TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Wednesday, 1 June 2011

Pedagogi pengajaran dan pembelajaran KOMSAS



Pedagogi pengajaran dan pembelajaran KOMSAS
OLEH DR AMINUDIN MANSOR


 Kesusasteraan Melayu telah menjadi komponen wajib dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) Bahasa Melayu di semua sekolah menengah (aliran sastera, sains, teknik, agama dan vokasional) di negara ini.  Para pelajar diwajibkan membaca dan mendalami buku-buku sastera Melayu tersebut.  Sehubungan  itu, penggunaan bahan sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kini dilaksanakan melalui KOMSAS.  Teks Komponen Sastera (KOMSAS) dalam Bahasa Melayu terdiri daripada puisi, cerpen, drama dan novel.

Pembelajaran Kesusasteraan Melayu sebagai komponen wajib dalam Bahasa Melayu dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai Mac 2000 (Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat) dan telah dinilai mulai tahun 2001, peringkat SPM dan tahun 2002, peringkat PMR.  Pendekatan pengajaran-pembelajaran subjek ini lebih bersifat makro/menyeluruh iaitu ke arah pembinaan pemikiran akal budi, yang banyak terpancar menerusi genre-genre tersebut.

Pelaksanaan komponen ini dalam mata pelajaran Bahasa Melayu sangat sesuai dan sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang mengandungi beberapa  tujuan, antaranya,

n                    pemikiran akal budi dalam kalangan para pelajar;
n                    meningkatkan kemahiran berbahasa dalam kalangan para pelajar;
n                    melahirkan para penulis yang kreatif dan kritis;
n                    meningkatkan kekuatan rohani, intelek, emosi dan jasmani;
n                   membolehkan para pelajar menguruskan emosi sendiri, mengehadkan perkembangan emosi negatif dan mengendalikan hubungan dengan orang lain.

Dalam hal ini, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)  hasil saranan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), melalui panel pemilihnya, telah menetapkan dua teks untuk digunakan di setiap tingkatan.  Teks-teks tersebut ialah sebuah novel (daripada pilihan empat judul) dan sebuah teks antologi yang bermuat 6 buah puisi tradisional, 6 buah sajak, 4 buah prosa tradisional, 6 buah cerpen, dan tiga buah drama.  Kesemua genre tersebut akan diajarkan dalam 56 waktu setahun.  Genre puisi (sajak dan puisi tradisional) akan diajarkan sebanyak 12 waktu setahun manakala genre yang lain hanya 11 waktu setahun. Kini teks KOMSAS telah memasuki pusingan kedua dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah. Semua pelajar diwajibkan mempelajari teks baharu mulai  2010 bagi Tingkatan satu, dua dan empat  bagi Tingkatan lima pada 2011, Tingkatan tiga 2012.

Sehubungan itu, diharapkan KOMSAS yang  dalamnya mengandungi genre novel, cerpen, puisi lama (pantun) dan baru (sajak) yang diajarkan di sekolah melalui teks pilihan KOMSAS berupaya memberikan pendedahan tentang falsafah akal budi yang luhur, nilai estetik dan keindahan, pengalaman baru, falsafah dan pemikiran yang terpancar dalam makna tersurat dan tersirat dalam puisi-puisi pilihan tersebut.  Hal ini demikian kerana, akan membentuk jiwa dan mendidik rasa kecintaan kepada beberapa genre.

              Terdapat beberapa pendapat yang mengatakan mengapa pelajaran kesusasteraan dianggap kurang penting. Ada pendapat mengatakan,  mata pelajaran kesusasteraan hanya diambil oleh pelajar lemah.  Di samping itu, pelajaran kesusasteraan tidak ada nilai ekonomi sehingga menyebabkan pelajar kurang meminatinya, dan juga masyarakat menganggap pelajaran kesusasteraan tidak penting dalam kehidupan masa depan. Pendapat dan pandangan ini seharusnya dibuang jauh-jauh dari lubuk hati, jika kita mencintai hasil seni sastera bangsa.

