TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Sunday 5 June 2011

APABILA KITA TERLALU BERTOLAK-ANSUR.



APABILA KITA TERLALU BERTOLAK-ANSUR.
Oleh: DR AMINUDIN MANSOR.

Dalam kehidupan, apabila kita terlalu baik, orang lain akan mengambil kesempatan atas kebaikan kita. Begitu juga apabila kita tidak tegas, orang lain akan mengambil mudah apa-apa sahaja daripada tidak tegasnya kita.

Undang-undang dan peraturan memang telah ada tetapi pelaksanaannya masih lagi lemah di mana-mana. Daripada denda pembuangan sampah, pembiakan nyamuk aedes, denda merokok di tempat larangan hinggalah kepada kebersihan tandas masih lagi tiada tindakan tegas. Ia hanya berlaku mengikut musim dan keadaan tertentu. Begitu juga penyelewengan diesel subsidi. Pelbagai usaha dan  kempen telah diadakan tetapi keadaan masih juga sama. Itulah kenyataannya.

Sampai bilakah masalah ini akan berlarutan? Kita sama-samalah menjawab dan mengatasinya. Dalam melaksanakan undang-undang dan peraturan rasa kasihan belas mestilah diketepikan. Jika bersalah seseorang itu patut dikenakan denda, dia harus membayar denda yang ditetapkan.

Terbaharu, mulai tahun depan kerajaan mewajibkan majikan membeli premium insurans kesihatan bernilai RM120 setahun bagi setiap pekerja asing berikutan tunggakan bil rawatan pekerja terbabit di hospital kerajaan yang menjangkau RM19 juta ketika ini.

Dengan jumlah pekerja asing sah di negara ini berjumlah 1.8 juta orang, banyak pihak melihat langkah tersebut sesuai bagi mengatasi masalah yang dibebani oleh kerajaan. Pekerja asing juga perlu bertanggungjawab apabila berada di negara ini dan sedia mengikut budaya dan adat resam penduduknya. Bak kata “Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”.

Mengikut sumber Kementerian Dalam Negeri (KDN), 1.8 juta pekerja asing terdiri daripada pembantu rumah 12 peratus, pembuatan 39 peratus, perladangan14 peratus, pembinaan 19 peratus, perkhidmatan 10 peratus, dan pertanian 6 peratus.

Pada masa kini Malaysia memang memerlukan tenaga kerja asing, terutamanya kalangan pekerja mahir, tetapi kedatangan mereka mestilah dipantau dengan tegas dan berkesan bagi mengelakkan kesan sosial dalam masyarakat. Dewasa ini adalah dianggarkan 2.1 juta pekerja asing yang bekerja secara sah di negara ini. Pada tahun 2006 pekerja asing menyumbang 11.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. Itu belum masuk yang tak sah.

Selain itu, pihak tertentu yang bertanggungjawab juga mestilah sentiasa memantau kedatangan pendatang asing secara haram yang masuk sebagai pelancong secara sah dan tidak sah. Kita tidak mahu disebabkan sifat bertolak-ansur dan  terlalu baik di kalangan rakyat tempatan sehingga  akhirnya akan pendatang asing menjadi menyakitkan mata dan hati rakyat tempatan.


No comments:

Post a Comment