Sastera membangun akal
budi manusia.
OLEH DR AMINUDIN
MANSOR.
Karya sastera khususnya
karya kesusasteraan Melayu Tradisional dan kini karya Kesusasteraan
Melayu Moden merupakan suatu bidang yang amat luas dan tidak dapat dikaji dan
diselidiki sepuas-puasnya oleh jumlah penyelidik dan pengkaji yang kecil. Melalui
pembacaan, penelitian dan pengkajian kita akan mendapat manfaat daripadanya.
Dalam karya tersebut
terdapat pelbagai corak dan sifat penulisan yang membawa pelbagai isi dan
pemikiran masyarakat zaman lampau dan juga zaman moden yang mencerminkan
seluruh hati masyarakat tersebut dari segala aspek kehidupannya. Bahan-bahan
yang dikaji ialah hasil ciptaan manusia Melayu Tradisional dan Moden melalui
pemikiran dan perkembangan masyarakatnya.
Menurut pengkaji sastera
tradisional Profesor Dr Siti Hawa Salleh, karya-karya zaman klasik menurunkan
kepada kita unsur-unsur peradaban zaman silam, nilai-nilai tinggi budaya
masyarakat itu dan pemikirannya.
Selain itu, menurutnya,
unsur-unsur ini inilah yang menjadikan manusia Melayu itu lain daripada
manusia-manusia lain. Cara pemikiran, tindakan-tindakan yang diambil, adat
istiadat yang dipentingkan serta larangan-larangan tertentu menjadi landasan
perkembangan peradaban tersebut.
Oleh sebab itu,
karya-karya dari zaman peradaban silam tetap kekal sebagai bahan terpenting
memberi kita gambaran tentang kehidupan nenek-moyang kita dahulu di samping
menerangkan jalan perkembangan yang diharungi masa kini yang dapat dipelajari
melalui bahan sastera iaitu sastera moden Melayu. Bahan-bahan sastera ini
diajar di peringkat sekolah menengah bagi membentuk akal budi pelajar.
Memetik sumber Kementerian
pelajaran Malaysia (KPM), semua bahan dalam Antologi Teks
Komponen Sastera dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu telah
melalui proses pemerakuan di peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)
demi menjaga kualiti antologi berkenaan. Bahan-bahan dalam antologi ini
disediakan bagi memenuhi dan menepati kehendak kurikulum Bahasa Melayu
sekolah menengah yang menekankan kemahiran bahasa, iaitu mendengar dan
bertutur, membaca dan menulis.
Di samping itu, elemen
interpersonal , maklumat dan estetika juga diaplikasikan dalam pengajaran dan
pembelajaran (P&P) komponen sastera (Komsas). Peranan guru bahasa Melayu
sangat penting memanfaatkan bahan ini sebagai bahan yang paling sesuai dan
berkesan dalam mata pelajaran tersebut.
Bahan-bahan yang terdapat
dalam antologi Tingkatan 1 hingga 5, merupakan wadah penulisan yang mengandungi
fakta, pengetahuan, dan maklumat lain yang diperlukan dalam mata pelajaran
Bahasa Melayu dengan tujuan untuk pembangunan diri dan pembentukan minda setiap
murid. Oleh itu, bahan yang terdapat dalam antologi ini telah diubahsuai daripada
karya asal dan disesuaikan menjadi bahan untuk Edisi Murid.
Pada masa kini, sebanyak
2.3 juta pelajar di peringkat sekolah menengah mempelajari Komsas dan
sebilangannya mempelajari Kesusasteraan Melayu daripada 2,248 buah sekolah
menengah. Bahan-bahan ini dibaca, dikaji dan dipelajari di dalam kelas sebagai
bahan P&P yang sangat berguna dan juga diuji dalam peperiksaan Penilaian
Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Antologi Teks Komponen
Sastera dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu disediakan bagi memenuhi keperluan murid dalam pembelajaran
kesusasteraan. Antologi Komsas juga mengandungi genre puisi tradisional,
puisi moden, prosa tradisional, cerpen dan drama.
