TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Friday 23 September 2011

PEMIKAT DAN MERBUK




Elvy Sukaesih - Burung Dalam Sangkar




Sajak: Arisel Ba

Sepi sebuah jebak
Ketawa pemikat berdehak
Racik pun menanti, pagi
Racik pun menanti, petang
Racik pun menanti, senja
Singgah datang merbuk liar

Si denak merbuk
Di dalam jebak mengirai bulu
Bersiulan, bersiulan, bersiulan
Si denak merbuk
Bersiulan, bersiulan, bersiulan
Di dalam sangkar layang
Mengirai bulu
Bersiulan, bersiulan, bersiulan
Bahasa merbuk

Kelmarin, hari ini, esok, lusa
Si merbuk bersiulan
Dari dalam jebak
Menjadi denak
Bersiulan, bersiulan, bersiulan
Si pemikat di sebalik semak
Berkepul-kepul asap rokoknya

Suatu hari yang malang
Bagi merbuk liar
Datang singgah memijak racik
Lalu menggelepar, terkapar diam
Si merbuk denak mengangguknya
Dan bersiulan lagi

23 September 2011,
Raub, Pahang


Tuesday 20 September 2011

TATKALA MENYEDUT PIPA: ASAPNYA MENJEREBU BUMI MALAYA




Lagu Patriotik - Azhar Shariff - Malaysia Berjaya




TATKALA MENYEDUT PIPA:
ASAPNYA MENJEREBU BUMI MALAYA
Sajak: Arisel Ba

Tatkala aku menyedut putih asap dari sebatang pipa tembakau membaca Pahang, Malaya, Serawak, Sabah dan aku mengeja SATU MALAYSIA, menangkap desah nafas dan resah hidup 26 juta orang rakyat digulatkan igau dan mimpi masih belum melepasi sembilan cabaran gagasan Wawasan 2020, menggapai 70 juta orang umat Negara dibungkus ekonomi bebas politik terpimpin, sosial…. Sabar dulu kini era transformasi, transformasi ekonomi, transformasi politik, transformasi sosial, masih ada yang belum beres, kerana perjuangan seseorang atau banyak orang masih belum sempurna.

Dan di langit, Measat 1 dan Measat 2 ketika mengumpul data Koridor Raya Multimedia, satu, dua, tiga… dan lebih ratusan pemain politik sedang mengangkang dan berak atas kepala rakyat jelata, dengan perkhabaran baik amat sedikit sedang virus fitnah menyesakkan nafas. Negaraku Malaysia masih menjadi lubuk emas pendatang asing, maaf, aku mahu bertanya siapakah dalang-dalang yang membawa masuk pendatang asing lebih dua juta dari Indonesia dan lebih setengah juta dari Bangladesh, transformasi sosial… sabar dulu, ada yang belum beres atas perjuangan seseorang atau banyak orang masih belum sempurna.

Menyedut putih asap dari sebatang pipa tembakau dan masih aku dengar jeritan pohon-pohon di rimba belantara, tumbang manakala bukit demi bukit digondol, udara berjerebu, sekali sekala tanah runtuh banjir kilat aku menatap ribuan gadis bohsia bunting selepas tidur dengan teman lelaki, atau sugar daddy atau diperkosa secara paksa, kesannya buang anak di mana-mana juga, tepi jalan, stesen bas, dalam tandas awam, tepi surau, pintu pagar rumah banglo, sedang masih ada usaha mewujudkan bank bayi, bank air mani, tidak cukup  dengan bank darah, aku diberitahu ada lebih 20,000 orang pembawa virus HIV, 60 peratus daripadanya remaja belia, dan masih semarak jenayah juvana, sabar…. Sabar dulu, ada seseorang atau banyak orang masih belum beres dan sempurna perjuangan mereka.

Bunga-bunga bangsa di bumi Malaya dalam alaf transformasi sosial teknologi maklumat gemar melepak, seluar dan bayu koyak rabak, kepala rambut mencacak, pikul gitar ke hulu ke hilir, tenggelam dalam irama disko, rock kapak, dangdut, menelan beratus pil-pil khayal, ligat goyang pinggul, pasar tubuh bagai belut, geleng-geleng kepala, berkunang-kunang mata mereka kuyu dan tubuh lesu di bawah papan iklan berlampu neon, atau di bawah jambatan atau di lobi pasar raya atau di terminal bas berjuta-juta harapan murni ibu bapa musnah, sembalau, suara yang kacau lalu berkumandang suara terkejut gejala sosial, gejala ekonomi, gejala politik, semua penyakit di bumi Malaya bermula dari rumah kita sendiri, malu….ah, sosial…. Sabar dulu, ada yang belum beres perjuangan seseorang atau banyak orang masih belum selesai.

