TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Friday 18 March 2011

MENTAFSIR AKAL BUDI DALAM HIJRAH MUSAFIR

MENTAFSIR AKAL BUDI DALAM HIJRAH MUSAFIR.
Oleh: Dr. Aminuddin Mansor, PHD (UKM)



PENDAHULUAN

Kekuatan penyair terletak kepada akal dan pena. Melalui akal dan pena penyair menuliskan puisi khususnya sajak atau lain-lain genre (pantun, syair, gurindam dan seloka). Penyair melontar kata-kata untuk dihayati dan difahami setiap khalayak pembaca. Hal ini terdapat dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Nun. Demi pena dan apa yang mereka tuliskan.” (Surah Al-Qalam:1) dan “ Yang mengajar manusia dengan pena.” (Surah Al’Alaq:4) seharusnya menjadi panduan kepada setiap para penyair dan juga penulis.


 Peringatan ayat-ayat ini sewajarnya menjadi panduan kepada setiap penyair untuk menghasilkan puisi. Apa yang dituliskan oleh penyair akan dibaca, dihayati, difahami dan diikuti oleh pembaca. Kesan rasa daripada daya fikir itu seharusnya mengajar manusia ke arah berbuat baik, berakal budi dan mengamalkan kebaikan yang diredai Allah SWT. Semoga apa yang ditulis mendapat keberkatan di dunia dan akhirat.


 Akal adalah anugerah Allah s.w.t  kepada manusia yang tak ternilai harganya. Melalui akal manusia mentafsir, memikir dan melakukan sesuatu dengan sebaik-baiknya.  Tanpa akal manusia tidak boleh melakukan sesuatu dengan baik. Manusia memiliki kemampuan akal yang tersembunyi. Kemampuan akal berbeza-beza antara seorang dengan yang lain. Setiap penyair akan menggunakan akal yang bijaksana untuk menulis ke arah kebaikan dan menyampaikan kepada pembaca apa yang dihasratkan dalam hatinya.


 Akal budi membawa erti tingkah laku yang dihasilkan oleh pemikiran yang waras dan bijaksana. Penyair menggunakan akal budi untuk memahami, mengamati dan mentafsir fenomena alam semula jadi, sejarah tamadun manusia, perkembangan diri, serta menganalisis kepentingan hidup beragama. Akal bertanggungjawab terhadap proses persepsi, pemahaman, penaakulan, pemikiran dan pembinaan ilmu.


                                                                                                                   
Konsep akal budi berlandaskan Al-Quran dan Hadis memperkembangkan ilmu ke arah akal, fikiran, daya upaya dan juga ikhtiar. Penyair menggunakan akal menghasilkan puisi melalui bahasa, bicara, hati dan jiwa ke arah membentuk perangai dan akhlak mulia. Hasilnya mendidik budi manusia ke arah kebijaksanaan, tingkah laku, sifat baik, gerak geri dan pekerti mulia. Pancaran akal budi penyair melalui puisi akan membawa kesejahteraan hidup kepada seluruh manusia.


 Ingatlah; Pena adalah alat yang paling berkesan menyampaikan kata-kata (kini komputer) dan juga paling berbahaya, jauh lebih tajam daripada mata pedang dan menyebabkan luka yang lebih dalam daripada cemeti ataupun tongkat rotan. Di bawah suatu pemerintahan orang besar yang berkuasa, pena lebih berkuasa daripada pedang, memancung takhta kuasa,  meruntuhkan kekuatan politik dan tampuk pemerintahan.


Mentafsir akal budi dalam antologi puisi Hijrah Musafir yang memuatkan 99 buah puisi hasil tulisan 35 orang penulis sempena menyambut 50 tahun Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP). Sarat kesan rasa, pemikiran dan pengajaran akal budi terdapat dalam kebanyakan puisi-puisi yang dihasilkan.


 Penyair adalah pemacu kepada pembangunan pemikiran bangsa. Penyair juga arkitek bangsa, pembina ke arah tamadun bangsa. Dalam hasrat yang ingin dicapai penyair tidak harus melupakan seruan agama dan peringatan Allah s.w.t., akar bangsa, akar budaya dan akar sejarah bangsanya dalam karya-karyanya. Setiap penyair mempunyai pengalamannya sendiri untuk ditulis. Betullah kata-kata: “Pengalaman adalah guru yang terbaik” untuk ditulis dan dikongsi oleh orang lain khususnya pembaca.


Pelbagai  gagasan, tema dan persoalan diungkapkan oleh penyair dalam Hijrah Musafir. Antaranya tentang diri, masyarakat, alam, negara, bahasa dan agama. Tidak terkecuali penyair-penyair juga menyentuh tentang politik, ekonomi, sosial, pendidikan, agama dan ketuhanan mendapat sorotan daripada penyair. Hal ini memang sering diungkapkan oleh kebanyakan penyair tanah air, tetapi dalam Hijrah Musafir persoalan ini digarap mengikut pemahaman dan penelitian mata hati penyair itu sendiri yang memperlihatkan nilai keindahannya.