            Kementerian Pendidikan Malaysia (2001) kini Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), melalui Kajian Pembangunan Pendidikan 2001–2010 iaitu Perancangan Bersepadu Penjana Kecemerlangan Pendidikan menegaskan negara memerlukan ramai tenaga manusia yang mempunyai kepakaran dalam bidang sains dan teknologi.  Untuk memenuhi keperluan tersebut, sistem pendidikan telah menetapkan dasar 60 : 40 (Sains/Teknikal : Sastera).

            Hala tuju dunia pendidikan tanah air bagi menghasilkan individu-individu yang berpengetahuan tinggi, berkemahiran dan berkemampuan ke arah berteraskan sains dan teknologi khususnya dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi.  Di samping itu juga, kita perlu memiliki keteguhan dalam agama dan budaya bangsa yang ada dalam bahan kesusasteraan.

Dalam hal ini, Ali Ahmad (1994) menjelaskan; Kesusasteraan sebagai satu kegiatan kesenian mendapat perhatian penting oleh masyarakat.  Minat yang sedemikian mendalam, khususnya bagi masyarakat lama, mudah difahami, iaitu atas sebab tidak ada batas yang jelas antara kegiatan-kegiatan keagamaan, kesenian, dan ekonomi.  Pada zaman lampau, misalnya puisi (seperti pantun) atau perbilangan adat, digunakan ketika melaksanakan kegiatan ekonomi, budaya atau pendidikan moral.  Dewasa ini kegiatan sedemikian tidak berlaku lagi.

Pandangan ini sejajar dengan pendapat Roger Webster (2004: 16) yang menyatakan pengajian kesusasteraan dihubungkaitkan secara erat dengan alam pengalaman dan istilah-istilah yang berkaitan seperti “perasaan” dan “emosi”.  Oleh sebab itu, kajian sastera cenderung diletakkan bertentangan dengan sains dan sains sosial oleh persepsi subjek-subjek akademik, terutama sekali di institusi-institusi British.

Sementara itu, Rahman Halib (2000) menjelaskan masalah pembelajaran kesusasteraan Melayu masa kini  adalah disebabkan pelajar kurang berminat membaca sedangkan kemahiran membaca amat penting dalam menikmati karya sastera.  Sikap ini juga menjejaskan apresiasi pelajar terhadap karya sastera.

Selain itu, pelajar menganggap sastera tidak mendatangkan sebarang faedah kerana tidak mempunyai nilai ekonomi.  Tanggapan negatif ini menjejaskan minat, apresiasi dan penghayatan terhadap sastera.  Pelajar juga kurang memahami dan menguasai konsep-konsep sastera yang tertentu misalnya pelajar tidak dapat memahami konsep plot, sinopsis, metafora, personifikasi dan lain-lain lagi.  Kelemahan pelajar menguasai konsep menyebabkan pelajar sukar menjawab soalan peperiksaan yang berkaitan dengan konsep sastera.  Sikap dan minat terhadap sastera menimbulkan masalah dalam menentukan keberkesanan pengajaran kerana teks membosankan.

Namun, ramai sarjana berpendapat antaranya Shahnon Ahmad menyatakan,, pendidikan kesusasteraan ini penting dalam peranannya membina pemikiran dan sahsiah manusia kerana dalam kesusasteraan itu banyak mengandungi unsur-unsur mendidik nilai kemanusiaan yang tinggi.

Seni sastera menjadi nadi kepada tamadun bangsa mestilah boleh menyumbang ke arah pembinaan budaya yang besar.  Ciri-ciri kesusasteraan mestilah memperlihatkan wawasan yang jelas dan benar, mempertahankan kehalusan kesenimanan, mengadunkan pandangan alam dan garapan seni yang tinggi, dengan analisis dalam penerokaan setiap aspek keinsanan, boleh menghayati pergolakan jiwa dan emosi watak-watak yang ditonjolkan dan berketerampilan dalam penggunaan gaya bahasa sasteranya.