Melalui karya-karya
seperti ini, murid dapat mengenal dan menikmati karya sastera negara.
Selain itu, menggalakkan lagi minat membaca murid, karya tersebut dapat juga
menjadi saluran bagi murid memahami budaya dan cita rasa masyarakat negara ini.
Di harapkan juga murid
akan berminat untuk mengembangkan bakat penulisan dengan berkarya bagi
melahirkan idea mereka sendiri di samping meningkatkan kemahiran
berbahasa Melayu.
Pembentukan individu yang
seimbang serta berkembang secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani merupakan agenda utama yang dihasratkan melalui
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
Justeru, melalui
pengajaran dan pembelajaran kesusasteraan dapat menyokong teras pembentukan
individu , terutama dari segi pemupukan ilmu, kemahiran dan nilai yang
berkaitan dengan aspek intelek dan emosi.
Penerapan elemen-elemen
ini dalam karya sastera yang terpilih mampu menjadikan murid seorang insan yang
berakal budi yang berfikir tentang kebaikan, kehalusan budi pekerti, kesantunan
bahasa, kecekalan hati, keindahan seni, dan seterusnya menghargai kehidupan dan
nilai kemanusiaan
Justeru, Kementerian
Pelajaran Malaysia mengharapkan karya yang disumbangkan oleh penulis, idea dan
pemikiran yang disampaikan dapat membentuk akal budi pelajar selain usaha murni
ini dapat memantapkan sistem pendidikan negara dan memajukan bidang penulisan
kreatif dalam kalangan rakyat Malaysia.
Selain itu, Teks Moden
Kesusasteraan Melayu Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) disediakan
bagi memenuhi keperluan pelajar dalam mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di
peringkat Tingkatan 4 dan 5 KBSM.
Karya-karya yang terdapat
dalam buku tersebut juga telah dipilih dengan teliti supaya dapat memenuhi
matlamat pendidikan Kesusasteraan Melayu iaitu membolehkan pelajar menjiwai
nilai-nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan, kemasyarakatan, kebudayaan
dan kewarganegaraan.
Di samping itu,
kesusasteraan juga dapat menanam rasa bangga dan cinta akan negaranya dan
sanggup berkorban kerananya lantaran itu, melalui pembacaan dan penelitian ke
atas karya-karya sastera yang terkandung dalam buku tersebut, pelajar juga
dapat diharapkan dapat mengenal dan menghayati, menikmati karya-karya sastera
negara di samping membina budaya minat membaca.
Jika ditinjau FPK jelas
berhasrat untuk melahirkan individu yang seimbang. Oleh yang demikian, P&P
Kesusasteraan Melayu juga diharapkan dapat menyumbang ke arah merealisasikan
hasrat tersebut. Sastera Melayu memainkan peranan penting dalam pembangunan
insan dan akal budi pelajar.
Dalam karya sastera
penerapan elemen-elemen ilmu dan kemahiran dalam teks tersebut diharapkan dapat
membangun akal budi pelajar dan juga melahirkan pelajar bukan sahaja berfikiran
kritis dan kreatif, bahkan juga dapat membina budaya mengkaji, menyelidik dan
mencipta yang kemudiannya akan melahirkan penulis-penulis yang prolifik dan
produktif yang dapat menyumbang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air.
Di harapkan juga melalui
P&P mata pelajaran ini di peringkat sekolah menengah akan dapat
memartabatkan kesusasteraan negara agar ia tidak diketepikan dalam era kemajuan
teknologi sekarang dan juga era globalisasi yang penuh cabaran.
Lantaran itu,
kesusasteraan harus berada dalam arus perdana dan turut memberikan sumbangan ke
arah pembangunan akal budi pelajar dan seterusnya memberikan manfaat kepada
pembangunan dan kemajuan negara. Peminggiran terhadap bahan-bahan sastera sama
ada sastera tradisional dan moden tidak harus berlaku dalam masyarakat yang
membangun dan maju.
Penulis pengkaji sastera
berkelulusan PhD Persuratan Melayu, UKM.