Memperkasa Bahasa Melayu sebagai jati diri
nasional.
Oleh DR AMINUDIN
Memperkasakan
bahasa Melayu mestilah dilakukan di peringkat akar umbi. Bermula dari Taman Asuhan
Kanak-Kanak (TASKA) atau Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) rasa cinta terhadap
bahasa iaitu bahasa Melayu mestilah diterapkan dalam hati dan sanubari mereka.
Usaha
boleh dilakukan melalui pelbagai aktiviti seperti menyanyikan lagu-lagu dalam
bahasa Melayu, membaca kuat dalam bahasa Melayu, bertutur dan bersyarah dalam
bahasa Melayu. Pada masa kini kebanyakan TASKA dan TADIKA menggunakan bahasa
Inggeris sebagai bahasa pertama.
Bahasa
Melayu mestilah diberi keutamaan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pengantar
dan bahasa ilmu sejak di awal persekolahan lagi. Kajian pakar-pakar psikologi
menjelaskan kecintaan bahasa dan minat terhadap bahasa mestilah bermula dengan
penyerapan rasa cinta dan melaksanakan penggunaannya dengan lebih berkesan.
Menurut
Profesor Dr. Teo Kok Seong, Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun
Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menegaskan pemilihan
hanya satu bahasa untuk membentuk jati diri nasional, walaupun di dalam Negara yang
terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik yang diamalkan di merata tempat, baik
di Asia mahu di Barat memang terbukti kejayaannya.
Dalam
konteks ini katanya, penggunaan bahasa Melayu yang didapati amat berkesan untuk
menonjolkan jati diri nasional, bukan sahaja perlu diteruskan malah ia perlu
dipertingkatkan dari semasa ke semasa supaya keutuhan bentuk dan amalan
berbahasa Melayu dapat sentiasa dipelihara.
Penonjolan
jati diri nasional dapat dilakukan melalui bahan-bahan seperti pantun, syair,
gurindam, seloka, simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, bidalan, kata-kata
hikmat juga diterapkan kepada pelajar di peringkat yang lebih awal. Apabila
rasa kecintaan ini timbul mereka akan menerima bahasa itu sebagai
bahasa yang dicintai dan digunakan dalam kehidupan seharian.
Pada
masa kini, bahasa Melayu dipelajari hanya bertujuan untuk lulus peperiksaan
sama ada peperiksaan biasa di sekolah ataupun peperiksaan utama seperti Ujian
Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM). Rasa cinta dan usaha ingin memperkasa
bahasa tidak diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran(P&P) di sekolah.
Pelbagai
kegiatan bahasa boleh dilakukan di sekolah bagi memperkasa bahasa dan
mencintainya seperti menyanyi lagu-lagu dalam bahasa Melayu, bersyarah,
mendeklamasikan sajak, bersyair, berpantun, berpidato, ujian lisan, berbahas,
memberi ucapan semasa perhimpunan, bercerita, perbincangan, membuat ulasan
buku, membaca berita, berdialog dan mewawancara dalam bahasa Melayu.
Pada
masa kini, terdapat hampir 300 juta pengguna bahasa Melayu di seluruh dunia.
Bilangan pengguna ini boleh ditambah lagi dengan bilangan pengguna muda yang
bermula di peringkat TADIKA, TASKA, sekolah rendah, sekolah menengah dan
peringkat universiti.
Namun
yang paling penting, setiap pengguna mestilah ada rasa cinta yang mendalam
terhadap bahasa Melayu, sentiasa mempraktikkannya dalam kehidupan seharian,
meningkatkan penggunaannya dalam bidang ilmu dan menulis buku dalam pelbagai
bidang ilmu dalam bahasa Melayu.
Jika
dahulu bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa lingua franca atau bahasa
perantaraan umum dan bahasa antarabangsa. Pada masa kini bahasa Melayu
seharusnya dimantapkan dan diperkasa sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi,
bahasa di internet dan juga menguasai langit terbuka.
Semua
pencinta bahasa tidak harus lupa dan alpa mengangkat martabat bahasa Melayu
sebagai bahasa terpenting di negara ini dan seterusnya di dunia. Kemampuan tinggi
Bahasa Melayu tidak perlu dipertikaikan lagi. Pemaparan bahasa Melayu di
papan-papan iklan mestilah diutamakan selain bahasa lain.
Sebenarnya
kemelut Bahasa Melayu ini banyak berpunca daripada sikap tidak sungguh-sungguh
dalam kalangan kita. Jangan salahkan sesiapa jika bahasa Melayu dipinggirkan.
Sejarah telah meletakkan bahasa Melayu bahasa terpenting di rantau ini, hanya
kita yang perlu memperkasakan pada setiap masa dan ketika.
Dalam
hal ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan, rakyat
seharusnya lebih yakin menggunakan bahasa Melayu yang kini antara bahasa paling
unggul digunakan di serata dunia. Dari segi jumlah penggunaan bahasa di seluruh
negara, bahasa kebangsaan adalah jauh lebih kerap digunakan berbanding
bahasa-bahasa lain.
Penerbitan
buku-buku ilmiah dalam bahasa Melayu mesti diperhebat dari semasa ke semasa.
Penggunaannya mestilah meluas di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan
universiti serta kepada orang awam. Kegemilangan bahasa Melayu akan kembali
bersinar apabila semua pihak berusaha memartabatkan.
Lantaran
itu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi, menegaskan
kementerian mewajibkan pelajar asing mempelajari bahasa Melayu dengan betul
supaya mereka mudah untuk berkomunikasi dengan penduduk tempatan, sekali gus
dapat mengembangkan penggunaan bahasa itu di negara mereka. Selain itu, kita
juga perlu ikon akademik bagi mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu.
Sesungguhnya,
usaha memperkasakan bahasa Melayu adalah menjadi tugas semua rakyat Malaysia.
Melalui penggunaan yang betul dalam percakapan dan penulisan bahasa Melayu
mampu menjadi bahasa ilmu berdaya maju.
Penulis bekas pendidik BM berpengalaman
selama 35 tahun.
No comments:
Post a Comment