MEMAHAMI PENGERTIAN BAHASA BAKU
Oleh: Zubaidi Abas
SESETENGAH orang mungkin tidak memahami pengertian bahasa baku dengan jelas atau dengan sepenuhnya. Disebabkan kekaburan itu, bahasa baku dihubungkan dengan sebutan semata-mata. Ditambah pula dengan penguasaan bahasa yang kurang baik, terutama dari aspek tatabahasa, seseorang yang menuturkan “para-para peniaga...”, “mereka-mereka...”, atau “banyak negara-negara...” dianggap telah menggunakan bahasa baku hanya kerana penutur itu menyebut kata para, peniaga, mereka, dan negara sebagai pa(ra), penia(ga), mere(ka), dan nega(ra) bukan pa(re), penia(ge), mere(ke), dan nega(re). Seseorang yang menuturkan “saya akan membincangkan tentang perkara itu...” atau “dia memperkatakan tentang hal itu...” juga dianggap telah berbahasa baku kerana kata saya, perkara, dia, dan memperkatakan dalam pertuturannya itu disebut sebagai sa(ya), perka(ra), di(ya), dan memperka(ta)kan bukan sa(ye), perka(re), di(ye), dan memperka(te)kan. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan sebutan baku lebih menggugah perhatian masyarakat berbanding dengan hasil pembakuan bahasa yang lain.
Sebenarnya, kebakuan bahasa bukan sahaja dari aspek sebutan, tetapi juga dari aspek tatabahasa, ejaan, dan kosa kata. Oleh sebab itu, “para-para peniaga...”, “mereka-mereka...”, dan “banyak negara-negara...”, walaupun diujarkan dalam sebutan baku, bukan suatu bentuk yang baku kerana mengandungi kesalahan dari segi pengulangan kata yang sudah mengandungi makna jamak dan pengulangan kata yang sudah ditentukan oleh kata bilangan. Begitu juga “saya akan membincangkan tentang perkara itu...” dan “dia memperkatakan tentang hal itu...” bukan suatu bentuk yang baku kerana mengandungi kesalahan dari segi tatabahasa. Bentuk yang baku bukan sahaja betul dan sempurna sebutannya, tetapi juga ejaan, kata, dan tatabahasanya. Oleh sebab itu, “para peniaga...”, “mereka...”, “banyak negara...”, “saya akan membincangkan perkara itu...”, dan “dia memperkatakan hal itu...” merupakan bentuk yang baku.
Bahasa baku ialah bahasa yang digunakan dalam sistem pendidikan negara, dalam urusan rasmi kerajaan, dan juga dalam semua konteks rasmi. Dalam menyampaikan ucapan, ceramah, pidato, khutbah, kuliah, atau dalam mesyuarat atau semasa mengajar, misalnya, kita harus menggunakan bahasa baku. Di samping itu, kita juga harus menggunakan bahasa baku dalam surat-menyurat rasmi, laporan, tulisan ilmiah, rencana, barita, peraturan, undang-undang, iklan, dan papan tanda di tempat-tempat awam. Pembakuan bahasa Melayu dilakukan untuk memperlengkap dan memantapkan aspek-aspek bahasa supaya bahasa Melayu menjadi bahasa yang lengkap dan mantap dalam sistem sebutan, sistem ejaan, sistem tatabahasa, perbendaharaan kata umum dan istilah, laras dan gaya bahasa, serta aturan penggunaan bahasa yang sopan. Bahasa sebagai suatu sistem memang perlu dibina dan dikembangkan agar menjadi bahasa yang sempurna. Bahasa akan kehilangan sistemnya jika dibiarkan berkembang dengan sendirinya, dan tanpa sistem, bahasa menjadi sukar untuk dipelajari dan dikenali, apatah lagi jika bahasa tersebut mempunyai peranan yang besar dalam sebuah negara. Pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu ditumpukan pada pembakuan agar tercapai penggunaan bahasa yang jelas, tepat, dan berkesan dalam berkomunikasi. Usaha dijalankan untuk meningkatan penguasaan bahasa dalam kalangan pengguna supaya dengannya penggunaan bahasa baku dapat menjangkau seluruh lapisan masyarakat.