Sebagai contoh, Penyair L.Mankadir Samsi melalui sajaknya; “Tanah Bendang”,dan “Sekangkang Kera”, Penyair Arisel BA melalui sajaknya: “Cerita Sebuah Hutan 1”, “Sajak Kepada Pak Lah 1”, dan “Mahligai Bahasa Melayu”. Penyair Nazri Sham, melalui
                                                                                                                                 

sajaknya “Suara Dari Bukit Gondol”, dan “Cermin Kehidupan”, Penyair Rahim Ali melalui sajaknya “Benih Api 2”, “Yang Kuingat”, dan “Menebang Balak”. Kerakusan dan ketamakan manusia menjadikan alam ciptaan Tuhan rosak dan musnah. Begitu juga dengan tema sajak-sajak penyair-penyair lainnya yang disebutkan di atas mengambil sudut yang berbeza mengikut pandangan penyair. Daripada tajuknya sahaja sudah melambangkan dan memperjelaskan isi yang tersirat. Kepelbagaian tema dan persoalan ini menjadikan Hijrah Musafir indah dalam kepelbagaian, membawa dimensi baru yang lebih luas untuk difikirkan, seronok dibaca dan dihayati.


 Penyair Ahmad A, melalui puisinya “Cahaya” sangat menitikberatkan pengajaran dan pendidikan kepada manusia sejagat. Antaranya penyair menyebut: “Duhai cahaya!/yang menyusup masuk ke kamar kelamku/yang menyinari galur gelapku/yang mengejutkan tidur lelapku/susurkan aku ke titik terang/ suluhkan aku ke jalan pulang/.”


        
Demi kejadian dan kehidupan manusia, daripada alam rahim ke alam dunia, dan kemudian ke alam akhirat. Begitulah realiti kehidupan. Penyair memberikan kesan penekanan kepada cahaya yang membawa manusia ke arah kebaikan. Cahaya boleh ditafsirkan sebagai cahaya hidayah, cahaya takwa dan cahaya keimanan. Nilai pengajaran dan pendidikan juga terdapat dalam sajaknya “Fikirkan” dan sajak “Episod Daun Gugur Di Bulan Januari”. Menjelaskan tentang kerosakan dan kemusnahan alam adalah disebabkan oleh kerakusan manusia dan tentang erti kematian.


 Sajak-sajak ialah kata-kata daripada akal budi seorang penyair yang hidup di dunia pelbagai, yang memenuhi ruang dan pengalaman hidupnya. Ia boleh dikongsi dengan khalayak pembaca dan peminat puisi sebagai panduan hidup masa depan. Penyair juga wajar menguasai tatabahasa, walaupun kadang-kadang sajak boleh menyimpang dan melanggar hukum tatabahasa. Oleh sebab, kata-kata yang indah serta memikat akan dapat menyampaikan mesej yang jelas dan berkesan kepada pembaca.


 Umar Junus (1984) menjelaskan, “… keindahan pada sajak-sajak moden terletak pada keberkesanan pemakaian bahasa dan pengulangan kalimat yang sama. Selain itu, kepadatan dan kesingkatan bentuk juga membawa unsur keindahan. Kiasan dan saranan dengan irama bahasa yang merdu memancarkan nilai kesederhanaan dalam sesebuah puisi yang dihasilkan. Seni puisi terletak pada persoalan yang ingin disampaikan, pemakaian bahasa yang indah dan berkesan.

                                                                                                                                 
Islam telah menghidupkan pelbagai jenis seni, sesuai dengan kemajuan ilmu pengetahuannya dan sekali gus membezakannya dari perkembangan ilmu pengetahuan yang lain. Bidang seni syair dan sajak sejak lama dahulu telah berkembang sejajar dengan perkembangan Islam melalui ungkapan indah yang juga dikenali sebagai lagu-lagu sufi.


 Berkaitan penyair Allah s.w.t. memberi peringatan kepada kita. Antaranya melalui Surah Al-Anbiya 21:5, Surah Asy-Syuara 26:224, Surah As-Saffat 37:36 dan Surah At-Tur 52:30. Ayat-ayat ini hendaklah dirujuk maknanya sebagai panduan ke arah menghasilkan sajak dan membentuk penyair Islam yang menulis berlandaskan perintah Allah s.w.t. dan tidak diikuti oleh orang-orang yang sesat. Ini penting kerana apa yang kita tulis biarlah mendapat balasan dan ganjaran pahala yang baik di dunia dan di akhirat.


