TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Thursday 24 November 2011

Sastera membangun akal budi manusia.



Sastera membangun akal budi manusia.
 OLEH DR AMINUDIN MANSOR.          
                                            
Karya sastera khususnya karya kesusasteraan Melayu Tradisional dan kini karya Kesusasteraan  Melayu Moden merupakan suatu bidang yang amat luas dan tidak dapat dikaji dan diselidiki sepuas-puasnya oleh jumlah penyelidik dan pengkaji yang kecil. Melalui pembacaan, penelitian dan pengkajian kita akan mendapat manfaat daripadanya.

Dalam karya tersebut terdapat pelbagai corak dan sifat penulisan yang membawa pelbagai isi dan pemikiran masyarakat zaman lampau dan juga zaman moden yang mencerminkan seluruh hati masyarakat tersebut dari segala aspek kehidupannya. Bahan-bahan yang dikaji ialah hasil ciptaan manusia Melayu Tradisional dan Moden melalui pemikiran dan perkembangan masyarakatnya.

Menurut pengkaji sastera tradisional Profesor Dr Siti Hawa Salleh, karya-karya zaman klasik menurunkan kepada kita unsur-unsur peradaban zaman silam, nilai-nilai tinggi budaya masyarakat itu dan pemikirannya.

Selain itu, menurutnya, unsur-unsur ini inilah yang menjadikan manusia Melayu itu lain daripada manusia-manusia lain. Cara pemikiran, tindakan-tindakan yang diambil, adat istiadat yang dipentingkan serta larangan-larangan tertentu menjadi landasan perkembangan peradaban tersebut.

Oleh sebab itu, karya-karya dari zaman peradaban silam tetap kekal sebagai bahan terpenting memberi kita gambaran tentang kehidupan nenek-moyang kita dahulu di samping menerangkan jalan perkembangan yang diharungi masa kini yang dapat dipelajari melalui bahan sastera iaitu sastera moden Melayu. Bahan-bahan sastera ini diajar di peringkat sekolah menengah bagi membentuk akal budi pelajar.

Memetik sumber Kementerian pelajaran Malaysia (KPM), semua bahan dalam Antologi Teks Komponen Sastera dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu telah melalui proses pemerakuan di peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) demi menjaga kualiti antologi berkenaan. Bahan-bahan dalam antologi ini disediakan bagi memenuhi dan menepati kehendak kurikulum Bahasa Melayu  sekolah menengah yang menekankan kemahiran bahasa, iaitu mendengar dan bertutur, membaca dan menulis.

Di samping itu, elemen interpersonal , maklumat dan estetika juga diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) komponen sastera (Komsas). Peranan guru bahasa Melayu sangat penting memanfaatkan bahan ini sebagai bahan yang paling sesuai dan berkesan dalam mata pelajaran tersebut.

Bahan-bahan yang terdapat dalam antologi Tingkatan 1 hingga 5, merupakan wadah penulisan yang mengandungi fakta, pengetahuan, dan maklumat lain yang diperlukan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dengan tujuan untuk pembangunan diri dan pembentukan minda setiap murid. Oleh itu, bahan yang terdapat dalam antologi ini telah diubahsuai daripada karya asal dan disesuaikan menjadi bahan untuk Edisi Murid.

Pada masa kini, sebanyak 2.3 juta pelajar di peringkat sekolah menengah mempelajari Komsas dan sebilangannya mempelajari Kesusasteraan Melayu daripada 2,248 buah sekolah menengah. Bahan-bahan ini dibaca, dikaji dan dipelajari di dalam kelas sebagai bahan P&P yang sangat berguna dan juga diuji dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Antologi Teks Komponen Sastera dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu disediakan bagi memenuhi keperluan murid dalam pembelajaran kesusasteraan. Antologi Komsas  juga mengandungi genre puisi tradisional, puisi moden, prosa tradisional, cerpen dan drama.