  Melalui sastera sesiapa juga dapat dididik menjadi pemikir dan pemerhati yang tajam lagi kritis mentafsir pengalaman-pengalaman yang bermakna serta dapat mencabar daya kreatif pihak yang mengukir karya sastera.  Selaras dengan sastera-sastera agung dunia, kesusasteraan kita mestilah merupakan sumbangan untuk memahami segala aspek kemanusiaan tanpa mengetepikan estetik dan idealisme.

 Secara jelas, segala kegiatan kehidupan pada zaman moden ini bersifat khusus.  Kesan daripada revolusi industri terhasil pembahagian tugas yang khusus bagi proses pengeluaran.  Semangat pengkhususan ini menular ke dalam lapangan ilmu.  Hal yang sama tidak terkecuali berlaku dalam kegiatan yang berkaitan dengan kesusasteraan.

  Sastera Melayu dewasa ini jelas dimajukan sebagai salah satu mata pelajaran yang diperkenalkan di semua peringkat pendidikan sekolah secara formal.  Atas dasar itulah Kementerian Pendidikan melakukan pembaharuan yang drastik dengan memasukkan komponen sastera dalam subjek Bahasa Melayu.  Disebabkan subjek ini merupakan subjek wajib yang diambil oleh semua pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima, falsafah dan pendidikan diajar dan dikaji semoga dapat diterapkan dalam pemikiran pelajar tanpa mengira kaum dan aliran pelajaran mereka. Cadangan menjadikan sastera Melayu sebagai satu mata pelajaran di universiti juga harus difikirkan bagi mendidik akal budi manusia. 

Permasalahannya, adakah teks genre sastera yang dipilih itu dapat membina akal budi setiap pelajarnya?  Hal inilah yang harus difikirkan dan dilakukan oleh pengkaji dan peneliti sastera dalam mengkaji bahan sastera yang sesuai dijadikan bahan P&P dan  kajian di sekolah bagi pembangunan akal budi pelajar. 

Ini sesuai dengan pendapat Sufean Hussin (2002) bahawa pembangunan bermakna kemajuan tamadun dan budaya, daripada daif dan jahil kepada keadaan hidup serba canggih dan berperadaban tinggi.  Pembangunan masyarakat dan negara meliputi dimensi pentadbiran, teknologi, ekonomi, sikap, ilmu, pemikiran, seni budaya, moral, dan kualiti kehidupan, yang memerlukan pembangunan akal budi seseorang manusia, yang dapat mengatur kehidupan dengan baik.

Pemikiran akal budi yang terpancar melalui kedua- dua genre tersebut,  dan genre lain  dapat memenuhi tuntutan falsafah pendidikan negara. Ciri-ciri pemikiran akal budi yang terpancar melalui kedua-dua genre tersebut, yang merangkumi nilai hidup manusia, seperti yang terpancar melalui akal, hati, bicara, daya dan bahasa (pekerti), yang menggambarkan budaya hidup orang Melayu tradisi dan moden. membentuk cara berfikir ke arah adab manusia yang baik.

Justeru,  pemikiran akal budi ini boleh dilihat menerusi; kata-kata, pemikiran, tingkah laku yang diterapkan menerusi pantun dan sajak serta genre lain.  Pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan di sekolah melalui subjek Bahasa Melayu membolehkan semua pelajar mempelajari pemikiran dan falsafah dalam pantun, sajak, gurindam, seloka, syair, cerpen, drama dan novel yang menjadi bahan KOMSAS.

Mengambil contoh, puisi seperti juga lagu yang didendangkan mempunyai makna dan seni kata yang indah telah terbukti berjaya mempengaruhi kanak-kanak sejak tadika hingga ke sekolah menengah.  Puisi yang disusun dengan tema dan persoalan serta mengandungi mesej ke arah pendidikan dan pembangunan akal budi sudah tentu berupaya mengajak manusia berfikir menggunakan kekuatan minda dan intelek ke arah pembentukan yang lebih sempurna dan beradab.