Sebagai penyair kita diingatkan agar tidak terjebak sebagai “penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat”. Iaitu jauh daripada hakikat dan realiti kecuali jika mendapat rahmat Allah s.w.t. Sebagai contoh, apabila memuji janganlah memuji berlebihan hingga pujiannya tersebut tidak sesuai dengan kenyataan yang ada. Apabila mencela janganlah menggunakan semua ungkapan yang kasar, keras dan pedih. Itulah realiti  yang tidak terdapat pada syair-syair orang terdahulu. Contohnya, syair senda gurau Abu Nawas, syathahat al-Mutanabby , syair-syair al-Ma’arry yang menyesatkan dan syair-syair sufi Ibnu al-Farid.


Dalam menghasilkan karya khususnya puisi, gunakanlah akal budi yang luhur dan bijaksana dengan memanfaatkan al-Quran dan sunah sebagai landasan keimanan dengan niat yang ikhlas kerana Allah s.w.t. supaya menambahkan kualiti amal, pengetahuan dan kesolehan peribadi penyair melalui ungkapan yang indah berseni.


Beberapa penyair menyentuh tentang agama, memanfaatkan al-Quran dan sunah. Seruan dan peringatan Allah menjadi landasan keimanan dan ketuhanan serta kehidupan manusia di dunia ini. Penyair Ahmad A. melalui  sajaknya “cahaya” dan “Fikirkanlah”. Mengungkapkan tentang cahaya keimanan dan azab kepada mereka yang melakukan kerosakan. Penyair Ami Masra melalui sajaknya “Muhasabah Hati Menginsafi Diri”  membawa kita merenung tentang peringatan Tuhan. Penyair Baharudin C.D melalui sajaknya “Bahasaku”, menyentuh tentang zat Melayu dan makrifat. Penyair Haji Baharudin Haji Zakaria melalui puisinya “Salam Syairku Buat Penyair Nusantara” dengan cermat dan teliti menukilkan syair rentetan sejarah dan peristiwa dengan kekemasan bahasa.

Selain itu, Penyair Hasanah Yusuf melalui sajaknya, “Sekeping Kanvas, Setiub Warna, Sebatang Berus, Seorang Pelukis dan Aku” yang mengakhirkan puisinya dengan sabda Nabi s.aw. “celakalah orang yang hairan diri”. Penyair M.Ashikin melalui sajaknya, “Terima Kasih Ibu Kerana Kau…” ibu yang mendidik tentang keesaan Tuhan dan tanggungjawab penyair kepada RabulJalil. Penyair Najwa Dania Daniel melalui sajaknya “Padamu Aku Bersujud” mengungkapkan rasa kepasrahan kepada Tuhan dan memohon petunjuk-Nya ke arah keimanan. Penyair Saedah  Md Shariff melalui sajaknya “Mengejar Waktu Sebelum Garis Akhir” mengajak pembaca mentafsir diri dan tujuan hidup ini hanya untuk beribadat kepada-Nya. Penyair Samsiah Mohd Nor melalui sajaknya “Hijrah Musafir” membawa kita merenung diri sebagai musafir yang mencari hijrah di dunia ini. Sajak “Adam dan Hawa” membawa kita merenung akibat serakah nafsu hingga menyebabkan pembuangan bayi yang tak berdosa. Penyair Zulkifli B melalui sajaknya “Taman Insani” menyelami hati dan diri sebagai taman madani. Puisi-puisi ini amat jelas menekankan akal budi manusiawi dan mengingatkan seruan dan peringatan Allah s.w.t.


 Keindahan gaya bahasa dan estetik akan mengangkat nilai sesebuah puisi. Keseimbangan keindahan pemilihan kata dan persoalan yang ingin disampaikan menjadikan sesebuah puisi itu lebih berjaya dan terkesan di hati pembaca. Ia mestilah tidak terlepas daripada pola puisi tradisional khususnya penggunaan diksi, simbolisme, pengulangan kata, susunan bait, rangkap, makna kata, bunyi, fonem (bunyi yang membezakan makna kata) dan fonetik (penyebutan kata dan lambang sebutannya) dalam sesebuah sajak. Keindahan bentuk luaran dan dalaman sesebuah puisi memberi kesan perasaan kepada pembaca.  Hal ini tidak terlepas daripada akal budi penyair sewaktu mencipta dalam beberapa buah sajak yang terdapat dalam Hijrah Musafir.


Justeru, objek-objek indah yang dapat kita kesan melalui kuasa deria berlainan sama sekali daripada keindahan itu sendiri. Keindahan juga dapat dikesan pada benda-benda mudah kompleks. Dalam hal ini, Hamidah Abdul Hamid (1005) menyatakan, cita rasa adalah fakulti menilai sesuatu objek atau sesebuah karya melalui rasa puas atau tidak puas yang tidak dipengaruhi oleh minat. Objek yang melahirkan rasa puas akan dikatakan indah. Begitulah juga dengan puisi seperti yang terdapat dalam Hijrah Musafir.


