TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Saturday 16 April 2011

NOVELIS “DESA PINGITAN” IBRAHIM OMAR MENINGGALKAN LEBIH 50 BUAH NOVEL DAN RATUSAN CERPEN

NOVELIS “DESA PINGITAN” IBRAHIM OMAR MENINGGALKAN LEBIH 50 BUAH NOVEL DAN RATUSAN CERPEN.
: Oleh Dr. Aminuddin Mansor

Memetik pandangan Sasterawan Negara (SN) Datuk A. Samad Said, hasil
penulisan golongan  yang terdidik sebagai sasterawan dan wartawan
sangat tajam pemikirannya, selain dapat membawa mesej perjuangan lewat
karya-karya mereka.

Begitulah juga sasterawan, wartawan dan novelis “Desa Pingitan”
Allahyarham Haji Ibrahim Omar juga terdidik dalam golongan ini. Beliau
telah meninggal dunia jam 10.50  pada pagi Jumaat 29hb Oktober 2020 di
rumahnya di Kampung Mela, Kuala Lipis, Pahang di sini meninggalkan
mesej perjuangan dalam karya-karyanya.

Allahyarham yang berusia 74 tahun dikatakan mengalami sakit tua telah
dikebumikan di Kampung Mela di Kuala Lipis tempat kelahirannya di sini
selepas solat Jumaat. Beliau meninggalkan seorang balu dan seorang
anak lelaki dan tiga anak perempuan dan lima belas orang cucu. Anak
pertama Suri Despila mengambil nama sempena (Desa Pingitan Mela),
(Allahyarham Mohd. Mohayuddin, OKU meninggal dunia), 48, Puspa
Ilhamku, 44, Amir Marhin, 43,  dan Adibah Masni, 32.


Allahyarham yang dilahirkan pada 17 Julai 1936 di kampung Mela, Kuala
Lipis,Pahang. Menerima pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Mela,
Kuala Lipis hingga lulus Darjah Lima (1946). Pada tahun 1947 hingga
1951 belajar di Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Lipis hingga
Tingkatan Tiga dan selepas itu belajar pula di Sekolah Arab Kuliah
Lughah Waddin, Pekan (1953-1955). Pada tahun (1956-1957) menyambung
pelajaran Inggeris di Sekolah Methodist Bentong dan lulus Tingkatan 1V
pada tahun tersebut.

Beliau pernah bertugas sebagai guru subjek Bahasa Inggeris, Melayu dan
Arab . Pada tahun 1960 beliau ditawarkan menjadi guru di Mela. Kuala
Lipis
. Pada tahun 1966 beliau pernah bertugas sebagai  guru besar di
Sekolah Arab Al-Ehya Assyarif, Gunung Semanggol, Perak. Beliau  juga
pernah bekerja sebagai kerani, peniaga, dan pengarang Berita UMNO
Bahagian Kuala Lipis dan kemudiannya menjadi wartawan di Utusan
Melayu. Melalui pengalamannya yang rencam tidak hairanlah
novel-novelnya mendasar kepada kehidupan nyata dan pengalaman yang
dilaluinya.

Beliau yang terkenal dengan novelnya Desa Pingitan  yang diterbitkan
oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 1964. Novel tersebut
mengisahkan kehidupan masyarakat Melayu di kampung dan di bandar
sekitar tahun 1960-an. Dalam usia 26 tahun beliau telah berjaya
menghasilkan beberapa buah novel. Sekitar tahun tersebut Kuala Lipis
hanya boleh dihubungi melalui jalan kereta api dan Sungai Pahang yang
amat kurang kemudahan terutama perhubungan penduduknya dengan bandar
lain di Pahang. Selain itu, kekuatan beliau dalam berkarya adalah asas
pendidikannya yang mahir dalam Bahasa Melayu, Inggeris dan Arab.

Novel “Desa Pingitan” pernah memenangi hadiah kedua dalam Peraduan
Mengarang Novel anjuran Dewan bahasa dan Pustaka pada tahun 1962
kerana tiada pemenang tempat pertama. Novel tersebut telah dipilih
menjadi buku teks wajib di sekolah menengah bagi peringkat Sijil
Pelajaran Malaysia
 (SPM) pada tahun 1966-1968. Novel Desa Pingitan
telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris. Penulis mengenali novelnya
Desa Pingitan terlebih dahulu sebelum mengenali beliau disebabkan
novel Desa Pingitan  sebagai teks sastera yang mesti dan wajib dibaca
semasa mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun
1968 yang akhirnya mencambahkan minat mendalam penulis terhadap
sastera.

