TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Sunday 3 April 2011

APALAH MAKNA BAHASA KEBANGSAAN JIKA TIDAK BERMARTABAT


APALAH MAKNA BAHASA KEBANGSAAN 
JIKA TIDAK BERMARTABAT
Oleh: Zubaidi Abas

http://www.zubaidiabas.blogspot.com/


‘RTM akan terus martabatkan bahasa Melayu’. Demikian salah satu tajuk berita dalam akhbar Utusan Borneo pada 2 Jun 2010 yang lalu. Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya menyatakan bahawa Stesen Penyiaran Negara, Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan mengutamakan bahasa Melayu dalam program dan rancangannya. Penegasan dan jaminan itu membuat saya berasa cukup gembira. Perasaan yang sama pasti turut dikongsi oleh pejuang dan pencinta bahasa kebangsaan. Sebagai stesen penyiaran negara, RTM memang sewajarnya mempunyai tanggungjawab dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Dalam memenuhi peranan masing-masing sebagai sarana penyampaian maklumat dan hiburan, pelbagai stesen penyiaran yang ada pada masa ini, khususnya stesen penyiaran swasta lebih cenderung menyemarakkan penggunaan bahasa asing walaupun kedudukan bahasa Melayu jelas sebagai bahasa rasmi negara. Stesen penyiaran berkenaan mungkin berpandangan bahawa penggunaan bahasa asing dapat menarik perhatian penonton dan meningkatkan kadar kepopularan rancangan.
          Dalam sesi akhir pembentangan resolusi Kolokium Kebangsaan Memartabatkan Bahasa Kebangsaan di Institusi Pendidikan yang berlangsung pada 11 – 12 Mei 2010 yang lalu di Universiti Malaysia Sabah (UMS), saya turut berkesempatan menyuarakan pandangan tentang pelecehan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang dilakukan oleh stesen penyiaran, terutamanya stesen penyiaran swasta. Stesen penyiaran berkenaan bukan sahaja menonjolkan penggunaan bahasa asing dalam rancangannya  secara berlebihan, tetapi juga semakin meminggirkan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul. Dalam rancangan berbentuk hiburan, misalnya, meskipun menggunakan bahasa Melayu, pengacara, pengantara, atau penyiarnya telah menampilkan penggunaan bahasa yang sangat merawankan hati.
          Media massa, terutama media massa elektronik sebenarnya sangat berperanan dalam memartabatkan bahasa Melayu. Radio dan televisyen dapat mempengaruhi penggunaan bahasa masyarakat kerana jangkauannya yang cukup luas dan meliputi segenap lapisan masyarakat. Pengacara, pengantara, penyiar, juruhebah, atau penyampai yang menggunakan Melayu yang baik dan betul, misalnya, dapat menjadi contoh atau ikutan dan seterusnya mempengaruhi bahasa penonton atau pendengar. Namun, dalam memartabatkan bahasa Melayu, stesen penyiaran berkenaan didapati belum berperanan seperti yang diharapkan. Dalam hal ini, Zainuri Misfar dalam ruangannya, Fragmen (Berita Harian, 24 Mac 2010) menulis bahawa juruhebah atau penyampai stesen radio swasta tidak mempunyai disiplin dalam berbahasa sehingga penggunaan bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris sudah menjadi sajian biasa kepada pendengar. Stesen radio itu tidak memainkan peranan mendidik para pendengar supaya menggunakan bahasa Melayu dengan teratur, betul, dan berdisiplin. Kenyataan Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim tidak lama dahulu bahawa Kementerian Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan memandang serius terhadap penggunaan bahasa rojak dalam kalangan pengamal media radio dan televisyen tempatan membuktikan bahawa sumbangannya terhadap penyebaran dan penyuburan bentuk bahasa yang tidak bermartabat seperti itu tidak dapat diperkecil. Pelbagai bentuk penggunaan bahasa yang disajikan dalam media itu mudah diikut atau ditiru, terutama oleh generasi muda. Oleh sebab itu, permintaan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi supaya orang ramai membuat aduan tentang penggunaan bahasa pasar atau bahasa basahan yang begitu meluas kepada pihak kementerian atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak lama dahulu juga memperlihatkan keinginan pihak yang berkaitan untuk memastikan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul dalam penyampaian maklumat kepada pendengar. Radio dan televisyen sebagai media yang akrab dengan masyarakat seharusnya memberikan contoh penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul kepada masyarakat.