 Mentafsir Hijrah Musafir terkandung pelbagai ungkapan indah yang mengandungi makna yang tersurat dan tersirat untuk difikirkan dan direnungkan. Penyair Baharudin C.D melalui “Lidah Yang Tak Pernah Berdusta”, mengungkapkan kata-kata: “Lidah ini  tak  pernah berdusta, atau takut untuk bersuara / kerana ibundaku mengajarku/ menjadi berani demi kebenaran.” Penyair  E.Tan Alaudin melalui Gurindam: “Kesetiaan: Amanah”, mengungkapkan: “Sifat amanah tabligh fatanah/mesti dijaga hidup tak akan punah!” Penyair Ami Masra melalui sajak “Muhasabah Hati Minginsafi Diri, mengungkapkan kata-kata: “ tawakal akal menginsafi hati/ muhasabah mujahadah hidup di bumi.” Penyair Saedon Ibrahim melalui sajaknya “Perjalanan Mata Hati” mengungkapkan kata-kata: “ sebab perjalanan mata hati/walaupun tertutup mata/ akan kelihatan jua/kerenah-kerenah duniawi/.”


 Penyair M.Ashikin melalui puisinya, “Terima Ksih Ibu Kerana Kau…” mengungkapkan kata-kata: “ Terima kasih ibu kerana kau berjaya juga/ menghamili dan mengeramkan benih ayah/ selama hampir tiga ratus hari/”. Penyair Rahman Haji Yusof melalui sajaknya “Apakah???” mengungkapkan: “Apakah yang harus diucapkan?/Semua ini terjadi, kerana/ Melayu begitu murah bertolak ansur/ menabur budi/. Penyair Sahmad Malaya melalui sajaknya “Janda Baik” mengungkapkan: “Mudah-mudahan ia tidak menjadi Temasik/ Pada jangka masa seratus tahun lagi/. Penyair  Samsiah Mohd Nor melalui puisinya “Hijrah Musafir” mengungkapkan: “Aku tetap musafir/ pada kata kolek nan satu/berlabuh dan berikat tali/ walau sudah terhenti di satu titik/ biarlah putihnya mendominasi/ daripada warna warni/.


Apa yang penting dan wajar di ketengahkan pemikiran yang peka kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat terbanyak dan juga negara. Bentuk puisi yang berjejak kepada akar kesusasteraan tradisional tetapi selalu diperbaharui untuk ekspresi zaman lebih memikat. Penggunaan bahasa Melayu yang indah dan berkesan menyuarakan suara rasa yang dapat mengungkapkan pelbagai suasana hati dan situasi bangsa akan menjadikan sesebuah puisi itu diterima oleh khalayak. Perutusan dan amanat sewajarnya memperjuangkan cita-cita rakyat terbanyak dan  kemanusiaan sejagat.


 Penyair dan Sasterawan Negara Dr. Muhammad Haji Salleh (1998) menyatakan, puisi tumbuh dari pohon pengalaman peribadi penyair atau hutan pengalaman orang lain yang berkibar dalam kata lisan atau aksara. Kata-kata mereka menjadi bendera makna hidup yang disimpul sendiri. Namun begitu tiada sesuatu yang lebih asli daripada pengalaman peribadi, dengan kehadiran di tengah-tengah peristiwa.


 Pengkaji melihat dan mentafsir dalam Hijrah Musafir penyair yang lebih berpengalaman dalam hidup dapat melontarkan kata-kata yang bermakna untuk direnung dan   difikirkan  oleh pembaca. Pengalaman dan peristiwa yang biasa apabila digarap dengan kata-kata yang berkesan dan bermakna memberikan pengalaman baharu kepada pembaca untuk difikirkan, direnung dan dijadikan panduan hidup. Perutusan dan amanat yang disampaikan berjejak di bumi nyata serta mengisi rasa hati dan perjuangan rakyat.

Rasa cinta yang mendalam terhadap bahasa, bangsa dan tanah air menjadikan Hijrah Musafir sarat dengan api patriotisme yang membara memarak dan membakar jiwa pembaca. Islam sangat menekankan tentang kecintaan pada bahasa, bangsa dan tanah air yang mencambahkan rasa cinta kepada agama dan keimanan kepada Allah s.w.t.


 Bahasa adalah lambang ketuanan sesuatu bangsa. Tanpa bahasa lenyaplah bangsa. Bahasa adalah cermin fikiran dan alat mengembangkan ilmu pengetahuan. Sewajarnyalah bahasa dipertahankan dan didaulatkan iaitu Bahasa Melayu. Tema dan persoalan tentang bahasa disuarakan dengan lantang melalui pemikiran dan suara rasa batin penyair.


