Di Pintu Benar.
Sajak: Dr. Aminudin Mansor
Ketika menyelak
daun kehidupan
terpantul tanya
pada kebenaran.
Apa yang benar
tersirat kebenaran
apa yang salah
dalam perlakuan?
Merenung makna hidup
pagi tengah hari senja redup
malam membenam kisah
manusia ditimpa gelisah.
Dialah hakim yang sebenar
menentukan salah dan benar
si pelaku dilumuri onar
sang pelakon di lumpur cemar.
Kita selalu lupa akan janji-Nya
benar terpantul kerana kebenaran
salah terpacul kerana kesalahan
manusia sering lalai juga alpa
niat tujuan hidup dan kehidupan.
Setiap gerak amal perbuatan
segala-galanya akan dicatatkan
pada kertas iman dan buku amal
pelaksanaannya pada peribadatan
jauhi kegelisahan resah kesedihan.
USJ 4, Subang Jaya, Selangor.
Tersiar di M.Malaysia 5 Jun 2011
No comments:
Post a Comment