Pembangunan aspek akal budi yang merupakan unsur-unsur kemanusiaan penting bagi setiap manusia.  Penerapan falsafah dan pemikiran yang tersirat dalam puisi yang dipelajari khususnya dalam teks KOMSAS akan menghasilkan pembentukan insan yang sempurna seperti yang digariskan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia seperti berikut:

Kementerian Pendidikan Malaysia (2001), menggariskan Pembangunan Pendidikan (2001 - 2010) akan memberi tumpuan kepada pendidikan pra sekolah dan rendah, pendidikan menengah, pendidikan tertiari, program sokongan, pembiayaan pendidikan, pengurusan dan ICT dalam pendidikan.  Kementerian Pendidikan memberi fokus utama kepada aspek-aspek di atas kerana sebahagian besar isu dan cabaran yang sedang dan akan dihadapi dalam jangka masa 10 tahun perancangan adalah berkaitan dengan matlamat negara untuk melahirkan rakyat yang berketerampilan dalam pelbagai bidang terutama dalam bidang sains dan teknologi.

Pembangunan sumber tenaga manusia merupakan teras kepada kejayaan sesebuah negara.  Dengan tenaga manusia yang terdidik dan terlatih negara akan lebih mudah menghadapi sebarang cabaran yang datang.  Sektor pendidikan dan latihan adalah penting bagi memastikan sumber tenaga manusia negara dilengkapi dengan pelbagai ilmu dan kemahiran.  Sudah terbukti negara boleh membangun dan maju jika ia mempunyai sumber tenaga manusia yang berpengalaman dan berkemahiran tinggi serta berhemah.

Justeru, langkah Kementerian Pendidikan Malaysia membuat penilaian semula dan menjadikan bahan sastera iaitu teks KOMSAS dipelajari dalam subjek Bahasa Melayu akan membentuk pemikiran akal budi dan berbudaya serta keteguhan dalam agama dan budaya bangsa ke arah perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia pada masa depan, sebagai satu usaha yang baik.  Sesungguhnya, usaha ini dapat ditingkatkan lagi melalui kesedaran dalam kalangan masyarakat bahawa menerusi sastera dapat merealisasikan agenda yang berkaitan dengan hasrat Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan ke arah memantapkan perpaduan kaum di negara ini.

Kesinambungan daripada pendidikan kesusasteraan di sekolah, para peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) siri kedua yang telah dan sedang menjalani latihan juga didedahkan dengan bidang kesusasteraan di bawah seliaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).  Melalui usaha ini jelas menunjukkan kerajaan menekankan kepentingan pembangunan seimbang antara fizikal dan rohani kepada generasi muda yang bakal mewarisi negara ini.  

Dunia globalisasi tentunya mempunyai pelbagai ancaman dan dugaan kepada generasi akan datang.  Melalui pendidikan dan pembelajaran di sekolah khususnya pelajaran Bahasa Melayu yang menyediakan bahan seperti puisi-puisi lama (pantun) dan baru (sajak), cerpen, drama, prosa klasik dan drama yang terpilih dalam teks KOMSAS. Pembangunan insan dan akal budi dapat diterapkan dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima.  Kedua-dua aspek pembangunan fizikal dan mental penting bagi membentuk masyarakat yang bertamadun dan sanggup menempuhi cabaran dalam kehidupan. 

Justeru, tulisan ini ada signifikan dengan pembangunan manusia yang boleh dijadikan asas kepada sesiapa sahaja, agar subjek ilmu kemanusiaan seperti sastera boleh dimasukkan dalam kurikulum agensi-agensi kerajaan dan swasta bagi melatih  tenaga kerja dan sebagainya ke arah pembangunan akal budi.

      Aspek pembangunan manusia melalui P&P khususnya kepada pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima sangat penting, melalui teks KOMSAS.  Unsur akal budi serta tingkah laku yang terpancar melalui; akal, hati, bicara, bahasa, dan daya yang ditekankan dalam dasar pendidikan melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan Sukatan Pelajaran KBSM Bahasa Melayu. 

