengan nota kuliah ikut modul yang disediakan di samping sijil, latihan praktikal dan peluang menerbitkan buku sajak dengan
Semua Peserta dimestikan membawa komputer buku setiapkali hadir kuliah.
Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) atau Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Permohonan boleh dikemukakan kepada saya di inbox Fesbok atau e-mel: subari@hotmail.my sebelum 30 April 2012. Pemilihan peserta bergantung kepada siapa dulu membuat permohonan.

Daripada: Subari Ahmad @ Arisel Ba
Pegawai Seranta DPMP

Thursday 8 March 2012

Pintu emosi Yassin Salleh



Pintu emosi Yassin Salleh
Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my
2012/03/09
imfoni Sepi: Himpunan Puisi Siber

MENYELAK Simfoni Sepi: Himpunan Puisi Siber karya Yassin Salleh ibarat membuka pintu bendungan emosi penyair Pahang itu kerana puisi di sisinya menjadi terapi kepada tragedi yang merempuh kehidupannya.

Tidak hairanlah karya awal daripada 263 puisi siber yang membaurkan fragmen hidup penyair pada detik nafas terakhir Allahyarham isterinya hinggalah hari berikutnya, selepas ratu hatinya meninggalkan alam fana.
Malah Pengenalan yang ditulis rakan akrabnya, Datuk Johan Jaaffar, tanpa sedar boleh diibaratkan sebagai kunci pembuka pintu untuk pembaca lebih bersimpati terhadap Yassin Salleh, sekali gus menerima apa jua puisi terapinya.

Ini kerana Johan memilih untuk berkongsi fragmen hubungan simbiosis mereka bermula dengan kisah awal perkenalan berlatarkan pentas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehinggalah ke zaman jatuh bangunnya di ranah politik yang kacau.

Tanpa sedar pendahuluan Johan itu ‘memaksa’ pembaca untuk mengabaikan kekacauan dan limpahan diksi dalam puisi penghormatan bermula daripada Gemersik Muzik SimfoniSepi, Terima Kasih Matahari dan Berkongsi Kasih sehinggalah Siri Daddy Loves Mummy.

Yes, We Love Mummy Very Much adalah puisi terapi terbaik Yassin, walaupun menggunakan bahasa paling sederhana kerana ia berjaya memecahkan tembok emosi penyair, tetapi sayang sedikit apabila diganggu oleh bahasa Inggeris.
Selepas hampir 30 puisi merempuh emosi, barulah Yassin Salleh berjaya keluar daripada pusaran perasaannya, lalu beralih ke karya yang lebih sinikal seperti Yang Dia Tak Tahupun mengenai budaya politik tempatan.

Ironi dan parodi inilah yang menguatkan puisi Yassin Salleh untuk pembaca mentertawakan jenaka politikus di sekelilingnya seperti terungkap dalam puisi itu: Si nenek tua itupun menadah tangan/ memanjatkanlah kesyukuran/ atas kematian wakil rakyatnya/ yang tidak tak tahupun/ siapa orangnya.

Puisinya amat skeptikal kepada politikus sehingga Yassin Salleh meletakkan watak politikus pada pentas jenaka untuk ditertawakan oleh pembacanya.

Yassin Salleh juga memanfaatkan pepatah lama untuk puisinya, Selamat Sejahtera, Janganlah dagang lalu dipeluk dicumbu/ adik abang dibiarkan terdampar di luar kelambu, mengingatkan kita kepada pantun dua kerat yang ‘dimanipulasi’ Sasterawan Negara (SN), Allahyarham Datuk (Dr) Usman Awang, iaitu siakap senohong, lama-lama ikan duri, bercakap bohong, lama-lama jadi menteri.

Lagu Bangau Oh Bangau pula menjadi parodi dalam untuk masalah politik, perebutan kuasa dan perubahan zaman, manakala lagu Katak diberikan penamat yang cukup menikam: kuasanya politik/ amat menakutkan/ para pemegang harta intelek/ sehebat laungan katak memanggil hujan ini?

Di sebalik limpahan kata-kata biasa yang disusun mirip puisi, tersangkut juga beberapa baris yang sangat kuat, tetapi tenggelam timbul di sebalik arus bahasa sederhananya.

Ini termasuklah puisi Tiba-tiba Hilang yang menyembunyikan ironi yang sangat memikat: dari pergunungan kabilah orang telanjang/ di mana orang yang sempurna lengkap berpakaian/ dihukum biadab dinistakan tak bersopan.

Atau kata-kata itu seolah-olah terkapai-kapai dalam limpahan bauran emosi seperti dalam Makan Sepinggan Bersuap-suapan: Mereka kini merdeka/ tidur sebantal satu selimut/ makan sepinggan bersuap-suapan/ berkongsi pesaka atas nama kemerdekaan.

Malangnya pengulangan puisi berlaku seperti Kawan-kawan Setiaku, Seindah, Serapi Estetika Mahakaryamu Itu atau Aku Nak Buka Akademi Seni Anyaman Avant Garde De’ Tempua, seolah-olah membayangkan himpunan ini disengajakan tidak diperhalusi sebelum diterbitkan.

