TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Friday, 20 May 2011

INDAHNYA BAHASA DALAM PANTUN MELAYU.


INDAHNYA BAHASA DALAM PANTUN MELAYU.
OLEH DR AMINUDIN MANSOR

Bahasa memainkan peranan penting dalam menyampaikan sesuatu hasrat dan bahasa yang baik akan dapat difahami maksud  sama ada bahasa yang tersurat dan tersirat. Bahasa yang tersurat adalah yang tertulis dan dapat difahami secara terus, manakala bahasa tersirat adalah maksud yang berlapis dan mempunyai makna yang lain.

Begitulah, pantun yang dahulu biasanya disampaikan sewaktu orang Melayu berkebun, bersawah, serta mengadakan majlis merisik, meminang dan nikah kahwin.  Pantun sebati dengan adat dan budaya kehidupan masyarakat Melayu. Ia terangkum dalam pantun adat dan resam manusia, agama dan kepercayaan, nasihat dan pendidikan, kembara dan perantauan dan percintaan. Pantun sangat kaya dengan nilai-nilai keindahan bahasa jika dikaji dan dihayati.

Bahasa dalam pantun juga terdapat dua maksud antaranya maksud tersurat dan juga tersirat. Tetapi pada kebiasaannya pada pembayang atau sampiran pantun ia banyak menggunakan bahasa tersurat dan dalam maksud atau makna ia membawa dan menggunakan bahasa yang tersirat. Bahasa khususnya Bahasa Melayu nilainya amat tinggi tidak boleh dijual beli, seperti kata pantun di bawah ini:

                      Anak Cina bertimbang madat,
                             Dari Makasar langsung ke Deli;
                      Hidup di dunia biar beradat,
                             Bahasa tidak dijual beli.
                     
                      Makan sirih berpinang tidak,
                             Pinang ada di bawah tangga;
                      Makan sirih mengenyang tidak,
                             Tapi tanda budi dan bahasa.

                      Tingkap papan kayu bersegi,
                              Sampan sakat di Pulau Angsa;
                       Indah  tampan kerana budi,
                              Tinggi bangsa kerana bahasa.

 (Warisan Puisi Melayu, KL. DBP 1978).

Tanpa bahasa yang baik, sesebuah pantun tidak dapat berfungsi dengan lancar serta tidak dapat menyampaikan sesuatu maksud. Pemantun atau pengarang pantun biasanya mengambil imej alam, kehidupan dan persekitaran semasa bagi pembayang. Manakala isinya atau maksudnya juga mempunyai kaitan dengan pembayang tersebut.

Bahasa dalam pantun juga meliputi tumbuhan, binatang, alam fizikal dan cakerawala, manusia, peristiwa, agama, objek konkrit, warna dan seluruh kehidupan masa lalu dan masa kini. Hal ini terdapat dalam pembayang pantun yang mengambil simbol untuk menyampaikan mesej dan nilai-nilai tertentu. Begitulah juga keindahan bahasa dijelaskan dalam pantun di bawah.

Sebagai contoh;

Yang kurik kundi,
Yang merah saga;
Yang baik budi,
Yang indah bahasa.

                       (Kumpulan Pantun Melayu, DBP, 1983) 

Simbol mendukung makna kata dan diksi dalam pantun. Simbol juga digunakan mengikut konteks pemakaian, dan lingkungan budaya masyarakat yang menghasilkan pantun itu. Unsur bahasa dan kod budaya turut memancarkan jaluran budaya dan pemikiran masyarakat baik secara individu dan masyarakat atau kelompok masyarakat yang mewakili zamannya. Puitika sesebuah pantun banyak bergantung pada bahasanya yang indah, berseni, mempunyai akal budi, menyentuh rasa dan perasaan dan ada rasa keindahan.

Proses penciptaan simbol ini sangat erat hubungannya dengan budaya dan lingkungan kehidupan orang Melayu pada zaman dahulu dan juga zaman kini bergantung pada bila proses penciptaan pantun itu sendiri. Aspek simbol ini memperkayakan lagi dan turut memahami bahasa dan budaya Melayu melalui karya sastera.

