TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Wednesday, 30 March 2011

HIKAYAT AWANG BIJI NANGKA



AWANG BIJI NANGKA

Oleh: Mohd. Hashim Zabidi

Telah lama niat dihati hendak bercerita
Cerita dongeng orang tua-tua
dipetik dari khazanah, istana raja
Hikayat penglipurlara diberi nama.

Cerita ini khusus untuk orang dewasa
Orang muda belia ditegah mendengarnya
Ceritanya penuh humour, pantun dan seloka
Berkias ibarat dengan makna.

Pantun berlagu syaer gurindam
Oleh Awang Mat Diah empunya diri
Mulai mukadimahnya diwaktu malam
Tamat salamnya menjelang pagi.

Andainya tuan ingin tahu
Pinangkan hajat sirih setali
Ceritanya banyak bukan satu
Habis sepasal, sepasal lagi.

Demikianlah tuan puan sahabatku saya
Jarang-jarang tidak, kekadang ada
Jika tidak dicakna, akan hilanglah dia
Sebuah Hikayat Awang Biji Nangka.




Awang Mat Diah duduk bersila. Berdeham sekali sekala membetulkan
serak-serak di kerongkong setelah beberapa malam berjaga. Asyik
bercerita, dongeng orang dewasa. Mendongeng Hikayat Awang Biji Nangka.

        Para hadirin semuanya terdiri daripada orang-orang tua belaka, tekun bersila, menanti dengan sabar sambil menghisap rokok daun pucuk dengan tembakau bersira gula. Bukan tidak banyak yang tahu akan dongeng Awang Mat Diah itu tetapi yang mereka asyik ialah bila Awang Mat Diah mematah lagu. Ya! Awang Mat Diah bercerita sambil berlagu. Patah lagunya tersyahdu. Iramanya rentak Awang Donai seakan-akan sama dengan Tok Selampit di negeri kayangan. Kepalanya memukul gong, tangannya bermain rebana, kakinya membetulkan tempo dan mulutnya diselang seli di antara  meniup serunai dengan bercerita.

        Seorang anak muda pun tidak kelihatan di dalam majlis itu. Pun
memang anak muda  ditegah dari menghadirinya apatah lagi mendengarnya.

        “Maka tersebutlah alkisahnya .....” Awang Mat Diah memulakan cerita sambil berlagu. Suaranya mersik membelah malam yang kelam. Alunannya berombak mendayu-dayu menembusi  cakerawala. Para pendengar tegak semuanya berlenggok ke kiri dan ke kanan sambil menepuk-nepuk paha dengan tangan mengikut rentak Awang Mat Diah yang berlagu.

