APALAH MAKNA BAHASA KEBANGSAAN JIKA TIDAK BERMARTABAT Oleh: Zubaidi Abas
http://www.zubaidiabas.blogspot.com/
‘RTM akan terus martabatkan bahasa Melayu’. Demikian salah satu tajuk berita dalam akhbar Utusan Borneo pada 2 Jun 2010 yang lalu. Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya menyatakan bahawa Stesen Penyiaran Negara, Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan mengutamakan bahasa Melayu dalam program dan rancangannya. Penegasan dan jaminan itu membuat saya berasa cukup gembira. Perasaan yang sama pasti turut dikongsi oleh pejuang dan pencinta bahasa kebangsaan. Sebagai stesen penyiaran negara, RTM memang sewajarnya mempunyai tanggungjawab dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Dalam memenuhi peranan masing-masing sebagai sarana penyampaian maklumat dan hiburan, pelbagai stesen penyiaran yang ada pada masa ini, khususnya stesen penyiaran swasta lebih cenderung menyemarakkan penggunaan bahasa asing walaupun kedudukan bahasa Melayu jelas sebagai bahasa rasmi negara. Stesen penyiaran berkenaan mungkin berpandangan bahawa penggunaan bahasa asing dapat menarik perhatian penonton dan meningkatkan kadar kepopularan rancangan.
Dalam sesi akhir pembentangan resolusi Kolokium Kebangsaan Memartabatkan Bahasa Kebangsaan di Institusi Pendidikan yang berlangsung pada 11 – 12 Mei 2010 yang lalu di Universiti Malaysia Sabah (UMS), saya turut berkesempatan menyuarakan pandangan tentang pelecehan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang dilakukan oleh stesen penyiaran, terutamanya stesen penyiaran swasta. Stesen penyiaran berkenaan bukan sahaja menonjolkan penggunaan bahasa asing dalam rancangannya secara berlebihan, tetapi juga semakin meminggirkan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul. Dalam rancangan berbentuk hiburan, misalnya, meskipun menggunakan bahasa Melayu, pengacara, pengantara, atau penyiarnya telah menampilkan penggunaan bahasa yang sangat merawankan hati.
Media massa, terutama media massa elektronik sebenarnya sangat berperanan dalam memartabatkan bahasa Melayu. Radio dan televisyen dapat mempengaruhi penggunaan bahasa masyarakat kerana jangkauannya yang cukup luas dan meliputi segenap lapisan masyarakat. Pengacara, pengantara, penyiar, juruhebah, atau penyampai yang menggunakan Melayu yang baik dan betul, misalnya, dapat menjadi contoh atau ikutan dan seterusnya mempengaruhi bahasa penonton atau pendengar. Namun, dalam memartabatkan bahasa Melayu, stesen penyiaran berkenaan didapati belum berperanan seperti yang diharapkan. Dalam hal ini, Zainuri Misfar dalam ruangannya, Fragmen (Berita Harian, 24 Mac 2010) menulis bahawa juruhebah atau penyampai stesen radio swasta tidak mempunyai disiplin dalam berbahasa sehingga penggunaan bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris sudah menjadi sajian biasa kepada pendengar. Stesen radio itu tidak memainkan peranan mendidik para pendengar supaya menggunakan bahasa Melayu dengan teratur, betul, dan berdisiplin. Kenyataan Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim tidak lama dahulu bahawa Kementerian Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan memandang serius terhadap penggunaan bahasa rojak dalam kalangan pengamal media radio dan televisyen tempatan membuktikan bahawa sumbangannya terhadap penyebaran dan penyuburan bentuk bahasa yang tidak bermartabat seperti itu tidak dapat diperkecil. Pelbagai bentuk penggunaan bahasa yang disajikan dalam media itu mudah diikut atau ditiru, terutama oleh generasi muda. Oleh sebab itu, permintaan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi supaya orang ramai membuat aduan tentang penggunaan bahasa pasar atau bahasa basahan yang begitu meluas kepada pihak kementerian atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak lama dahulu juga memperlihatkan keinginan pihak yang berkaitan untuk memastikan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul dalam penyampaian maklumat kepada pendengar. Radio dan televisyen sebagai media yang akrab dengan masyarakat seharusnya memberikan contoh penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul kepada masyarakat.
