TUJUAN DPMP DITUBUHKAN PADA 17 MEI 1957

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) berdasarkan dan berteraskan kesenian Melayu dan kebudayaan Melayu. Ianya termasuk Membina dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu ke arah mengukuhkan Kebudayaan Kebangsaan.

Monday 4 April 2011

MENCUNGKIL KEISTIMEWAAN “DESA PINGITAN” KARYA IBRAHIM OMAR.

MENCUNGKIL KEISTIMEWAAN “DESA PINGITAN” KARYA IBRAHIM OMAR.
 Oleh Dr Aminudin Mansor.                                                    

Membaca kembali novel “Desa Pingitan” karya Ibrahim Omar penulis mencari keistimewaan yang terdapat dalam novel tersebut, setelah mengalami empat kali cetakan. Novel ini telah memenangi hadiah kedua Peraduan Mengarang Novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1962 disebabkan tiada yang layak memenangi hadiah pertama.

Novel ini ditulis oleh penulisnya, Ibrahim Omar (kini Allahyarham) bekas wartawan dan pengelola di ruangan Sastera Mingguan Malaysia dan Utusan Zaman semasa beliau berusia 25 tahun, adalah suatu keistimewaan seorang remaja desa yang dapat menghasilkan sebuah novel pada ketika itu jauh terpencil dari kota. Walaupun kebanyakan latar cerita menceritakan tentang diri penulis, kawan-kawannya, malah suasana hidup di kampung yang sudah mula diresapi oleh pelbagai gejala sosial seperti mengumpat, hasad dengki, memfitnah, menipu, perebutan harta pusaka,  minum minuman keras dan pelacuran dalam novel yang tebal iaitu 550 halaman.

Keistimewaan lain, novel ini diangkat menjadi buku teks wajib di sekolah-sekolah menengah bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari tahun 1966 hingga 1968. Kebetulan penulis mengambil SPM pada tahun 1968 dan telah membaca novel ini berkali-kali sebagai pelajar yang ingin mendapat 1 dalam mata pelajaran Kesusasteraan Melayu.

Kini setelah empat puluh dua tahun penulis membaca kembali sebagai pengkaji untuk mencari beberapa keistimewaan yang terdapat dalam novel tersebut. Ternyata banyak keistimewaan yang dapat dicungkil kembali melalui novel ini. Novelis Ibrahim Omar merupakan seorang pencerita yang mahir, teliti dan dapat menguasai suasana remajanya pada era tahun 1960-an.

Novel ini diterbitkan kembali pada tahun 2001 oleh DBP sebagai Siri Novel Malaysia Pilihan Abad 20 setanding dan sama dengan novel-novel “Melati Kota Baharu (1939) oleh A.Kadir Adabi, “Juara” (1976) karya S.Othman Kelantan, “Musafir” 91959) karya Hasan Ali, “Tikus Rahmat” (1963) karya Hasan Ibrahim dan “Ngayau” (1979) karya Amil Jaya.

Meneliti dan mengkaji gaya penceritaan dan latar tempat adalah suatu keistimewaan yang unik terdapat dalam novel ini. Kepuasan estetik dan kesan-kesan kehidupan desa dalam era tahun 1960-an diceritakan  dengan penuh pengajaran dan emosi. Zaman remaja yang banyak dipengaruhi oleh rakan sebaya telah diceritakan oleh pengarang dengan penuh bersahaja melalui watak-watak Bakar, Dollah, Hamzah, Razak, Minah, Latif (Dol), Rahman, Hindon, Midah, Ramlah, Mustafa, Itam, Baki, Wazir dan Hashim.

Watak dan perwatakan dalam novel ini sesuai dengan zaman, desa yang mewakilinya terdapat watak-watak antagonis dan protagonis yang menghidupkan jalan penceritaan novel dengan lancar. Plot dalam novel ini melibatkan urutan peristiwa yang disusun rapi melalui penceritaan yang jelas.

Salah satu keistimewaan novel ini telah memasukkan bahasa atau loghat daerah Pahang dalam percakapan harian. Kata-kata seperti “bertaki” (bertengkar), berborak (berbual kosong), “moh” (pergi), “pelantar” (tempat duduk di depan pintu), “becok” (riuh bercakap), “Ngapa mak tanya gitu?” (Mengapa emak tanya begitu?), “bunting” (sudah mengandung sebelum kahwin). Semua nilai keindahan bahasa ini dengan gaya estetik dapat diadun dalam penghayatan dan pengalaman pengarangnya.

Kehidupan sosial masyarakat desa terpancar dalam novel Desa Pingitan dengan masalah ekonomi penduduknya. Nilai wang pada zaman itu sangat besar dan bernilai. Orang Melayu diceritakan bekerja penoreh getah, petani dan peladang. Manakala orang Cina berniaga di kedai kopi dan barangan runcit. India Muslim mengusahakan kedai makan.

