TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Sunday 27 March 2011

Pahlawan Semantan


Pahlawan Semantan
(Buat Dato Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau).
Sajak: Ami Masra


1888 


Tatkala tanah Pahang
Mula di bawah naungan British
Suara-suara menentang
Kedengaran lantang membengis.

Gabenor Sir Cecil Clementi Smith
Menerima surat Sultan Ahmad
Pada tarikh 8 Oktober 1888
Dan pada saat itu Gabenor Pertama
J.P. Rodger melebar kekuasaan
Satu pasukan polis dari Selangor
Melalui Singapura sampai ke Pekan
Nasihatnya mesti diminta
Dalam apa juga perkara.

Saat itu, Datuk Setia Perkasa Pahlawan
Pegangan wilayahnya di lembah
Sungai Semantan; Orang Besar Berlapan
Dialah Datuk Bahaman
Mula sedar Inggeris meluaskan jajahan
Penguasa Polis Inggeris
Kapten H. Charles Syers
Mengatur pasukan polis
Mengutip cukai dan hasil negeri
Dan mentadbir seluruh senteri.

Atas dasar kecintaan dan pahlawan
Datuk Bahaman dan Tok Gajah
Mat Kilau; Mat Lela; Mat Soh
Dan Mat Kelubi telah berkerah
Rakyat Pahang bersatu menentang
Penjajah Inggeris di setiap daerah
Dari Chenor ke Temerloh
Dari Pekan ke Jerantut
Dari Lubuk Terua ke Bentong
Dari Penjom ke Teras
Dari Tembeling ke Jelai dan Kuala Lipis
Semuanya siap sedia gagah berbaris
Mempertahan tanah Pahang tercinta
Biar darah merah di tubuh menitis
Setapak langkah tak akan undur
Selangkah ke belakang tak akan kalah.

Mereka tak rela Pahang
Di bawah naungan British
Dan takut anak cucu menyumpah seranah
Penentangan terhadap campur tangan
Semangat dan bara perjuangan
Terus kekal berpanjangan.

-AMI MASRA
 Kuala Semantan, Temerloh, Pahang.

Mengimbau Kepahlawanan Mat Kilau.


Mengimbau Kepahlawanan Mat Kilau.
Sajak: Aminudin Mansor

1.
Di tanah Pulau Tawar
Segala-galanya tiada tawar menawar
Tentang maruah dan harga bangsa
Mempertahankan tanah airnya
Penuh rasa cinta; selamanya.

Di tanah ini lahirlah
Dua anak lelaki berani
Bapanya To Gajah yang gagah
Anaknya Mat Kilau
Dan Awang Nong
Tak mudah diperdaya Clifford
Membawa bangsa lain
Ke Hulu Pahang.

2.
Di tanah Pulau Tawar
Inggeris cuba tawar menawar
Dengan helah pintar
Tapi segalanya dapat dibaca
Oleh pemuda pahlawan bangsa
Janji manisnya racun bergula
Campur tangan dan perubahan
Sebenarnya ingin menjajah
Tanah Pahang dengan keluasan
Kuasa menjalankan perniagaan.

3.
Mengimbau kepahlawanan
Mat Kilau
Tak mudah terpedaya
Janji-janji manis Inggeris
Ingin menjajah segala
Tanah, daerah dan paya
Demi hanya pada kuasa.
Datanglah J.P.Rodger
Residen British pertama di Pahang
Mula campur tangan
Kecuali adat agama, orang Melayu
Tok Gajah, anaknya Mat Kilau
Juga Awang Nong tak mudah dirayu
Demi agama, tanah air dan bangsa Melayu
Sanggup berjuang ke titisan
Darah terakhir!

Kerdau, Temerloh, Pahang.

WARTAWAN DAN SASTERAWAN PEMIKIRANNYA TAJAM.


WARTAWAN DAN SASTERAWAN PEMIKIRANNYA TAJAM.
DR AMINUDINMANSOR. 

Peranan beberapa orang tokoh sasterawan dan wartawan sebelum merdeka sangat besar dan penting dalam politik tanah air khususnya untuk membela nasib agama, bangsa dan tanah air. Kebanyakan mereka berjuang dalam dua lapangan iaitu sebagai wartawan dan sasterawan dalam konteks pembangunan bangsa ke arah kemerdekaan dan kedaulatan seharusnya dihayati oleh generasi masa kini.

Kebanyakan mereka berpegang kepada prinsip untuk membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan dan berusaha membuka minda rakyat khususnya bangsa Melayu melalui tulisan kewartawanan dan juga hasil karya berupa cerpen, novel dan sajak.

Salah seorang daripada mereka adalah Allahyarham DrIshak Haji Muhammad atau Pak Sako  yang berjuang menegakkan keadilan dan kemerdekaan melalui tulisannya sebagai wartawan dan sasterawan. Beliau memainkan peranan penting dalam usaha menyedarkan orang Melayu tentang pentingnya tampuk kuasa politik dipegang oleh penduduk negara ini khususnya orang Melayu berpaksikan kepada kedaulatan raja-raja

Demikian ditegaskan oleh Prof Madya Dr. Abu HassanHasbullah, pensyarah Universiti Malaya dalam pembentangan di Seminar Pemikiran Pak Sako di Dewan Bahasa dan Pustaka, baru-baru ini.

Menurutnya, Pak Sako adalah seorang tokoh nasionalis dalam sejarah moden negara yang berjuang dan sanggup berkorban masa dan tenaga  dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dengan pergi merantau ke seluruh pelosok negara terutama di Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan danTerengganu.

“Pak Sako juga menjadi aktivis politik, selain penglibatannya sebagai wartawan dan sasterawan yang menguasai ketiga-tiga bidang ini, sekali gus membuktikan kesusasteraan boleh menjadi alat berkesan untuk menyedarkan masyarakat tentang muslihat penjajah.” Jelasnya.

Beliau menyarankan supaya anak-anak muda membaca kembali beberapa tulisan dan novel Pak Sako seperti Putera Gunung Tahan, dan Anak Mat Lela Gila yang banyak memuatkan kisah perjuangan bagi pengajaran dan teladan politik pada masa kini.

Menurutnya, dalam buku tersebut telah dijelaskan tentangisu rasuah, bodek membodek untuk mendapatkan kedudukan dan pangkat, kemiskinan dan kelemahan orang Melayu, isu tanah, pasir yang telah pun disentuh oleh pak Sako melalui pemikirannya yang melangkau hingga ke zaman kini.

Sementara, tokoh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, mengimbau kembali perjuangannya dengan Pak Sako semasa berada di Singapura dengan menggunakan bidang penulisan untuk menyedarkan masyarakat melalui duamajalah remaja yang dibaca oleh golongan remaja di negara ini.

Menurutnya, Pak Sako mendapat bimbingan Allahyaraham Abdul Rahim Kajai, begitu juga dengan tokoh wartawan dan sasterawan A. Samad Ismail yang juga berjuang menyedarkan masyarakat tentang muslihat penjajah.

Sementara itu, menurut Ketua 2, Gapena , Datuk Dr. A. Latiff    Bakar, beliau membuat kajian ijazah pertamanya tentang perjuangan Pak Sako  yang sangat menarik melalui liku-liku hidup yang penuh ranjau dan perjuangan demi memartabatkan kedaulatan bangsa Melayu.

Sepanjang beliau bersama Pak Sako, tokoh nasionalis tersebut mempunyai pemikiran yang kritis terhadap perjuangan bangsa melalui politik, kewartawanan dan kesusasteraan dan diibaratkan sebagai “serampang tiga mata” dalam perjuangan menentang penjajah.

Penglibatan penulis semasa menjadi setiausaha Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) bersama Pak Sako sekitar tahun 1972 hingga 1982, beliau sering pulang ke kampung halamannya di Temerloh selalu bertemu dengan sahabatnya Allahyarham Sahmad Malaya dan Haji Alang Ahmad bekas wartawan Utusan Melayu di Temerloh. Beliau seorang pejuang nasionalis tulen yang mengambil berat terhadap kehidupan petani, buruh, nelayan dan golongan bawahan yang miskin juga terkenal sebagai seorang yang pemurah serta dermawan dan sanggup turun ke bawah melihat dan membantu golongan tersebut.

Nama Pak Sako bukanlah satu nama asing bagi negara kita terutama dalam bidang kesusasteraan. Pak Sako sebenarnya adalah jolokan kepada nama Isako-san yang dipanggil orang-orang Jepun. Pak Sako juga dikenali juga dengan nama samaran seperti Anwar, Hantu Raya, Isako San dan Pak Pandir Moden ketika kemuncak perjuangan menuntut kemerdekaan. Buku dan tulisannya  yang banyak seharusnya diterbitkan semula oleh pihak Dewan Bahasa dan Utusan Melayu bagi bacaan generasi muda masa kini selain memberikan nama tokoh tersebut kepada Hadiah Sastera atau Kewartawanan di negara ini.

RUMPUN MELAYU


RUMPUN MELAYU
Haiku: Arisel Ba

Pasca Atlantis
Laut melimpah bumi
Rumpun Melayu

27 Mac 2011,
Kuantan, Pahang

HUJAN DAN BANJIR

HUJAN DAN BANJIR
Haiku: Arisel Ba

Banjir dan hujan
Kenapa singsing kain
Seteru Politik

26 Mac 2011,
Kuantan, Pahang