TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Friday 20 May 2011

LYNAS DAN PROBLEMNYA

Sajak: Arisel Ba

Orang-orang Kuantan membantah dengan air liur basi
Kilang memproses logam nadir bumi sedang dibina
Dimimpikan akan merosak zuriat dan habitat negara

Sedang para pelabur rakus menghisab untung
Rugi sekali, untung 100 kali ganda, siapakah beruntung?
Kata AELB dan Lynas, logam nadir bumi non-radioaktif
Tapi hasilnya di Gebeng wujud sisa-sisa radioaktif
Mineral Torium pemusnah persekitaran dan keturunan

Dikhabarkan: bila Torium dibakar di loji, sudah pasti
Wujud Technetium-99, dineutralkan pasca 200,000 tahun
Thorium-232 terhasil jika diproses kembali kali bekali
Boleh dineutralkan dalam tempoh 14 bilion tahun

Torium memudaratkan kesuburan flora dan fauna
Keperkasaan Torium,  200 kali kuasa dari Uranium
Kesannya jika manusia, haiwan, tumbuhan terhidu
Terserap Torium, menjadi pemusnah tulang manusia,
Haiwan, tumbuhan dan air, 200 kali lebih cepat
Dari Uranium 232, ini yang mahu kita hadapi
Dalam sebuah Negara yang aman dan makmur kini

Bila bercerita soal kesihatan, pengudaraan dan radiasi
Kita wajar lebih pintar, memahami dan berdiplomasi
Daripada kita memekik, kerana suara tidak didengari


21 Mei 2011,
Kuantan, Pahang




Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara

Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara.
 DR AMINUDIN MANSOR     
                                                                 
Perubahan dalam dunia pendidikan amat ketara berbanding dengan beberapa dekat yang lalu. Guru dahulu sebelum merdeka lebih tegas, berdisiplin dan di takuti pelajar. Manakala guru sekarang lebih maju, berilmu dan dedikasi dalam menghadapi perubahan pendidikan di negara ini.

Jika diingatkan kembali, guru-guru sebelum merdeka memang tegas dalam mendisiplinkan para pelajar, di tangan mereka sentiasa ada rotan, suara mereka kuat dan tegas dalam mendidik dan mengajar di dalam kelas. Manakala guru pada masa kini lebih berdiplomasi dan menggunakan pendekatan psikologi dalam menghadapi masalah pelajar.

Penulis masih ingat semasa di Tingkatan 5 di Sekolah Menengah Abu Bakar (ABS) di Temerloh, Pahang sekitar tahun 1968. Guru Besarnya ketika itu Mr. S. Sivapakiam badannya tinggi, gagah, tegap, suaranya lantang dan menakutkan semua pelajar. Semua pelajar yang pernah belajar di sekolah ini akan ingat rupa dan suara beliau.

Begitu juga semasa di sekolah rendah, sekitar 1957-1962 penulis masih ingat Guru Besarnya, Haji Mohd Yassin bin Lebai (Allahyarham) di Sekolah Kebangsaan Paya Taram, Kerdau, Pahang iaitu beliau pangkat datuk saudara kepada penulis, juga badannya tinggi lampai, tegap, dan suaranya nyaring. Kedua-duanya ditakuti oleh murid dan pelajar ketika itu. Mereka sentiasa memegang rotan untuk mendisiplinkan murid dan pelajar yang nakal.

Walau bagaimanapun, dalam hati dan jiwa mereka ada terpancar nilai-nilai seorang pendidik iaitu terselit unsur kasih sayang, baik hati dan prihatin. Mereka ini sangat sayang kepada anak-anak muridnya yang berjaya dalam bidang pelajaran dan sukan. Begitulah imbasan kembali tentang guru dan guru besar zaman lampau.

Kini, guru-guru tidak lagi menggunakan rotan dalam mendisiplinkan murid dan pelajar. Mereka lebih menggunakan kaedah psikologi pendidikan sebagai inti sari ke arah mendidik, mendisiplinkan pelajar di sekolah rendah dan menengah. Melaluinya guru mempraktikkan teori dan prinsip psikologi pendidikan dalam bilik darjah.