Falsafah dan pemikiran yang terdapat dalam novel Desa Pingitan sarat
dengan kecintaan terhadap kampung halaman terutamanya desa yang masih
kekal dengan keindahan alam serta budaya tolong-menolong dalam
kalangan masyarakat Melayu. Buku biografi Wajah terbitan Dewan Bahasa
dan Pustaka
 (DBP) keluaran tahun 1988 menjelaskan bahawa novel Desa
Pingitan mengemukakan kisah masyarakat Melayu di kampung dan bandar
dengan perbezaan hidup serta sikap terhadap pembangunan. Beliau juga
mengemukakan sikap penduduk kampung terhadap pembangunan dengan
watak-watak berbilang kaum bagi menyatakan unsur-unsur integrasi kaum
semangat perpaduan yang cuba di wujudkan di negara ini. Begitu juga
dengan novel keduanya Embun dan Tanah yang masih mempersoalkan hal-hal
yang berhubungan dengan kehidupan masyarakat desa dan bandar,
antaranya tentang ancaman komunis, pembangunan sosial dan ekonomi
masyarakat desa pada awal tahun 60-an dan 70-an.

Selain novel Desa Pingitan, Allahyarham menghasilkan  novel Embun dan
Tanah (terbitan Pustaka Melayu Baru 1965), Hilang ( Pustaka Nasional
Singapura 1966), Hujan Panas ( Pustaka Timur Kuala Terengganu 1966),
Patah Galah Haruan Perahu( Utusan Melayu (M) Berhad 1973), Tiba
Masanya ( Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd  (UP&D) (1977),
Cucu (1978) memenangi hadiah ketiga dalam Peraduan Menulis Novel hari
Guru, Rembang Merah (1979) menjadi teks bacaan penting peringkat
sekolah menengah rendah, Tok Bilal (1985) memenangi hadiah sagu hati
dalam Peraduan Menulis Novel Islam anjuran yayasan Islam Terengganu
dan novel Bencana (1988). Beliau juga menghasilkan beberapa buah
cerita rakyat dan novel kanak-kanak/remaja seperti Bintang-Bintang
Harapan (1984), Baju Biru Nombor 10 (bersiri) (1985), Istana Seri
Kelopak (1985), Perang Kerambit (bersiri) (1986) dan Tuk Selampit
(1986), Tuk Segenting (1986). Pada tahun 70-an hingga 80-an adalah
kemuncak pengkaryaan beliau dalam penulisan novel dan cerpen.

Beliau meninggalkan banyak buah tangan khususnya novel hampir 50 buah,
beberapa buah cerpen, skrip drama radio dan juga sajak. Cerpen-cerpen
beliau pernah tersiar dalam majalah Dewan sastera, Dewan Masyarakat,
Mestika dan akhbar Mingguan Malaysia, Berita Minggu, dan Utusan Zaman.
Sebahagian besarnya cerpennya terkumpul dalam kumpulan Imbuhan Ombak
(1966), antologi Gelisah , Menunggu, Menunggu Ratu Adil antologi
cerpen bersama penulis lain . Puisinya tersiar di Utusan Zaman,
Mingguan Malaysia dan dewan sastera.  Kebanyakan latar dan watak
ceritanya mendasari kisah desa dan kehidupan masyarakat kampung sesuai
dengan aliran “seni untuk masyarakat”. Kekuatan beliau melalui
pengalaman memahami dan menceritakan kembali kisah masyarakat desa
inilah yang menjadikan kekuatan kepada latar masyarakat dalam setiap
novel dan cerpen beliau.

Allahyarham juga menulis cerpen dan sajak, rencana dan ulasan karya
kreatif. Selain itu beliau juga menulis drama Keris Taming Sari yang
pernah dipentaskan beberapa kali oleh persatuan belia di kampungnya.
Beliau sempat menghasilkan dua buah novel dalam Bahasa Inggeris iaitu
The Village dan We Are Malaysians.

Penulis mengenali beliau secara dekat pada sekitar tahun 1987 hingga
1990. pada pengamatan penulis beliau seorang yang ikhlas, pejuang
sastera yang gigih dan tidak lokek dengan idea. Beliau sangat gembira
dengan perkembangan sekarang apabila karya sastera dimasukkan dalam
teks Komponen Sastera (Komsas) Bahasa Melayu di sekolah menengah.
Ketika itu saya panggil beliau Pak Ibrahim, ( kebanyakan kenalannya
memanggil Cikgu Ibrahim) semasa itu beliau bertugas sebagai Penyunting
Kanan Utusan Zaman/Malaysia di Utusan Melayu (1975-1990). Kami sering
bertemu pada setiap petang selepas solat Jumaat di Masjid Negara.
Biasanya petang Jumaat penulis habis kuliah di Universiti Pertanian
Malaysia
 (UPM) kini Universiti Putra Malaysia (UPM). Tempat dan
lokasinya di sebuah restoran mamak di tingkat atas Pasar Seni. Penulis
telah diberi kesempatan menulis rencana tentang kritikan sastera di
Utusan Zaman. Perbincangan kami sering bertumpu tentang perkembangan
sastera dan penulisan di tanah air. Sesekali berbincang tentang
perkembangan badan penulis seperti Dewan Persuratan Melayu Pahang
(DPMP) dan juga Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena).