        “......Awang, nama jejaka itu masih muda belia, bertubuh tegap
tampan bergaya, mengembara berjalan kaki membawa diri mencari rezeki
sepanjang masa. Maka berjalanlah dia seorang diri, masuk kampung
keluar kampung, masuk padang keluar padang, masuk hutan keluar hutan. Gunung dan bukit habis didaki. Lurah dan bencah juga dituruni. Hulu dan kuala semua dilalui.....”
        Awang Mat Diah berhenti seketika, mengambi nafas sambil membetulkan duduknya sila. Lalu menyambung semula.
        “...... setelah lama berjalan itu, letih bagaikan tersepa, lelah
mengombak dada, dahaga bak matahari di atas kepala, sayup-sayup
terdengarlah Awang bunyi ayam berkokok. Sudah zuhur waktunya, sambil mendongak ke langit melihat awan berarak cerah membiru warna. Lalu Awang berbisik pada dirinya sendiri: sudah hampir dengan kampung orang rupanya aku ini. Hati Awang berkocak ria, bersorak suka sambil mengukir senyum di bibirnya. Awang mempercepatkan langkahnya yang longlai itu lajunya tidak sebagaimana. Tiba-tiba telinganya tertangkap
bunyi orang menarah kayu. Awang pun menuju ke arah itu.....”
        Awang Mat Diah berhenti lagi. Menghela nafas berkali-kali. Maklumlah badan dah tua, namun bercerita diteruskan juga.
        “Menarah apa wahai tuan hamba, seorang diri, tak adakah yang membantu?”
        “Oh! Orang muda rupanya. Hamba ini membahan perahu.”
        “Bolehkah hamba membantu?”
        “Boleh. Tapi pahatnya hanya satu. Kalau orang muda rajin, pergilah ke rumahku. Tanya pada anak daraku, pahat ada di balik pintu.”
        Segeralah Awang berlalu menuju ke rumah Tukang Perahu. Tidak jauh, kira-kira sepelaung jaraknya. Demi terlihat saja akan anak dara Tukang Perahu itu hatinya berubah laku. Lupa segala pesan yang dibawa. Sawan gilanya datang tiba-tiba. Beliung entah ke mana, pahat entah ke mana. Tak semena-mena berahinya membuak, nafsunya memuncak.
        “Adikku sayang, ayahanda suruh kita bersatu. Katanya, di sinilah,
di balik pintu,” kata Awang yang hilang malu. Wajahnya berseri
terpancar cahaya, merah menyala.
        Anak dara Tukang perahu malu tersipu-sipu. Hatinya berontak gerutu antara percaya dengan setuju.
        “Masakan ayah kata begitu. Aku ini anak daranya satu-satu,” tedas anak dara itu dengan terharu. Tubuhnya gementar haru biru. Namun begitu jelingan mata Awang menusuk kalbu. Bagaikan pantun berahi: dari
mana datangnya pelita, kalau bukan sumbu dan api, dari mana datangnya cinta, dari mata turun ke hati.... Tertiba  atma jiwanya luruh  menjadi layu.
        “Kalau adinda tidak percaya, biar kakanda laung pada ayahanda,” ugut Awang bersahaja. Keinginannya melebihi segala.
        “Dimanaaaaa?” jerit Awang sekuat hati.
        “Balik pintu,” sayup-sayup kedengaran sahutan Tukang Perahu.
        “Hah! Adinda dengar sahutan ayah itu?”
        Maka turunlah ribut angin berpuing-puing melanda kota dan mahligai. Badai menghempas pantai, ombaknya berderai di atas pasir,
berbusar-busar putih lalu hilang. Belayarlah Awang di atas bahtera
yang sempit itu teroleng-oleng dipukul gelombang yang maha dahsyat lalu terdampar  keletihan.
        Tukang perahu gundah gulana menunggu jejaka yang tak kunjung tiba, lalu dijejakinya si teruna jejaka. Di rumah suntinya sedang menangis, teresak-esak  sendu. Sedih dan hiba. Rambutnya kusut masai, kain bajunya selerak terkirai.
        “Kenapa menangis anakku, bagaikan hilang sesuatu, mana jejaka?”
        “Benar ayah. Jejaka sudah pergi, ayah. Pergi bersama perawanku yang aku pertahankan selama ini.”
        “Perawan kamu sudah hilang, Dara?”
        “Ya! Ayah. Dipahatnya aku di situ, di balik pintu.”    