Guru kini faham tentang perbezaan individu dari aspek mental fizikal, kecerdasan dan minat demi membolehkan mengajar murid-murid mengikut kebolehan mereka dan mendisiplinkan mereka atau mengurangkan masalah disiplin di bilik darjah.

Melaluinya, guru pada masa kini dapat memahami ilmu tingkah laku murid bagi membentuk personaliti mereka yang sihat serta konsep kendiri yang positif dengan bimbingan yang wajar. Guru juga dapat memahami naluri dan keperluan murid untuk membantu guru menggunakan teknik motivasi yang berkesan serta mewujudkan hubungan baik antara guru dan murid.

Justeru, psikologi pendidikan membekalkan guru dengan ilmu pengetahuan dengan penerapan nilai-nilai agama, nilai moral serta ilmu pengetahuan ke arah meningkatkan kemahiran dan sikap mengajar yang berguna dalam aktiviti pendidikan.

Bertepatan dengan tema Hari Guru tahun ini, “Guru Penjana Tranformasi Pendidikan Negara” menjadikan guru orang yang penting bagi menjana murid ke arah perubahan kepadanegara maju. Fitrah manusia inginkan kemajuan dalam kehidupan, lantaran itu gurulah yang merubah akal fikiran, tabiat ke arah yang lebih baik kepada setiap murid dan pelajarnya. Mereka juga sentiasa menyeimbangkan perkembangan diri pelajar dalam aspek jasmani, mental, emosi dan rohani yang lebih baik.  SELAMAT HARI GURU KEPADA SEMUA GURU TERMASUK GURU PENCEN!

Penulis mantan pendidik. PhD Persuratan Melayu, UKM.

Marah dan keganasan menguasai emosi manusia.

Marah dan keganasan menguasai emosi manusia.
 OLEH DR AMINUDIN MANSOR.  
                                                
Keganasan atau bertindak ganas sering berlaku apabila manusia tidak dapat mengawal perasaan dan emosi ketika marah. Unsur-unsur kemarahan yang tidak terkawal membuatkan manusia bertindak ganas dan akhirnya menyebabkan orang lain menjadi mangsa.

Perlakuan ini dikatakan di luar batas pemikiran yang waras. Apabila emosi marah meluap-luap dalam hati akhirnya menyebabkan manusia bertindak ganas dan tidak dapat mengawal perasaannya.

Laporan berita Harian Metro, Jumaat 8 April lalu jelas menunjukkan keganasan yang tidak dapat dikawal menyebabkan pelbagai insiden yang tidak baik berlaku. Antaranya, “Tiga beradik naik angin di luar mahkamah Syariah”, “Wanita 7 anak dilanggar suami, gaduh, cerai, dilenyek kereta.” “ Seorang guru patah hidung ditumbuk murid” “20 belasah pelajar, kumpulan berlagak ala mafia tempuh perjalanan dua kilometer ceroboh sekolah lain.”

Begitulah beberapa paparan berita yang menunjukkan manusia pada masa kini tidak lagi dapat mengawal emosi, terutama emosi marah. Fenomena ini dikatakan sering berlaku di mana-mana sahaja dan mencetuskan pelbagai kesan yang tidak baik akibat tidak dapat mengawal emosi dan perasaan.

Kajian pakar psikologi Goleman mengenal pasti manusia mempunyai lapan jenis emosi yang utama, iaitu perasaan marah, sedih, takut, gembira, sayang, hairan, benci dan malu. Antaranya perasaan marah merupakan emosi yang sering kali timbul dalam perasaan manusia.

Menurutnya, emosi merupakan suatu perasaan jiwa yang kuat. Sebagai contoh, perasaan marah jika tidak dapat dikawal ia boleh mencetuskan pelbagai kesan dan insiden yang tidak baik seperti pergaduhan, perkelahian, amuk, memukul orang lain dan juga tindakan yang ganas.

Oleh itu, kebolehan menguruskan hubungan dengan emosi dan perasaan yang baik sangat penting. Teknik menguruskan hubungan, sebahagian besarnya, merupakan kemahiran mengurus emosi dengan orang lain. Kebolehan ini berkait rapat dengan populariti atau kualiti yang disanjung.