Justeru, akhirnya DPMP berjaya melahirkan penulis-penulis seperti
novelis Baharudin C.D, wartawan Mat Piah Teh  Deris, penulis
Hasanuddin Md.Isa, Baharudin Haji Zakaria, A.Mutalib Ghani, (penulis
Syair Siti Zubaidah Perang Cina ), Ahmad Teh, Nazeri Nong Samah kini
penyunting di Utusan Malaysia, Allayarhamah Zahrama dan Maimunah Manan
 mereka ini berasal dari Kuala Lipis, Raub dan Jerantut. Sebelum itu,
penulis Allahyarham Ahmad Kotot juga aktif dalam DPMP Jerantut yang
menulis lebih awal daripada Pak Ibrahim Omar.

Setelah bersara sebagai wartawan dan Penyunting Utusan Melayu
Allahyarham menetap di kampungnya di Mela, Kuala Lipis dengan sepenuh
masa menulis, berkebun dan sebagai petani dan sesekali datang ke rumah
anaknya di Selayang, Kuala Lumpur. Beliau juga menulis dalam kolumnya
di akhbar Taiwan Press dan Utusan Zaman.

Allahyarham juga adalah ahli seumur hidup Dewan Persuratan Melayu
Pahang (DPMP) dan pernah menerima Anugerah Karyawan Sastera (DPMP)
atas saranan dan cadangan sasterawan Sahmad Malaya dan Saudara Rahman
Haji Yusuf pada 3 April 2004 di Kuantan, Pahang  atas jasa dan
penglibatannya yang aktif dalam bidang penulisan sastera khususnya
novel. Semasa bertemu di majlis tersebut di mana  penulis juga salah
seorang penerimanya melihat Pak Ibrahim masih sihat dan rancak
bercerita tentang novel yang sedang ditulisnya, perkembangan sastera
dan perjuangan penulis.

Bagaimanapun, menurut anak lelakinya Amir Marhin yang juga seorang
pendidik dan penulis di Sekolah Kebangsaan Bukit Bota, Chenor,
Allahyarham tidak lagi boleh menaip karya-karya novelnya. Anak
lelakinya terpaksa membantu beliau menyiapkan beberapa buah novel
kanak-kanak antaranya 17 buah karya novel remaja, Sumpah Pahlawan, dan
Orang Asia. Menurutnya, hasrat Allahyarham untuk menyambung penulisan
novel Desa Pingitan 11 tidak kesampaian.

Sebagai mengenang jasanya kepada negara Allahyarham pernah dikurniakan
Pingat Jasa Kebaktian (PJK) (1972), Pingat Pangkuan Negara (PPN)
(1974) dan Ahli Mahkota Pahang (AMP) (1989).

Selain berkarya Allahyarham adalah seorang yang aktif dalam
kerja-kerja kebajikan di kampungnya selepas bersara dan sering memberi
ceramah sastera bagi membimbing pelajar sekolah di Pahang, Wilayah
Persekutuan dan Selangor. Menurut penulis dan wartawan Haris Fadilah
Ahmad dari Jerantut, Pahang berkata, kali terakhir Pak Ibrahim
menghadiri majlis akademik adalah anjuran Institut Perguruan Tengku
Ampuan Afzan, Kuala Lipis kira-kira empat bulan lalu.

Kepulangan Allahyarham ke rahmatullah, hilanglah sebutir bintang di
langit sastera/wartawan/ pendidik  di Pahang dan juga negara Malaysia
yang menerangi hati dan akal budi bangsanya dengan falsafah kemurnian
hidup di desa yang kaya dengan nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan
yang mesti dikekalkan. Semoga rohnya dimasukkan dalam kalangan
orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.

2 comments:

  1. alfatihah...saya tetap tidak melupakan Pak lbrahim dan Desa Pingitan yang telah membuatkan saya sanggup ke Kg Mela,Lipis 1978 lalu. (Dr Rajiee Hadi)

    ReplyDelete
  2. Pertama kali baca Desa Pingitan pada 1968 ketika umur 12 tahun. Sehingga kini tak ada novel yang menyentuh jiwa atau memberi kesan lebih dari Novel itu.

    ReplyDelete