         Sebagai sarana yang amat berpengaruh dalam pembinaan dan pengembangan bahasa, kita memang sentiasa mengharapkan agar media massa mengikuti aturan dan kaedah berbahasa yang baik dan betul bagi meningkatkan penguasaan dan penggunaan bahasa dalam kalangan anggota masyarakat. Media massa harus memerhatikan penggunaan bahasanya kerana media massa secara tidak langsung menjadi ‘guru’ kepada anggota masyarakat dalam penggunaan bahasa. Bahasa yang digunakan oleh media massa sering dijadikan rujukan dan ikutan oleh anggota masyarakat. Oleh sebab itu, penyimpangan yang dapat mengganggu kelancaran dan keberkesanan komunikasi harus dihindarkan.  
          Sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia, penggunaan bahasa Melayu memang harus menjadi keutamaan. Memartabatkan bahasa Melayu bermaksud menempatkan bahasa itu di kedudukan yang sewajarnya. Usaha memartabatkan bahasa Melayu sebenarnya telah dijalankan sekian lama. Selama lebih setengah abad, bahasa Melayu telah menjadi salah satu asas pembinaan negara yang penting melalui tiga fungsi, iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa ilmu. Melalui pelbagai akta, bahasa Melayu telah diletakkan di tahap yang tinggi sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa rasmi.  Namun, dengan pengurangan fungsi dan peminggiran bahasa Melayu dalam bidang-bidang tertentu akibat perkembangan dan kemajuan kehidupan pada masa ini telah menjejaskan martabat bahasa Melayu. Dalam bidang pendidikan, terutama sebagai sarana pemerolehan dan pengembangan ilmu pengetahuan moden, bahasa Melayu tidak lagi memiliki kedudukan yang tinggi pada mata masyarakat. Oleh itu, keyakinan tentang wibawa bahasa Melayu perlu terus dibina dan ditingkatkan dari semasa ke semasa.  Menurut Prof. Dr. Awang Sariyan, peningkatan martabat bahasa Melayu sebagai teras pembinaan bangsa Malaysia memerlukan perencanaan semula dalam beberapa aspek dan pada waktu yang sama memerlukan peneguhan dasar-dasar yang berkaitan dengannya. Antara langkah yang perlu diambil termasuklah penegasan dasar bahasa dan penguatkuasaan dasar bahasa secara bersepadu seperti pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi hendaklah ditegaskan semula supaya semua urusan rasmi dan majlis rasmi di peringkat negara mengutamakan penggunaan bahasa Melayu, selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan.
         Keinginan kita untuk melihat bahasa kebangsaan benar-benar dimartabatkan memang belum menjadi kenyataan. Bahasa kebangsaan masih tidak dihargai sebagaimana sewajarnya. Sebaliknya, sebahagian besar anggota masyarakat menganggap bahawa bahasa Inggeris lebih tinggi martabat atau darjatnya daripada bahasa kebangsaan. Dalam pelbagai acara rasmi, para pemimpin, misalnya, didapati masih cenderung berucap dalam bahasa Inggeris walaupun khalayaknya terdiri daripada bangsa atau kaum sendiri. Kehadiran seorang berdua bangsa asing sering dijadikan alasan untuk mewajarkan penggunaan bahasa Inggeris. Di sektor swasta pula, penggunaan bahasa Inggeris seolah-olah menjadi sesuatu yang mutlak diperlukan atas alasan perhubungan luar negara dan perdagangan antarabangsa. Kecenderungan menggunakan bahasa Inggeris dalam acara atau pertemuan rasmi, dalam media massa, atau dalam pelbagai kegiatan bahasa memperlihatkan bahawa anggota masyarakat belum benar-benar menempatkan bahasa kebangsaan di kedudukan yang sewajarnya. Memartabatkan bahasa Melayu harus dijadikan kenyataan melalui penggunaannya dalam kehidupan seharian. Jika tidak, apalah maknanya menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara sekiranyaz dalam pelbagai kegiatan kebahasaan, kita masih tetap mendahulukan bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu!

