TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Sunday 19 June 2011

AKU DALAM SAJAK 20

AKU DALAM SAJAK 20
          : Sempena Hari Bapa 2011
Sajak: Arisel Ba

: [“Harta benda dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan di sisi ALLAH ada pahala yang besar.” (Al-Quran Surah At-Taghabun, 64 : 15)]


Kisah daripada sejarah kulawarga bahawa moyang aku Ibrahim al-Rawi, seorang pengamal Tariqah Naqsyabandiyah menyuburkan hakikat, syariat, tarekat dan makrifat Allah, membenih ilmu laduni. Datuk aku Jaafar al-Rawi, seorang pengamal Tariqah Naqsyabandiyah dan perawi nasab, Ayah aku Lebai Ahmad al-Rawi, seorang guru al-Quran. 

Aku menjadi seorang ayah kepada tujuh orang anak dan lima orang cucu,  sedang menggapai usia emas lima puluh lapan tahun mulai memberi makna kepada tanggungjawab, pengorbanan dalam seluruh kehidupan kulawarga.

Sedang setiap kali aku bertanya diri dan hati: Apakah keluarga aku mantap?,  guru aku memberitahu: Seorang ayah perlu membimbing anak-anak kamu ke arah kemantapan berkeluarga dan berumah tangga. Kehadiran aku dalam kulawarga pintar dan tangkas menangani pancaroba di luar rumah, suasana kemasyarakatan yang songsang tidak membantu perkembangan minda anak-anak kamu.

Guru aku memberitahu lagi: Seorang ayah seumpama pelindung, di mana isteri dan anak-anak berasa dilindungi daripada dunia luar yang palsu dan kamu, isteri, anak-anak kamu melihat ayah mereka sebagai seorang nara perkasa rumah tangga dan idola mereka, sehingga isteri dan anak-anak kamu berasa selesa.

Kata guru lagi: Seorang ayah boleh diteladani anak-anaknya, bila kamu membesar dan memberi didikan dunia dan akhirat, hakikat dan syariat sehingga anak-anak kamu tampil menjadi berguna kepada agama Islam, bangsa Melayu Rao dan Negara Malaysia dititipkan keberanian dan keyakinan kepada anak-anak kamu. Ketahuilah bahawa anak-anak kamu sentiasa memerhatikan tingkah laku ibu dan bapa mereka, dan jadikan kamu sebagai inspirasi dalam mereka menjana kehidupan ini.

Lagi kata guru aku:  Seorang ayah penyedia pakaian, tempat tinggal dan makan minum halal di samping harus melakukan apa sahaja untuk menjaga kebajikan kulawarga tidak kira apa pun pekerjaan yang dilakukan asalkan pekerjaan itu halal dan mulia. 

Ini pesanan untuk kamu, kata guru aku:  sebagai seorang ayah, kamu membimbing anak-anak kamu, berdisiplin kepada keluarganya, mereka perlu menyingkirkan tabiat-tabiat buruk dan tidak bersikap tamak, tidak menipu, tidak berbohong,  tidak mencuri, tidak bersikap kurang ajar serta tidak bertingkah laku buruk dan bersikap tidak baik. Kamu boleh merotan anak-anak kamu jika kesalahan yang dilakukan mereka berulang kali atau mereka tidak mengendahkan kata-kata kamu. Ingatlah kata pepatah, bagaimana acuan begitulah kuihnya.

Akhirnya aku menjadikan hadis Rasulullah SAW diberitakan telah bersabda : “Tahukah engkau siapakah orang yang mandul?.” Berkata para sahabat : “Orang yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak.” Lalu Rasulullah SAW berkata : “Orang yang mandul itu ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya itu tidak memberi kemanfaatan kepadanya sesudah ia meninggal dunia.”

19 Jun 2011,
Kuantan, Pahang