Justeru, emosi juga mempunyai kecerdasan jika dikawal. Mengikut Teori Kecerdasan Emosi yang diperkembangkan daripada Teori  Kognitif Emosi, merupakan integrasi elemen emosi  dengan kognitif struktur seseorang.

Emosi ini dikatakan dihasilkan dan dipengaruhi oleh tiga faktor seperti situasi persekitaran, keadaan fisiologi dan proses kognitif. Jelaslah, manusia yang dapat mengawal emosi marahnya dan menukarkan kepada kecerdasan emosi adalah manusia yang hebat dan kuat.

Dalam Islam, manusia yang dapat mengawal marah dengan  sabar adalah manusia yang kuat dan beriman. Setiap orang seharusnya memahami emosi diri sendiri dan mengawal kemarahan. Mereka juga mesti mampu mengurus emosi dengan lebih berkesan terhadap perasaan kecewa dan emosi marahnya.

Justeru, dalam pergaulan seharian seseorang itu seharusnya dapat mengawal emosinya supaya tidak mudah marah, panas baran, naik angin dan meradang tak tentu fasal. Mengawal emosi dengan lebih berkesan akan menjadikan seseorang itu lebih berjaya mengenal diri sendiri dan juga orang lain.

Keutamaan ikhlas, taat kepada Allah, sabar dan sentiasa menerima suratan dan musibah yang ditentukan dapat mengawal kemarahan. Sifat sabar juga sebagai pendinding kepada sifat marah dengan menjauhi akhlak yang buruk dan menggantikannya dengan akhlak yang baik dan terpuji. Rasulullah s.a.w. pernah berpesan: “Sabar yang sebenarnya ialah sabar pada saat bermula ditimpa musibah.” (Riwayat Al Bukhari).

Mendidik hati dan jiwa dengan sifat sabar memerlukan latihan dan amalan. Pendidikan yang dilakukan secara berterusan dengan amal dan akhlak yang baik akan dapat meningkatkan emosi baik atau kecerdasan emosi ke arah kebaikan dalam hidup. Seterusnya Nabi s.a.w. juga pernah berpesan bahawasanya marah itu merosak iman, bagai barang yang pahit merosak madu.

Dikatakan kemarahan itu bagaikan api yang meniup pada lampu dalam fikiran. Kemarahan yang tidak dikekang sering kali menyebabkan pelbagai perkara yang tidak baik. Apabila kemarahan dapat dikawal dan ditahan , kebijaksanaan akan diperoleh.

Dalam kehidupan, kita sering berhadapan dengan pelbagai situasi yang boleh menyebabkan kemarahan, sebagai contoh kesesakan di jalan raya, masalah di tempat kerja, pergaduhan dalam rumah tangga, perselisihan dengan jiran tetangga sering kali mencetuskan kemarahan jika tidak dikawal.

Lantaran itu, membaca dan memahami emosi sendiri amat penting terutama ketika marah. Melaluinya seseorang itu dapat meningkatkan keupayaan menerima perasaan orang lain. Peningkatan empati dan sifat sensitif terhadap perasaan orang lain. Sedia dan cekap mendengar kata orang lain.

Sifat mudah marah dan keganasan mempunyai kaitan yang amat rapat. Semuanya disebabkan seseorang itu tidak dapat mengawal dan mengurus emosi, hanya mementingkan emosi diri sendiri, tidak berjaya mengurus emosi dalam hubungan dengan orang lain.

Setiap orang mempunyai sebab mengapa mereka marah, tetapi jarang sekali sebab itu munasabah. Jika perasaan marah tidak dikawal akan meletup secara meluap-luap dan membawa akibat yang buruk kepada diri sendiri dan juga orang lain.

Oleh sebab marah dan keganasan dibina atas kemarahan, bagi meredakannya sebarang provokasi seharusnya dielakkan. Di samping itu, orang yang sedang marah harus berusaha mengalihkan perasaan marah kepada perkara yang disukainya seperti mendengar lagu, bersiar-siar, bersukan, mengamalkan gaya hidup sihat supaya mengelakkan daripada kemarahannya.