Melalui karya-karya seperti ini, murid dapat mengenal dan menikmati karya sastera negara. Selain itu, menggalakkan lagi minat membaca murid, karya tersebut dapat juga menjadi saluran bagi murid memahami budaya dan cita rasa masyarakat negara ini.

Di harapkan juga murid akan berminat untuk mengembangkan bakat penulisan dengan berkarya bagi melahirkan idea mereka sendiri  di samping meningkatkan kemahiran berbahasa Melayu.

Pembentukan individu yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani merupakan agenda utama yang dihasratkan melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Justeru, melalui pengajaran dan pembelajaran kesusasteraan dapat menyokong teras pembentukan individu , terutama dari segi pemupukan ilmu, kemahiran dan nilai yang berkaitan dengan aspek intelek dan emosi.

Penerapan elemen-elemen ini dalam karya sastera yang terpilih mampu menjadikan murid seorang insan yang berakal budi yang berfikir tentang kebaikan, kehalusan budi pekerti, kesantunan bahasa, kecekalan hati, keindahan seni, dan seterusnya menghargai kehidupan dan nilai kemanusiaan

Justeru, Kementerian Pelajaran Malaysia mengharapkan karya yang disumbangkan oleh penulis, idea dan pemikiran yang disampaikan dapat membentuk akal budi pelajar selain usaha murni ini dapat memantapkan sistem pendidikan negara dan memajukan bidang penulisan kreatif dalam kalangan rakyat Malaysia.

Selain itu, Teks Moden Kesusasteraan Melayu Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) disediakan bagi memenuhi keperluan pelajar dalam mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di peringkat Tingkatan 4 dan 5 KBSM.

Karya-karya yang terdapat dalam buku tersebut juga telah dipilih dengan teliti supaya dapat memenuhi matlamat pendidikan Kesusasteraan Melayu iaitu membolehkan pelajar menjiwai nilai-nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan, kemasyarakatan, kebudayaan dan kewarganegaraan.

Di samping itu, kesusasteraan juga dapat menanam rasa bangga dan cinta akan negaranya dan sanggup berkorban kerananya lantaran itu, melalui pembacaan dan penelitian ke atas karya-karya sastera yang terkandung dalam buku tersebut, pelajar juga dapat diharapkan dapat mengenal dan menghayati, menikmati karya-karya sastera negara di samping membina budaya minat membaca.

Jika ditinjau FPK jelas berhasrat untuk melahirkan individu yang seimbang. Oleh yang demikian, P&P Kesusasteraan Melayu juga diharapkan dapat menyumbang ke arah merealisasikan hasrat tersebut. Sastera Melayu memainkan peranan penting dalam pembangunan insan dan akal budi pelajar.

Dalam karya sastera penerapan elemen-elemen ilmu dan kemahiran dalam teks tersebut diharapkan dapat membangun akal budi pelajar dan juga melahirkan pelajar bukan sahaja berfikiran kritis dan kreatif, bahkan juga dapat membina budaya mengkaji, menyelidik dan mencipta yang kemudiannya akan melahirkan penulis-penulis yang prolifik dan produktif yang dapat menyumbang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air.

Di harapkan juga melalui P&P mata pelajaran ini di peringkat sekolah menengah akan dapat memartabatkan kesusasteraan negara agar ia tidak diketepikan dalam era kemajuan teknologi sekarang dan juga era globalisasi yang penuh cabaran.

Lantaran itu, kesusasteraan harus berada dalam arus perdana dan turut memberikan sumbangan ke arah pembangunan akal budi pelajar dan seterusnya memberikan manfaat kepada pembangunan dan kemajuan negara. Peminggiran terhadap bahan-bahan sastera sama ada sastera tradisional dan moden tidak harus berlaku dalam masyarakat yang membangun dan maju.

Penulis pengkaji sastera berkelulusan PhD Persuratan Melayu, UKM.

No comments:

Post a Comment