TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Sunday 10 April 2011

Membaca atau menikmati karya sastera?




Membaca atau menikmati karya sastera?
Oleh: Dr. Aminuddin Mansor

Secara umumnya, membaca biasa dan membaca dengan menikmati hasil karya adalah berbeza. Membaca secara biasa ialah memerhati isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya. Sementara menikmati hasil karya ialah membaca secara memahamkan makna dengan penuh perasaan dan membuat kesimpulan tentang isi karya yang dibaca.

Lantaran itu, pembaca biasa hanya membaca karya sastera seperti cerpen, novel dan puisi secara sambil lalu dan sedikit tercuit perasaan seperti sedih, gembira dan sebagainya. Manakala membaca dengan menikmati hasil karya membaca berkali-kali dengan sepenuh jiwa, mempelajari dan meneladani apa yang tersurat dan tersirat dalam karya. Golongan kedua ini adalah pencinta sastera tulen.

Pandangan mengatakan membaca adalah seni, seperti halnya seni berfikir dan seni menulis. Serong pembaca dan juga penikmat karya akan dapat merasakan seni sastera yang terpancar dalam sesebuah hasil karya. Membaca dengan berfikir menjadikan seseorang penikmat sastera yang tulen. Seperti kata Francis Bacon, membaca menjadikan seseorang berisi, berunding menjadikan dia siap, menulis menjadikan dia saksama.

Bahan karya sastera yang terpancar mencerminkan jiwa dan perasaan seseorang pengarang dalam apa juga keadaan. Karya sastera juga menjadi salah satu sumber rujukan penting bagi menyelami perasaan rakyat dalam sesebuah negara merdeka. Menghayati karya sastera adalah mendalami hati budi rakyat yang terpancar dalam karya tersebut.

Soalnya, adakah kita membaca karya sastera atau membaca dengan menikmati karya sastera? Ramai dalam kalangan pelajar yang belajar di Tingkatan 1 hingga 5 hanya membaca karya sastera secara biasa dan sedikit yang membaca secara menikmati dengan mata hati dan akal budi karya sastera dalam Komponen Sastera (KOMSAS) yang diwajibkan kepada para pelajar.

Justeru, KOMSAS dalam pendidikan Bahasa Melayu sekolah menengah bertujuan untuk melahirkan pelajar yang mempunyai keterampilan dalam bahasa, dan menghargai serta menghayati hasil karya dengan sepenuhnya. Ia menjadi penyalur ilmu, penyebar fikiran dan gelojak perasaan sesuatu bangsa.

Bahan KOMSAS telah dijadikan sebagai komponen wajib dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bagi menambahkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (P&P) bahasa Melayu. ia mencakupi pendedahan dan apresiasi karya-karya sastera daripada pelbagai genre seperti puisi tradisional, puisi moden, drama, cerpen dan novel.

Melalui pendedahan ini pelajar dapat mengenal dan menikmati karya sastera hasil tulisan penulis-penulis di negara ini. Selain itu, karya tersebut juga dapat menjadi saluran bagi pelajar memahami budaya, cita rasa, keindahan seni, kehidupan sosial masyarakat di negara ini. Usaha ini adalah pembentukan individu yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Penerapan elemen penting dalam karya akan menjadikan pelajar insan yang berfikir tentang kehidupan dan kebaikan. Seterusnya, karya sastera juga dapat membantu membentuk kehalusan budi pekerti, kecekapan berbahasa,  ketabahan hati, keindahan seni, menegakkan kebenaran, menghargai kehidupan dan nilai kemanusiaan.

Karya sastera bukan hanya bahasa dan kata-kata, malah ia lebih daripada itu. Ia merangkumi budaya, adat resam dan kehidupan masyarakat secara keseluruhannya. Apabila membaca seseorang akan menikmati bahasa dan kata-kata yang disampaikan dengan berkesan dengan penuh keindahan seni.

Memetik kata-kata Aristotle, dari satu segi, seni menyempurnakan apa yang tidak boleh dijelaskan oleh alam semesta, di segi yang lain ia meniru alam semesta. Jelaslah seni itu soal penggambaran dan peniruan. Dalam karya sastera terdapat seni meniru atau menggambarkan kehidupan manusia, terutamanya perbuatan manusia.

Oleh itu, peranan dan tugas guru bahasa Melayu sangat penting dalam pembacaan hasil karya yang bermanfaat. Melalui pembacaan ke arah menikmati hasil karya  yang penuh seni akan dapat mewujudkan pelajar yang meminati karya sastera, memahami nilai keindahan dalam sastera dan mendalami tujuan penulis menghasilkan sesebuah karya sastera.

Menanamkan minat dalam jiwa pelajar sebagai pencinta sastera tulen juga menjadi tugas guru khususnya guru bahasa Melayu. lapangan sastera Melayu amat luas yang harus diteroka oleh generasi muda. Teks sastera cukup banyak dipasarkan untuk dinikmati.

Seperti kata Matthew Arnold “Sastera adalah cermin kehidupan”. Oleh itu, melalui pembacaan yang teliti, penuh rasa di jiwa penikmat karya sastera dapat mencedok ciri-ciri kehidupan yang baik digambarkan dalam watak dan perwatakan, latar masyarakat yang digambarkan.

Justeru, pengarang berusaha merakamkan seluruh hasil kerjanya bagi dihargai untuk tatapan dan bacaan masyarakat umum. Dalam karya sastera akan terdapat kesan dan warna yang pelbagai untuk dinikmati oleh generasi muda. Daripadanya terpancar pengalaman, pemikiran dan sikap pengarang.

Melalui pembacaan yang teliti akan dapat melihat sikap dan pemikiran pengarang, memahami seni, memasuki akal budi, mengikut jalur rasa dan perasaan serta rasa keindahan yang terdapat dalam sesebuah hasil karya sastera. Di hutan keindahan sastera dan belantara bahasa menghidangkan pelbagai takrif dan istilah menjurus ke arah cara berfikir.

Hasil karya sastera seperti cerpen, novel, puisi dan drama bukanlah sebagai alat penghibur di waktu lapang. Malah ia lebih daripada itu, pembacaan karya sastera sewajarnya sebagai bahan pengayaan batin, dapat menajam fikiran, pembentuk akal budi dan meluaskan pengalaman hidup kepada pembaca. Melalui pembacaan dengan menikmati karya sastera akan membuka satu pengalaman baru meluaskan rasa seni yang mendalam tentang kehidupan.

------------------------------------------------selesai----------------------------------------------------