 Jeritan tentang bahasa jelas melalui suara rasa Penyair Arisel BA melalui sajaknya “Mahligai Bahasa Melayu”, Penyair Baharudin C.D melalui sajaknya “Bahasaku”, “Lidah Yang Tak Pernah Berdarah”, “Melayu Seorang Ini, Lain Melayunya” Penyair Hasanuddin Md Isa melalui sajaknya “Di Mana Bapa Ketika Bahasaku Disenda”, Penyair M.Ashikin melalui sajaknya “Kusebut Namamu Selalu” penyair Nazri Sham melalui sajaknya “Perjuangan Yang Belum Tamat” Penyair Rahman Haji Yusuf melalui sajaknya “Pentas Itu”, “Jawi”. Dan “Apakah???”  dan Penyair Syamimi Aminollah melalui sajaknya “50 Tahun Merdeka”. Penyair dengan penuh rasa tanggungjawab menyampaikan suara bicara cuba mempertahankan kedaulatan bahasa dan kekuatan bangsa. Rasa cinta terhadap bahasa dan juga warisan bangsa wajar dipertahankan seperti disuarakan oleh para penyair demi mengekalkan tamadun bangsa.


 Luahan rasa cinta dan kebanggaan pada tanah tempat kelahiran jelas pada kebanyakan puisi dalam Hijrah Musafir. Penyair tidak menghalang pembangunan yang dilaksanakan oleh pihak tertentu tetapi setiap pembangunan mestilah diseimbangkan dan mengekalkan kesejahteraan hidup manusia serta usaha mempertahankan kedaulatan tanah air. Antaranya Penyair Lya melalui sajaknya; “Lubuk Terua” dan “Tulai”. Penyair Muna Ali melalui sajaknya “Di Bawah Payung Awan Malaysia.” Penyair Sahmad Malaya melalui sajaknya “Kuantan” dan “Janda Baik”. Penyair Syamimi Aminollah melalui sajaknya, “Halaman Bonda” dan Penyair Wan Thowaibah Wan Ghazali melalui sajaknya, “Subuh Berdarah di Kuala Krau”.


 Sementara itu, kata-kata yang kosong tanpa makna menjadikan sesebuah puisi itu tawar dan hambar tidak memberikan sebarang makna kepada pembaca. Ini disebabkan puisi yang kita tulis adalah untuk dibaca, dihayati, ditafsirkan kemudian dijadikan panduan dalam kehidupan. Lantaran itu, Dr Yusuf Al-Qardhawi (2002), menyatakan tidak diragukan lagi puisi sebagai satu ungkapan seni yang berhubungan dengan naluri dan perasaan orang secara berfungsi membentuk bakat, perasaan idealisme peribadi dengan  berkesan sama ada yang boleh didengar, dibaca, dilihat, dirasakan ataupun difikirkan.

Beliau menyarankan penulis atau penyair merujuk bidang-bidang sekitar sunah Nabi s.a.w. ,ilmu Fiqh (hukum Islam), pengetahuan bahasa dan kesusasteraan, akidah, tasawuf, sejarah, ilmu jiwa, sosiologi, falsafah, akhlak, pengetahuan Islam dan pendidikan.


 Beberapa penyair lain juga sedang membentuk gaya persajakan tersendiri melalui kata-kata yang mantap, gaya bahasa yang menarik dan bermakna. Antaranya, Penyair Ahmad A, Aki, Arisel BA, Azad A.S, Hasanuddin Md Isa, Haji Baharuddin haji Zakaria, Hasmadi, Hasnah Yusoff, L.Mankadir Samsi, M.Z.Alias, Maimunah Manan, Mohd Shaimy Hashim, Muna Ali, Nazri Sham, Rahim Ali, Saedon Ibrahim, Wan Thowaibah Wan Ghazali, Yazidris, Zulkifli B. Jelaslah, kemampuan dan kejayaan penyair-penyair ini terletak kepada gaya bahasa yang sederhana tetapi indah dan memikat serta dapat difahami dan diterima oleh khalayak. Apa yang kita harapkan mereka akan menyuarakan perkara yang lebih besar tentang masalah rakyat dan kemanusiaan.


 Penyair sewajarnya mencari kata-kata baharu yang segar, metafora yang baharu, personifikasi yang menarik bagi memberikan kesan makna kepada pemikiran pembaca. Selain itu, perkara yang kecil boleh diangkat menjadi tema yang besar. Melalui kekuatan bahasa yang indah dan berseni sesebuah sajak atau puisi menjadi lebih menarik dan melontar hakikat kepada makna kehidupan. Ingatlah bahawa sesebuah puisi yang seimbang daripada segi tema, persoalan, nada bentuk, gaya bahasa dan keindahan bunyi, nilai dan pengajaran adalah puisi yang baik dan berjaya.