Islam menyarankan seseorang yang sedang marah diminta menjauhkan dari kawasan pertengkaran, mengambil wuduk, banyak berselawat, berzikir dan beristighfar kepada Allah. Cara tersebut bertujuan memberi tempoh bertenang, demi mengurangkan kadar kemarahan, membiarkan pemikiran rasionalnya  menguasai diri dalam perspektif yang positif.

Ironinya, apabila kita mengubah rasa marah itu menjadi cinta kasih, maka dunia akan menjadi syurga. Elakkan marah dalam hubungan dengan orang lain yang boleh menyebabkan keganasan yang melampau dan menyebabkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu.

INDAHNYA BAHASA DALAM PANTUN MELAYU.


INDAHNYA BAHASA DALAM PANTUN MELAYU.
OLEH DR AMINUDIN MANSOR

Bahasa memainkan peranan penting dalam menyampaikan sesuatu hasrat dan bahasa yang baik akan dapat difahami maksud  sama ada bahasa yang tersurat dan tersirat. Bahasa yang tersurat adalah yang tertulis dan dapat difahami secara terus, manakala bahasa tersirat adalah maksud yang berlapis dan mempunyai makna yang lain.

Begitulah, pantun yang dahulu biasanya disampaikan sewaktu orang Melayu berkebun, bersawah, serta mengadakan majlis merisik, meminang dan nikah kahwin.  Pantun sebati dengan adat dan budaya kehidupan masyarakat Melayu. Ia terangkum dalam pantun adat dan resam manusia, agama dan kepercayaan, nasihat dan pendidikan, kembara dan perantauan dan percintaan. Pantun sangat kaya dengan nilai-nilai keindahan bahasa jika dikaji dan dihayati.

Bahasa dalam pantun juga terdapat dua maksud antaranya maksud tersurat dan juga tersirat. Tetapi pada kebiasaannya pada pembayang atau sampiran pantun ia banyak menggunakan bahasa tersurat dan dalam maksud atau makna ia membawa dan menggunakan bahasa yang tersirat. Bahasa khususnya Bahasa Melayu nilainya amat tinggi tidak boleh dijual beli, seperti kata pantun di bawah ini:

                      Anak Cina bertimbang madat,
                             Dari Makasar langsung ke Deli;
                      Hidup di dunia biar beradat,
                             Bahasa tidak dijual beli.
                     
                      Makan sirih berpinang tidak,
                             Pinang ada di bawah tangga;
                      Makan sirih mengenyang tidak,
                             Tapi tanda budi dan bahasa.

                      Tingkap papan kayu bersegi,
                              Sampan sakat di Pulau Angsa;
                       Indah  tampan kerana budi,
                              Tinggi bangsa kerana bahasa.

 (Warisan Puisi Melayu, KL. DBP 1978).

Tanpa bahasa yang baik, sesebuah pantun tidak dapat berfungsi dengan lancar serta tidak dapat menyampaikan sesuatu maksud. Pemantun atau pengarang pantun biasanya mengambil imej alam, kehidupan dan persekitaran semasa bagi pembayang. Manakala isinya atau maksudnya juga mempunyai kaitan dengan pembayang tersebut.

Bahasa dalam pantun juga meliputi tumbuhan, binatang, alam fizikal dan cakerawala, manusia, peristiwa, agama, objek konkrit, warna dan seluruh kehidupan masa lalu dan masa kini. Hal ini terdapat dalam pembayang pantun yang mengambil simbol untuk menyampaikan mesej dan nilai-nilai tertentu. Begitulah juga keindahan bahasa dijelaskan dalam pantun di bawah.

Sebagai contoh;

Yang kurik kundi,
Yang merah saga;
Yang baik budi,
Yang indah bahasa.

                       (Kumpulan Pantun Melayu, DBP, 1983) 

Simbol mendukung makna kata dan diksi dalam pantun. Simbol juga digunakan mengikut konteks pemakaian, dan lingkungan budaya masyarakat yang menghasilkan pantun itu. Unsur bahasa dan kod budaya turut memancarkan jaluran budaya dan pemikiran masyarakat baik secara individu dan masyarakat atau kelompok masyarakat yang mewakili zamannya. Puitika sesebuah pantun banyak bergantung pada bahasanya yang indah, berseni, mempunyai akal budi, menyentuh rasa dan perasaan dan ada rasa keindahan.

