TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Monday 23 May 2011

Sejarah Temerloh dan Kuala Semantan sejak awal abad ke-15



Sejarah Temerloh dan Kuala Semantan sejak awal abad ke-15.
OLEH DR AMINUDIN MANSOR


Mengikut kajian sejarah; sejarah politik Pahang bermula sejak 1880-1935 iaitu perkembangan politik utama di Pahang sejak pemerintahan salah seorang pemerintahnya yang terkenal iaitu Wan Ahmad. Menurut Prof Dr Aruna Gopinath dari Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Kuala Lumpur pengkajian ini penting.

Dahulu, negeri Pahang adalaha sebahagian daripada Empayar Johor-Riau-Lingga yang kemudiannya secara beransur-ansur telah membabaskan diri dan membentuk sebuah kuasa politik yang bebas di bawah pemerintahan Bendahara.

Menurut kajian, seperti negeri-negeri yang lain di Semenanjung Tanah Melayu, sejarah Pahang telah dirumitkan dengan kelemahan dalaman yang membuka jalan kepada penyusupan masuk kuasa-kuasa luar.

Pahang sebenarnya telah wujud sebelum atau sama Kerajaan Awal di Asia Tenggara iaitu sama dengan Kerajaan Champa, Kerajaan Chih Tu, Kerajaan Srivijaya, Kerajaan Kedah Tua dan Kerajaan Majapahit. Walau bagaimanapun, tiada penulisan sejarah hanya buktinya sahaja yang terdapat di Tasik Cini yang belum dibongkarkan.

Sungai Pahang telah wujud lama dan menjadi perhubungan utama penduduk di persisirnya. Kegiatan ekonomi dan pertanian dijalankan terletak di kawasan tanah subur, di lembangan sungai dan di kawasan pedalaman.

Sejak dahulu, rotan, kayu gaharu, damar, dan hasil-hasil pertanian menjadi sumber ekonomi Pahang. Dari Hulu Tembeling, ke Jerantut dan singgah di Kuala Semantan merupakan kawasan perdagangan yang utama sejak abad ke-15 lagi. Buktinya Perahu Kajang iaitu perahu yang beratapkan kajang menjadi pengangkutan utama ke Kuala Semantan.

Kuala Semantan mendapat nama daripada “Seman” dan “Tan” dua sahabat yang tinggal di tebing Sungai Pahang iaitu di Kuala Semantan yang  sering membawa hasil hutan seperti buah-buahan, damar, kayu gaharu, rotan dan hasil getah.

Nama Kuala Semantan diambil sempena nama Seman dan Tan dan dikenali ramai oleh penduduk sekitar seperti dari Kampung Songsang, Kampung Mambang Berulang, dan Pasir Rawa (kini Mentakab). Mereka ini mungkin orang Rawo atau Rawa yang berdagang di Kuala Semantan.

Sementara nama Temerloh pula diambil sempena peristiwa seorang pengayuh perahu kajang yang tertidur apabila tuannya singgah di Kuala Semantan untuk menjual hasil-hasil pertanian dan hasil hutan di Kuala Semantan. Disebabkan terlalu letih dia “temerloh” yang bermaksud tertidur sebentar. Begitulah seperti yang diceritakan oleh para pencerita dan sejarawan seperti Allahyarham Datuk Zakaria Hitam.

Diceritakan juga sebelum dan selepas 1885, Orang Kaya Indera Segara dari Temerloh berkuasa dari Sungai Triang sehingga sempadan Rembau dan Selangor. Di daerah Hulu Pahang iaitu Orang Kaya Semantan amat dihormati oleh orang Melayu di situ dan mendapat layanan yang sesuai dan berpatutan sebagai seorang bangsawan.

Orang Kaya Semantan dikatakan pernah ditawarkan untuk menerima wang sebanyak $840 setahun dan elaun dalam lingkungan $120 hingga $240 kepada penghulu-penghulu. Usaha jahat pihak penjajah Inggeris ini mendapat tentangan daripada Orang Kaya Semantan itu Datuk Bahaman yang mengetahui muslihat untuk menjajah Pahang.

Penjajah Inggeris melihat Pahang banyak mempunyai hasil hutan dan hasil-hasil lain yang boleh mengayakan mereka. Di Pahang juga pada masa itu terdapat 24 buah lombong emas dan timah yang menjadi idaman pihak British.

Statistik menunjukkan bahawa pada tahun 1892 di Temerloh sahaja terdapat 14,592 kaum terdiri daripada Melayu, 7 Eropah, 13 India, 7 Jawa, 80 Arab, 256 Bugis,  1 Singhala, 36 Bangali, 256 Cina berjumlah 15, 247 orang yang membuktikan bahawa kawasan Kuala Semantan dan Temerloh menjadi pusat perdagangan penting khususnya di kawasan Pekan Sehari Temerloh sekarang.

Bagi melengkapkan kajian dan sejarah tentang Kuala Semantan dan Temerloh ini suatu kajian ilmiah berdasarkan sejarah haruslah dilakukan bagi tatapan generasi akan datang. Semoga tulisan dan kajian ringkas ini membuka pandangan Persatuan Sejarah Pahang untuk mengkaji tentang penulisan semula berdasarkan sumber pertama, sumber lisan dan sumber bertulis bagi Sejarah Pahang.

Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu, UKM.


1 comment:

  1. salam tuan....ad tak cerita sejarah bugis dr KG. Catin, Mentakab...ingin tahu :)

    ReplyDelete