Dalam kegiatan berbahasa masyarakat pada masa ini, kita dapat melihat bahawa bahasa yang digunakan jarang-jarang sekali berbentuk bahasa Melayu baku. Biasanya, bahasa yang digunakan dalam pertuturan masyarakat bukan bahasa baku, iaitu bahasa basahan atau bahasa pertuturan sehari-hari, malah sering kali juga berbentuk bahasa campuran atau bahasa rojak. Hal ini sudah tentu tidak dapat dielakkan kerana bahasa tidak dapat terlepas daripada konteks sosial. Pelbagai faktor, seperti hubungan antara penutur, tempat, tujuan, situasi, status, pendidikan, usia, dan jantina amat mempengaruhi penggunaan bahasa. Oleh sebab itu, kita pasti sering mendengar ungkapan seperti apa mau, kasi tahu, banyak mahal, itu macam, dan boleh bikin. Malah, kita sendiri mungkin kerap menggunakannya dalam perbualan sehari-hari dengan teman-teman.
Sebagai salah satu ragam bahasa Melayu, bahasa basahan ini bukan bahasa yang dilarang penggunaannya. Kita akan menggunakan bahasa dalam ragam tertentu sesuai dengan situasi atau tempat berlangsungnya komunikasi, misalnya dalam situasi kekeluargaan yang tidak menuntut penggunaan bahasa baku. Dalam tawar-menawar di pasar pula, penggunaan bahasa baku mungkin akan menimbulkan kelucuan, kejanggalan, kehairanan, atau kecurigaan. Dalam hubungan ini, jelas bahawa kita tidak dituntut supaya berbahasa baku secara terus-menerus sepanjang waktu kerana bahasa yang dapat mengenai sasarannya tidak sentiasa perlu beragam baku. Kita harus memperhatikan golongan penutur dan situasi penggunaannya. Orang yang mahir menggunakan bahasanya sehingga maksud yang ingin disampaikannya dapat difahami dengan jelas atau dapat mencapai sasarannya dianggap telah dapat berbahasa dengan baik dan berkesan. Meskipun demikian, kita tidaklah wajar menggunakan bahasa basahan ini secara berleluasa, sebaliknya menggunakannya dalam batasan tertentu sahaja, khususnya dalam situasi tidak rasmi.
Bahasa baku dan bahasa basahan ini mempunyai fungsi masing-masing dalam komunikasi. Bahasa baku digunakan dalam situasi rasmi, manakala bahasa basahan digunakan sebagai bahasa pertuturan sehari-hari dalam situasi tidak rasmi. Penggunaan bahasa basahan dalam perbincangan, mesyuarat, atau seminar, misalnya, akan menghilangkan kerasmian perbincangan, mesyuarat, atau seminar tersebut. Pertukaran penggunaan kedua-dua ragam bahasa ini akan menimbulkan gangguan terhadap komunikasi.
Pada masa ini, kita dapat melihat penggunaan bahasa dalam situasi rasmi sering ‘diganggu’ oleh bahasa basahan atau bahasa rojak. Gangguan ini dapat diperhatikan dalam ucapan, wawancara, ceramah, atau dalam pertuturan yang dituntut supaya berbahasa baku. Kebiasaan menggunakan bahasa basahan telah membuat kita secara tidak sedar menggunakannya dalam situasi rasmi yang menuntut kita menggunakan bahasa baku. Kebiasaan inilah yang harus dihindari, dan usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilakukan untuk menanamkan dan mengembangkan pemahaman dan kecintaan dalam diri masyarakat terhadap bahasa baku.
Indah sekali. Terima Kasih.
ReplyDelete