DIDIK ANAK DENGAN ADAB DAN KESOPANAN


DIDIK ANAK DENGAN ADAB DAN KESOPANAN.
OLEH DR AMINUDIN MANSOR

Adab dan kesopanan penting dalam kehidupan setiap manusia. Tanpa adab dan kesopanan seseorang itu dikatakan tidak beradab dan tidak sopan. Anak-anak sejak kecil perlu dididik dengan adab dan kesopanan mengikut pendidikan Islam. Mendidik anak dengan adab dan kesopanan sudah menjadi tanggungjawab ibu b apa sejak anak itu lahir lagi.

Islam menggariskan banyak adab dan kesopanan yang perlu dididik kepada anak-anak. Antaranya adab makan dan minum, adab memberi salam, adab meminta izin, adab duduk dalam majlis, adab berbicara, adab memberi tahniah, adab menziarahi pesakit, adab mengucapkan takziah, adab bersih dan menguap dan adab bergurau.

Semuanya mempunyai etika dan peraturan yang perlu diikuti dan dididik sejak kecil. Antara kaedah yang digariskan oleh Islam dalam pendidikan anak-anak secara sosial  ialah membiasakan dan melatih mereka dari sejak kecil lagi dengan adab dan tatasusila Islam.

Berkaitan dengan adab Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang mukmin mengambil (melaksanakan) adab daripada Allah. Kalau Allah meluaskan adab baginya maka akan luas adabnya dan menyempitkannya (menahan dan tidak memberinya adab) maka sempitlah adabnya.” (Riwayat Al Hakim).

Oleh itu, apabila anak meningkat remaja, seseorang anak itu akan mengetahui cara-cara berinteraksi atau bergaul dengan orang lain dengan penuh santun dan kebaikan serta bertimbang rasa. Tanpa adab dan kesopanan sesuatu bangsa itu  dianggap tidak bertamadun.

Dalam hal demikian, ibu bapa bertinggung jawab sepenuhnya melatih anak-anak mereka dengan adab-adab yang telah digariskan. Menjadi tugas dan tanggungjawab ibu bapa anak-anak pada waktu masih kecil perlu diasuh dan dididik tentang adab dan tatatertib dalam kehidupan.

Tujuan pendidikan adab dan akhlak untuk melahirkan manusia yang berbudi luhur dan bersopan santun antara sesama makhluk Allah. Selain itu, untuk mendidik rohani, perasaan dan fikiran serta kemahuan anak-anak agar dapat memberikan kepada diri sendiri, kedua-dua ibu bapa dan masyarakat seluruhnya. Dalam kehidupan, adab memberi salam juga dititikberatkan.

Berkaitan dengan adab memberi salam Nabi s.a.w. bersabda: “Yang muda mendahului memberi salam kepada yang tua, yang berjalan kepada yang duduk dan yang berjumlah sedikit kepada yang banyak.” (Riwayat Al Bukhari).

Begitulah teliti dan terperinci adab memberi salam dan menghormati orang lain yang digariskan oleh Islam. Melalui adab dan peraturan yang diamalkan ini akan menjadikan seseorang itu sopan dan berbudi pekerti dalam pergaulan.

Melalui pendidikan adab akan memancarkan akhlak yang baik. Menurut tokoh Islam, Wahab Munabin, adab dan akhlak yang buruk seperti tembikar yang sudah pecah. Tidak dapat dilekatkan lagi dan tidak dikembalikan menjadi tanah.

Keburukan dan kejelikan adab dapat dilihat melalui tingkah laku dan perbuatan. Ia jelas terpancar melalui kata-kata dan juga perilaku seseorang. Sifat-sifat seperti meninggi diri, sombong, angkuh dan kasar adalah sifat yang biadab. Keseluruhan sifat ini menampakkan keburukan yang ada pada diri seseorang.