Perwatakan 1Malaysia juga sudah dapat diterapkan dalam latar kehidupan pada zaman itu. Iaitu kehidupan anak-anak desa lepasan sekolah menengah, orang Cina yang berniaga  sebagai pengusaha hotel juga bertugas sebagai doktor dan juga watak India yang hidup dalam harmoni. Pengangkutan utama hanyalah melalui jalan kereta api yang menghubungkan antara Desa Pingitan (Mela, di Pahang) dengan bandar berhampiran. Kemungkinan bandar Jerantut dan Kuala Lipis pada era tahun 1960-an.

Masalah tanah juga disentuh untuk projek pembangunan untuk membina  sekolah. Pertelingkahan tentang tanah juga sentuh oleh pengarang. Lihat petikan novel: “Memang
Dia tak boleh ambil tanah tu. Kerajaan nak buat sekolah di situ, “ kata Baki.

“Memang betul tu. Lagipun Encik Ali ni bukan orang sini. Saja dia nak buat pandai ambil tanah tu. Dia ingat dia banyak duit sangat. Padan dengan makan ikan bilis sajalah.” Ayahku ketika itu diam sahaja, tetapi mukanya merah padam. Orang lain pula semuanya
Senyum-senyum. “Itu saya tak taulah.” Kata Encik Jamaluddin. Mukanya pucat toreh tidak berdarah.

“Saya tidaklah merampas tanah orang. Kalau pihak kerajaan membenarkan saya memiliki tanah itu saya ambil. Apa pula encik-encik semua nak tahu sangat,” ayahku berkata dengan suara yang terketar-ketar, kerana hatinya meradang. (Halaman 105).

Masalah taraf kehidupan serta kehidupan sosial masyarakat desa dengan percintaan dan perebutan juga diceritakan dengan gaya penceritaan menarik dan serba tahu oleh pengarang. Perhatikan petikan ini; “ Abang! Semalam orang datang pinang Bibah. Orang Itam tu,” Bibah menerangkan. Aku terperanjat; meradang. Tahulah aku mengapa Itam marah kepada aku. Bibah dipinang untuk anaknya Wazir yang kini bekerja sebagai seorang kerani, yang selalu dibangga-banggakan bila dia berborak di merata kedai kopi.

Aku tidak berkata apa-apa lagi. Aku bisu. Bibah menangis makin kuat tanpa suara, hanya esakan yang kencang. Aku usap-usap kepalanya. Rambutnya aku sapu-sapu. Bajuku makin lebar basahnya.

“Abang!” suara Bibah lagi dalam sedu-sedannya. Aku diam dan tangisan kami menjadi-jadi. Hari berguruh. Hujan lebat akan tiba tidak beberapa saat sahaja lagi. Hujan akan tiba! “Kita lari malam ni, abang! Bibah mengajak aku lagi. (Halaman 210).

Tema dan persoalan novel Desa Pingitan jelas menggambarkan tentang suasana kehidupan masyarakat desa yang terpencil tetapi mula dipengaruhi dan diresapi oleh pelbagai gejala sosial. Ia juga menjelaskan soal kehidupan dalaman atau batin dari seseorang manusia atau individu. Pengarang berjaya menimbulkan kehidupan individu dari dunia luarnya. Persoalan kemasyarakatan semasa diceritakan dengan terperinci oleh pengarangnya melalui pengalaman dan pemerhatiannya.

Pengajaran daripada novel ini, adalah sikap golongan remaja yang terbabit dengan pelbagai gejala sosial disebabkan kurang didikan agama. Selain itu, sikap yang tidak baik dalam kalangan masyarakat yang memandang harta dan kedudukan, serta perebutan dan konflik yang berlaku di desa yang mula diresapi oleh nilai-nilai kebendaan menyebabkan kehidupan di desa tidak harmoni lagi.


Kesimpulannya, novel Desa Pingitan karya Ibrahim Omar ini sarat dengan kehidupan masyarakat desa yang diceritakan oleh pengarang dengan nilai akal budi, pertentangan, masalah sosial dalam kehidupan masyarakat Melayu di Pahang pada era tahun 1960-an yang menuju ke arah mencari nilai-nilai moral yang sewajarnya.

Penulis mantan pendidik. PhD Persuratan Melayu, UKM. E-mel amimasra@gmail.com.

3 comments:

  1. Assalamualaikum , dimana ya saya boleh dapatkan buku ini?

    ReplyDelete
  2. Dengar dengar orang2 Pahang kawasan Mela cukup menyampah dengan novel ini.

    ReplyDelete
  3. Buku ni ada jual di mana ya?

    ReplyDelete