Kajian dan penyelidikan para sarjana mendapati, salah satu cara menyampaikan buah fikiran, teguran dan sindiran adalah melalui pantun. Orang Melayu dahulu gemar menyampaikan sesuatu persoalan secara tidak langsung, melalui bahasa kiasan bagi menjaga hati orang lain agar tidak tersinggung dan terasa dengan kata-kata secara langsung.

Melalui karya sastera, simbol merupakan salah satu unsur bahasa yang penting.  Simbol mungkin dapat ditafsirkan secara terus atau secara tidak langsung. Simbol bukan sahaja dapat dikesan melalui karya sastera Melayu lama, malah karya sastera Melayu Moden. Sebagai contoh, pantun Melayu dapat dikesan banyak menggunakan simbol yang dipakai bagi menyampaikan mesej dan nilai-nilai tertentu.

Bahasa dalam pantun Melayu dapat dikesan simbolnya melalui Pantun Adat dan Resam, Pantun Agama dan Kepercayaan. Pantun Budi, Pantun Jenaka, Pantun Teka-Teki, Pantun Kepahlawanan, Pantun Nasihat dan Pendidikan, Pantun Peribahasa dan Perbilangan, Pantun Kiasan dan Ibarat, Pantun Perantauan dan Pantun Percintaan.

Za’ba (1965:218) ada menyatakan tentang puisi khususnya pantun yang menekankan kepada kecantikan, keindahan bahasa, metafora, pemikiran, pendidikan, pengajaran dan sebagainya. Pantun sebagai puisi yang diungkap akan mengindahkan lagi bahasa ucapan yang digunakan untuk berbagai-bagai-bagai situasi; daripada memberi ucapan secara berseloroh hingga kepada majlis yang lebih serius seperti pertunangan dan perkahwinan dalam masyarakat Melayu.

Menurut pengkaji pantun Francois –Rene Daillie (2002) menyimpulkan bahawa pantun Melayu itu suatu intisari kehidupan dan alam yang diibaratkan sebagai sebutiran pasir. Di dalamnya tersirat  segala elemen kehidupan manusia Melayu termasuklah tentang tanah, rumah, kebun, sawah padi, sungai, laut, hutan, tumbuh-tumbuhan, buah-buahan, binatang, burung, ikan, dan pelbagai perkara kecil yang digunakan dalam kehidupan seharian.

Menurutnya, ia menyatakan juga tentang adat resam, kebijaksanaan, pelbagai bentuk kepercayaan dan perasaan, cinta kepada jejaka idaman, wanita dan Tuhan. Walau bagaimanapun, pantun bukanlah hak milik mutlak bangsa Melayu sahaja tetapi dikongsi bersama oleh hampir setiap etnik di alam Melayu ini.

Jelaslah, bahasa dalam pantun Melayu mempunyai keistimewaan yang dipilih oleh pengarangnya dengan teliti, melalui pemerhatian yang lama dan rapi. Garapan bahasa yang digunakan juga membabitkan simbol tertentu bagi menjelaskan bahasa yang ingin disampaikan kepada pendengar.

Bagi kepentingan budi dalam kehidupan masyarakat Melayu sangat jelas digambarkan melalui pantun di bawah:

     Di sana padi di sini padi,
              Itulah nama sawah dan bendang;
     Di sana budi di sini budi,
              Barulah sempurna bernama orang.

(Abdul Samad Ahmad (penyusun) Pantun Bunga Rampai, t. th :59).

Pandangan tokoh Budayawan Tenas Effendy (2007:3) mengatakan pembayang pantun di Indonesia lazim disebut “sampiran”. Pantun pada hakikatnya menjadi bahagian yang tidak dipisahkan dari isi pantun. Sebahagian orang mengatakan bahawa kata “pembayang” dapat diertikan sebagai “bayang-bayang” atau “bayangan” pantun, yang menunjukkan persebatian yang kekal antara pembayang dan isi pantun. Demikian juga dengan kata sampiran yang dapat ditafsirkan sebagai sarung atau tempat menyimpan isi sebagai cerminan perpaduan isi dan sampirannya.