Proses penciptaan simbol ini sangat erat hubungannya dengan budaya dan lingkungan kehidupan orang Melayu pada zaman dahulu dan juga zaman kini bergantung pada bila proses penciptaan pantun itu sendiri. Aspek simbol ini memperkayakan lagi dan turut memahami bahasa dan budaya Melayu melalui karya sastera.

Kajian dan penyelidikan para sarjana mendapati, salah satu cara menyampaikan buah fikiran, teguran dan sindiran adalah melalui pantun. Orang Melayu dahulu gemar menyampaikan sesuatu persoalan secara tidak langsung, melalui bahasa kiasan bagi menjaga hati orang lain agar tidak tersinggung dan terasa dengan kata-kata secara langsung.

Melalui karya sastera, simbol merupakan salah satu unsur bahasa yang penting.  Simbol mungkin dapat ditafsirkan secara terus atau secara tidak langsung. Simbol bukan sahaja dapat dikesan melalui karya sastera Melayu lama, malah karya sastera Melayu Moden. Sebagai contoh, pantun Melayu dapat dikesan banyak menggunakan simbol yang dipakai bagi menyampaikan mesej dan nilai-nilai tertentu.

Bahasa dalam pantun Melayu dapat dikesan simbolnya melalui Pantun Adat dan Resam, Pantun Agama dan Kepercayaan. Pantun Budi, Pantun Jenaka, Pantun Teka-Teki, Pantun Kepahlawanan, Pantun Nasihat dan Pendidikan, Pantun Peribahasa dan Perbilangan, Pantun Kiasan dan Ibarat, Pantun Perantauan dan Pantun Percintaan.

Za’ba (1965:218) ada menyatakan tentang puisi khususnya pantun yang menekankan kepada kecantikan, keindahan bahasa, metafora, pemikiran, pendidikan, pengajaran dan sebagainya. Pantun sebagai puisi yang diungkap akan mengindahkan lagi bahasa ucapan yang digunakan untuk berbagai-bagai-bagai situasi; daripada memberi ucapan secara berseloroh hingga kepada majlis yang lebih serius seperti pertunangan dan perkahwinan dalam masyarakat Melayu.

Menurut pengkaji pantun Francois –Rene Daillie (2002) menyimpulkan bahawa pantun Melayu itu suatu intisari kehidupan dan alam yang diibaratkan sebagai sebutiran pasir. Di dalamnya tersirat  segala elemen kehidupan manusia Melayu termasuklah tentang tanah, rumah, kebun, sawah padi, sungai, laut, hutan, tumbuh-tumbuhan, buah-buahan, binatang, burung, ikan, dan pelbagai perkara kecil yang digunakan dalam kehidupan seharian.

Menurutnya, ia menyatakan juga tentang adat resam, kebijaksanaan, pelbagai bentuk kepercayaan dan perasaan, cinta kepada jejaka idaman, wanita dan Tuhan. Walau bagaimanapun, pantun bukanlah hak milik mutlak bangsa Melayu sahaja tetapi dikongsi bersama oleh hampir setiap etnik di alam Melayu ini.

Jelaslah, bahasa dalam pantun Melayu mempunyai keistimewaan yang dipilih oleh pengarangnya dengan teliti, melalui pemerhatian yang lama dan rapi. Garapan bahasa yang digunakan juga membabitkan simbol tertentu bagi menjelaskan bahasa yang ingin disampaikan kepada pendengar.

Bagi kepentingan budi dalam kehidupan masyarakat Melayu sangat jelas digambarkan melalui pantun di bawah:

     Di sana padi di sini padi,
              Itulah nama sawah dan bendang;
     Di sana budi di sini budi,
              Barulah sempurna bernama orang.

(Abdul Samad Ahmad (penyusun) Pantun Bunga Rampai, t. th :59).

