TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Thursday 28 April 2011

PERKATAAN “KOI” ASAL DARI JERAM KOI.



PERKATAAN “KOI” ASAL DARI JERAM KOI.
Oleh: DR AMINUDIN MANSOR

Mengkaji asal usul darihal bahasa kebanyakannya mempunyai kaitan dengan sesuatu tempat. Begitulah dengan nama “Pahang” yang asal usulnya daripada pokok Mahang yang besar iaitu pokok Mahang atau Kemahang yang dikatakan boleh memuatkan 40 hidang untuk tempat orang makan yang berjumlah kira-kira 160 orang di atas tapak pokok itu ditebang.

Begitulah juga dengan nama “Jerantut” yang berasal dari Jeram Tut. Di Pahang banyak sungai yang mempunyai jeram. Antaranya Jeram Ampai di Kuala Tembeling, tempat para penentang penjajahan British mempertahankan Pahang sekitar tahun  1894. Selain itu, ada juga Jeram Koi yang dikatakan asalnya perkataan “Koi” yang membawa maksud
saya.

Perhubungan melalui sungai memang dikenali di Pahang khususnya melalui Sungai Pahang yang mengalir dari puncak air meleleh di Hulu Tembeling menghilir Ke Kuala Pahang diPekan. Ini dapat dihayati melalui lagu rakyat “Menghilir Di Sungai Pahang” nyanyian Roslan Madun.

Mengikut Sejarah Politik Pahang 1880-1935 tulisan Aruna Gopinath terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (1993) perkembangan politik utama di Pahang banyak peristiwa berlaku sejak pemerintahan salah seorang pemerintahnya yang terkenal iaitu Bendahara Wan Ahmad kemudian menjadi Sultan.

Mengikut catatan penulis British R. Braddel dalam JMBRAS,i, 1937, hlm 26. Sungai yang melalui kawasan tengah Pahang dan dianggap sebagai sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia adalah Sungai Pahang. Sungai utama tersebut bermula di pertemuan kuala Sungai  Jelai dan Tembeling, mengalir ke selatan hingga ke Temerloh sebelum bertukar arah ke timur dan melebar sebelum tiba di muara Kuala Pahang.

Menurut catatan W.B. Robert, F.A. Swettenham dan Hugh Clifford mengakui bahawa Sungai Pahang adalah sungai yang paling mudah dilayari di Semenanjung. Menurut Clifford di Sungai Pahang “pengangkutan ke hilir sungai terdiri daripada rakit-rakit yang diperbuat daripada buluh yang besar yang mengangkut para penumpang dan barangan ke destinasi mereka.”

Pada zaman itu, orang-orang Pahang menggunakan rakit atau lebih dikenali perahu kajang (perahu yang mempunyai atap daripada kajang) dari Hulu Tembeling menghilir ke Jerantut, Temerloh dan sampai ke Pekan. Perkembangan bahasa juga mengalir seperti air sungai tanpa henti.

Mengikut cerita, penutur di Hulu Tembeling, Kuala Lipis dan Jerantut menggunakan perkataan “Kaeh” bagi ganti nama diri saya. Apabila sampai ke Temerloh (yang asal daripada perkataan “Ter dan Merloh” yang membawa maksud tertidur sebentar kerana penat) perkataannya bertukar menjadi “Koi” dan di Pekan bertukar menjadi “Koai” atau “Kawan”. Sebutannya semakin lambat dan perlahan mengikut aliran air sungai yang  melalui jeram.

Mengikut Kamus Dewan (1996:691) Koi bermaksud perlahan-lahan atau berhati-hati (jangan tergesa-gesa) ketika melalui Jeram Koi, lama-lama perkataan Koi menjadi kebiasaan dalam sebutan Koi di Pahang yang membawa maksud (saya).

Hal ini pernah diceritakan oleh Tokoh Budayawan Pahang, Datuk Zakaria Hitam semasa hayatnya kepada penulis. Beliau yang pernah membuat penyelidikan di Hulu Tembeling dengan menaiki rakit dan perahu mengakui tempat-tempat tertentu mempunyai kaitan dengan aspek-aspek sejarah tradisional Pahang.

Menurutnya, para pelayar melalui sungai Pahang yang ada jeram terutama melalui Jeram Koi dengan bergalah dan berhati-hati bagi mengelakkan rakit atau (perahu kajang) terbalik atau pecah.

Sampai sekarang perkataan “Koi” masih digunakan di beberapa kawasan perkampungan dan juga di Temerloh yang membawa maksud (saya), terutamanya apabila bercakap sesama kawan rapat atau mereka yang berasal dari Temerloh. Di Kuala Lipis, Raub, dan Jerantut menggunakan perkataan “Kaeh”, di Pekan “Koai” atau “Kawan” yang amat sinonim dengan orang Pahang