Keindahan bahasa dalam pantun sejak dahulu sangat menitikberatkan unsur pemilihan kata dan bahasa yang disampaikan. Terdapat juga sejumlah kecil pantun menggunakan citra dan simbol alam sebagai pembayang dan juga maksud yang membayangkan  perlambangan atau kiasan sebagai membuktikan khazanah keindahan pemikiran Melayu yang luas itu.

Dalam hal ini, R.J. Wilkinson dan R.O.Winstedt (1957) pernah menyarankan bahawa untuk memahami perasaan orang Melayu, seharusnya difahami pantunnya. Mereka berpendapat, bahawa satu daripada perkara yang penting yang boleh membawa seseorang itu berjaya memahami dan menyelami pengetahuan, perasaan, bahasa dan aliran fikiran orang Melayu sendiri ialah melalui pantun-pantunnya. Malahan seseorang itu tidak dapat menduga aliran fikiran orang-orang Melayu kalau tidak memahami pantunnya.

Hakikatnya, keindahan bahasa amat penting dalam serangkap pantun untuk menyampaikan fikiran, hasrat dan rasa hati. Bahasa yang tidak indah dan tidak tepat yang digunakan dalam pembayang dan isi pantun akan menyebabkan sesebuah pantun itu tidak seimbang keindahan bahasanya. Perhatikan pantun di bawah:

                            Tenang-tenang air di laut,
                                        Sampan kolek mudik ke tanjung;
                            Hati terkenang mulut menyebut,
                                         Budi sedikit rasa nak junjung.

                            Pulau Pandan jauh ke tengah,
                                         Gunung Daik bercabang tiga;
                            Hancur badan dikandung tanah,
                                         Budi yang baik dikenang juga.

                            (Petikan Teks Sehijau Warna Daun, “Pantun Budi” 2000:4, DBP.)

Budi dan bahasa sangat berkait rapat dalam setiap tindakan dan perlakuan. Bahasa yang baik akan memancarkan budi bahasa yang baik. Justeru, dikatakan hutang emas boleh di bayar; hutang budi dibawa mati. Begitulah juga dengan orang berbudi disanjung mulia; ke mana pergi tiada terbuang.

Begitulah rapatnya kaitan antara budi dan bahasa. Budi yang baik akan sentiasa diiringi dengan bahasa yang baik juga, yang melambangkan perasaan dan fikiran orang Melayu tentang budi dan bahasa. Orang Melayu sentiasa bersifat budiman, mengenang budi, berbudi bahasa, menabur budi dan sentiasa ingin berbudi. Hal ini sangat jelas dalam kebanyakan pantun-pantun Melayu dahulu.

Dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) bahasa khususnya Bahasa Melayu para guru mestilah menekankan keindahan bahasa dalam pantun-pantun Melayu melalui Komponen Sastera (Komsas) dari Tingkatan Satu hingga Lima bagi memberi kesedaran, mendidik akal budi, dengan sifat-sifat keistimewaan bahasa Melayu dalam karya-karya sastera khususnya pantun. Pantun budi dikategorikan dalam pantun budi dan bahasa.

Hakikatnya, bahasa yang indah sangat penting dalam penciptaan pantun-pantun Melayu. Tanpa bahasa yang indah, pantun yang dikarang atau dibacakan tidak terasa keindahannya. Oleh itu, para pencipta pantun dan pemantun zaman lampau sangat bijaksana memilih kata-kata tentang penggunaan bahasa yang berkaitan dengan alam, kehidupan, adat istiadatdan budaya masyarakat Melayu. Melalui pemerhatian yang teliti, penelitian yang rapi serta pengalaman baharullah sesebuah pantun itu dicipta dengan fikiran yang bijaksana.

1 comment:

  1. salam..
    saya mengalami kesukaran untuk mencari pantun bunga rampai ( abdul samad ahmad ). saya telah mergiu ke kedai - kedai buku sekitar shah alam dah kL untuk mencari buku pantun tersebut tetapi hampa. jika tidak keberatan, boleh atau tidak pihak tuan memberikan pantun bungan membalas komen ini dengan pantun bungan rampai yang sebenarnya. paling tidak pun nama buku yang mengandungi pantun itu dan lokasi kedai yg menjualnya supaya saya boleh mendapatkannya sendiri. sekian. :)

    ReplyDelete