TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Sunday 29 May 2011

POLITIK LEMBU, LEMBU POLITIK


POLITIK LEMBU, LEMBU POLITIK
Sajak: Arisel Ba

[ 1 ]

Politik lembu
Strategi pengikut diperbodohkan pemimpin
Dengan propaganda dan impian
Dengan 1Malaysia atau Malaysian Malaysia
Sedang realitinya arus manusia di dunia
Tetap mengharungi budaya ekonomi sebuana
Maka lali kita sedang di lembukan
Dalam arena politik lembu

[ 2 ]

Lembu politik
Sebagai pemberian lembu subsidi
Kepada orang-orang desa
Ketika hampir waktu Pilihan raya Umum
Atau pemberian lembu korban
Ketika Hari Raya Idil Adha
Atau lembu bajet wakil rakyat
Untuk Majlis Pemimpin Turun ke Desa

[ 3 ]

Kataku: selagi berjenama demokrasi berparlimen
Politik lembu mekanisme menghalalkan cara
Lembu politik wahana bujukan upaya
Jangan salahkan diri atau sesiapa
Jangan memfitnah atau mencerca
Redalah kerana itu sahaja pilihan yang ada

29 Mei 2011,
Kuantan, Pahang