TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Monday, 25 April 2011

Pengkritik berfikiran sempit

Pengkritik berfikiran sempit
Oleh Nazmi Yaakub
2011/04/26/Bh Online

 

Situasi sebab karya bermutu tidak dinobatkan sewajarnya 

KECICIRAN pengarang dan karya daripada dinobatkan anugerah atau hadiah selayaknya diterima berpunca daripada kegagalan penilai serta pengkritik melihatnya dengan tafsiran sempit, tanpa mengira semangat zaman apalagi latar pengarang sehingga berjaya melahirkan sesebuah karya.
 
 Pandangan berdasarkan teori hermeneutik dalam penafsiran di sebalik penulisan kreatif diluahkan pada Siri Diskusi Buku 2011 di Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.
Felo Penyelidik Kanan APM, UM, Prof Datuk Dr Hashim Awang, berkata tafsiran karya sastera dan pengarang perlu dibuat secara terbuka dengan mengambil kira pelbagai perspektif untuk mendapatkan kefahaman menyeluruh. 

“Allahyarham Ishak Muhammad atau Pak Sako umpamanya, perlu ditafsirkan daripada pelbagai sudut pandangan dan bukannya terikat daripada sudut beliau sebagai penentang kerajaan. Pak Sako menulis sebelum perang, tetapi tidak pernah dianugerahkan Sasterawan Negara (SN),” katanya pada diskusi yang dipengerusikan Ketua Jabatan Kesusasteraan Melayu APM, UM, Dr Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali. 

Prof Hashim mendakwa, Pak Sako pengarang kelahiran Pahang yang terkenal dengan novel Putera Gunung Tahan dan berhaluan kiri dan karyanya itu sama seperti Juara garapan SN Allahyarham Dr Syed Othman Syed Omar (S Othman Kelantan) yang menyimpulkan ‘politik itu lembu’. 

“Kritikan saya terhadap Juara menggunakan pendekatan psiko-analisis mendapati karya itu baik dan bermutu tinggi. Bagaimanapun, pengarang Juara mengatakan politik itu lembu, sedangkan pihak yang memberi anugerah adalah orang politik,” katanya. 
Beliau berkata, kegagalan meletakkan tokoh atau karya pada tempat yang selayaknya itu, berpunca daripada mereka yang menilai atau mengkritiknya hanya berpegang kepada perspektifnya serta menolak sudut pandangan yang lain. 

Prof Hashim berkata, pembacaan karya melalui hermeneutik itu memerlukan pemahaman dua wajah, iaitu wajah dalaman dan luaran iaitu memahami masa lepas serta menyelami semangat zaman tanpa melihat karya semata-mata. 

“Teks juga boleh difahami dengan membuka diri kepada naskhah daripada pelbagai sudut. Banyak ruang perlu dibuka dan diteroka kerana jika tidak maka jadilah insiden Juara tidak diberi hadiah atau karya Pak Sako ditinggalkan begitu,” katanya. 

Pensyarah Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Abdul Rahman Napiah yang menjana Teori Hermeneutik berkata, teori sastera bukan saja berkembang disebabkan kajian akademik dan kesarjanaan, bahkan kesan daripada perubahan dalam dunia sastera itu sendiri. 

“Lihat saja karya perjalanan, autobiografi dan biografi yang boleh didekati dengan teori baru seperti teori perjalanan atau teori biografi. Kalau dulu, pengarang menulis berdasarkan peristiwa sebenar, tetapi dengan adanya pensejarahan baru, ia tidak lagi berasaskan peristiwa sebenar,” katanya yang turut dikenali sebagai Mana Sikana. 

Baginya, dalam aspek berkenaan, sejarah sudah dicerekakan sehingga tidak ada lagi sejarah yang sebenar dan turut berlaku banyak kesalahan termasuk yang disengajakan pengarang dalam teks sejarah. 

“Dulu novel seperti War and Peace karya Leo Tolstoy memang berlandaskan sejarah, tetapi ia masih dianggap sebagai karya roman. Bagaimanapun dengan kemunculan teori baru itu, autobiografi sudah masuk ke dalam dunia fiksyen seperti yang berlaku di Barat,” katanya. 

No comments:

Post a Comment