                        ****

        Setelah mustaid Awang pun berlalu. Meneruskan pengembaraannya yang jauh berliku. Tinggallah anak Tukang perahu di situ, terjelepok lesu merintih sendu. Mutiara miliknya telah direntap Awang sekelip mata. Sesaat yang hasil itu, kesannya Aduh! Sunti jatuh merana. Kesalnya Sunti bagaikan  gila mengenangkan mutiaranya yang telah tiada. Menanggung aib sepanjang hidupnya.
        Berjalanlah Awang meninggalkan sunti. Riang hatinya kepalang peri.
Melangkahlah dia sekehendak kaki sehingga sampailah ia ke sebuah
teratak lagi. Tempat tinggal dua laki bini. Sebuah kampung di hujung
negeri. Lalu salam pun diberi.  Salamnya disambut tertib sekali.
        “Silakan naik tuan hamba.”
        Awang segera menaiki tangga lalu bersila di hadapan mereka. Demi terpandang di hadapan mata, hati Awang terus berkata, berdetup detak dalam dada, melihat sang suami mengipas kangkang isterinya tanpa seurat benang pun yang menutup tubuh badannya. Awang terpinga-pinga dan gundah gulana menahan hajatnya. Maka Awang pun tumpang  bertanya.
        “Garangan apa sakitnya isteri tuan hamba?”
        “Isteri hamba nih dah lama luka, betahnya tidak juga. Puas sudah
hamba berikhtiar berbagai-bagai jampi mantera telah hamba cuba,” jawab
lakinya yang bingung alang, bodoh bagai kerbau di padang.
        “Kalau begitu biar hamba pula mencuba, kok ada rasinya. Terlebih dahulu biar hamba mencari ramuannya.” Awang memberi harapan. Peluang di hadapan mata jangan sekali-kali dibiarkan.
        Awang pun turun meminta diri dan berjanji akan datang lagi. Rupanya Awang pergi merenjis tepung tawar ke semua daun sirih yang ada di seluruh kampung dan desa. Apabila Awang kembali lalu menyuruh sang suami supaya mencari seberkas daun sirih yang tidak di berak murai untuk di buat penawar. Lalu Sang suami bergegas turun mencari daun sirih  seperti yang Awang pinta. Sementara Sang suami itu pergi Awang pun tidak berlengah lagi lalu melepaskan hajat, meniduri sang isteri yang sedia tidak disaluti barang seurat pun benang.
        Hendak dijadikan cerita, sekembalinya sang suami, maka sang isteri terus memberitahu suaminya bahawa lukanya sudah sembuh diubati oleh tetamu mereka. Kepalang riangnya sang suami mendengar khabar lalu bertanya.
        “Bagaimanakah tuan hamba mengubatnya.”
        “Begini,” jawab Awang, “Tetapi ada syaratnya.”
        “Tunjuklah pada hamba, wahai tuan hamba akan syaratnya.”
        Maka Awang mengikat sang suami itu pada tiang seri rumahnya lalu terus saja meniduri sang isteri buat kali yang kedua. Sebaik saja
Awang bermula maka bertempiklah sang suami mengatakan dia sudah tahu, sudah pandai dan sudah peka.
        “Lepaskanlah hamba, hamba sudah tahu, hamba sudah pandai,” kata sang suami meronta-ronta minta dilepaskan. Setelah melepaskan sang suami dari ikatan Awang pun berlalu meneruskan pengembaraan. Tinggallah sepasang suami isteri itu bersukacita. Riang gembiranya tidak terkira. Habis kata hilang bicara maka bersanggamalah mereka  sepanjang masa.
        Pada suatu hari, apabila sang isteri tidak berdaya lagi melayan
kehendak sang suami lalu mengajaknya kesungai. Di sungai di atas rakit sang isteri menjatuhkan sebiji batu lalu mengadu kepada suaminya bahawa barangnya iaitu kemaluannya telah terjatuh ke dalam sungai.
        Berdukacitalah sang suami dengan hibanya mengenangkan anu isterinya yang terjatuh tiba-tiba.  Mundar mandirlah dia tak tentu hala.
        “Selam bang, selam.” Kata isterinya memintas.
        Sang suami pun terjun menyelam sehingga lemas lalu mati dibawa arus yang deras.

                         *****
        
        Maka tersebutlah alkisah di sebuah kampung, satu keluarga tiga
beranak terdiri daripada ayahnya, ibu dan seorang  anak perempuan yang masih dara. Hidup mereka aman sentiasa tiada sedikit pun cacat celanya. Hidup bagaikan telaga di bawah bukit melimpah ruah dengan kesenangan yang bukan sedikit.
        Pada suatu petang, di atas tangga ibu dan ayah berbeka-beka. Mereka berkira bicara hendak menjodohkan anaknya yang bernama Dara. Tetapi bagaimana?.....Kedua-duanya berhati walang, memikirkan anak betina yang seorang. Mengikut perkiraan dah besar panjang. Dah sampai masanya diberi pasangan.
        “Aku bimbang,” kata suaminya sambil mengimbau ke zaman Dara masih kecil.  Dara bertubuh kecil dan alat kelaminnya juga kecil. Tidak menyangka lalu akan perubahannya, “Aku bimbang kok terkena yang besar panjang jadi lakinya. Matilah anak kita, hancur lumat bendanya. Anak kita itulah cuma,  mengharapkan  cucu daripadanya.”
        “Ish! Ayohnya. Sampai ke situ aok berbeka,” jawab isterinya
berhiba-hiba. Hatinya resah tidak terkata, memikirkan perihal anak
mereka. “Kita bertanya-tanyalah ke seluruh kampung dan desa, manalah tau kok ada seorang jejaka yang sepadan dengan Dara.”
        Ditakdirkan Tuhan, Allah Subhanahu wataala, pengembaraan Awang santak ke situ, ke teratak comel di kampung hulu.  Lalu memberi salam semanis laku.  Pak Ubi nama lakinya dan Mak Kemili pula bininya serentak menjawab salam  dengan takzimnya mempersilakan Awang sebagai tetamu.

