Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011
2011/05/26
PENGARANG kreatif negara ini termasuk mereka yang menetap di luar negara dipelawa menghantar karya sastera bagi penilaian untuk pengiktirafan dwitahunan, Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2010/2011, sekiranya ada karya mereka yang diterbitkan sepanjang tahun penilaian.
Menurut iklan yang disiarkan dalam Berita Harian bertarikh 19 Mei lalu, HSPM dibahagikan kepada Kategori A (buku sastera) khusus untuk karya perseorangan yang diterbitkan dalam bentuk buku merangkumi genre puisi, cerpen, novel, drama pentas, esei dan kritikan sastera, kajian sastera, biografi/ autobiografi/ memoir.
Kategori B (karya eceran) khusus untuk karya perseorangan yang disiarkan dalam akhbar, majalah, jurnal atau antologi merangkumi puisi, cerpen, esei/kritikan/kajian sastera/drama pentas.
Kategori C (buku sastera kanak-kanak/remaja) karya perseorangan yang terbit dalam bentuk buku pada tahun penilaian bagi bidang kumpulan puisi kanak-kanak, kumpulan cerpen kanak-kanak, novel kanak-kanak, drama pentas kanak-kanak, kumpulan puisi remaja, kumpulan cerpen remaja, novel remaja, drama pentas remaja.
Hadiah Kategori A bernilai RM10,000 x 7 hadiah (satu bagi setiap genre), Kategori B adalah RM2,000 x 10 hadiah (10 hadiah bagi setiap satu genre), RM2,000 x 3 (bagi genre drama pentas saja) dan Kategori C pula, RM5,000 X 8 hadiah (satu bagi setiap genre)
Karya perlu dihantar kepada Urusetia Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011, Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Tingkat 25, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa 50460 Kuala Lumpur, (UP Mohd Amran Daud/Malissa Malik) dan tarikh tutup
penyertaan ialah 31 Disember ini.