TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Tuesday 16 August 2011

MEMBACA RAMADAN 3


MEMBACA RAMADAN 3
: Allâhumma waffiqnî fîhi lumuwâfaqatil abrâr, wa jannibnî fîhi murâfaqatal asyrâr, wa âwinî fîhi birahmatika ilâ dâril qarâr, bi-ilâhiyyatika yâ Ilâhal ‘âlamîn.

[ Ya Allah, bimbinglah daku di dalamnya untuk meniru orang-orang yang berbuat kesalehan. Jauhkan daku di dalamnya dari berteman dengan orang-orang yang berbuat kejahatan. Kemba­likan daku di dalamnya dengan rahmat-Mu ke dalam kediaman yang abadi dengan ilahiyat-Mu wahai Tuhan semesta alam.
(Mafâtihul Jinân: bab 2, pasal 3)]

Sajak: Arisel Ba

Bismillahirrahmannirrahim, Ramadan ini adakah musim terakhir aku membiarkan lapar membiarkan dahaga atas setia dan cinta kepada-Mu?, ya Rabbi, nikmat daripada rahsia yang maha rahsia sesungguhnya menahan nafsu di siang hari dan ibadah dengan solat, solat terawih 18 + 3 witir, zikir ke larut Subuh, bertadarus mengulang-ulangi membaca al-Quran yang suci, masih lagi aku membaca Ramadan sedang sekujur diri ini umpama sebutir debu di pusaran angin nafsu, tercapaikah aku memahami makna sebenar rahsia 30 hari berpuasa?, siangnya kering perit haus dahaga, derita pedih lapar itu.

Ya Allah, Mualim berkata kepadaku: Ramadan itu sebuah telaga bening airnya seperti mutiara maghfirat beralunnya zikir dan tadarus, sedang tebing telaga itu lembut, lirih dan pasrah. Jadi siapa tidak ingin menjadi ikan akuarium berenang dengan sunyi nafsu sedang sirip tidak patah dalam perenangan istirahat tidak menjadi sia-sia, dan kali bekali aku mengangkat dua ruas tangan menadah jari-jemari ini berdoa memohon ke hadrat-Mu, ya Allah, kadangkala memaksa Yang Esa Maha Mengasihani mengabulkan permintaanku supaya usiaku lebih lama hidup di bumi ini, tubuhku disihatkan, rezekiku dimewahkan, ibadahku diterima di sisi-Mu tanpa aku mengharapkan balasan syurga-Mu, ya Ilahi, kerana aku tahu bahawa aku hanya sebutir debu di bumi-Mu.

Tatkala aku masih membaca Ramadan ini, bulan mulia di sisi-Mu, ya Tuhan Yang Maha Kuasa, kuping telinga ini berdesing dengan seruan Asma-Mu daripada empat arah angin, timur, barat, utara dan selatan melangit dan membumi menyedarkan aku mencari jalan lurus suci yang Kaujanjikan, ya Rabbi, dan aku mengharap reda-Mu mempertemukan malam Lailatul Qadar biarpun pelbagai rintangan menanti, doaku semoga Ramadan ini jika tidak bertemu dengan malam indah itu, Ya Ilahi, aku sujud dihadapan-Mu memohon keampunan, semoga menghadiahkan aku dalam suasana fitri yang Kauredai. Amin…

16 Ogos 2011,
Kuantan, Pahang