TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Sunday 27 March 2011

WARTAWAN DAN SASTERAWAN PEMIKIRANNYA TAJAM.


WARTAWAN DAN SASTERAWAN PEMIKIRANNYA TAJAM.
DR AMINUDINMANSOR. 

Peranan beberapa orang tokoh sasterawan dan wartawan sebelum merdeka sangat besar dan penting dalam politik tanah air khususnya untuk membela nasib agama, bangsa dan tanah air. Kebanyakan mereka berjuang dalam dua lapangan iaitu sebagai wartawan dan sasterawan dalam konteks pembangunan bangsa ke arah kemerdekaan dan kedaulatan seharusnya dihayati oleh generasi masa kini.

Kebanyakan mereka berpegang kepada prinsip untuk membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan dan berusaha membuka minda rakyat khususnya bangsa Melayu melalui tulisan kewartawanan dan juga hasil karya berupa cerpen, novel dan sajak.

Salah seorang daripada mereka adalah Allahyarham DrIshak Haji Muhammad atau Pak Sako  yang berjuang menegakkan keadilan dan kemerdekaan melalui tulisannya sebagai wartawan dan sasterawan. Beliau memainkan peranan penting dalam usaha menyedarkan orang Melayu tentang pentingnya tampuk kuasa politik dipegang oleh penduduk negara ini khususnya orang Melayu berpaksikan kepada kedaulatan raja-raja

Demikian ditegaskan oleh Prof Madya Dr. Abu HassanHasbullah, pensyarah Universiti Malaya dalam pembentangan di Seminar Pemikiran Pak Sako di Dewan Bahasa dan Pustaka, baru-baru ini.

Menurutnya, Pak Sako adalah seorang tokoh nasionalis dalam sejarah moden negara yang berjuang dan sanggup berkorban masa dan tenaga  dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dengan pergi merantau ke seluruh pelosok negara terutama di Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan danTerengganu.

“Pak Sako juga menjadi aktivis politik, selain penglibatannya sebagai wartawan dan sasterawan yang menguasai ketiga-tiga bidang ini, sekali gus membuktikan kesusasteraan boleh menjadi alat berkesan untuk menyedarkan masyarakat tentang muslihat penjajah.” Jelasnya.

Beliau menyarankan supaya anak-anak muda membaca kembali beberapa tulisan dan novel Pak Sako seperti Putera Gunung Tahan, dan Anak Mat Lela Gila yang banyak memuatkan kisah perjuangan bagi pengajaran dan teladan politik pada masa kini.

Menurutnya, dalam buku tersebut telah dijelaskan tentangisu rasuah, bodek membodek untuk mendapatkan kedudukan dan pangkat, kemiskinan dan kelemahan orang Melayu, isu tanah, pasir yang telah pun disentuh oleh pak Sako melalui pemikirannya yang melangkau hingga ke zaman kini.

Sementara, tokoh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, mengimbau kembali perjuangannya dengan Pak Sako semasa berada di Singapura dengan menggunakan bidang penulisan untuk menyedarkan masyarakat melalui duamajalah remaja yang dibaca oleh golongan remaja di negara ini.

Menurutnya, Pak Sako mendapat bimbingan Allahyaraham Abdul Rahim Kajai, begitu juga dengan tokoh wartawan dan sasterawan A. Samad Ismail yang juga berjuang menyedarkan masyarakat tentang muslihat penjajah.

Sementara itu, menurut Ketua 2, Gapena , Datuk Dr. A. Latiff    Bakar, beliau membuat kajian ijazah pertamanya tentang perjuangan Pak Sako  yang sangat menarik melalui liku-liku hidup yang penuh ranjau dan perjuangan demi memartabatkan kedaulatan bangsa Melayu.

Sepanjang beliau bersama Pak Sako, tokoh nasionalis tersebut mempunyai pemikiran yang kritis terhadap perjuangan bangsa melalui politik, kewartawanan dan kesusasteraan dan diibaratkan sebagai “serampang tiga mata” dalam perjuangan menentang penjajah.

Penglibatan penulis semasa menjadi setiausaha Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) bersama Pak Sako sekitar tahun 1972 hingga 1982, beliau sering pulang ke kampung halamannya di Temerloh selalu bertemu dengan sahabatnya Allahyarham Sahmad Malaya dan Haji Alang Ahmad bekas wartawan Utusan Melayu di Temerloh. Beliau seorang pejuang nasionalis tulen yang mengambil berat terhadap kehidupan petani, buruh, nelayan dan golongan bawahan yang miskin juga terkenal sebagai seorang yang pemurah serta dermawan dan sanggup turun ke bawah melihat dan membantu golongan tersebut.

Nama Pak Sako bukanlah satu nama asing bagi negara kita terutama dalam bidang kesusasteraan. Pak Sako sebenarnya adalah jolokan kepada nama Isako-san yang dipanggil orang-orang Jepun. Pak Sako juga dikenali juga dengan nama samaran seperti Anwar, Hantu Raya, Isako San dan Pak Pandir Moden ketika kemuncak perjuangan menuntut kemerdekaan. Buku dan tulisannya  yang banyak seharusnya diterbitkan semula oleh pihak Dewan Bahasa dan Utusan Melayu bagi bacaan generasi muda masa kini selain memberikan nama tokoh tersebut kepada Hadiah Sastera atau Kewartawanan di negara ini.

3 comments:

  1. Banyak lagi tokoh dpmp pahang yang harus diketengahkan pemikiran melalui karya mereka dalam blog dpmp. Antaranya penulis Ahmad Kotot, Pak Zek, Bung Karim, Arman Sani, Sahmad malaya, Khairuddin Kawi, Cikgu Taib Akil, Ibrahim Omar. Perjuangan dan kecintaan mereka terhadap dpmp hebat dan seharusnya menjadi teladan kepada generasi baru era globalisasi. -Drp Ami Masra

    ReplyDelete
  2. Tuanlah yang diharapkan menulisnya, Dah bermula dengan Pak Sako, teruskan, sokongan tuan itu diterima sepenuh hati. Kita pandang ke depan, belakang tu dah jadi sejarah

    ReplyDelete
  3. Salam tahniah Sdr Subari. Teruskan usaha sdr. Saya menyokong dari belakang. Apapun yang penting misi dan visi dpmp harus ditegakkan. Berkaitan dengan tokoh pemikirannya adalah sejarah yang patut dijadikan teladan kepada generasi baru.

    ReplyDelete