Ia barangkali berpunca daripada proses kepenyairan Yassin Salleh sendiri yang menulisnya pada sistem pesanan ringkas (SMS) dan e-mel untuk disebarkan kepada kenalan dan kekasihnya.

Tidak hairanlah buku setebal 262 terbitan Balang Rimbun Sdn Bhd ini menuntut kesabaran pembaca dalam mengurai enigma penyair, meskipun sehingga ke penghujungnya kita tidak mungkin mengenali siapa Yassin Salleh sebenarnya.

INFO: Simfoni Sepi: Himpunan Puisi Siber
Penulis: Yassin Salleh
Tebal: 262 halaman
Penerbit: Balang Rimbun Sdn Bhd
Bintang: *** (3 bintang)

Biodata: Dari guru ke sastera

YASSIN Salleh kelahiran Kampung Ponson, Manchis, Bentong, pada 20 Mei 1946, dibesarkan di Pahang, tetapi mengamalkan adat pepatih dan berbicara dalam loghat Negeri Sembilan.

Yassin menerima pendidikan awal di Sekolah Umum Manchis, Simpang Pelangai dan Darjah Menengah Melayu yang menumpang bangunan Sulaiman Secondary School, sebelum menyambung pengajian di Pusat Latihan Perguruan Harian, Kuantan, pada 1963.

Beliau menjadi guru buat sementara waktu, sebelum mengambil keputusan meninggalkan kerjaya itu demi menceburkan diri dalam sastera, selain turut menghasilkan filem, Potret Maria, Dia Ibuku, Ali Setan 2 dan Hanny.

Filem Dia Ibuku meraih 10 anugerah pada Festival Filem Malaysia Ke-2 (FFM2) pada 1982 termasuk Pengarah Terbaik, sekali gus menjadi filem yang paling banyak menerima anugerah dalam sejarah FFM.

Thursday 23 February 2012

Bengkel Penulisan Kreatif DPMP 2012


Bengkel Penulisan Kreatif DPMP 2012 khas untuk bakal-bakal penulis dikalangan remaja akan diadakan pada 9 hingga 11 Mac 2012 di Sek Men Agama Al-Falah Batu Talam Raub dengan memberi fokus kepada penulisan puisi, cerpen, novel dan penulisan berita dan rencana. Perasmian pada malam 9.2.2012 disempurnakan oleh YB Dato Abdul Aziz Haji Kiram, ADUN Batu Talam manakala Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil akan disempurnakan oleh Pegawai Pelajaran daerah Raub. Seramai 50 orang peserta dijangka hadir. Mesyuarat J/Kuasa Pengelola telah bermesyuarat pada 23.2.2012 di Pej. Pelajaran Daerah Raub jam 2.30 petang dipengerusikan oleh Ketua Dua DPMP Dato Haji Zainuddin Haji Jumaat.

Thursday 9 February 2012

Ramuan cinta popular dalam Khuluk


Ramuan cinta popular dalam Khuluk
Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my
2012/02/10
MOHD KHAIDIR menghadiahkan novel Khuluk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Kisah perjuangan wartawan di tengah kaum Penan

INFO: Khuluk
Pengarang: Khaidir AhmadTebal: 897 halamanTerbitan: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
Harga: RM63
Bintang: **** (4 bintang)

KHULUK karya Khaidir Ahmad boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu sebelum dan sesudah khuluk, yang memisahkan tema dan gaya penceritaannya daripada novel mirip popular kepada naskhah sastera yang sarat dengan latar budaya dan falsafah kemanusiaan serta agama.

Khuluk adalah proses isteri menuntut perceraian dengan menggunakan kaedah tebus talak, sekali gus menyediakan pembaca kepada karya yang berlegar pada kegagalan rumah tangga dan keruntuhan perkahwinan.
Bagaimanapun, tema cinta tiga segi tampak menguasai bahagian pertamanya sehingga gaya dan langgam penceritaannya mirip kepada novel popular yang sering menggunakan perencah itu.

Ini kerana Kamal, wartawan yang baru dilantik sebagai Ketua Biro Kuching akhbar Berita Nasional yang bernaung di bawah Malaysia Tribune berdepan dengan dilema apabila terpaksa memilih antara dua gadis yang mempunyai kelebihan tersendiri.

Cinta pertama yang tumbuh berselindung atas nama rakan sejawatan daripada akhbar lain ialah Letticia, iaitu wartawan tempatan berdarah campuran Iban dan Cina yang dibesarkan dalam lingkungan agama Kristian di rumah panjang di Simunjan.

Bagaimanapun, hati Letticia sedikit demi sedikit terbuka kepada Islam selepas melihat keindahannya pada keperibadian Kamal tetapi berdepan dengan ‘pesaing’, iaitu Ezan, wartawan muda yang baru bertatih dalam dunia kewartawanan dan dipindahkan ke negeri itu.

Meskipun Ezan dibesar dalam lingkungan keluarga hartawan yang jauh daripada Islam dan memiliki teman lelaki, hatinya cepat terpaut kepada Kamal oleh keramahan dan sifat ambil berat terutama masing-masing berada jauh di seberang Laut China Selatan.