Daripada segi gaya bahasa sebagai penyair mestilah memahami dan menguasai gaya bahasa puisi yang meliputi metafora, hiperbola, pengulangan, inversi, simbol, simile, imej, imejan dan personifikasi. Walau bagaimanapun, pemilihan kata-kata dalam sajak atau puisi bergantung pada penyajak/ penyair itu sendiri. Walaupun hal ini wujud sendiri dalam sesebuah puisi, jika penyair dapat menguasainya adalah lebih baik bagi keseimbangan sesebuah puisi. Pengkaji puisi hanya akan melihat dan meneliti unsur-unsur ini sebagai puisi yang kaya dengan gagasan, estetik dan nilai-nilai keindahan.


Pelbagai tema/ persoalan boleh disampaikan melalui sesebuah puisi dengan berkesan. Sebagai contoh, kisah-kisah lama, lipur lara, cerita jenaka, cerita dari Sejarah Melayu dan kehidupan masyarakat Melayu pada masa lampau, masa kini dan akan datang itu sendiri sangat menarik. Negeri Pahang Darul Makmur sendiri sangat kaya dengan khazanah budaya, seni, sejarah masa lampau, kepahlawanan, hutan belantara dan pelbagai lagenda untuk diketengahkan. Masalah kemiskinan rakyat, gelagat orang politik dan kehidupan penduduk di luar bandar dan di bandar juga menarik digarap dalam puisi. Semua ini jika diangkat, digarap dengan bahasa yang indah dan menarik akan menjadi puisi yang indah dan berkesan.


 Bayangkan Negeri Pahang Darul Makmur alamnya indah terbentang lengkap dengan keindahan alam seperti sungai, air terjun, tasik, danau, lopak,  paya, bukit- bukau, gunung- ganang, pulau-pulau, pantai, gua, belukar, hutan, belantara dan lautan yang tidak terdapat pada negeri lain. Sewajarnya memberi ilham bernilai ketika menghasilkan karya khususnya puisi/ sajak yang menarik dan berkesan. Inilah kekuatan yang ada dalam pengalaman penyair Pahang yang lahir dan dibesarkan di sini.


 Tema/ persoalan yang disampaikan mestilah jitu dan mantap. Ia meliputi gagasan, fikiran atau persoalan utama yang ingin disampaikan oleh penyajak. Dalam Hijrah Musafir hal ini amat jelas apabila pembaca membaca tajuk dan menyelami keseluruhan isi puisi yang disampaikan oleh setiap penyair. Kalangan penyair juga tidak terkecuali dan tidak terlepas daripada mengungkapkan keindahan alam ciptaan Tuhan ini.


Penyair tersohor Inggeris, William Shakespeare (2006), pernah berkata, berguru kepada kebijaksanaan sendiri, sesuaikan perbuatan kamu dengan perkataan kamu dan perkataan kamu dengan perbuatan kamu. Kata-kata tanpa fikiran tidak pernah sampai ke syurga. Oleh itu, melalui kata-kata yang diungkapkan oleh penyair adalah senjata yang amat berguna untuk kebaikan dan membunuh musuh.


 Mentafsir Hijrah Musafir, kebijaksanaan mengungkapkan tema dan menyampaikan mesej oleh penyair terdapat dalam sajak-sajak penyair angkatan baharu seperti Penyair  Alissa Humayra, melalui sajak “Lewat hari Itu” mengungkapkan tentang kealpaan generasi selepas 50 tahun merdeka. Sajak “Wanita” menjelaskan peranan wanita dalam kehidupan. Penyair Azad A.S, melalui sajaknya “Merisik Suara Di Hujung Waktu” menjelaskan
peranan penyair ke arah mencari kebenaran. Sajak “Enigma” menjelaskan tentang kehidupan di dunia dan di akhirat, jasa dan sejarah seseorang akhirnya dilupakan.


 Penyair Hasejati, melalui sajaknya “Aku Punya Cinta” bahasanya segar puitis mengungkapkan perkara biasa iaitu tentang cinta daripada sudut yang berbeza dan lebih bermakna. Sajak “Diari Rindu 1” juga mengambil perkara yang biasa seperti langit, awan dan angin ciptaan-Nya yang menyedarkan penyair tentang kewujudan Pencipta. Sajak “Diari Rindu 2” juga memperkatakan tentang cinta dan kerinduan dari sudut yang berbeza. Kata penyair” “waktu adalah musuh cinta” memikat dan memberi makna yang pelbagai. Penyair Hasanah Yusoff, melalui sajaknya “Tak Apa Aku Pun Masih Begini” mengungkapkan ceritera dan dongeng kisah lampau yang banyak mengandungi pengajaran yang berguna. Penyair Sedah Md. Shariff, melalui sajaknya “Selamat Tinggal” dan “Ibu Seri Kandi” menjelaskan tugas kehidupan di dunia sebelum kematian serta peranan ibu.

