TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Wednesday 23 March 2011

KUKUTIP ILMU GURU


KUKUTIP ILMU GURU
Sajak Aminudin Mansor @ -AMI MASRA

Dari terowong gelap terpancar sinar
Mendaki  bukit menuruni lembah payah
Menyusuri sungai hidup penuh pasrah
Segala-galanya itu berpandu ilmu guru.

Pancaran ilmu guru ke akal hatimu
Menghidup minda suci jiwa nurani
Usah sia-siakan umur di badani
Ilmu yang ada berbakti dimanfaati.

Cahaya ilmu di dada cekal di akal
Tabah sabar tika menempuh terjal
Ilmu dipelajari amal bawa hikmah
Iman takwa di sejadah hemah.

Pahatkan cita-cita perkasa mulia
Takwa itu titik matlamat utama
Orang beriman melayari bahtera
Cinta bahagia ke pelabuhan syurga.

Ilmu tempatnya bermukim di dada
Menjadi taman kebanggaan manusia
Tidak takbur riak menggapai cita
Teranglah cahaya penyuluh segala.

Jangan tertipu oleh helah dunia
Bersabar di hati jika di hina
Sifat tamak akan membunuh jiwa
Jauhi juga segala sifat prasangka.

Kutiplah segala ilmu gurumu
Ilmunya memahami hakikat kemajuan
Mencari kebenaran tanpa jemu
Terang benderanglah jalan kehidupan.

DPMP Kuala Lumpur, 2010.




BIODATA:

AMI MASRA nama sebenar Dr. Aminudin Mansor. Mantan guru cemerlang. Pernah bertugas sebagai pendidik selama 35 tahun, berkelulusan PhD Persuratan Melayu, UKM, Bangi, Selangor. Sekarang penulis bebas sepenuh masa. Mula menulis sajak sejak tahun  1968 hingga kini dan juga genre lain seperti cerpen, esei, rencana dan kritikan. Kini kolumunis Minda di Harian Metro. Sajak-sajaknya pernah tersiar di Berita Harian, Mingguan Malaysia, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Bahasa dan Pelita Bahasa. Pernah memenangi beberapa pertandingan puisi antaranya. Hadiah Puisi Esso Gapena, Hadiah Puisi Gapena/Shahpadu, Utusan Melayu/Public Bank, Anugerah Puisi Sejarah. Puisi 50 Tahun Merdeka DBP, Puisi Islam ke 3, Hadiah Utama Puisi Hari Guru Selangor. E-mel amimasra@gmail.com

OPERASI ODYSSEY DAWN 3



OPERASI ODYSSEY DAWN 3
          : Tragedi Libya
Sajak: Arisel Ba


Dikhabarkan, dalam tempoh masa 24 jam, lagi 12 buah peluru berpandu Tomahawk telah ditembak ke arah pangkalan tentera Libya dengan 80 serangan udara dicatatkan, Tripoli terus dibedil tanpa rasa belas kasihan, sementara tentera Libya terus memerangi pemberontak di Misrata dan Zenten, lalu Pemerintah Tentera bersekutu, Jeneral Carter Ham memberitahu, “ Kami mula mengurangkan serangan ke atas Libya, kecuali ada sesuatu yang luar biasa dan di luar jangkaan.”

Di Misrata, seramai 40 warga Libya terbunuh, manakala 300 cedera semasa Tentera Libya bertempur dengan pemberontak, dan Tripoli, Zuwarah, Misrata, Sirte dan Sebha terus direjam dengan peluru berpandu Tomahawk, di mana darah warga Libya tumpah mengalir membasahi gurun Sahara.

Aku pun menatap wajah demi wajah warga Libya berlumuran darah terdengar jerit tangis menahan pedih luka sedang Obama dan Cameron mencatur strategi apakah Muammar Gaddafi akan mampu bertahan sampai mati?, sedang Gaddafi dengan lantang memuntahkan kata, “ Gayang Uncle Sam dan sekutunya berwajah iblis!”

23 Mac 2011,
Kuantan, Pahang