Inilah sajakku: sajak orang-orang terpinggir dalam menyatakan keberanian bersuara daripada persoalan dan masalah bumi Malaya yang nyata apalah makna sekadar melolong melengking keras digelapkan malam memukul canang sumbing, konon mencari diri kerana di mana-mana masih wujud sikap pilih bulu, bulu apa, ah apakah maknanya aku menjerit, memekik di depan forum langit jika fikiran-fikiranku sekadar menjadi lelucon mereka yang sengaja membutakan akal terhadap gejala sosial ini…. Sabar dulu, ada yang belum beres perjuangan seseorang atau banyak orang masih belum sempurna. Noktah.

20 September 2011,
Raub, Pahang


Thursday 15 September 2011

Za’ba pelopor dan perintis penulis guru.




Za’ba pelopor dan perintis penulis guru.
OLEH DR AMINUDIN MANSOR.

Bidang penulisan sangat akrab dengan guru. Perjuangan dalam bidang penulisan dulu menggunakan mata pena dan mesin taip kini komputer bagi menegakkan kebenaran dan pendidikan. Begitulah juga bidang perguruan menggunakan mata pena, kini komputer  sangat akrab dengan bidang penulisan.

Justeru, salah seorang pelopor dan perintis kepada penulis guru ialah Za’ba yang banyak menyumbangkan tulisannya dalam bentuk buku, rencana dan juga karya sastera. Beliau menjadi perintis dan pembuka ruang kepada guru-guru untuk menceburkan diri dalam bidang penulisan. Melaluinya bidang sastera berkembang luas dan menjadi wadah kepada pembangunan bangsa dan negara.

Za’ba adalah nama pena untuk Zainal Abidin bin Ahmad. Beliau dilahirkan pada hari Isnin, 16 September 1895 bersamaan 26 Rabiul Awal 1313 Hijrah pada jam 12.30 tengah hari di Kampung Bukit Kerdas, Jempol, Negeri Sembilan.

Tradisi intelektual yang diwarisi oleh Za’ba daripada bapanya, Ahmad bin Ibrahim (1864-1927) yang dilahirkan di Linggi dan mendapat didikan agama serta pelajaran membaca dan menulis jawi daripada bapa saudara sepupunya, Haji Jamaluddin bin Haji Idris.

Minat yang mendalam dalam bidang keilmuan diturunkan kepada Za’ba dan diwarisinya dengan sebaik mungkin. Za’ba banyak membaca hikayat Melayu yang menaik minatnya dalam bidang penulisan. Minatnya terhadap membaca dan menulis menjadi semakin serius sejak di sekolah rendah lagi. Za’ba menjadi Guru Pelatih kemudiannya memasuki Sekolah Inggeris di Seremban walaupun layak ke Malay College Kuala Kangsar (MCKK) disebabkan beliau lewat membuat pilihan dan tempat terhad hasrat tersebut tidak kesampaian.

Beliau berjaya dalam sijil Preliminary Cambridge (1913), Standard Seven Examination dan Junior Cambridge (1914) serta Senior Cambridge (1915). Za’ab menjadi guru dan berkhidmat dengan Kerajaan Johor pada 1 Jun 1916,walaupun cita-cita asalnya ingin menjadi doktor. Semasa menjadi guru beliau banyak membaca dan menulis terutama tentang kemunduran Melayu dan masalah pendidikan anak-anak Melayu.

Beliau menggunakan nama pena “Za’ba”, “Patriot”, dan “Anak Melayu Jati”. Beliau menulis meliputi semua bidang sosial, ekonomi, politik dan juga pendidikan. Kemahirannya dalam Bahasa Inggeris, Arab dan Melayu memudahkan beliau meluaskan lagi bidang pembacaan dan penulisannya.