Sementara memetik kata-kata Prof Hamka “Kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya. Kata-kata yang lemah lembut dan beradab dapat melembutkan hati manusia yang keras.”

Jelaslah, tidak berguna jika mempunyai rupa paras yang cantik atau tampan tetapi tidak mempunyai adab dan kesopanan yang terpuji. Dalam era globalisasi adab dan kesopanan semakin tandus. Walau bagaimanapun, ia menjadi tugas dan tanggungjawab kepada setiap ibu bapa untuk mendidik anak-anak dengan adab sopan yang baik.

Menurut Khalifah  Abdul Malik Marwan, semulia-mulia manusia ialah orang yang mempunyai adab  yang merendah diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan orang lain ketika berdaya membalas, dan bersikap adil ketika kuat.

Sifat merendah diri adalah adab yang terbaik terutama ketika berada dalam kekayaan dan kedudukan tinggi. Seterusnya sifat selalu memaafkan orang lain juga adalah sifat terpuji yang harus dimiliki oleh seseorang dalam kehidupan bermasyarakat.

Pendidikan adab dan kesopanan ini mestilah dilakukan oleh ibu bapa kepada anak-anak sejak kecil, di usia remaja dan juga mengekalkannya sehingga dewasa. Guru-guru di sekolah juga boleh meneguhkan adab-adab yang baik ini bagi menyeimbangkan emosi dan sosial dalam kehidupan bermasyarakat. Membangunkan umat manusia dengan adab dan kesopanan juga menjadi tanggungjawab setiap ahli masyarakat.

Melalui pendidikan akidah pembentukan adab dan kesopanan ini akan dapat dilakukan dari semasa ke semasa secara berterusan melalui teguran dan contoh teladan. Justeru, pendidikan ini juga menjurus kepada ibadah dan kebajikan serta akhlak yang terpuji di kalangan anak-anak. Anak-anak yang beradab akan memiliki sifat takwa yang tinggi.

Dalam sebuah riwayat yang dijelaskan oleh Abu Daud, Nabi s.a.w. mendatangi serombongan orang yang sedang duduk di pinggir jalan lalu baginda bersabda, “Kalau memang harus kamu lakukan, maka balaslah ucapan salam dan tolonglah orang yang dizalimi. Tunjukkan jalan bagi orang yang bertanya.”

Begitu murninya adab dan kesopanan yang diajar dan didik dalam Islam. Baginda s.a.w. mesti dijadikan asas dalam kaedah pendidikan adab dan kesopanan. Islam tidak pernah meminggirkan teknologi dan perkembangan teknologi terkini, walau bagaimanapun kaedah pendidikan adab dan kesopanan Rasulullah s.a.w. mesti dijadikan contoh terbaik.

Antara Falsafah Pendidikan Islam, membentuk umat Islam menjadi hamba Allah yang mahir, beradab dan berkeperibadian tinggi, soleh dan berakhlak bagi mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
Daripada keterangan yang dijelaskan dapatlah diketahui dan difahami bahawa Islam amat mementingkan adab dan kesopanan dalam kehidupan seharian. Semuanya melambangkan ketertiban dan kesopanan seseorang dengan orang lain ataupun dengan masyarakat.

Oleh itu, melalui pendidikan di rumah dan di sekolah, adab dan kesopanan mestilah dididik terlebih dahulu kepada anak-anak seperti menghormati ibu bapa, guru-guru, orang yang lebih tua dan rakan sebaya.

Melaluinya akan dapat melahirkan insan yang seimbang dan harmonis yang mempunyai sifat keinsanan yang tinggi. Justeru, melaluinya akan dapat melahirkan Muslim yang berilmu, beriman, berketerampilan, beramal soleh, berakhlak mulia berdasarkan al-Quran dan sunah supaya menjadi hamba dan khalifah Allah yang bertakwa dan menyumbang ke arah meningkatkan tamadun bangsa dan negara.

Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu.