Hilang bahasa, lenyaplah bangsa.
OLEH DR AMINUDIN MANSOR
Bahasa
adalah apa yang dipertuturkan dan dicakapkan. Lebih luas lagi bahasa menjadi
perantara dan komunikasi antara manusia. Bahasa yang digunakan secara meluas
akan dapat mengangkat martabat bangsa ke mata dunia. Bahasa yang maju
akan menjadi bahasa ilmu.
Di Malaysia bahasa
Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa
pengantar ilmu sejak kemerdekaan pada tahun 1957. Kedudukan bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi diwartakan dalam Perlembagaan
Persekutuan, sementara kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi secara
khusus diwartakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Bahasa Melayu berkait erat
dengan proses pembinaan negara Malaysia dan pembinaan negara bangsa.
Isu-isu
yang sering diperkatakan mengenai bahasa adalah berkaitan dengan peningkatan
profesionalisme pendidik Bahasa Melayu. Mereka ini adalah pendidik yang
tentunya terlatih untuk mengajar Bahasa Melayu di sekolah. Kaedah dan teknik
yang digunakan mestilah berubah maju dan berkesan. Asasnya merekalah yang
bertanggungjawab bagi mendidik, mencintai bahasa dalam kalangan murid dan
pelajar.
Memanfaatkan
teknologi pendidikan yang canggih dan mutakhir dalam pengajaran dan
pembelajaran (P&P) bahasa Melayu sangat penting sesuai dengan perubahan
semasa. Guru-guru bahasa Melayu seharusnya berusaha mencipta dan kemudian
menggunakannya dalam P&P.
Justeru,
berasaskan pendekatan bersepadu, pendidikan bahasa diharapkan meninggalkan
amalan lama dan dapat meningkatkan kemahiran berbahasa melalui tulisan dan
lisan di sekolah. Pelbagai kursus perlu diadakan kepada guru bahasa bagi
meningkatkan penggunaan bahasa dalam kalangan murid dan pelajar.
Kefahaman
dan kesedaran untuk meningkatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa
kebangsaan, bahasa pengantar dan bahasa ilmu haruslah bermula di sekolah. Jika
tidak mereka tidak sedar akan fungsi dan peranan bahasa itu dalam
kehidupan pada masa akan datang.
Kita
tentu tidak mahu akan berlaku “Hilanglah bahasa, lenyaplah bangsa” dalam
kalangan pelajar dan rakyat di negara ini. Sia-sia sahaja usaha mendaulatkan
bahasa yang dilakukan sejak puluhan tahun lalu. Kemahiran bahasa seperti
mendengar, bertutur, membaca dan menulis mestilah dipraktikkan di sekolah.
Bahasa
Melayu perlu diberi jiwa baru melalui pendidikan bahasa di sekolah, pertuturan
rasmi, melalui pembacaan yang akan mengangkat bahasa Melayu sebagai milik semua
rakyat. Ini akan dapat memekarkan kepelbagaian budaya dan juga memperkasakan
peradaban manusia.
Kempen-kempen
dan slogan baharu perlu diwujudkan di media massa bagi menjadikan bahasa Melayu
berjiwa Malaysia, hidup dan subur dalam kalangan penggunanya terutama rakyat di
negara ini. Sebagai contoh “Bahasaku adalah jiwaku” dan lain-lain lagi. Jika
pendatang asing dapat bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu kenapa tidak
kita?
Ibu
bapa juga harus sentiasa memberikan galakan dan rangsangan kepada anak-anak
supaya menggunakan bahasa Melayu di rumah, sebagai bahasan pertuturan dan
bahasa ilmu dengan baik. Galakan dan rangsangan juga perlu dilakukan oleh para
guru di sekolah bagi menjadikan bahasa Melayu tidak dilenyapkan oleh bangsanya
sendiri.
Penulis pengamal media PhD
Persuratan Melayu, UKM.
No comments:
Post a Comment