TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Thursday 10 March 2011

Bagaimana Saya Menulis


Bagaimana Saya Menulis
Oleh Nurul Farina Nazlan
nfarina@bharian.com.my
2011/03/11

Pelajari kaedah karya bermutu daripada pengalaman pengarang berbakat 

BAGAIMANA Saya Menulis susunan Mawar Safie dan Nisah Haron menampilkan proses penciptaan cerpen yang menelusuri pengalaman 17 penulis karya kreatif dalam menghasilkan cerpen mereka yang pernah disiarkan dalam akhbar dan majalah tempatan.
Buku ini juga memberi pendedahan berkenaan proses penulisan cerpen melalui karya pilihan yang dijadikan paksi perbincangan, iaitu setiap penulis menerangkan proses kreatif mereka dengan menyentuh latar, pengalaman peribadi dan perwatakan.
Khalayak yang membaca buku ini juga akan dapat melihat keakraban antara penulis dan cerpen yang dihasilkan sehingga boleh dijadikan rujukan bagi pembaca yang ingin terjun dalam bidang penulisan genre terbabit dengan mengetahui proses berkreatif terlebih dulu. 

Sebahagian daripada 17 karya dalam buku ini ialah Ya Allah Dia Menangis nukilan Aminah Mokhtar, Perlak Emak (Faisal Tehrani), Jiji - Moga-moga Kau Mendengar (Jais Sahok), Tentang Hijab (Kamariah Kamaruddin), Nyanyi Sunyi (Maskiah Masrom) dan Air Mata Orang Kaya (Saharil Hasrin Sanin) dengan pelbagai latar yang menarik. 

Cerpen Ya Allah Dia Menangis karya Aminah Mokhtar memaparkan kisah pilu pembantu rumah yang dijadikan isteri oleh majikannya yang berperangai binatang dan akhirnya lelaki itu ditimpa penyakit misteri yang membawa maut, namun wanita itu terus ditimpa malang kerana haknya sebagai isteri dinafikan oleh anak tirinya. 

Pengarang cerpen ini memanfaatkan pengalamannya sebagai jururawat dengan mengambil wad ICU sebagai latar dengan memaparkan perebutan jenazah antara isteri dan keluarga arwah berjaya memberi kefahaman kepada pembaca bahawa hospital bukan hanya tempat merawat penyakit, tetapi berfungsi menjadi penawar jiwa. 
Pengarang dalam cerpen ini menggunakan teknik penceritaan secara imbas kembali dan berbingkai, malahan pembaca pasti akan melihat kesungguhan penulis menterjemahkan watak garapannya dengan setiap dialog disampaikan mempunyai kesinambungan yang cukup bermakna. 

Mohd Nazmi Yaakub yang tampil dengan karya Selirat Derita Pun Terurai memberi gambaran berkenaan mainan emosi dalam diri wanita keturunan Yahudi, Sophia yang tidak menyukai tindakan bangsanya yang suka merampas, memerangi dan memusnahkan hak masyarakat lain seperti yang berlaku di Palestin. 

Pengarang menggunakan pengalamannya ketika menuntut di Mesir dengan memindahkan apa yang diperoleh di perantauan dalam Selirat Derita Pun Terurai dengan gambaran bahang politik yang berlaku di sempadan Palestin dengan menyelami duka bangsa terbabit. 

Cerpen ini menarik kerana dekat dengan identiti perjuangan Islam daripada kekejaman asing dengan gambaran perasaan watak Sophia yang keliru terhadap kekusutan dalam kekalutan di bumi Palestin yang akhirnya menimbulkan satu lagi sejarah dalam pergolakan di sana. 

Air Mata Orang Kaya garapan Saharil Hasrin Sanin menampilkan simbol kesedihan bermula perenggan awal lagi dan watak utamanya, Tan Sri, digambarkan selalu menangis sehingga menimbulkan persoalan di benak pembaca mengapakah lelaki itu selalu berduka. 

Cerpen ini turut memasukkan mentaliti ketam kerana penulisnya mahu merujuk dan menyelar sifat kebanyakan masyarakat kita yang suka, bahkan meraikan kesilapan serta kejatuhan orang lain. 

Pembaca pasti akan lebih tertarik untuk menelusuri karya Saharil ini kerana menyangka air mata Tan Sri adalah disebabkan masalah rumah tangga atau masalah sosial dalam keluarga, tetapi akhirnya akan tersenyum kerana sangkaan itu tidak tepat ekoran lelaki protagonis itu sebenarnya sentiasa menangis disebabkan penyakit mata, epifora yang dihidapinya. 

Keseluruhan antologi cerpen setebal 339 halaman terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berharga RM25 senaskhah ini sesuai dijadikan panduan berharga bagi mereka yang ingin mempelajari bagaimana menulis cerpen bermutu dengan menjadi proses berkreatif penulis berbakat tanah air sebagai panduan. 

Info 
Bagaimana Saya Menulis 

Susunan: Mawar Safie dan Nisah Haron 
Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka 
Tebal: 339 halaman 
Harga: RM25 
Bintang: **** 

No comments:

Post a Comment