TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Tuesday 2 August 2011

SATE KAMBING PALEMBANG



SATE KAMBING PALEMBANG
Sajak: Arisel Ba

Malam ini aku memanggil seribu kenang
Telah menjadi monumen sejarah pejuang
Dan ketika mengatur langkah kaki nyeri
Aku mencari menu makan malam mandiri

Dari hotel melabuh di kaki lima Gramedia
Ketemui penjaja sate melayan pelanggan
Sedang membakar sate rezeki berganda
Aku perhati penjaja lincah menghidangkan

Sate kambing Palembang sebelum dibakar
Akan diaduk-aduk dengan bumbunya
Kemudian dibakar di atas bara memijar
Mengipas, bara menyala, aroma selera

Lontongnya digulung daun pisang hutan
Supaya senang dihiris dan dihidangkan
Kicap kuah sate dalam botol dituang
Di atas lontong , sate kambing Palembang

Aku makan sate kambing Palembang
Dua puluh lidi sate sehingga kenyang
Esok aku akan segera bersiap pulang
Membina pengalaman menjana kenang

20 Julai 2011,
Kota Palembang,
Sumatera Selatan

Nur Ramadan, Melebat Keberkatan.



Nur Ramadan
Melebat Keberkatan.
Sajak: Ami Masra

1.
Malam-malam terawal
Rahmat untuk umat
Pintu-pintu syurga di buka
Hamparan kebaikan puasa
Pada awal malam pertama
Tak ditutup hingga malam terakhir
Setiap sujud, Allah mencatat ganjaran
Seribu tujuh ratus kebaikan
Bahagia dalam lazat nikmat.

11.

Malam-malam pertengahan
Terhimpun keampunan
Jujur dan seikhlas hati
Allah ampunkan setiap dosa
Hingga hari terakhir Ramadan
Doa ,zikir, wirid dan witir
Terucap nikmat basah di bibir
Hingga menjelang waktu subuh
Dengan Rahim-Nya dan keampunan
Tersepuh kesempurnaan insan.

111,

Malam-malam terakhir
Pelepasan api neraka
Setiap hari; ketika kita berbuka
Sejuta roh dari api neraka
Dibebaskan sepanjang Ramadan
Berdoalah umat Muhammad
Sedia setia bermunajat
Jauhkan daripada azab
Yang maha pedih.

Rahmat, keampunan dan pelepasan
Terhimpun di rimbun Ramadan
Kitalah pencari kesejahteraan.

 UKM, Bangi, Selangor

GELIAT WAKIL RAKYAT 1




GELIAT WAKIL RAKYAT 1
Sajen: Arisel Ba

Selepas terpilih menjadi Wakil Rakyat
Pertama kali dia diwawancarai
Oleh ramai wartawan, ramai wanita daripada lelaki
Dari stesen TV, akhbar cetak dan elektronik

Seorang wartawan bertanya:
“Yang Berhormat ada e-mel?”

Dengan tangkas Wakil Rakyat menjawab
Walaupun dia tidak tahu apa itu ‘e-mel’,
“ Dulu saya ada banyak e-mel
Tetapi sebahagianya telah saya jual
Untuk membiayai belanja Pilihan raya,
Dan sebahagian lagi didermakan kepada rakyat
Maklumlah, masih ramai rakyat perlukan e-mel!”

Wartawan-wartawanis tekun menulis sesuatu
Dalam buku nota mereka sambil menahan ketawa

2 Ogos 2011,
Kuantan, Pahang