TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Saturday 12 March 2011

Kritikan angkat kesusasteraan

Kritikan angkat kesusasteraan
Oleh DR AMINUDIN MANSOR
(amimasra@gmail.com)/Utusan Online

KALANGAN penulis tidak dapat menyangkal bahawa kritikan sastera dapat memberikan sumbangan yang besar kepada perkembangan sastera kebangsaan kita.
Peranan yang dimainkan oleh seseorang kritikus iaitu orang yang mempertimbangkan atau mengulas sesuatu dengan menghuraikan pendapatnya serta membuat teguran atau kecaman terhadap hasil karya sastera.
Dunia kritikan kini seakan menyepi dan kurang mendapat sambutan daripada mereka yang bertauliah dan berpendidikan dalam bidang ini. Ketiadaan kritikan sastera menyebabkan bidang ini tidak lagi dapat memberikan bimbingan dan nasihat kepada pengarang muda khususnya supaya menghasilkan karya yang lebih bernilai dan bermutu daripada segi keindahan sastera.
Menurut tokoh penulis Barat, Samuel Johnson, pernah menyifatkan seorang pengkritik karya sastera itu sebagai seorang yang berkebolehan untuk membezakan antara kelemahan dan keindahan yang terdapat dalam sesebuah hasil karya khususnya novel, cerpen dan puisi dan hasil karya sastera lain.
Peranan kritikan sastera di Malaysia juga dapat mendedahkan hasil karya sastera bangsa ke peringkat antarabangsa. Selain itu, bidang sastera juga akan mendapat sambutan pembaca khususnya apabila sesebuah novel baru itu berada di pasaran atau baru saja diterbitkan.
Ruang dan peluang seharusnya diberikan lebih luas oleh media massa dengan memberikan ruangan khas untuk membincangkan kritikan sesebuah hasil karya sastera. Jika ada ruang sudah tentu para pengkritik akan mengkritik hasil-hasil karya khususnya yang menjadi polemik semasa seperti novel Interlok karya Abdullah Hussain.
Sejarah kritikan sastera bermula di Yunani dengan Plato sebagai tokoh utamanya, kemudian disusuli oleh Aristotle dan Longinus kira-kira pada tahun (427-347 S.M.). Menurut Aristotle walaupun dalam kritik sastera, teori dan fakta amat penting untuk mencari sebab-sebab kebaikan sesebuah hasil karya sastera. Dia sering mengkritik orang-orang terdahulu daripadanya melalui pemerhatian sentiasa lebih penting daripada teori.
Menilai
Menurut Gayley dan Scott, kritikan sastera juga bertujuan mencari kesalahan, kelemahan, memuji, menilai, membanding dan menikmati kebaikan yang terdapat dalam hasil karya sastera.
Sebagai contoh, penyair Chairil Anwar dapat diangkat sebagai penyair yang agung di Indonesia disebabkan kritikan dan tafsiran yang dibuat oleh pengkritik pada zaman itu iaitu H.B Jassin tentang nilai keindahan dan kekuatan isi sajak-sajaknya.
Melalui Tifa Penyair dan Daerahnya, H.B. Jassin mengangkat penyair Chairil Anwar, sebagai penyair pelopor angkatan yang telah menggantikan angkatan Pujangga Baru, dengan keinsafan lingkungan yang lebih besar dan luas, pemikirannya tetap lebih berkuasa daripada perasaan dan lebih matang lagi: fikiran dan perasaan berimbangan.
Begitulah juga penyair Amir Hamzah , W.S. Rendra dua penyair terkemuka Indonesia juga telah diangkat melalui beberapa kritikan yang dapat mengetengahkan mereka sebagai penyair yang tajam inderanya, sering menangkap perulangan yang dimanfaatkan melalui pengucapan artistik dan estetik.
