TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Thursday 8 March 2012

Pintu emosi Yassin Salleh



Pintu emosi Yassin Salleh
Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my
2012/03/09
imfoni Sepi: Himpunan Puisi Siber

MENYELAK Simfoni Sepi: Himpunan Puisi Siber karya Yassin Salleh ibarat membuka pintu bendungan emosi penyair Pahang itu kerana puisi di sisinya menjadi terapi kepada tragedi yang merempuh kehidupannya.

Tidak hairanlah karya awal daripada 263 puisi siber yang membaurkan fragmen hidup penyair pada detik nafas terakhir Allahyarham isterinya hinggalah hari berikutnya, selepas ratu hatinya meninggalkan alam fana.
Malah Pengenalan yang ditulis rakan akrabnya, Datuk Johan Jaaffar, tanpa sedar boleh diibaratkan sebagai kunci pembuka pintu untuk pembaca lebih bersimpati terhadap Yassin Salleh, sekali gus menerima apa jua puisi terapinya.

Ini kerana Johan memilih untuk berkongsi fragmen hubungan simbiosis mereka bermula dengan kisah awal perkenalan berlatarkan pentas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehinggalah ke zaman jatuh bangunnya di ranah politik yang kacau.

Tanpa sedar pendahuluan Johan itu ‘memaksa’ pembaca untuk mengabaikan kekacauan dan limpahan diksi dalam puisi penghormatan bermula daripada Gemersik Muzik SimfoniSepi, Terima Kasih Matahari dan Berkongsi Kasih sehinggalah Siri Daddy Loves Mummy.

Yes, We Love Mummy Very Much adalah puisi terapi terbaik Yassin, walaupun menggunakan bahasa paling sederhana kerana ia berjaya memecahkan tembok emosi penyair, tetapi sayang sedikit apabila diganggu oleh bahasa Inggeris.
Selepas hampir 30 puisi merempuh emosi, barulah Yassin Salleh berjaya keluar daripada pusaran perasaannya, lalu beralih ke karya yang lebih sinikal seperti Yang Dia Tak Tahupun mengenai budaya politik tempatan.

Ironi dan parodi inilah yang menguatkan puisi Yassin Salleh untuk pembaca mentertawakan jenaka politikus di sekelilingnya seperti terungkap dalam puisi itu: Si nenek tua itupun menadah tangan/ memanjatkanlah kesyukuran/ atas kematian wakil rakyatnya/ yang tidak tak tahupun/ siapa orangnya.

Puisinya amat skeptikal kepada politikus sehingga Yassin Salleh meletakkan watak politikus pada pentas jenaka untuk ditertawakan oleh pembacanya.

Yassin Salleh juga memanfaatkan pepatah lama untuk puisinya, Selamat Sejahtera, Janganlah dagang lalu dipeluk dicumbu/ adik abang dibiarkan terdampar di luar kelambu, mengingatkan kita kepada pantun dua kerat yang ‘dimanipulasi’ Sasterawan Negara (SN), Allahyarham Datuk (Dr) Usman Awang, iaitu siakap senohong, lama-lama ikan duri, bercakap bohong, lama-lama jadi menteri.

Lagu Bangau Oh Bangau pula menjadi parodi dalam untuk masalah politik, perebutan kuasa dan perubahan zaman, manakala lagu Katak diberikan penamat yang cukup menikam: kuasanya politik/ amat menakutkan/ para pemegang harta intelek/ sehebat laungan katak memanggil hujan ini?

Di sebalik limpahan kata-kata biasa yang disusun mirip puisi, tersangkut juga beberapa baris yang sangat kuat, tetapi tenggelam timbul di sebalik arus bahasa sederhananya.

Ini termasuklah puisi Tiba-tiba Hilang yang menyembunyikan ironi yang sangat memikat: dari pergunungan kabilah orang telanjang/ di mana orang yang sempurna lengkap berpakaian/ dihukum biadab dinistakan tak bersopan.

Atau kata-kata itu seolah-olah terkapai-kapai dalam limpahan bauran emosi seperti dalam Makan Sepinggan Bersuap-suapan: Mereka kini merdeka/ tidur sebantal satu selimut/ makan sepinggan bersuap-suapan/ berkongsi pesaka atas nama kemerdekaan.

Malangnya pengulangan puisi berlaku seperti Kawan-kawan Setiaku, Seindah, Serapi Estetika Mahakaryamu Itu atau Aku Nak Buka Akademi Seni Anyaman Avant Garde De’ Tempua, seolah-olah membayangkan himpunan ini disengajakan tidak diperhalusi sebelum diterbitkan.

Ia barangkali berpunca daripada proses kepenyairan Yassin Salleh sendiri yang menulisnya pada sistem pesanan ringkas (SMS) dan e-mel untuk disebarkan kepada kenalan dan kekasihnya.

Tidak hairanlah buku setebal 262 terbitan Balang Rimbun Sdn Bhd ini menuntut kesabaran pembaca dalam mengurai enigma penyair, meskipun sehingga ke penghujungnya kita tidak mungkin mengenali siapa Yassin Salleh sebenarnya.

INFO: Simfoni Sepi: Himpunan Puisi Siber
Penulis: Yassin Salleh
Tebal: 262 halaman
Penerbit: Balang Rimbun Sdn Bhd
Bintang: *** (3 bintang)

Biodata: Dari guru ke sastera

YASSIN Salleh kelahiran Kampung Ponson, Manchis, Bentong, pada 20 Mei 1946, dibesarkan di Pahang, tetapi mengamalkan adat pepatih dan berbicara dalam loghat Negeri Sembilan.

Yassin menerima pendidikan awal di Sekolah Umum Manchis, Simpang Pelangai dan Darjah Menengah Melayu yang menumpang bangunan Sulaiman Secondary School, sebelum menyambung pengajian di Pusat Latihan Perguruan Harian, Kuantan, pada 1963.

Beliau menjadi guru buat sementara waktu, sebelum mengambil keputusan meninggalkan kerjaya itu demi menceburkan diri dalam sastera, selain turut menghasilkan filem, Potret Maria, Dia Ibuku, Ali Setan 2 dan Hanny.

Filem Dia Ibuku meraih 10 anugerah pada Festival Filem Malaysia Ke-2 (FFM2) pada 1982 termasuk Pengarah Terbaik, sekali gus menjadi filem yang paling banyak menerima anugerah dalam sejarah FFM.