             Justeru,  penekanan kepada aspek pembangunan dalaman (akal budi) penting untuk mengekalkan jati diri bangsa.  Pembangunan akal budi masih penting bagi generasi masa kini dan akan datang bagi menghadapi dunia globalisasi yang penuh cabaran yang akan dilalui oleh mereka, seiring dengan pembangunan sains dan teknologi serta ekonomi. 

          Pemilihan genre puisi tradisional (pantun) dan genre puisi baru (sajak), syair ,gurindam, seloka, dan genre lain dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima yang menyentuh pembangunan akal budi yang meliputi; akal (minda), hati, bicara, bahasa (pekerti) dan daya seharusnya dijadikan tekis KOMSAS.

              Penelitian terhadap pembentukan akal budi ini sangat menarik untuk dikaji.  Apatah lagi ia berkaitan dengan isu pendidikan terhadap generasi muda, yang perlu mereka ketahui dan pelajari berpandukan bahan KOMSAS serta bahan sastera lain yang memancarkan pemikiran tentang panduan hidup pada masa depan.

             Akal budi Melayu terpancar melalui kehidupan masyarakat Melayu tradisional. Guru yang menggalakkan pelajar berfikir melalui pembacaan bahan kesusasteraan dapat meningkatkan proses daya fikir mereka.  Penemuan daripada  pelbagai kajian mendapati bahan sastera mengarah kepada pembinaan akal budi pelajar supaya memahami dan menghayati pemikiran dan nilai-nilai murni yang terdapat dalam bahan kesusasteraan yang dibaca oleh mereka.  Melalui hasil bacaan, daripada KOMSAS para pelajar akan mengenal pasti amalan berbudi bahasa dan nilai-nilai mulia ke arah pembangunan akal budi dan pemikiran yang baik dan dinamik.     

Sebagai contoh, kajian mendalam tentang pantun telah dilakukan oleh Mohd Azmi Ab. Rahman (1992), Simbolisme Dalam Pantun Melayu,   Pengkaji yang memilih 677 rangkap pantun mendapati aspek simbolisme membolehkan kita memahami jalur pemikiran, perasaan dan wawasan orang Melayu silam tentang cinta, budi, harga diri, agama, moral, pendidikan, perantauan, kesepian dan kekecewaan.  Persoalan ini juga terus dibicarakan melalui sajak oleh penyair moden hingga kini dan terdapat juga dalam genre sastera lain dalam KOMSAS.

Seterusnya, kajian tentang akal dan minda Melayu, telah juga dilakukan oleh Abdullah Hassan (1995) melalui Minda Melalui Bahasa Ibunda.  Menurut pandangannya, kita mesti mengekalkan minda Melayu yang asli yang kreatif dalam kerangka budaya Melayu.  Ia mesti menjadi minda yang mencipta, memimpin untuk negara dan bangsanya.  Keaslian dan kreativiti minda Melayu demikian hanya dapat dikekalkan melalui bahasa ibunda orang Melayu iaitu Bahasa Melayu. Hal ini, terdapat secara tersurat dan tersirat dalam bahan KOMSAS.

  Sementara itu, kajian Sidek Haji Fadzil (1995), Minda Melayu Baru: Suatu Pembicaraan Dari Sudut Worldview Dan Etos Kerja.  Menurut pendapatnya, orang Melayu yang beragama Islam mestilah mementingkan pendidikan ke arah melahirkan generasi yang berkualiti.  Proses pembinaan generasi yang berkualiti mestilah dilakukan dengan serius oleh semua pihak.  Orang Melayu amat teliti dan menghargai nilai seni.  Pemikiran dan akal budi orang Melayu jelas dan banyak terpancar melalui hasil-hasil seni seperti pantun dan peribahasa juga bahan sastera dalam KOMSAS.