        “Hamba ini orang merantau. Sampai ke sini hari pun malam. Oleh yang demikian hamba bermohon untuk bermalam di rumah tuan hamba barang semalam dua.” Awang bercakap berhamba sahaya. Alangkah senang rasa hati kedua orang tua itu mendengar Awang berbudi bahasa.
        “Persilakan tuan hamba, teratak kami ini kecil saja, bagaikan
dangau huma. Miskin hina kedana pula. Kalau tuan hamba sudi, kami lebih
dari itu dengan segala besar hati persilakanlah  tuan hamba naik.”
        Lalu bermalamlah Awang di situ. Di selasar tempatnya dia beradu.
Awang tiada berapa lelap tidurnya kerana banyaknya nyamuk umpama kelekatu membuat dia tergaru-garu. Resah gelisah dibuatnya. Oleh amat geramnya nyamuk yang berdenging di cuping telinga itu tak disedarinya celopar mulutnya lalu mencarut “Hei! Nyamuk dah melampau nih, nanti aku bini ke kamu karang baru tau...”
        Demi terdengar sungutan itu,  Pak Ubi dan Ibu Kemili tersentak
sendu.  Hairan bin ajaib menusuk kalbu mendengar Awang berkata begitu.
Sanggup bersanggama dengan nyamuk yang sekecil itu. Lalu mereka
tercengang-cengang, berpandang-pandangan dengan harapan.  Keduanya pun berbisik-bisik dan berkira-kira hendak merisik.
        “Gayanya tetamu kita itu kecik anunya. Sesuai dengan Dara yang
anunya kecik juga. Baik kita membuang tanya, mana tau kok boleh di
buat calon menantu,” bisik Pak Ubi pada bininya.
        “Kok iya, ayohnya. Manalah tau kok ada jodohnya anak kita. Lagipun tetamu kita itu tampan orangnya padan sungguh dengan Dara. Mudah-mudahan segera  kita mendapat cucu,” Ibu Kemili berbeka-beka membalas bisikan lakinya dia.
        “Iyalah Kemili, esok biar aku yang bertanya. Moga-moga tetamu tidak menolak tawaran kita,”
        Setelah putus kata bicara. Pakat muafakat sudah terikat, Awang dan
Dara pun langsung di akad. Hiduplah mereka laki bini di bawah satu
bumbung membilang nasib mengira untung. Kasih Dara pada Awang tidak terbahagi maknanya tidak boleh dibelah bahagi apatah lagi dijual beli. Berkasih sayanglah mereka sepanjang hari.
        Pada suatu hari Pak Mentua mengajak menantu pergi menjala. Jala rambang panjangnya sembilan hasta, sekali tebar habis lubuk kapuh rata. Berkayuhlah dua beranak itu menongkah arus lalu melabuhkan perahu di lubuk dalam air berpusu.  Pak mentua berkayuh di kemudi, matanya tekun memerhati.  Awang  berdiri tegak di haluan perahu menimbang jalan panjang sembilan.
        “Tebor Awang, tebor.” Jerit ayahnya
        Awang melepaskan tebarannya. “Brrrraaaa,” bunyinya. Beberapa detik kemudian Awang menarik perlahan-lahan. Tidak tertarik dek Awang oleh beratnya beban.
        “Lekat Ayoh, lekat,” Jelas Awang.
        “Tarik Awang, tarik,” pantas ayahnya membalas.
        Jala yang panjang itu tidak terangkat, sahlah jalanya sudah lekat.
        “Selam Awang, selam.”        
        Awang yang berkain cukin terus terjun ke dalam sungai. Semasa Awang terjun itu ternampaklah oleh  Mentua akan anu si Awang yang besar panjang, tersangkut di bibir perahu lalu serpih perahu itu.
Terperanjat sakan Tok Ubi  menyaksikan hal yang berlaku di hadapan
mata.  Bagaikan terhenti nafasnya tiba-tiba, lalu fikirannya menerjah
ke wajah anaknya Dara. Mulutnya kumat kamit bagaikan  membaca mantera. Beristighfar panjang berkali-kali. Selawatkan Nabi disembatnya juga. Tanpa berlengah Pak Ubi melompat ke tebing meninggalkan Awang yang sedang menyelam, lalu balik ke rumahnya. Sambil berjalan berlari anak, tidak hirau duri dan onak. Tujuannya hanya satu hala, bagaimana keadaan anaknya Dara. Entahkan koyak entahkan apa, Awang  menantunya punya angkara.
        “Entah koyak, entah rabak. Entah koyak entah rabak. Entah koyak
entah hok Dara.” Itulah ucapannya sepanjang jalan sehingga sampailah ia di laman tangga.
        Kebetulan anaknya Dara sedang duduk di pelantar sambil mengupas mempelam muda. Gamaknya, sambil mengidam sambil menunggu kepulangan suami tercinta. Maklumlah orang sedang berbadan dua.
        Tak semena-mena muncul ayahnya berlari-lari seorang diri. Merepek
meracau tidak terperi, bagaikan tersampuk hantu pari.
         “Entah koyak entah rabak. Entah koyak entah rabak benda mu Dara.”
Ucap sang ayah tidak ketahuan bagaikan terkena  sawan gila.
        Maka  fahamlah Dara akan gusar ayahnya itu lalu dijatuhkan kacip ke
bawah tangga.
        “Ayah tolong ambikan kacip  yang terjatuh tu,” pinta Dara.
        Repek racaunya  belum reda, kegusarannya tambah beria. Namun kacip yang jatuh itu diambilnya juga. Dihulurkanlah kacip yang dijatuhkan itu sambil mendongak Dara. Dara pun membuat helah, dengan sengaja melukah, lalu kainnya terbuka terbelah.
        Demi terpandang saja akan anu anaknya, Pak Ubi menjadi pana, terus beristighfar lalu melatah. Latahnya, amboi! Bukan kepalang,
berpela-pela.
        “Dah patut dah padan. Dah patut dah padan. Dah patut dah padan.”
Terkejut sakan bagaikan  orang gila sawan, melihatkan benda anaknya
yang sama padan dengan anu Awang yang besar panjang.
        “Hai! Ayah. Janganlah ayah pelik. Kecik apit-apit. Besar buka-buka,” balas Dara dengan bersahaja.
                    *****

