TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Sunday 12 June 2011

AWAK-AWAK LAUT DALAM



Sajak: Arisel Ba

Pagi ini berdiri aku di pantai Balok
Mata hati di laut lepas
Prihatin mendekap denyut nafas
Kerana harga minyak diesel melonjak
Dari seringgit dua puluh sen
Kepada seringgit lapan puluh sen
Kesannya mereka rugi RM7,000 sebulan

Tauke-tauke nelayan laut dalam mogok
Unjuk rasa meraih simpati menteri kabinet
Sedang aku memancing makna laut
Dengan desah ombak dan mainan ribut
Di pantai, awak-awak laut dalam memukat
Seekor ikan pun mereka tidak dapat
Apalagi aku berjoran pancing bengkok
Dengan umpan anak ikan kekek

Bagaimana nasib anak dan isteri awak-awak
Tanpa rezeki untuk tempoh tiga hari
Apakah nanti mereka hanya makan siang?
Sedang malam mereka menguliti mimpi ngeri
Dan sudah pasti harga ikan segar melonjak
Aku di pantai ini merenung jauh laut kosong
Helang pantai melayah rendah, mencari
Anak ikan buluh tidak lagi bermain buih petang

12 Jun 2011,
Kuantan, Pahang