  Selain itu, seni ukiran dan lukisan juga tersirat falsafah serta unsur budi yang indah.  Manakala kajian Siti Hawa Salleh (1995) Minda Melayu Konsep Masa.  Melalui kajiannya, mendapati orang Melayu sejak dahulu masih kurang mementingkan nilai dan ketepatan masa.  Kajiannya menekankan kepentingan dan ketepatan masa amat penting dalam melahirkan insan cemerlang.  Semua kertas kerja ini dibentangkan di Seminar Antarabangsa Minda Melayu, 26 – 27 Oktober 1995 di Universiti Kebangsaan Malaysia.  Usul dan ketetapan seminar tersebut iaitu ‘Bangsa Melayu Secara Global’ perlu mendalami nilai-nilai murni yang terdapat dalam budaya Melayu Islam untuk mewujudkan insan yang berkualiti daripada segi minda, rohani dan jasmani. Nilai-nilai ini ada dalam KOMSAS.

Namun begitu kajian-kajian yang berkaitan dengan pemikiran dan minda Melayu berdasarkan novel, perbilangan adat, pantun dan drama ada dilakukan antaranya, Zainal Abidin Ahmad (Za’ba) 1965, Ilmu Mengarang Melayu dan Kiliran Budi, yang melihat puisi sebagai pancaran budi dan pemikiran orang Melayu yang harus dipelajari oleh generasi sekarang. 

Justeru, budi bahasa termasuk dalam unsur kerohanian yang penting dalam kehidupan manusia.  Menurutnya, pembangunan akal budi dan kemajuan yang sempurna itu merupakan paduan antara pembangunan dan kemajuan kerohanian dan kebendaan.  Budi bahasa termasuk dalam unsur kerohanian yang penting. 

           Puisi-puisi dalam teks KOMSAS dan juga genre lain sebagai alat P&P untuk membentuk manusia sempurna dan mempunyai falsafah serta kepelbagaian unsur akal budi melalui pengajarannya dirasakan berupaya membentuk nilai kemanusiaan jika dipelajari dan dihayati dalam kehidupan khususnya di peringkat remaja.

            Pemikiran akal budi Melayu terpancar daripada hasil kesusasteraan seperti pantun dan sajak dan genre lain yang indah banyak mempunyai makna tersurat dan tersirat.  Keindahan puisi dan hasil sastera dapat dihayati melalui bahasa, isi tersirat dan pengajaran yang disampaikan.  Simbol yang terdapat dalam pantun dan sajak Melayu memperlihatkan falsafah dan pengajaran yang hendak disampaikan.  Di dalamnya terpancar akal budi dan peradaban yang tinggi dan sebaiknya diamalkan oleh generasi akan datang. 

Menurut pandangan Harun Mat Piah (2001), Karya Agung Pantun Melayu menjelaskan ciri-ciri keagungan pantun ialah lambang dan perasaan yang disampaikan, nilai seni/budaya, nilai ilmu dan teknik pengarangan. Kajian ini berusaha mencari nilai pemikiran akal budi yang terdapat dalam makna kepelbagaian tema dan nilai murni dalam teks KOMSAS.  Nilai-nilai dalaman dapat dicerap melalui minda, rasa, pemikiran dan tanggapan (Za’ba, 1962).  Penyair menggunakan kebijaksanaan dan daya kreatif mengatur baris sampiran dan maksud pantun dan sajak dalam bentuk samukuran dan kesederhanaan pengucapannya.

  Hakikatnya, bertolak dari pemahaman ini sesuai dengan pandangan Alisjahbana, S.T. (1964: 7) bahawa “bahasa itu adalah ucapan fikiran dan perasaan yang teratur”. Di sinilah letaknya akal budi Melayu yang banyak terdapat dalam pantun dan sajak serta genre lain yang harus dikaji, difahami dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Di sinilah sastera khususnya teks KOMSAS menjadi cermin kehidupan kepada generasi masa kini bagi menghadapi masa depan yang lebih mencabar.
--------------------------------------------------selesai------------------------

1 comment:

  1. Perkongsian ilmu yang amat menarik...

    ReplyDelete