TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Wednesday 27 April 2011

SUNGAI JELAI 3


          : Setelah 40 tahun meninggalkannya
Sajak: Arisel Ba

tatkala aku mencambahkan kenang, Sungai Jelai
Bandar Kuala Lipis ditatap dari pelipisan mata
Sejarah berdarah perkelahian tanpa penyudah, ilu durja

Perkelahian tersohor pada abad kelapan belas, silam
Permusuhan demi maruah, darjat, daulat dan dendam
Orang Kaya Haji Wan Daud ditembak sepupu sendiri
Dan malapetaka deras datang mencengkam bumi
Kuala Lipis merangkumi seluruh Lembah Jelai
Hugh Clifford tampil penguasa konon wakil Sultan Pahang
Bermula era melombong emas dan timah, menoreh jelutung,
Menebang gaharu, menulis tabiat orang Melayu dan sakai
Hasil bumi dipunggah ke England atas nama penjajah, kejam

Era darurat tatkala Bintang Tiga mabuk kuasa
Selepas Jepun tewas dalam Perang Dunia Kedua,
Terkenal dengan kuasa tadbir empat belas hari, menjana
Politik lembu, lembu politik antara Melayu dan Cina
Di atas kuasa mahkamah rakyat di bawah pohon beringin
Di tebing Sungai Jelai warisan, orang Melayu orang Cina
Dituduh sebagai tali barut Jepun, lalu ditembak, disula
Dan tubuh mereka dihumban ke Sungai Jelai yang rawan
Alir air jernihmu berubah memerah darah hanyut ke muara
Sementara Bintang Tiga bertempik kuasa sorak gembira
Dendam kesumat berbalas sudah dan lenyap bersama zaman

Kini Sungai Jelai,  airmu masih keruh, lesu, buram dan sayu
Walau ada jambatan mercu pembangunan setempat dan maju
Menjana bandar Kuala Lipis yang masih belajar mengisi makna
Bandar penuh dengan cerita sejarah dan tinggalan tamadun bangsa

27 April 2011,
Kuantan, Pahang