Penyair Rahim Ali, melalui sajaknya “Benih Api 2” , “Yang Ku Ingat” dan “Menebang Balak” dengan kekuatan kalimat dan kata-kata puitis berjaya menyampaikan persoalan biasa diangkat menjadi besar seperti benih api-api dan penebangan balak.  Penyair Samsiah Mohd Nor, melalui sajaknya “Hijrah Musafir”, “Adam dan Hawa” dan “Qasidah Guru” juga mengangkat perkara yang kecil menjadi persoalan yang besar dengan garapan bahasa yang indah. Penyair Syamimi Aminollah, mengungkapkan tentang rasa cinta pada tanah air melalui sajaknya “Halaman Bonda” dan “50 Tahun Merdeka”.


 Penyair Wan Thowaibah Wan Ghazali, melalui sajaknya, “Wangian Ini Hanyalah Sementara”  mengungkapkan kisah hidup bak “wangian itu hanyalah sementara.” Sememangnya hidup adalah sementara. Melalui sajaknya “Ombak Tsunami” dan “Subuh Berdarah di Kuala Krau” adalah tentang dua peristiwa duka yang menggigit rasa kemanusiaan. Penyair Zairas/Nur Zai, mengambil perkara yang biasa iaitu melalui sajaknya “Penerokaku” dan “Ladang” jika digarap dengan bahasa yang lebih puitis sajak ini mungkin lebih berjaya. Penyair Yazidris, melalui sajaknya, “Janji Pasrah”, “Sesekali Diri” dan “Jalanan Terduga” seharusnya digarap dengan lebih mendalam agar peristiwa dan kesan rasa dapat meruntun pembaca.


 Penyair  Zaligani, melalui sajaknya “Daun-Daun Yang Gugur Ke Bumi”, berjaya mengambil persoalan kecil menjadi besar iaitu melalui daun-daun yang gugur ke bumi yang boleh ditamsilkan sebagai manusia. Sajak “Sungai Yeh… Kuala Sentul” tentang sungai yang dulunya jernih kini tercemar oleh kerakusan manusia. Begitu juga sajak “Kita Semakin Keliru” tentang keserakahan dan kebiadaban manusia. Penyair Zulkifli B. melalui sajaknya “Taman Insani” menjelaskan tentang Makah dan Madinah sebagai  taman idaman kunjungan tiap insan. Sajak “Kejernihan Yang Hakiki” tentang sungai yang tercemar oleh tuba haloba dan lelumpur kuasa. Sajak “Batu-Batu di Hadapan Kita” tentang masalah di hadapan kita yang wajar di selesaikan. Begitu juga dengan membuang batu dan duri di jalanan adalah pahala yang besar.


 Kekuatan tema dan persoalan serta kalimat yang menarik dapat dilihat melalui sajak-sajak penyair Hasejati, Rahim Ali, Zaligani, Zulkifli B, Samsiah Mohd. Nor, Wan Thowaibah Wan Ghazali, dan Maimunah Manan. Bakat dan kemampuan menggunakan bahasa yang puitis jika digilap dalam kalangan mereka ini akan menyerlahkan kekuatan penyair baru dalam DPMP. Tiada yang baharu maka tiadalah yang lama. Bagi penyair angkatan lama sewajarnya meneruskan penulisan mereka dengan mengambil tema/persoalan/ dan gagasan yang lebih besar untuk diperkatakan. Melalui tema dan persoalan yang digarap dengan bahasa yang indah akan menjadikan sesebuah puisi itu terkesan di hati pembaca. Penyair-penyair ini memilih bentuk pengucapan serta bahasa yang berkesan dan gaya bahasa yang sederhana tetapi indah dan memikat serta dapat difahami dan diterima oleh khalayak.


 Sesungguhnya, Allah itu indah dan mencintai keindahan. Manusia juga suka akan keindahan termasuklah keindahan kata-kata dan bahasa dalam puisi. Ungkapan yang indah akan memberi kesan rasa yang mendalam dan lama dalam pemikiran setiap pembaca. Sajak yang kemas, indah serta padat dengan kata-kata lebih berkesan penyampaiannya berbanding dengan sajak yang panjang tetapi longgar isi dan bahasanya. Unsur gaya bahasa amat penting dalam genre kesusasteraan. Melalui gaya bahasa yang indah dan menarik penyair atau pengarang dapat menyampaikan mesej kepada khalayak sastera.


 Seperti kata-kata Dr.’Aidh Abdullah Al-Qarni, (2008), seorang penyair umpama gunung berapi yang meletus yang mengeluarkan lahar dan abu yang sangat panas. Ia umpama banjir yang melibas semua yang melintang di depannya, menumbangkan pokok-pokok dan mencampakkan batu-batu yang ada. Ia memenuhi ruang dengan teriakan pengaduan, kemarahan dan pemberontakan. Ia mengirimkan qasidah-qasidah yang penuh dengan ratapan, jeritan, tangisan dan hikmat. Setiap hari ia menghujani telinga-telinga yang ada dengan berbagai-bagai pernyataan protes, kritikan dan kemarahan. Keindahan puisinya memaksa semua orang untuk mahu mendengarkan, membaca, menyaksikan dan menghayatinya.

