TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Sunday 6 March 2011

DEWAN PERSURATAN MELAYU PAHANG (DPMP): IMMEMORIUM IBRAHIM OMAR

DEWAN PERSURATAN MELAYU PAHANG (DPMP): IMMEMORIUM IBRAHIM OMAR

IMMEMORIUM IBRAHIM OMAR


IMMEMORIUM IBRAHIM OMAR
         : Meninggal dunia pada 29 Oktober 2010
Sajak: Arisel Ba

Setiap kali aku singgah melepas lelah, meneguk air akar mempelas di rumahnya, aku mesra memanggilnya Pak Berahim, dan dia hanya membenarkan aku turun dari mata tangga rumahnya setelah siap dijamu dengan nasi beras bukit dan gulai lemak cili burung telur itik daripada itik peliharaannya. Dan apabila aku singgah ke rumahnya, sudah pasti disajikan menu makanan yang sama. Ada ketikanya disajikan juga ulaman petai, jering, keladan dan pucuk serai kayu dijodohkan sambal bilis tempoyak cili burung, sambal hitam belimbing buluh atau sambal asam rom buah perah.

Ketika musim buah-buahan, aku sering kali disapa untuk bersama merasai nikmat buah-buahan yang ditanam dengan kudrat dan titik peluhnya sendiri seperti durian tembaga, durian hijau, buah rambutan gading, langsat, dokong dan buah bedara. Kadangkala aku tanpa merasa segan silu memancing ikan di kolamnya lalu belabu ikan keli Afrika berkepala besar, kemudian dibakar dan setelah masak dimakan bersama nasi berlaukkan ikan keli Afrika bakar di cicah air asam belimbing buluh, sambil makan, dia lincah berkisah nostalgia masa lampaunya.

Dalam lama uzurnya, tiba-tiba dia pergi ketika berusia 74 tahun, waktu itu aku berada di luar negara, hanya mendapat khabar duka. Aku berkata kepada angin, sampaikan fadilat Al-Fatihah kepada roh Pak Berahim, semoga diberkati dan dirahmati Allah bersama Muslimin yang beriman. Aku bertafakur lama sesudah selesai setiap solat, mendoakan kesejahteraan rohnya di alam barzakh.

Dan dalam kelu sendu aku mengumpulkan karya Pak Berahim yang aku miliki: ‘Desa Pingitan, Embun dan Tanah, Patah Galah Haluan Perahu,  Tiba Masanya, Cucu,  dan Perang Kerambit’. Aku mahu menjadi dia, tetapi bancuhan idea dan pengelamannya tidak semudah dapat aku gapai. Sekadar aku mengunyah karyanya kembali, lalu aku sedar itu dan menyimpan diam.

Di rumah, aku kadangkala meminta isteriku, Selamah, memasak gulai lemak cili burung telur itik sebagaimana Mak Timah memasaknya, sambil aku melayani halusinasi terngiang-ngiang suaranya lincah berkisah masa lampaunya, amalannya, karyanya, sahabatnya dan terowong hari tuanya. Aku selalu ingat dia selalu berkata: “Orang desaku beli minyak wangi dari Singapura di Stesen Kereta api Mela!”

28 Februari 2011,
Kuantan, Pahang