Sumbangan seorang lagi penulis / pengkritik iaitu Umar Junus yang terdidik di Laiden, Jerman mendapat didikan daripada Profesor P.E. de Josselin de Jong dan Profesor Teeuw juga berminat dalam bidang kritikan dan telah menaikkan beberapa penulis Indonesia seperti Amir Hamzah dan Chairil Anwar dan penulis Malaysia melalui kritikan dan tulisan lampaunya.
Mengikut pandangan William Henry Hudson, pengkritik tulen mestilah akal budinya bersifat keseimbangan (mudah menyesuaikan diri), cepat menangkap segala kesan penemuan pertama, bijak memisahkan perkara-perkara yang mustahak dan gemar mencari keindahan dalaman sesebuah hasil karya sastera. Seseorang pengkritik tulen harus menjauhi dirinya dari segala benteng sentimen baik terhadap pengarang, bangsa, agama dan sebagainya.
Bagaimanapun, menurut Herbert J. Muller, seorang pengkritik haruslah memberikan penilaian saksama dan adil, pengkritik juga harus melengkapkan dirinya dengan ilmu bantu yang lain seperti ilmu pendidikan sastera, ilmu jiwa, sosiologi, psikologi, falsafah, kemasyarakatan, politik, falsafah, sejarah dan budaya yang mempunyai kaitan dengan bidang sastera khususnya sesebuah hasil karya seperti novel, cerpen dan puisi.
Sebagai contoh, Profesor A.Teeuw pernah mengangkat Hikayat Hang Tuah dengan dalam tulisannya dengan memberi penghargaan dan pentafsiran bahawa membaca, menyatupadukan pentafsiran yang sedar dan memberi penghargaan artistik terhadap hikayat ini sebagai hasil kebudayaan Melayu yang patut dibaca, ditafsirkan, dan dihargai terus menerus.
Tugas seorang pengkritik juga amat besar. Pengkritik harus mengetahui latar sejarah, budaya kehidupan bangsa, teknik penulisan sastera, teori dan fakta berkaitan dengan komposisi novel, cerpen dan puisi dan juga karya sastera lain, dan harus memahami soal seni, nilai keindahan / estetik yang memperindah sastera itu sendiri.
Di Malaysia terdapat beberapa pengkritik sastera yang berwibawa yang boleh mengangkat hasil sastera di negara ini seperti Mohd. Affandi Hassan (novel), Shahnon Ahmad (novel), Muhammad Haji Salleh (puisi), Hashim Awang (novel/cerpen) Mohd Yusof Hassan (novel), Baha Zain (puisi), Mana Sikana (novel/cerpen), Siti Hawa Salleh (sastera klasik), Rosnah Baharuddin (novel/cerpen), Ungku Maimunah Mohd.
Ketajaman
Tahir(novel/sastera klasik), Ramli Isin (novel/cerpen), Rahman Shaari (puisi), Misran Rokimin (novel remaja) yang seharusnya diberi peluang dan ruang oleh pihak media untuk mengkritik hasil karya sastera di negara ini. Ketajaman kritikan mereka ini masih berbisa, mempunyai ilmu tentang kritikan an mendapat didikan di universiti dalam bidang ini. Siapa lagi kalau bukan kita yang dapat mengangkat keindahan nilai sastera bangsa.
Sesungguhnya, pemikiran dan pendekatan dalam kritikan sastera di negara ini mestilah berpijak di bumi nyata iaitu berlandaskan pemikiran, gambaran dan tanggapan terhadap sastera bangsa berdasarkan pelbagai pendekatan seperti sosiologi, formalistik, psikologi, akal budi, budaya, moral dan agama. Pemikiran yang diutarakan mestilah kritis dan dapat menjangkau ke arah dunia antarabangsa dan globalisasi yang juga masih berpijak kepada kebenaran tauhid iaitu hakikat kehidupan manusia itu sendiri.
Hasil kritikan yang disampaikan bukan sahaja memberi hiburan malah yang lebih penting memberi ilmu dan pendidikan yang penting kepada pembaca dan generasi muda khususnya yang meminati sastera. Melaluinya akan dapat mengangkat peradaban manusia berlandaskan sastera yang indah dan mendidik ke arah kebaikan hidup di dunia dan akhirat.