Pada 3 Oktober 1918, Za’ba berpindah kerja ke MCKK dan dinaikkan pangkat menjadi Penolong Nazir Sekolah-Sekolah Melayu Pahang. Kemudian bekerja sebagai penterjemah dan pengarang buku teks untuk sekolah Melayu. Pada 1924 Pejabat karang Mengarang Sultan Idris Training College (SITC) dibentuk dan beliau menjadi Ketua Pengarang dan Penterjemah Kanan.


Masa Za’ba banyak dihabiskan dengan menulis dan menterjemah risalah, buku dan bahan berita. Beliau juga menulis rencana yang membicarakan mengenai bahasa, sosioekonomi dan agama masyarakat Melayu yang tersiar dalam akhbar Perak Shimbun, Betita Perak dan Fajar Asia.

Pelbagai buku-buku ilmu bahasa Za’ba berjaya diterbitkan antaranya: Ilmu Bahasa Melayu 1 (1927), Ilmu Bahasa Melayu II  (1927); Rahsia Ejaan Jawi (1930); dan Ilmu Mengarang Melayu (1934), Rahsia Ejaan Jawi II dan Kamus Bahasa Melayu. Umbi Kemajuan atau falsafah Takdir(Sukatan Azali) dalam Agama Islam (1932), buku terjemahan Pendapatan Perbahasan pada Kejadian Perbuatan dan Perusahaan (1934). Pelita Bahasa Melayu (Jawi)- Penggal 1 (1940), Umbi Kemajuan bagi Bahasa Melayu (Jawi)- Penggal 1 dan 11 (1940); dan Daftar Ejaan Melayu – Jawi dan rumi (1941). Sumbangan penulisannya juga  tetap diteruskan dalam Majalah Guru (1924-1931), Majalah Malaya ,Pulau Pinang (1926), Al-Ikhwan,Pulau Pinang (1026-1930), Semangat Islam, Pulau Pinang (1930-1932), Bulan Melayu, Johor Baru (1930-1933) dan Saudara Pulau Pinang (1931).

Za’ba menjadi pensyarah Bahasa Melayu di School of Oriental and African Studies (SOAS) di Universiti London 1947-1950. Tugas Za’ba mengajar bahasa Melayu kepada bakal pegawai British yang akan berkhidmat di Tanah Melayu. Beberapa buah buku terjemahan hasil penulisannya pada saat terakhir iaitu Tawarikh Tanah Melayu (1961), dan Kalong Bunga I dan II.

Sebagai penulis guru beliau adalah pendorong kepada penulis lain dalam kalangan guru selepasnya. Beliau juga terus menulis dalam majalah Qalam, Mestika dan Juita. Beliau juga menyumbangkan fikirannya melalui ceramah, syarahan dan forum yang dianjurkan oleh badan-badan tertentu atau pun melalui Radio Singapura. Minat utama Za’ba masih dalam bidang penulisan hingga ke akhir hayatnya iaitu pada 23 Oktober 1973 dalam usia 78 tahun.

Hamka pernah menyatakan, Za’ba telah banyak berjasa menjaga bahasa Melayu agar jangan terlepas kaitannya dengan roh dan jiwa Islam dan dia pun seorang islam yang berhaluan Kaum Muda dan berfaham menurut ajaran Jamaluddin Al-Afgani dan Muhammad Abduh.

Menurutnya, Za’ba adalah derma termahal yang diberikan oleh Islam ke dalam Kesusasteraan Melayu Moden. Za’ba adalah laksana jambatan yang melaksanakan di antara perbendaharaan Melayu lama dengan perkembangan bahasa moden.

Semangat dan kegigihan beliau ini akhirnya mendorong ramai  dalam kalangan guru dan pendidik menjadi penulis, Mereka kebanyakannya terdidik di Maktab Perguruan Sultan Idris Training College (SITC) pada 1922, kini Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Dalam sastera Melayu dan sumbangan penulis guru sangat besar antaranya Harun Muhammad Amin (Harun Aminurrashid) yang berjaya menulis sembilan buah novel.

Antara novelnya ialah Melur Kuala Lumpur (1930), Dewa Lombong Minyak (1947), Darah Kedayan (1947), Cinta Gadis Rimba (1948),  Korban Kinabalu (1948), Dayangku Fatimah(1948), Sebelum Ajal (1949), Siapakah Yang Bersalah (1949).

