DIDIK ANAK DENGAN ADAB DAN KESOPANAN.
OLEH DR AMINUDIN MANSOR
Adab dan kesopanan penting dalam kehidupan setiap manusia. Tanpa adab dan kesopanan seseorang itu dikatakan tidak beradab dan tidak sopan. Anak-anak sejak kecil perlu dididik dengan adab dan kesopanan mengikut pendidikan Islam. Mendidik anak dengan adab dan kesopanan sudah menjadi tanggungjawab ibu b apa sejak anak itu lahir lagi.
Islam menggariskan banyak adab dan kesopanan yang perlu dididik kepada anak-anak. Antaranya adab makan dan minum, adab memberi salam, adab meminta izin, adab duduk dalam majlis, adab berbicara, adab memberi tahniah, adab menziarahi pesakit, adab mengucapkan takziah, adab bersih dan menguap dan adab bergurau.
Semuanya mempunyai etika dan peraturan yang perlu diikuti dan dididik sejak kecil. Antara kaedah yang digariskan oleh Islam dalam pendidikan anak-anak secara sosial ialah membiasakan dan melatih mereka dari sejak kecil lagi dengan adab dan tatasusila Islam.
Berkaitan dengan adab Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang mukmin mengambil (melaksanakan) adab daripada Allah. Kalau Allah meluaskan adab baginya maka akan luas adabnya dan menyempitkannya (menahan dan tidak memberinya adab) maka sempitlah adabnya.” (Riwayat Al Hakim).
Oleh itu, apabila anak meningkat remaja, seseorang anak itu akan mengetahui cara-cara berinteraksi atau bergaul dengan orang lain dengan penuh santun dan kebaikan serta bertimbang rasa. Tanpa adab dan kesopanan sesuatu bangsa itu dianggap tidak bertamadun.
Dalam hal demikian, ibu bapa bertinggung jawab sepenuhnya melatih anak-anak mereka dengan adab-adab yang telah digariskan. Menjadi tugas dan tanggungjawab ibu bapa anak-anak pada waktu masih kecil perlu diasuh dan dididik tentang adab dan tatatertib dalam kehidupan.
Tujuan pendidikan adab dan akhlak untuk melahirkan manusia yang berbudi luhur dan bersopan santun antara sesama makhluk Allah. Selain itu, untuk mendidik rohani, perasaan dan fikiran serta kemahuan anak-anak agar dapat memberikan kepada diri sendiri, kedua-dua ibu bapa dan masyarakat seluruhnya. Dalam kehidupan, adab memberi salam juga dititikberatkan.
Berkaitan dengan adab memberi salam Nabi s.a.w. bersabda: “Yang muda mendahului memberi salam kepada yang tua, yang berjalan kepada yang duduk dan yang berjumlah sedikit kepada yang banyak.” (Riwayat Al Bukhari).
Begitulah teliti dan terperinci adab memberi salam dan menghormati orang lain yang digariskan oleh Islam. Melalui adab dan peraturan yang diamalkan ini akan menjadikan seseorang itu sopan dan berbudi pekerti dalam pergaulan.
Melalui pendidikan adab akan memancarkan akhlak yang baik. Menurut tokoh Islam, Wahab Munabin, adab dan akhlak yang buruk seperti tembikar yang sudah pecah. Tidak dapat dilekatkan lagi dan tidak dikembalikan menjadi tanah.
Keburukan dan kejelikan adab dapat dilihat melalui tingkah laku dan perbuatan. Ia jelas terpancar melalui kata-kata dan juga perilaku seseorang. Sifat-sifat seperti meninggi diri, sombong, angkuh dan kasar adalah sifat yang biadab. Keseluruhan sifat ini menampakkan keburukan yang ada pada diri seseorang.
Sementara memetik kata-kata Prof Hamka “Kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya. Kata-kata yang lemah lembut dan beradab dapat melembutkan hati manusia yang keras.”
Jelaslah, tidak berguna jika mempunyai rupa paras yang cantik atau tampan tetapi tidak mempunyai adab dan kesopanan yang terpuji. Dalam era globalisasi adab dan kesopanan semakin tandus. Walau bagaimanapun, ia menjadi tugas dan tanggungjawab kepada setiap ibu bapa untuk mendidik anak-anak dengan adab sopan yang baik.
Menurut Khalifah Abdul Malik Marwan, semulia-mulia manusia ialah orang yang mempunyai adab yang merendah diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan orang lain ketika berdaya membalas, dan bersikap adil ketika kuat.
Sifat merendah diri adalah adab yang terbaik terutama ketika berada dalam kekayaan dan kedudukan tinggi. Seterusnya sifat selalu memaafkan orang lain juga adalah sifat terpuji yang harus dimiliki oleh seseorang dalam kehidupan bermasyarakat.
Pendidikan adab dan kesopanan ini mestilah dilakukan oleh ibu bapa kepada anak-anak sejak kecil, di usia remaja dan juga mengekalkannya sehingga dewasa. Guru-guru di sekolah juga boleh meneguhkan adab-adab yang baik ini bagi menyeimbangkan emosi dan sosial dalam kehidupan bermasyarakat. Membangunkan umat manusia dengan adab dan kesopanan juga menjadi tanggungjawab setiap ahli masyarakat.
Melalui pendidikan akidah pembentukan adab dan kesopanan ini akan dapat dilakukan dari semasa ke semasa secara berterusan melalui teguran dan contoh teladan. Justeru, pendidikan ini juga menjurus kepada ibadah dan kebajikan serta akhlak yang terpuji di kalangan anak-anak. Anak-anak yang beradab akan memiliki sifat takwa yang tinggi.
Dalam sebuah riwayat yang dijelaskan oleh Abu Daud, Nabi s.a.w. mendatangi serombongan orang yang sedang duduk di pinggir jalan lalu baginda bersabda, “Kalau memang harus kamu lakukan, maka balaslah ucapan salam dan tolonglah orang yang dizalimi. Tunjukkan jalan bagi orang yang bertanya.”
Begitu murninya adab dan kesopanan yang diajar dan didik dalam Islam. Baginda s.a.w. mesti dijadikan asas dalam kaedah pendidikan adab dan kesopanan. Islam tidak pernah meminggirkan teknologi dan perkembangan teknologi terkini, walau bagaimanapun kaedah pendidikan adab dan kesopanan Rasulullah s.a.w. mesti dijadikan contoh terbaik.
Antara Falsafah Pendidikan Islam, membentuk umat Islam menjadi hamba Allah yang mahir, beradab dan berkeperibadian tinggi, soleh dan berakhlak bagi mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
Daripada keterangan yang dijelaskan dapatlah diketahui dan difahami bahawa Islam amat mementingkan adab dan kesopanan dalam kehidupan seharian. Semuanya melambangkan ketertiban dan kesopanan seseorang dengan orang lain ataupun dengan masyarakat.
Oleh itu, melalui pendidikan di rumah dan di sekolah, adab dan kesopanan mestilah dididik terlebih dahulu kepada anak-anak seperti menghormati ibu bapa, guru-guru, orang yang lebih tua dan rakan sebaya.
Melaluinya akan dapat melahirkan insan yang seimbang dan harmonis yang mempunyai sifat keinsanan yang tinggi. Justeru, melaluinya akan dapat melahirkan Muslim yang berilmu, beriman, berketerampilan, beramal soleh, berakhlak mulia berdasarkan al-Quran dan sunah supaya menjadi hamba dan khalifah Allah yang bertakwa dan menyumbang ke arah meningkatkan tamadun bangsa dan negara.
Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu.
No comments:
Post a Comment