Sebagai sarana yang amat berpengaruh dalam pembinaan dan pengembangan bahasa, kita memang sentiasa mengharapkan agar media massa mengikuti aturan dan kaedah berbahasa yang baik dan betul bagi meningkatkan penguasaan dan penggunaan bahasa dalam kalangan anggota masyarakat. Media massa harus memerhatikan penggunaan bahasanya kerana media massa secara tidak langsung menjadi ‘guru’ kepada anggota masyarakat dalam penggunaan bahasa. Bahasa yang digunakan oleh media massa sering dijadikan rujukan dan ikutan oleh anggota masyarakat. Oleh sebab itu, penyimpangan yang dapat mengganggu kelancaran dan keberkesanan komunikasi harus dihindarkan.
Sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia, penggunaan bahasa Melayu memang harus menjadi keutamaan. Memartabatkan bahasa Melayu bermaksud menempatkan bahasa itu di kedudukan yang sewajarnya. Usaha memartabatkan bahasa Melayu sebenarnya telah dijalankan sekian lama. Selama lebih setengah abad, bahasa Melayu telah menjadi salah satu asas pembinaan negara yang penting melalui tiga fungsi, iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa ilmu. Melalui pelbagai akta, bahasa Melayu telah diletakkan di tahap yang tinggi sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa rasmi. Namun, dengan pengurangan fungsi dan peminggiran bahasa Melayu dalam bidang-bidang tertentu akibat perkembangan dan kemajuan kehidupan pada masa ini telah menjejaskan martabat bahasa Melayu. Dalam bidang pendidikan, terutama sebagai sarana pemerolehan dan pengembangan ilmu pengetahuan moden, bahasa Melayu tidak lagi memiliki kedudukan yang tinggi pada mata masyarakat. Oleh itu, keyakinan tentang wibawa bahasa Melayu perlu terus dibina dan ditingkatkan dari semasa ke semasa. Menurut Prof. Dr. Awang Sariyan, peningkatan martabat bahasa Melayu sebagai teras pembinaan bangsa Malaysia memerlukan perencanaan semula dalam beberapa aspek dan pada waktu yang sama memerlukan peneguhan dasar-dasar yang berkaitan dengannya. Antara langkah yang perlu diambil termasuklah penegasan dasar bahasa dan penguatkuasaan dasar bahasa secara bersepadu seperti pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi hendaklah ditegaskan semula supaya semua urusan rasmi dan majlis rasmi di peringkat negara mengutamakan penggunaan bahasa Melayu, selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan.
Keinginan kita untuk melihat bahasa kebangsaan benar-benar dimartabatkan memang belum menjadi kenyataan. Bahasa kebangsaan masih tidak dihargai sebagaimana sewajarnya. Sebaliknya, sebahagian besar anggota masyarakat menganggap bahawa bahasa Inggeris lebih tinggi martabat atau darjatnya daripada bahasa kebangsaan. Dalam pelbagai acara rasmi, para pemimpin, misalnya, didapati masih cenderung berucap dalam bahasa Inggeris walaupun khalayaknya terdiri daripada bangsa atau kaum sendiri. Kehadiran seorang berdua bangsa asing sering dijadikan alasan untuk mewajarkan penggunaan bahasa Inggeris. Di sektor swasta pula, penggunaan bahasa Inggeris seolah-olah menjadi sesuatu yang mutlak diperlukan atas alasan perhubungan luar negara dan perdagangan antarabangsa. Kecenderungan menggunakan bahasa Inggeris dalam acara atau pertemuan rasmi, dalam media massa, atau dalam pelbagai kegiatan bahasa memperlihatkan bahawa anggota masyarakat belum benar-benar menempatkan bahasa kebangsaan di kedudukan yang sewajarnya. Memartabatkan bahasa Melayu harus dijadikan kenyataan melalui penggunaannya dalam kehidupan seharian. Jika tidak, apalah maknanya menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara sekiranyaz dalam pelbagai kegiatan kebahasaan, kita masih tetap mendahulukan bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu!
No comments:
Post a Comment