TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Tuesday 22 March 2011

OPERASI ODYSSEY DAWN 2


OPERASI ODYSSEY DAWN 2
          : Tragedi Libya
Sajak: Arisel Ba

Dendam imperialis Bush dan Blair kembali dijana Obama dan Cameron dengan Libya sebagai objek perang demi merebutkan mutiara hitam di Gurun Sahara, lalu terjadi jenayah perang dan pembunuhan sesama manusia atas restu PBB dan Liga Arab sehingga hari ini sebanyak 124 buah peluru berpandu Tomahawk direjam dari kapal perang , kapal selam dan jet pejuang Tentera Bersekutu (USA + UK + Perancis + Itali + Kanada) berhati kering.

Agendanya, Muammar Gaddafi mesti dibunuh lalu armada perang Barat melancarkan gelombang kedua bedilan daripada udara dan laut , dan satu peluru berpandu Tomahawk dihalakan ke kediaman Gaddafi di Bab al-Aziziyah sehingga hancur lebur dan khabarnya seorang anak Gaddafi dilaporkan terbunuh.

Laksamana Bill Gortney menyatakan bahawa Libya telah lumpuh, tiada lagi aktiviti penerbangan dan sudah tidak dikesan pancaran radar yang baru, sedang bumi Libya masih terus bergelora, terbakar, rakyatnya bertelagah sesama sendiri manakala hati umat Islam di 23 buah negara Arab membara dendam atas gelagat Obama dan Cameron.

22 Mac 2011,
Kuantan, Pahang