Manakala Abdullah Sidek menghasilkan sepuluh novel antaranya, Bercinta yang Tidak Berfaedah (1934), Siapakah Pembunuhnya (1934), Pencuri yang Licin (1937), Duri Perkahwinan (1938), Iblis Rumah Tangga (1939), Gelombang Hidup (1940), Semangat Yang Tercuri (1940), Mari Kita Berjuang (1941), Gadis Hulu Muar (1941), Berjanji Di Kereta api(1942).

Sementara penulis novel lain seperti Ahmad Bakhtiar ( 6 novel), Ahmad Murad Nasaruddin (5 novel), Ahmad Kotot ( 2 novel) iaitu Hikayat Percintaan Kasih Kemudaan (1927), danSejarah Tanjung Besar (1936), Muhammad Yassin makmur (1novel) dan Muhammad Rakwi Yusof ( 1 novel). Kebanyakan novel mengisahkan kisah masyarakat, masalah sosial kehidupan orang Melayu pada zaman itu.

Dalam bidang cerpen lahir nama-nama seperti Harun Aminurrashid, Kamsani Haji Arif, Mohd Yusof Arshad, Abdullah Yahya, Melati Serawak, Mahmud Arshad, Yusof Adil, Abdullah Sidek, dan Ibrahim Haji Yaakub.

Sumbangan penulisan sajak oleh Muhammad Yassin Makmur (Pungguk), Harun Aminurrashid (Atma Jiwa), Embong Yahya (Ngumba), Muhammad Yusof Awang, Mahmud Ahmad, Kamsani Haji Arif, Yusof Arshad dan Yusof Harun.  Terdapat juga sumbangan dalam bidang kritikan sastera oleh Keris Melayu, Muhammad Yusof Arshad dan Ngumba.

Selepas itu, beberapa nama antaranya yang pernah terdidik di SITC antaranya Mokhtar Yassin, Awang Had Salleh, Masuri S.N, Mohd Nor Long, Suratman Markasan, Sahmad Malaya, Arman Sani, Kemala, Othman Putih dan banyak lagi terdiri daripada kalangan penulis muda yang kini masih bergiat aktif dalam bidang penulisan.

Hakikatnya, peranan dan sumbangan Za’ba tidak boleh dinafikan dalam perkembangan penulisan khususnya memberi inspirasi kepada kalangan guru yang berminat. Perjuangannya dalam bidang bahasa, sastera dan juga persuratan telah mengangkat martabat kaum guru di Malaysia

Penoreh Jerih


Penoreh Jerih
Sajak:  Aminudin MansorSajak

Menanti subuh berlabuh
Pisau penoreh dan lampu suluh
Baldi dan semangat sungguh.

Maka, pada pagi itu
Berjalan ia ke kebun jauh
Kebun orang; tanah getah orang
Dirinya hanya kudrat semangat.

Tiba-tiba di tengah perjalanan
Hujan melebat rahmat
Dalam dirinya hujan bercucuran
Tak dapat menoreh lagi
Pohon dan torehan kebasahan.

Penoreh tetap jerih
Esok berbekal semangat baru
Berjalan meredah hutan lalang
Ke kebun getah memburu susu getah
Yang menjadi wang
Yang menjadi buku sekolah
Yang menjadi sayur-sayuran
Yang menjadi ikan kering
Yang menjadi sardin
Yang menjadi belanja harian.

Dalam ribut hujan menggila
Semangatnya tetap terus menyala
Membakar nyala hidup sekeluarga.

-AMI MASRA
Kerdau, Pahang DM

Sunday 11 September 2011

KUALA LUMPUR




Lagu Alleycats 82 - Senyumlah Kuala Lumpur





Sajak: Arisel Ba

KUALA LUMPUR       kota kejam kota buta makna kejam
KUALA LUMPUR       kota kejam kota buta makna kelam
KUALA LUMPUR       kota kejam kota buta makna malam
KUALA LUMPUR       kota kejam kota buta makna dendam
KUALA LUMPUR       kota kejam kota buta makna lebam

KUALA LUMPUR       negara serigala
KUALA LUMPUR       alam bapak-bapak serigala
KUALA LUMPUR       dunia ibu-ibu serigala
KUALA LUMPUR       buana anak-anak serigala

Bagaimana
                   Jika aku
                                      Menjadi KUALA LUMPUR
Mampukah?
                   Aku menyumpah
                                      Bagai si Tanggang tersumpah

2011,
Kuala Lumpur