Kekuatan kalimat melalui ungkapan kalimat indah dan kata-kata penyair yang baik mampu menegakkan prinsip, menggugah pemikiran, mengghairahkan semangat, melahirkan generasi yang dinamik, kreatif dan inovatif serta mampu membangunkan sebuah negara. Kalimat yang baik juga mampu membaiki jalan untuk menuju amal dan karya, serta mengambil iktibar daripada perkara yang telah berlalu yang boleh menjanjikan masa depan yang lebih cemerlang. Tiap-tiap sesuatu mempunyai perhiasan. Justeru, perhiasan kata-kata adalah kata-kata yang benar.


 Secara keseluruhan puisi-puisi dalam Hijrah Musafir memuatkan pendidikan akal budi dan nilai-nilai murni. Puisi-puisi ini menyebarkan ilmu daripada pengalaman penyair yang pelbagai. Segala suara bicara demi merealisasikan cita-cita dan harapan membina generasi masa depan yang berwibawa bagi mencapai mercu kecemerlangan di dunia dan di akhirat. Setiap penyair memiliki rasa keindahan terhadap alam dan kehidupan untuk dikongsi bersama oleh pembaca bagi menjalani kehidupan yang penuh mencabar.


 Sesungguhnya, setiap kata yang kita tulis akan dibaca difahami dan dihayati oleh para pembaca. Puisi yang sarat dengan ilmu, pengajaran dan pendidikan serta nilai-nilai murni pasti akan mendapat balasan di dunia dan akhirat. Pengalaman yang disaring melalui kata-kata yang indah akan menghampar hikmah. Puisi yang baik juga mampu mendidik peribadi murni orang lain ke arah kebaikan selaras dengan nilai-nilai murni menurut tuntutan Islam. Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Orang yang memberi petunjuk kepada kebaikan sama pahalanya seperti orang yang melakukannya.” (Riwayat Bukhari).


 Memetik kata-kata Penyair dan Sasterawan Negara Dr Muhammad Salleh (2002), ruang perjalanan juga ialah dunia yang sedang bergerak. Sebagai penyair dunia ini dikutip daripada apa yang dilihat dan apa yang dirasai, kilometer demi kilometer, pohon demi pohon, orang demi orang. Penyair juga mesti mencedok di sungainya dan dengan itu mengambil segeluk air yang sedang bergerak dan dengan berbuat demikian memberhentikannya untuk melihat ke dalamnya, untuk menggaris wajah dan jati dirinya.


 Perbuatan dan usaha menulis sajak ada persamaannya dengan perbuatan mencedok air kehidupan ini dan meminumnya, untuk dijelmakan dalam terjemahan kata-kata. Jadi, penyair menyusun beribu buyung air pengalaman, yang sekiranya dijumlahkan akan menjadi deretan pengalaman terpilih, dan berbayang manusia serta fikiran pengarangnya. Sajak tidak ada bangsanya, kerana makna harus melangkau puak, kewujudan ialah masalah dan anugerah bersama.

Pengkaji sengaja tidak menjurus dan memfokuskan kepada nama-nama penyair dalam antologi Hijrah Musafir. Apa yang dikaji dan diteliti adalah gagasan, tema dan persoalan, keindahan bahasa yang diungkapkan oleh penyair melalui puisi-puisinya. Semoga melalui pandangan yang ringkas ini sedikit sebanyak tergilap cahaya mutiara daripada sajak-sajak yang dibincangkan. Apa yang penting sedikit sebanyak pandangan pengkaji dapat dikongsi bersama oleh penyair dan penulis bagi memantapkan lagi karya yang dihasilkan pada masa depan demi kebaikan manusia sejagat.


PENUTUP

Hakikatnya, penyair-penyair Pahang di bawah naungan DPMP puisi-puisi mereka mempunyai kekuatan daripada segi tema/persoalan, mesej yang ingin disampaikan, gaya bahasa, pengucapan kata-kata mengandungi pancaran seni yang indah. Apa yang diharapkan karya yang besar tidak akan menjadi besar sekiranya tidak dibaca dan disampaikan kepada khalayak pembaca. Oleh itu, setiap penyair wajar berjiwa besar, berusaha mengungguli karya mereka dalam penerbitan yang ternama di tanah air dan berwibawa seperti Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat, Pelita Bahasa, dan akhbar-akhbar popular di tanah air seperti Berita Harian, Mingguan Malaysia yang menyiarkan sajak. Insya Allah.


Penulis ialah penyair, penulis bebas kolum Minda Harian Metro, mantan setiausaha DPMP Pahang dan DPMP Cawangan Temerloh, berkelulusan PhD Persuratan Melayu, UKM, Bangi.