Pandangan tokoh Budayawan Tenas Effendy (2007:3) mengatakan pembayang pantun di Indonesia lazim disebut “sampiran”. Pantun pada hakikatnya menjadi bahagian yang tidak dipisahkan dari isi pantun. Sebahagian orang mengatakan bahawa kata “pembayang” dapat diertikan sebagai “bayang-bayang” atau “bayangan” pantun, yang menunjukkan persebatian yang kekal antara pembayang dan isi pantun. Demikian juga dengan kata sampiran yang dapat ditafsirkan sebagai sarung atau tempat menyimpan isi sebagai cerminan perpaduan isi dan sampirannya.

Keindahan bahasa dalam pantun sejak dahulu sangat menitikberatkan unsur pemilihan kata dan bahasa yang disampaikan. Terdapat juga sejumlah kecil pantun menggunakan citra dan simbol alam sebagai pembayang dan juga maksud yang membayangkan  perlambangan atau kiasan sebagai membuktikan khazanah keindahan pemikiran Melayu yang luas itu.

Dalam hal ini, R.J. Wilkinson dan R.O.Winstedt (1957) pernah menyarankan bahawa untuk memahami perasaan orang Melayu, seharusnya difahami pantunnya. Mereka berpendapat, bahawa satu daripada perkara yang penting yang boleh membawa seseorang itu berjaya memahami dan menyelami pengetahuan, perasaan, bahasa dan aliran fikiran orang Melayu sendiri ialah melalui pantun-pantunnya. Malahan seseorang itu tidak dapat menduga aliran fikiran orang-orang Melayu kalau tidak memahami pantunnya.

Hakikatnya, keindahan bahasa amat penting dalam serangkap pantun untuk menyampaikan fikiran, hasrat dan rasa hati. Bahasa yang tidak indah dan tidak tepat yang digunakan dalam pembayang dan isi pantun akan menyebabkan sesebuah pantun itu tidak seimbang keindahan bahasanya. Perhatikan pantun di bawah:

                            Tenang-tenang air di laut,
                                        Sampan kolek mudik ke tanjung;
                            Hati terkenang mulut menyebut,
                                         Budi sedikit rasa nak junjung.

                            Pulau Pandan jauh ke tengah,
                                         Gunung Daik bercabang tiga;
                            Hancur badan dikandung tanah,
                                         Budi yang baik dikenang juga.

                            (Petikan Teks Sehijau Warna Daun, “Pantun Budi” 2000:4, DBP.)

Budi dan bahasa sangat berkait rapat dalam setiap tindakan dan perlakuan. Bahasa yang baik akan memancarkan budi bahasa yang baik. Justeru, dikatakan hutang emas boleh di bayar; hutang budi dibawa mati. Begitulah juga dengan orang berbudi disanjung mulia; ke mana pergi tiada terbuang.

Begitulah rapatnya kaitan antara budi dan bahasa. Budi yang baik akan sentiasa diiringi dengan bahasa yang baik juga, yang melambangkan perasaan dan fikiran orang Melayu tentang budi dan bahasa. Orang Melayu sentiasa bersifat budiman, mengenang budi, berbudi bahasa, menabur budi dan sentiasa ingin berbudi. Hal ini sangat jelas dalam kebanyakan pantun-pantun Melayu dahulu.

Dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) bahasa khususnya Bahasa Melayu para guru mestilah menekankan keindahan bahasa dalam pantun-pantun Melayu melalui Komponen Sastera (Komsas) dari Tingkatan Satu hingga Lima bagi memberi kesedaran, mendidik akal budi, dengan sifat-sifat keistimewaan bahasa Melayu dalam karya-karya sastera khususnya pantun. Pantun budi dikategorikan dalam pantun budi dan bahasa.

Hakikatnya, bahasa yang indah sangat penting dalam penciptaan pantun-pantun Melayu. Tanpa bahasa yang indah, pantun yang dikarang atau dibacakan tidak terasa keindahannya. Oleh itu, para pencipta pantun dan pemantun zaman lampau sangat bijaksana memilih kata-kata tentang penggunaan bahasa yang berkaitan dengan alam, kehidupan, adat istiadatdan budaya masyarakat Melayu. Melalui pemerhatian yang teliti, penelitian yang rapi serta pengalaman baharullah sesebuah pantun itu dicipta dengan fikiran yang bijaksana.