Gaya dan langgam penceritaan yang menyorot pasang surut hubungan Kamal-Letticia-Ezan dengan masing-masing tidak mahu menyakiti hati antara satu sama lain tetapi tidak pula mahu mengalah dalam soal cinta inilah yang boleh dianggap menggunakan perencah novel popular.

Apatah lagi dengan tumpuan terhadap pergolakan jiwa Kamal, Letticia dan Ezan, novel ini semacam terlupa tentang latar sosial dan budaya wartawan yang semakin tipis meskipun pada awalnya ia bermula dengan baik apabila dibuka dengan adegan lelaki itu membuat liputan operasi memburu buaya.

Bagaimanapun, perpisahan Kamal dengan Letticia, sekali gus membawa kepada perkahwinannya dengan Ezan, mengembalikan landasan penceritaannya pada dunia wartawan apabila pasangan itu dipindahkan ke Semenanjung semula.

Kamal yang dinaikkan pangkat kepada Penolong Pengarang Berita dan Ezan yang beralih daripada suri rumah kepada wartawan penyiaran dan personaliti televisyen sebenarnya memindahkan novel ini daripada perencah popular kepada naskhah yang lebih sarat dengan persoalan kehidupan yang lebih serius.

Pergolakan rumah tangga dua wartawan itu menyelongkar dunia terselindung daripada umum atau sekurang-kurangnya mengesahkan tanggapan masyarakat terhadap kisah hidup selebriti, selain memperlihatkan sinikal pengarang apabila mewujudkan adegan ‘wartawan yang sentiasa mencari sensasi sebagai bahan beritanya, tiba-tiba menjadi sensasi untuk bahan berita semua wartawan dan media.’

Ezan yang dibuai kehidupan dan lelaki baru serta menuntut khuluk di mahkamah syariah sehingga menjadikan perkahwinan mereka sebagai buruan media, sekali gus membuka frasa baru dalam novel ini.

Ini kerana Khuluk selepas khuluk adalah novel yang sarat dengan persoalan kemanusiaan dengan latar kebudayaan etnik dan dakwah Islam apabila Kamal membawa diri dengan mendalami agama di pondok, sebelum melarikan diri dan dua anak mereka, Norma dan Izhar ke belantara di Sarawak.

Khuluk tidak lagi tampil sebagai novel popular, sebaliknya perjuangan memberikan nafas agama dan jaminan kehidupan kepada kaum Penan nomadik jauh di pinggir Sungai Bareh, Mulu, sekali gus menyelamatkan anak mereka daripada gejala sosial yang melanda masyarakat terutama keluarga yang berantakan.

Pada bahagian ini, Khuluk juga ialah novel yang mengingatkan kita kepada bantahan kaum Penan nomandik yang membuat benteng manusia pada 1987 yang menentang pembalakan, selain karya yang menghantar pesan kepada politikus dan birokrat tentang kemajuan yang perlu mengambil kira budaya dan psikologi sesuatu kaum.

Dalam konteks agama, Khuluk juga mengangkat isu dakwah Islam yang wajar dibuat dengan cara yang lebih alamiah dan mendekati kaum Penan dengan pendakwah hidup bersama-sama mereka tanpa menggadaikan prinsip agama dan syariat Islam.

Pada masa sama, elemen cinta tidak ditinggalkan sebegitu saja, bahkan lebih dramatik dengan kehadiran pendakwah yang juga saudara baru, Siti Aisyah di tengah perkampungan yang diancam pembalakan dan Ezan yang berusaha menjejak kasih anak mereka yang tanpa sedar menumbuhkan rindu kepada bekas suaminya kembali.

Dengan dua bahagian yang memiliki ragam tersendiri, tidak hairanlah novel ini menjangkau 897 halaman, tetapi elemen cinta yang cuba memancing pada bahagian pertama dan persoalan agama, budaya serta kemanusiaan yang menduga pemikiran menjadikannya wajar dibaca apatah lagi tersenarai sebagai pemenang ketiga Hadiah Sako 3.

Profil penulis: Wartawan penyiaran, alam sekitar

KHAIDIR Ahmad kelahiran Kuala Rompin, Pahang pada 1 November 1962, berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan bermula sebagai wartawan Berita Harian sebelum dilantik sebagai Ketua Bironya di Kuching.

Pada 1991, beliau mengembara dan hidup bersama suku Penan nomadik di pedalaman Hulu Baram, sebelum menghasilkan lima siri rencana mengenai suku kaum itu yang memenangi Hadiah Kewartawanan Malaysia pada 1992.

Beliau turut menghasilkan buku Selamatkan Kaum Penan pada 1992 yang turut diterjemah ke bahasa Inggeris, Save the Penans (1994).

Khaidir berpengalaman sebagai Pengarang Berita dan Timbalan Ketua Pengarang di akhbar tempatan, sebelum menceburi bidang penyiaran sebagai Editor Penugasan Berita di TV3, manakala tugasnya sebagai Penyelaras Operasi TV3 Wilayah Timur meletakkannya sebagai wartawan alam sekitar yang dikenali ramai.
Beliau kini sebagai Ketua Pengarang Berita TV3.