Sekian dongeng Awang Biji Nangka
Dongeng  humor Awang Mat Diah
Katanya, Awang terus mengembara
Meninggalkan bini, ibu dan ayah.

Awang Mat Diah dah lama pulang
Banyak ceritanya bukan kepalang
Sedikit benarnya banyak temberang
Hamlar lucunya disukai orang.

Kalamku patah dakwat dah kontang
Untuk memanjangkan ini cerita
Kalau ada umurku panjang
Insya Allah di sesawang ini kita berjumpa.


    CIPTAAN:  Hashim Zabidi    
    BLOG: Titik Bukan Noktah.
    Hamzah5131@Gmail.com

5 comments:

  1. Nampak gaya tiada pengulasnya.

    Syaer di atas sekadar mukadimahnya yang bakal mengiringi ceritanya. Telah saya emailkan ke Peg.Seranta tetapi tiada reaksinya.

    ReplyDelete
  2. Tidak terima lagi teks ceritanya, tolong hantar sekali lagi. Tq

    ReplyDelete
  3. Bung Hashim, menarik ceritanya ada suspens daripada mukadimahnya. Harap teruskan menulis dan emel ke dpmp untuk tatapan. Cerita klasik mempunyai ciri-ciri keindahan yang tersendiri dan unik. Seperti Hikayat Merong Mahawangsa yang diangkat ke filem. Cari dan gali cerita seperti ini seperti apa yang diwariskan oleh Pak Zek. Tahniah dan teruskan. Salam dari Dr Aminudin Mansor@Ami Masra UKM, Bangi.

    ReplyDelete
  4. Tahniah, Bung Hashim dapat menceritakan semula dengan baik cetita Awang Biji Nangka. Ada unsur humor, seks yang berselindung, dalam hamlar. Seni sastera sebenarnya mengangkat budaya dan kehidupan bangsa masa lalu. Kejujuran ada dalam cerita seperti ini yang pernah saya dengar daripada orang-orang tua seawal tahun 50-an. Teruskan menulis.

    Dr Aminudin Mansor@Ami Masra
    UKM, Bangi,Selangor

    ReplyDelete
  5. Bong Hashim orang lama, banyak cerita toya belaka,tapi yang satu punya cerita, tergelak sakan dihati hamba. Ceritanya tidaklah porno sangat, sindir tajam menyengat, sekali dengar mudah teringat, rasa nak ikut, rasa nak buat. Awang Biji Nangka memang hebat, tak kira siapa dia sebat, asalkan sempat semuanya selamat, habis anak dara dia rembat. Kalo ada cerita gini lagi, jangan simpan bawak mati, elok benar kita kongsi, biar tersengeh nampak gusi. Kalo sapa tak mahu dengar, alamat dia rugi besar, bukannya ada jual dipasar, hanya bong saja bercerita pintar! Shabas bong aku tabik, cerita lagi bila aku balik, biar carik sampai robek,kita jahitkan dengan jarum pendek. Dari teman lama kamu, dah jauh susah bertemu, dulu sama-sama sekutu, cikgu mansor itulah namaku.

    ReplyDelete